JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 Oktober 2011

ISU ALAM SEKITAR : LESTARI KARANG DI PULAU TIOMAN


KEINDAHAN TERUMBU KARANG 
DI PULAU TIOMAN, MALAYSIA

Malaysia adalah di antara 12 buah negara mega biodiversiti di dunia yang kaya dengan sumber asli dan kepelbagaian biologi atau biodiversiti. Di antara banyak lokasi dalam negara yang dimaksudkan, Pulau Tioman adalah khazanah perairan yang menawarkan habitat hidupan marin yang unik dan mempersonakan. Rekod di Taman Laut Pulau Tioman sahaja menjadi rumah kepada lebih kurang 221 spesies terumbu karang ekstensif, 233 spesies ikan karang dan 61 spesies hidupan marin lain. Bagi memastikan kekayaan ekosistem itu sentiasa dilindungi, tanggungjawab tersebut terletak di tangan pihak Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) yang ditubuhkan sejak 2007 lagi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Jabatan itu bertanggungjawab mengurus dan mentadbir 42 kawasan perairan taman-taman laut dengan keluasan yang digazet iaitu 235,723 hektar. Pemantauan JTLM di zon yang dalam lingkungan radius dua batu nautika dari Pulau Tioman turut menjangkaui usaha mengekang pencerobohan bot asing yang dikhuatiri merosak serta memusnahkan spesies-spesies unik yang terdapat di perairan pulau tersebut. Seorang anggota penguat kuasa JTLM Pulau Tioman, Anuar Safia, 38, yang berkhidmat selama 15 tahun tampil berkongsi pengalaman dan peranan jabatan itu dalam memelihara dan melindungi hidupan laut daripada tercemar akibat pencerobohan serta aktiviti terlarang. Anuar berkata, terdapat beberapa faktor kepada kemusnahan terumbu karang, timun laut dan banyak lagi spesies marin di Tioman serta pulau-pulau lain di bawah perlindungan JTLM.

Jelasnya, kelunturan terumbu karang antara lain diakibatkan isu pemanasan global. Karang bertindak balas dengan tekanan sinaran matahari yang lebih kuat daripada biasa yang sekali gus meningkatkan suhu laut. Tekanan tersebut akan menyebabkan alga dan hidupan pemberi nutrisi dan warna kepada batu karang menghilang. Pihak JTLM juga mengendalikan kes yang berkaitan aktiviti mengebom ikan oleh penceroboh taman laut. Perbuatan tersebut juga menyumbang kepada kemusnahan terumbu karang selain daripada ancaman aktiviti pelancongan yang tidak terkawal. “Sebagai contoh, penggunaan bot berkuasa tinggi, melabuhkan sauh di kawasan terumbu karang dan pembinaan sebarang struktur di kawasan perairan taman laut boleh memberi kesan kepada hidupan marin,” ujarnya. Itu belum lagi bercakap lebih lanjut mengenai tabiat manusia yang membuang bahan tercemar ke dalam laut atau memijak serta menyentuh batu karang ketika melakukan aktiviti snorkeling dan selam skuba. Jelas Anuar, walaupun situasi pemanasan suhu laut itu buat masa ini tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan fenomena sejagat, namun pemantauan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa demi memastikan terumbu karang dan spesies sensitif lain dilindungi. Selain usaha meningkatkan pengetahuan dalam kalangan mereka yang melawat taman laut, JTLM juga bertanggungjawab untuk menutup kawasan terumbu karang yang diancam masalah kelunturan bagi usaha-usaha pemuliharaan.

