Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia
Kematian Nur Irisyafida Balkis Abdul Azim dalam pangkuan ibunya di
Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) setelah dimasukkan ke hospital selama
beberapa hari akibat didera bukanlah kes terasing yang berlaku dalam masyarakat
kita kebelakangan ini. Balkis telah pun pergi meninggalkan mereka yang
menyayanginya terutama datuk dan nenek yang meratapi kehilangannya dalam usia
emas mereka. Sebelum ini juga akhbar melaporkan kisah dua pelajar Malaysia di
Singapura yang melakukan aksi seks dan meletakkannya di internet untuk tontonan
ramai dan menganggap perbuatan itu sebagai rasional dan 'peduli apa dengan
orang lain, asalkan kami bahagia'. Kedua-dua kejadian ini dan sebelum ini
menggambarkan kecelaruan yang jelas dalam sistem nilai dan sistem kekeluargaan
kita. Misalnya, berita tentang kematian anak kecil kerana deraan teman lelaki
ibu dan celaru tentang apa yang dianggap sebagai hal individu dan hak sebagai
anggota masyarakat.
Jika boleh berpatah balik dalam kes seperti penderaan (malah
pembunuhan) oleh seseorang yang dianggap sebagai teman lelaki ibu atau teman
wanita adalah sesuatu yang sudah banyak kali kita dengar dan baca laporannya.
Satu ketika dahulu kita dikejutkan oleh anak yang mati disepak di padang bola.
Kemudiannya kita juga membaca laporan teman laki-laki warga asing yang mendera
anak teman wanitanya. Kepincangan seperti ini akan terus menjadi penyakit
selagi kita menganggapnya sebagai kes terpencil dan mengambil sambil lewa tanpa
tindakan berkesan oleh mana-mana pihak yang bertanggungjawab. Tentunya pihak
yang paling utama untuk bertindak ialah dalam kalangan anggota masyarakat
sendiri.
Ini adalah antara harga yang kita perlu bayar untuk pembangunan
yang berlaku secara tidak seimbang yang tidak boleh diselesaikan hanya dengan
menuding jari. Lazimnya dalam masyarakat kita, itulah yang akan berlaku. Orang
agama akan menyalahkan pelbagai pihak yang dikatakan tidak mengikut
undang-undang dan lunas agama. Sesetengah pihak meletakkannya di bahu kerajaan
dan pihak berkuasa. Bagi mereka yang sayangkan agama, bangsa dan tanah air,
akan melihat apa yang berlaku ini sebagai amanah dan tanggungjawab besar untuk
menggembleng segenap kekuatan yang ada bagi membanteras dan memastikan ia tidak
berulang atau paling tidak mengurangkan kesan daripada kejadian seumpama ini.
Misalnya, satu sistem sokongan yang kuat perlu ada dalam kalangan
masyarakat hari ini daripada semua segi, terutamanya untuk membantu mengatasi
masalah yang berkait rapat hi-touch iaitu mental, kejiwaan mahu pun hal-hal
yang berkait rapat dengan sistem nilai, kepercayaan dan pegangan yang melihat
kepada kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dalam apa jua
perbuatan dan tindakan. Pada masa sama institusi agama, masyarakat mahu pun
pertubuhan sukarela perlu diperkasakan dalam menyediakan sistem sokongan kepada
kumpulan yang berada dalam kelompok celaru pemikirannya apatah lagi yang
mempunyai tekanan hidup yang boleh membahayakan orang lain. Sistem amaran awal
perlu ada untuk memberikan maklumat dan menghantar isyarat terhadap kemungkinan
berlakunya tragedi dalam kalangan masyarakat. Sistem amaran awal ini apabila
diperolehi perlu dihubungkan dengan sistem sokongan yang ada, termasuk jika
perlu pihak berkuasa bagi menangani sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.
Malah, semua pihak yang berwibawa dalam agama dan sistem sosial
perlu duduk semeja untuk mencari jalan terbaik mengatasinya secara bersama,
bersepadu dan saling menyokong antara satu sama lain. Kita perlu kurangkan
bertelagah dalam hal berkaitan perbezaan, sebaliknya mencari titik persamaan
untuk menjaga masyarakat agar pembangunan yang capai pada masa hadapan
benar-benar bersifat inklusif yang menekankan kepada nilai hidup dan moral yang
diterima sebagai norma bersama. Kita terpaksa akur kepada kesibukan dalam
mengejar kemajuan, malah juga globalisasi yang membawa pelbagai nilai yang
selama ini tidak pernah dibayangkan. Menyalahkan globalisasi dan kehidupan yang
memberikan kita pelbagai tekanan termasuk kerjaya tidak akan menyelesaikan
apa-apa apatah lagi kita terus menuding jari.
Seorang pakar kaunseling memberitahu penulis apabila ditanyakan
tentang rungutan pelbagai pihak terhadap tekanan kerja yang dihadapi, masalah
besar yang kita hadapi adalah apabila seluruh proses dan sistem kehidupan kita
berubah dalam pelbagai kerangka yang disebabkan oleh teknologi dan globalisasi,
malangnya kita tidak bersedia malah sesetengah kita masih berada dalam set
minda lama dan jauh tertinggal di belakang. Ini tentunya amat benar jika
dilihat kepada cara kita menyelesaikan masalah sekarang ini. Ada yang
tertanya-tanya bagaimana untuk mendidik anak-anak yang jiwanya amat 'rapuh'
sekarang ini apatah lagi apabila perlu menjelaskan tentang pelbagai fenomena
dan nilai yang berubah dan amat terbuka ini.
Tentunya cara terbaik adalah kembali kepada asas dalam melihat dan
mengenal pasti masalah, nilai dan percaturan yang ada. Kita perlu bersikap
terbuka, tetapi tidak akur kepada nilai-nilai yang dianggap bertentangan dengan
asas dan pegangan utama iaitu agama. Walau terbuka mana pun kita, agama akan
perlu terus menjadi pedoman, kitabnya menjadi asas dalam penentuan nilai dan
ajarannya menjadi jalan untuk ditempuhi. Agama sudah cukup untuk menjadi
penyelesaian namun mereka yang menggunakan agama sebagai cara menyelesaikan
masalah harus juga melihat keindahannya untuk dikongsi dengan orang lain, bukan
semata-mata bersikap menghukum dan menuding jari.
Agama mengajar kita untuk prihatin kepada nasib dan masa hadapan
masyarakat dan tamadun tingginya dengan menekankan kepada ketinggian budi
pekerti dan akal budi. Malah para akademia, cerdik pandai, para sukarelawan
serta mereka yang berautoriti perlu turut sama menyingsing lengan untuk turun
padang, bersikap realistik dan menghadapi cabaran ini. Kedegilan kita dengan
hanya melihat kepada kepentingan diri, enggan bertegur sapa, bodoh sombong dan
angkuh dengan apa yang kita ada, individualistik serta mendabik dada, akhirnya
akan merosakkan masyarakat dan negara. Jika kita serius dengan pembangunan
dalam acuan sendiri yang lestari, maka kita perlu pastikan tragedi yang menimpa
Nur Irisyafida Balkis dan kisah dua remaja yang bangga dengan perlakuan sumbang
mereka tidak lagi berulang. Kitalah yang harus bertindak melakukan yang terbaik
untuk mengatasinya!
Sumber
Utusan Malaysia
23 Oktober 2012