Rencana ini ditulis oleh :
AMIR TAN
Apabila seorang pekerja mencecah tanda
aras untuk bersara, iaitu berusia 55 tahun atau 60 tahun, pastinya mereka
diselubungi oleh perasaan tidak tenteram berkaitan masa depan dalam
kehidupannya sebagai seseorang insan. Persoalan yang bersarang dalam benak
mereka adalah mungkinkah mampu bertahan menempuh kehidupan tanpa pekerjaan dan
pendapatan tetap dari gaji bulanan? Kegusaran ini menjadi lebih serius
sekiranya ketika itu terdapat penyakit kronik menyerang dirinya. Ini adalah
fenomena biasa dalam dunia pekerjaan. Ia mesti dilalui oleh penjawat awam
mahupun swasta tanpa mengambil kira pangkat atau kedudukannya semasa bekerja.
Bersara atau berhenti kerja suatu pengalaman yang tidak terkecuali oleh
sesiapapun. Ia adalah suatu realiti.
Bagi penjawat awam, kehidupan yang
akan tempuhi mereka jauh berbeza dibandingkan dengan pekerja swasta. Mereka ini
dilindungi skim pencen yang ditetapkan oleh kerajaan. Kadar pencen yang
diperoleh mengikut jumlah gaji yang diterima ketika bersara. Jikalau besar,
maka besar jumlahnya dan begitu sebaliknya. Sementara itu, pekerja swasta
memperoleh sejumlah wang yang tersimpan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP). Sekiranya gaji bulanannya besar, maka simpanan dalam KWSP besar juga
jumlahnya. Tetapi malang, dalam tinjauan rambang majoriti mereka hanya mampu
bertahan lima atau sepuluh tahun sahaja. Selepas tempoh itu wang di tangan
menjadi kosong dan penghidupan menjadi tertekan.
Berdasarkan fakta tersebut, maka suatu
usaha yang serius perlu dilakukan supaya penghidupan pekerja swasta selepas
bersara selamat dan selesa. Langkah melanjutkan tempoh bekerja sehingga usia 60
tahun sepatutnya menjadi kenyataan dan dapat dinikmati golongan pekerja swasta.
Ia wajar dilaksanakan segera. Bagaimanapun, tempoh bekerja yang dilanjutkan dari
usia 55 tahun kepada 60 tahun perlu diisi dengan skim-skim atau faedah
perkhidmatan lain supaya mereka mampu meneruskan penghidupan yang baik dan
sempurna selepas berada di luar dunia pekerjaan. Kementerian Sumber Manusia
sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan hidup kaum pekerja
sewajarnya mewajibkan majikan memberi peluang kepada pekerja masing-masing
mengikuti latihan separa profesional teknikal sebagai menambah nilai sumber
manusia selepas bersara. Latihan-latihan itu perlu digabung dengan persediaan
mental supaya jati diri mereka tidak mudah mengalah apabila berhadapan dengan
cabaran hidup di luar dunia pekerjaan.
Sebagai usaha tokok nilai tambah
terhadap skim-skim latihan, Kementerian Sumber Manusia juga perlu membentuk
sebuah tabung berpusat dengan kerjasama Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia
(MEF) untuk membantu pesara swasta menampung kos rawatan perubatan dan
pendidikan anak-anak pesara. Tabung berpusat ini mesti dikeluarkan dari geran
awal kerajaan, MEF dan caruman para pekerja secara sama rata untuk menambah
dana tabung berpusat berkenaan. Tabung berpusat ini mesti ditadbir urus oleh
sebuah Lembaga yang terdiri daripada mereka yang berwibawa dan telus. Campur
tangan politik terhadap tabung berpusat ini pula adalah paling minimum atau
tiada langsung. Ciri-ciri ini dikira dapat menjamin tiada penyelewengan dan
keyakinan golongan pekerja swasta terhadap tabung berpusat itu kukuh dan mereka
terus memberikan caruman atau sumbangan.