Usaha pemuliharaan

“Kita juga melakukan proses pemindahan dan penanaman semula karang laut ini sedalam 30 hingga 40 kaki di dalam laut. “Selalunya, kita akan memindah dan menanam semula karang tersebut ke lokasi lapang lain yang telah dikenal pasti. Semua itu membantu kelangsungan hayat terumbu karang seperti yang dilakukan baru-baru ini di Kampung Salang, Pulau Tioman,” katanya. Pada masa yang sama, kerja memburu tapak sulaiman berduri (Acanthaster planci) yang digelar Crown of Thorns juga giat dilakukan secara berkala. Hidupan itu adalah antara ancaman nyata kerana sifatnya yang membunuh karang laut untuk dijadikan makanannya. Selain usaha menyelamatkan terumbu karang, langkah kawalan tambahan juga dibuat demi keselamatan para pelancong taman laut yang mengikuti aktiviti snorkeling dan menyelam. Pihak JTLM aktif mengutip landak laut hitam untuk ditempatkan di kawasan lain. Walaupun fizikalnya yang berduri membahayakan manusia kerana racunnya, landak laut sebenarnya mempunyai manfaat. Kehadirannya di lantai laut bertindak menyerap kekotoran dan secara keseluruhan membantu mengekalkan kejernihan air. JTLM juga menguatkuasakan larangan aktiviti menangkap atau memancing ikan di kawasan lingkungan dua batu nautika dari pesisir pantai Pulau Tioman bagi melindungi spesies marin daripada pupus. “Bagi memastikan kesemua usaha dan misi kami berjaya, kami sentiasa menjalankan program pendidikan tentang kehidupan laut supaya dapat dimanfaatkan para penduduk Pulau Tioman dan juga pelancong. “Kita juga membuat pengezonan kawasan, menambah platform rehat terapung, meletakkan boya penanda kawasan dan menjalankan penyelidikan serta pemantauan berterusan agar khazanah berharga itu kekal selama-lamannya,” ujarnya dengan harapan.

Kapal 1 Permata

Pelancaran rasmi Kapal 1 Permata yang bersaiz 18 meter dengan kelajuan 34 knot dan boleh memuatkan sehingga 16 hingga 20 penumpang menjadi kebanggan JTLM. Ia digunakan untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan di kawasan perairan Taman Laut Pahang, Johor dan Terengganu. Ketika ini, kekuatan anggota penguatkuasaan JTLM adalah seramai 138 orang dengan jumlah bot sebanyak 22 buah untuk operasi laut pada waktu malam. Bot-bot sedia ada iaitu bot peronda laju kurang sesuai digunakan pada musim tengkujuh sekitar November hingga Januari setiap tahun kerana laut bergelora. Lagipun, ia tidak ideal untuk membendung aktiviti pencerobohan nelayan asing. Kapal 1 Permata dengan saiz yang lebih besar dan kelajuan tinggi akan meningkatkan keupayaan JTLM menjalankan aktiviti penguatkuasaan pada musim monsun khususnya. Bagi mengukuhkan mekanisme pemantauan, rondaan dan kawalan keselamatan, JTLM menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Polis Marin serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Musim tengkujuh diberi perhatian khas memandangkan banyak kes pencerobohan bot nelayan asing dalam kawasan perairan negara termasuk di pulau-pulau di bawah perlindungan taman laut berlaku dalam tempoh tersebut. Kegiatan bot nelayan asing sering tertumpu di kawasan pulau-pulau yang terletak jauh dari daratan seperti gugusan Pulau Aur dan Pulau Pemanggil di Johor serta Pulau Tenggol di Terengganu serta beberapa perairan di Tioman.

Prospek dan undang-undang

Menurut Ketua Pengarah JTLM, Dr. Sukarno Eagiman, sebanyak 42 perairan taman-taman laut di lima negeri iaitu Kedah, Pahang, Terengganu, Johor dan Sabah di bawah penyeliaan JTLM menyumbang kepada pendapatan ekopelancongan negara. Jumlahnya dianggarkan sebanyak RM600 hingga RM800 juta setahu menerusi kunjungan kira-kira 500,000 pelancong setiap tahun. Di Pulau Tioman sahaja seramai 200,000 pelancong tempatan dan asing berkunjung setiap tahun. Jelas beliau, dengan usaha menyeluruh meningkatkan ekopelancongan dan sumber ekonomi, penduduk tempatan secara tidak langsung boleh terlibat dalam penyediaan perkhidmatan dan kemudahan seperti bot siar, snorkeling, selaman berbimbing dan kemudahan penginapan. Secara tidak langsung, ia menambah pendapatan harian seterusnya meningkatkan tahap sosioekonomi mereka. Sukarno menegaskan, pihaknya juga meningkatkan penguatkuasaan undang-undang secara mikro iaitu membabitkan anggota JTLM melakukan penyelaman bagi mengenal pasti kesalahan pelancong yang merosakkan karang laut. “Ia adalah tambahan kepada penguatkuasaan makro sekarang seperti kesalahan menangkap ikan dan melabuhkan sauh dalam kawasan taman laut mengikut peraturan-peraturan perikanan (Kawasan Larangan) Akta Perikanan 1985,” ujar beliau. Pada tahun 2010, sebanyak 47 kes tangkapan dilakukan melibatkan pelbagai kategori vesel atas pelbagai kesalahan yang melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM110,800. Pada tahun sebelumnya, sebanyak 72 kes berkaitan isu yang sama dikendalikan pihak JTLM dan kebanyakannya mengenai pencerobohan taman laut. “Selepas ini penguatkuasaan pemantauan akan dilakukan lebih kerap terhadap kesalahan pelancong ketika snorkeling dan menyelam skuba serta penceroboh taman laut negara kita,” tegas beliau.

SUMBER
HARIAN KOSMO
1 OKTOBER 2011



ISU UMUM : MELAYU ABAD KE-21

Saranan Salleh


BUKIT-BUKIT PASIR DI 
GURUN SAHARA

Dalam perasmian Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan orang Melayu abad ke-21 bagaimana bentuk rupanya. Orang Melayu abad ke-21 sekarang ini tidak lagi mengharap kepada pemberian kerajaan tetapi mampu bersaing dengan bangsa lain. Orang Melayu abad ke-21 tidak lagi perlu diberikan kuota seperti dulu. Orang Melayu abad ini boleh buat apa saja tanpa meminta-minta. Inilah yang kita hendak. Malulah kita sekian lama kita orang Melayu dikatakan asyik menagih itu dan ini daripada kerajaan sehinggakan orang asing berani mengatakan penghalang kepada program transformasi ekonomi Najib ialah golongan ekstrem Melayu yang sentiasa membantutkan usaha kerajaan. Memanglah kita tidak mahu jadi peminta di tanah air kita sendiri. Apa yang peliknya kalau kita lihat boleh katakan semua agensi kerajaan seperti SMC Corp, MARDI, FAMA dan beribu lain diketuai oleh orang Melayu. Begitu juga institusi kewangan seperti bank-bank kita kebanyakannya (bukan semua) diketuai oleh orang Melayu. Begitu juga pegawai kanan kerajaan dan kebanyakan penjawat awam terdiri daripada orang Melayu. Tetapi orang Melayu tetap ketinggalan kecuali mereka yang ada tali kabel besar dan berani. Tali kabel ini kita faham, its who you know rather than what you know. Berani ini maksudnya bila hendak melakukan rasuah. Orang bukan Melayu dia tak ada pasal nak suap sesiapa pun, dah jadi kebiasaan pada mereka.

Orang kita masih ada yang segan-silu, jadi bila lambat sangat beri jawapan projek pergi dekat orang lain. Budaya orang Melayu berjawatan enggan menolong orang Melayu semakin menular kerana semua orang nak kaya cepat. Seorang kawan saya yang berpengalaman dan mempunyai rekod pencapaian yang baik sudah naik mabuk cuba mendapatkan pinjaman untuk syarikat penghasilan farmaseutikalnya. Untuk menjual di luar negeri misalnya dia dikehendaki menjual dalam negeri dulu. Untuk menjual dalam negeri dia kena dapat lesen dulu. Sampai sekarang sudah tiga tahun tak dapat lesen macam-macam halangan. Begitu juga dengan kewangan. Sudah banyak institusi kewangan yang didekati. Ada yang berjanji macam-macam tapi sudahnya tak dapat apa juga. Ini orang yang ada kelayakan, pernah jadi penasihat kepada negara asing dalam bidang biomedikal tapi semua itu bak tak tengok. Inilah orang yang patut diberi sokongan bukan dia bawa lari duit pinjaman tetapi mentaliti orang yang bagi pinjaman masih lagi mentaliti zaman kuno. Ramai yang menyalahkan Dasar Ekonomi Baru sebagai satu-satunya dasar yang menyebabkan macam-macam kesan termasuklah pelabur asing kononnya tak mahu melabur di negara ini. Sekali lagi saya katakan tak ada apa salahnya dengan tujuan hendak menghapuskan kemiskinan tak kira bangsa, tak ada salahnya dengan membasmi keberkaitan sesuatu bangsa dengan sesuatu pekerjaan atau profesion. Apa yang dilihat oleh rakyat Melayu biasa ialah hanya orang tertentu saja yang dapat macam-macam kemewahan dan projek.