KWSP yang selama ini menjadi kumpulan
simpanan wang pekerja juga perlu mengambil langkah proaktif dengan menggubal
Akta atau Peraturan membenar pesara mengeluarkan hanya 80 peratus sahaja
daripada simpanan mereka. Baki 20 peratus disimpan oleh KWSP sebagai modal
pelaburan pesara dan menikmati dividen yang diurus tadbir atau dilabur oleh
KWSP. Walaupun pulangan dividen mungkin kecil, tetapi dapat menampung
sebahagian kecil dari keperluan hidup pesara ia dikira sudah memadai.
Kesejahteraan hidup pekerja, sama ada di sektor awam mahupun swasta bukan tergantung
kepada kerajaan atau mana-mana badan yang ditubuhkan oleh kerajaan. Ia
seharusnya bermula dari pekerja atau pesara itu sendiri. Justeru pekerja yang
akan bersara mesti melihat ke dalam diri masing-masing sebelum realiti dunia
persaraan terjadi. Setiap pekerja mesti mampu menilai keupayaan, bakat dan
keistimewaan diri masing-masing. Apabila dikenal pasti, ciri-ciri itu mesti
dipupuk supaya subur menjadi nilai tokok tambah jati diri. Dengan demikian,
mereka mudah menempuh cabaran di dunia luar pekerjaan asal.
Sementara menunggu tiba tahun
persaraan, seorang pekerja juga boleh mengintai-intai peluang pekerjaan baru
dan berlainan supaya suasana baru boleh membentuk jati dirinya menjadi insan
yang berkualiti menerusi iltizam yang tinggi. Semua ciri-ciri pembentukan diri
yang tercatat bukanlah mudah dicapai. Tetapi sebagai pesara ataupun bakal
pesara, mereka tiada pilihan untuk memacu penghidupan yang baik dalam dunia
persaraan, melainkan berusaha membentuk jati diri sebagai insan yang
berkualiti. Kualiti diri itulah dikatakan aset sumber manusia yang berharga. Persoalan
yang timbul kini adakah dalam pasaran tenaga kerja kita memiliki jati diri yang
berkualiti? Mungkinkah yang terdapat sekarang hanya kecil sahaja bilangannya,
sementara bakinya terdiri dari mereka yang tercari-cari jati diri atau
meraba-raba arah tujunya?
Mengambil kira senario dunia pekerjaan
kini, ternyata Kementerian Sumber Manusia, MEF dan majikan belum dapat
membentuk jati diri sumber manusia yang dikehendaki. Semua pihak yang terlibat
masih mengharapkan penglibatan kerajaan walaupun mereka sedar penglibatan
swasta dan pekerja sangat penting. Sikap seperti ini tidak seharusnya berlaku
kerana kerajaan hanya agensi penggerak, manakala pekerja sebenarnya menjadi
pemangkin kepada pembentukan sumber manusia. Dengan komitmen kerajaan untuk
melanjutkan tempoh bekerja sehingga usia 60 tahun di sektor swasta, ia menjadi
pendorong supaya pekerja lebih komited dengan tanggungjawab masing-masing
sebagai sumber manusia yang berkualiti. Namun, langkah itu bukanlah sesuatu
yang muktamad untuk menyelesaikan kebimbangan pekerja swasta berhadapan dengan
dunia persaraan mereka.
Formula itu hanya permulaan yang baik
ke arah merungkai runtunan jiwa pekerja swasta. Bertitik tolak dari sini
diharapkan lebih banyak lagi usaha positif dilakukan dan seterusnya mendorong
pekerja swasta fokus serta produktif dengan pekerjaan mereka tanpa mengambil
kira apa jua bidang profesion mereka. Bagi kaum pekerja, mereka tidak boleh
menafikan sebahagian besar dari usaha Kementerian Sumber Manusia memanfaatkan
penghidupan mereka sudah semakin menguntungkan. Sebagai sebahagian dari
komponen pembangunan negara, sudah semestinya mereka perlu sentiasa produktif
dari semasa ke semasa. Justeru mereka perlu memanfaatkan tempoh pekerjaan
sehingga menjelang usia emas 60 tahun dan tempoh persaraan selepas itu. Inilah
yang dikatakan insan yang memiliki jati diri tinggi terhadap diri dan dunia
pekerjaannya.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
21 Ogos 2012