Dulu setiap syarikat diperlukan memberi 30 peratus kepada orang Melayu. Orang Melayu yang mana dapat saham tersebut terbitan demi terbitan. Rakyat Melayu biasa ini cubalah nasib dengan menghantar permohonan berganda moga-moga daripada 10 penghantaran satu dua terkena. Mereka yang dapat berjuta-juta ambil pinjaman bank sementara tunggu hari penyenaraian dan jual di hari penyenaraian kerana nak bayar balik hutang. Sesetengah orang yang ada tali kabel baik punya dapat peruntukan berganda-ganda sampai ada yang mengeluh mengatakan tak tahu nak buat macam mana asyik dapat saham. Begitu juga AP hanya dua tiga orang yang sama dapat berpuluh-puluh malahan beratus. Ada yang tak bayar duti import, kenakan kepada pengguna selepas pengguna membeli baru dibayar. Dah kalau dapat beribu AP tentulah boleh beli helikopter main golf hantar anak pergi sekolah. Kalau cakap pasal projek pula, segolongan manusia yang rapat dengan orang tertentu akan dapat layanan istimewa. Ini semua orang Melayu tahu. Orang Melayu sedar jurang antara atasan dan bawahan semakin melebar. Yang duduk sihat dengan projek bernilai berjuta, hantar anak belajar keluar negeri, melancong dan berehat di luar negeri adalah mereka yang ada hubungan dan berani. Cuba tanya kepada yang diamanahkan dengan berjuta saham kononnya, untuk UMNO mana perginya?

Kepada mereka yang sudah terpahat kedudukan mereka dan tiap-tiap bulan dah tentu ‘masyuk’, kita ucapkan selamat maju jaya. Mereka mampu menarik perhatian pihak berwajib untuk tidak melayan kerenah sesetengah golongan yang sentiasa membangkitkan soal ketidaksamaan di kalangan bangsa. Mereka ini ingin menonjolkan diri mereka selaku mereka yang dianggap layak dan mampu berdayasaing dengan bangsa lain. Mereka yang bising-bising ini dianggap hama yang menganggu ayam sahaja. Sekali lagi saya bangkitkan. Sejak RMK-1 hingga 9 kerajaan sudah belanjakan kalau purata kita ambil RM200 bilion satu RMK bermakna kita sudah belanjakan RM1.8 trilion. Kalau masukkan RMK 10 pula cukup RM2 trilion. Soalnya siapa yang dapat? Bahagian orang Melayu sikit sangat. Tengok kondo dan rumah mewah yang naik macam cendawan di merata tempat siapa yang mampu beli. Tanah yang kerajaan punya dengan usahasama buat rumah mewah siapa yang mampu beli. Rumah dua tingkat mencecah sampai RM750 ribu. Orang Melayu mampu duduk? Orang Melayu lihatlah keliling kita dan kita tahu siapa yang menguasai segala-galanya. Dalam bidang rantaian bekalan yang membabitkan pembelian, pengilangan, penggedungan, pemborongan, peruncitan, pengangkutan, penguasaan inventori, penguasaan maklumat segala bahan dan perkhidmatan dikuasai oleh bangsa lain.

Orang Melayu kena mengadap mereka untuk mendapatkan yang diperlukan daripada barang makanan kepada bahan binaan. Baru kerajaan hendak perkenalkan kedai rakyat, presiden Dewan Perniagaan China sudah bising peruncit Cina tutup kedai. Dia tak nampak yang Giant, Tesco, Carrefour dan pasa raya besar yang mampu memotong harga peruncit biasa. Satu-satu rancangan yang telah memberi manfaat besar kepada orang Melayu ialah apabila Felda ditubuhkan. Beratus ribu keluarga miskin terdiri daripada petani dan nelayan diberikan peluang berubah kehidupan dan kesannya ke hari ini. Kalau hari ini kita hendakkan orang Melayu mengubah cara hidup mereka, orang Melayu yang mempunyai kedudukan dan jawatan baik di sektor awam atau sektor swasta juga perlu berubah sikap. Jangan mereka duduk di kerusi-kerusi empuk membuat keputusan yang mengecewakan kepada usahawan Melayu yang terkial-kial mendapatkan bantuan. Orang yang patut dibantu patut disiasat dulu latarbelakang dan keupayaan dan tengok sendiri operasi yang berjalan. Jangan ditolak buta-buta tanpa sebarang siasatan. Bagi pada orang tak boleh buat salah orang yang beri bukan yang menerima. Kalau tak pernah bela udang jangan bagi projek ternak udang. Kalau tak pernah bela lembu jangan bagi projek bela lembu.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 OKTOBER 2011


ISU SOSIAL : MENCARI POTENSI WARGA EMAS

Oleh OPAT RATTANACHOT


DATARAN RIBUAN PAGODA, 
DI PAGAN, MYANMAR

Di negara kita, orang tua sering dipanggil dengan pelbagai gelaran seperti warga emas atau golongan veteran. Namun, 'warga emas' merupakan istilah yang paling popular diguna pakai sama ada dalam perbualan harian, urusan kerajaan mahupun media massa. Warga emas secara amnya ditakrifkan sebagai mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Istilah tersebut turut ditujukan kepada mereka yang telah bersara daripada perkhidmatan iaitu pada umur 58 tahun. Statistik rasmi Banci Penduduk dan Perumahan Negara yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai lalu mendapati seramai 2,251,216 daripada 28,334,135 penduduk negara kini merupakan mereka yang dikategorikan sebagai warga emas. Ini bermakna, hampir lapan peratus daripada populasi negara ini merupakan golongan sudah berusia. Jumlah berkenaan diunjurkan terus meningkat kepada 12 hingga 15 peratus menjelang tahun 2020 dan 2030. Pada usia tersebut, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat atau menjaga anak cucu di rumah. Tidak kurang mengatakan, mereka tidak perlu bersusah payah untuk turut serta dalam pembangunan masyarakat sekeliling. Ini merupakan satu tanggapan yang salah. Walaupun dalam usia itu, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.

Melihat kepada kelebihan yang ada pada jumlah warga emas ini, kita harus akui bahawa segala proses pembangunan dan kemajuan negara, tidak dapat tidak, 'suara' golongan berkenaan perlu diambil kira. Mereka bukan sahaja golongan berpengalaman, tetapi yang lebih penting adalah nasihat dan panduan yang berguna kepada generasi lebih muda agar dapat mengharungi cabaran lebih getir. Dalam konteks kerajaan, biarpun peningkatan populasi warga emas belum mendatangkan kesan yang ketara kepada masyarakat secara keseluruhannya, Kabinet sejak tahun 1955 lagi dilihat telah bersiap sedia menghadapi cabaran tersebut. Pelbagai usaha yang diambil seperti pengenalan polisi khusus seperti Dasar Warga Tua Negara (DWTN), Dasar Kesihatan Warga Emas Negara (DKWEN), Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Negara dan usaha menambah baik Dasar Warga Emas Negara (DWEN). Pengenalan dasar tersebut mempunyai tujuan murni iaitu mahu mewujudkan masyarakat warga emas yang sejahtera, bermaruah dan mempunyai martabat diri yang tinggi. Di samping itu, kerajaan berharap dapat mengoptimumkan potensi diri warga emas dan menentukan mereka menikmati semua peluang malah mendapat perlindungan sebagai salah satu entiti penting dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Pada masa sama, usaha memajukan potensi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan itu dilihat penting bagi memastikan mereka tidak terlalu bergantung kepada anak-anak atau waris lain untuk meneruskan kehidupan. Langkah berkenaan dilihat mampu mengatasi masalah warga emas hidup bersendirian atau merempat tanpa hala tuju. Tidak hairanlah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil baru-baru ini mengambil langkah berani dengan meminta dipercepatkan penggubalan akta untuk melanjutkan umur persaraan petugas swasta dari 55 tahun ke 64 tahun, yang mana turut melibatkan golongan warga emas. Kata beliau, terlalu muda bagi rakyat Malaysia untuk bersara dan sesetengah organisasi memerlukan kakitangan berpengalaman untuk memimpin. "Sektor swasta perlu memanfaatkan peluang ini dengan mengekalkan kakitangan lebih senior dalam organisasi, mereka yang berpengalaman luas untuk mentadbir dan adalah satu kerugian jika orang yang mampu meningkatkan prestasi organisasi itu dilepaskan sebelum waktunya," katanya. Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi agensinya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil langkah prihatin dalam memastikan penjagaan dan perlindungan warga emas terpelihara melalui kewujudan Pusat Penjagaan Harian Warga Emas (PJHWE).

Sehingga kini, terdapat 22 pusat seumpama itu di seluruh negara bagi memberi kemudahan jagaan harian terutama individu yang tinggal berseorangan ketika keluarga atau penjaga keluar bekerja. Dari segi peruntukan pula, kerajaan saban tahun menyalurkan dana untuk merangka program berkesan di samping membantu memastikan taraf hidup warga emas terjamin. Contohnya, dalam program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, lebih 30 peratus daripada peruntukan RM1.4 bilion disalurkan membantu golongan warga emas. Pada 1 Oktober setiap tahun pula, sambutan Hari Warga Emas peringkat kebangsaan diadakan. Sambutan ini merupakan pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban. Untuk tujuan itu, kita sebagai anggota masyarakat perlu memberikan sokongan moral kepada warga emas agar terus bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti supaya dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 OKTOBER 2011