JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 September 2012

ISU SOSIAL : MALAYSIA SASARAN PENIPU WARGA ASING


Rencana ini ditulis oleh :
Rejal Arbee
Felo Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Selepas sekian lama pelbagai perlakuan tidak senonoh rakyat asing yang mengakui mereka kononnya pelajar di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini, dilaporkan ekoran operasi besar-besaran sejak kebelakangan ini, barulah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedar ada ramai antara mereka itu sebenarnya bukanlah pelajar. Penulis sendiri sudah beberapa kali menimbulkan perkara ini tetapi tidak mendapat perhatian kementerian kerana pihak IPT swasta berterusan mengeluarkan visa pelajar kepada warga asing yang kononnya mahu belajar tetapi tidak pernah pun menjenguk muka di institusi terbabit.

Malah seorang pelajar asing pernah memberitahu penulis dia ditawarkan visa pelajar tanpa sebarang kerenah kiranya sanggup membayar RM4,000 kepada ejen yang mempunyai kaitan dengan agensi penguat kuasa.  Bayangkan keadaan sesiapa saja yang sanggup mengeluarkan bayaran sedemikian boleh dengan mudah mendapatkan visa itu berbanding dengan pelajar sahih yang bercita-cita untuk belajar di negara ini tetapi terpaksa menghadapi pelbagai kerenah tidak munasabah sebelum boleh memasuki ke IPTA di sini.  Tidak dinafikan ada IPTS yang hanya mementingkan bayaran yuran oleh orang asing ini tanpa mahu menentukan apakah mereka mempunyai kelayakan melanjutkan pelajaran dan tidak akan melakukan perkara lain.

Syor agensi ditutup

Malah Presiden Persatuan Kolej dan Universiti Swasta (MAPSU), Datuk Dr Parmjit Singh yang menyokong penubuhan agensi itu, berkata masalah itu sudah lama boleh diatasi sekiranya institusi yang berterusan mengeluarkan visa pelajar kepada mereka ditutup saja seperti pernah disarankan penulis.  Walaupun sudah terlambat, ia masih dialu-alukan supaya tidak akan berlaku lagi penyalahgunaan visa pelajar oleh penjenayah dan penipu yang berterusan ke negara ini menimbulkan pelbagai masalah kepada rakyat tempatan, terutama dari Afrika dan Timur Tengah yang sering melakukan pelbagai kerenah yang menyinggung perasaan penduduk.

Mengikut Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kementerian sedang berusaha menubuhkan Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) yang akan menjadi pusat sehenti menguruskan kemasukan semua pelajar asing ke negara ini. Diharapkan agensi itu akan benar-benar melaksanakan apa yang diamanahkan kepadanya dengan terbaik. Kita tidak mahu ada penjawat awam yang menyalahgunakan peraturan untuk kepentingan sendiri dan dengan itu berlaku pula masalah sampingan lain yang memberi gambaran betapa tidak cekapnya pegawai yang mengendali dan melaksanakan pelbagai peraturan yang diwujudkan. Berita mengenai beberapa ketua beberapa jabatan kerajaan amat liat hendak mengambil tindakan terhadap kakitangan mereka yang didapati bersalah melakukan perkara yang tidak sepatutnya amat dikesali.

Penyalahgunaan visa pelajar

Sebenarnya pelaku penyelewengan dan penyalahgunaan visa pelajar oleh pihak tertentu yang dikatakan direstui pihak berkuasa bukan saja patut dikenakan tindakan jabatan, malah perlu dikenakan tindakan polis supaya boleh didakwa di mahkamah. Sekiranya mahkamah juga menganggap perlakuan mereka boleh menjejas keselamatan negara dan dengan itu menjatuhkan hukuman penjara, pastinya beberapa kerat di antara mereka itu merengkok dalam penjara, barulah akan menakutkan puak ini daripada melakukan apa yang sudah mereka buat selama ini. Diketahui kita suka sangat mengadakan peraturan kononnya untuk menangani sesuatu masalah. Malangnya, pelaksanaan peraturan itu diselewengkan oleh mereka yang tidak bermaruah hanya kerana kepentingan diri sehingga menimbulkan masalah lain pula.

Aneh juga sebelum peraturan baru ini diwujudkan, tidakkah pernah terfikir oleh pegawai Kementerian Pengajian Tinggi kenapa Malaysia saja antara negara ASEAN yang menjadi sasaran warga asing khususnya dari Afrika yang berterusan ke negara ini kononnya untuk belajar tetapi terbabit dalam kegiatan jenayah dan penipuan. Tidak pula kedengaran wujud kelompok ini di Indonesia, Filipina atau Thailand, jauh sekali di Singapura yang mana peraturan mengenai pelajar asing di republik itu yang walaupun menggalakkan kemasukan pelajar asing tetapi mempunyai peraturan dan penguatkuasaan amat ketat. Tidak menghairankan kenapa kelompok penipu warga asing ini menjadikan negara ini pusat kegiatan mereka. Sebab mereka tahu penguatkuasaan kita amat lesu dan tidak tegas sehingga mengundang mereka ke negara ini untuk melakukan kegiatan tidak bermaruah dengan sewenang-wenangnya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Berita Harian
02 September 2012

ISU UMUM : UNDANG PENGESAHAN ANTARABANGSA


Rencana ini ditulis oleh :
Nordin Kardi


Hujung abad ke 19 hingga pertengahan abad ke 20 menyaksikan satu demi satu negara di dunia yang pernah terjajah puluhan, malah ratusan tahun merayakan kejayaan impian supaya negara diperintah oleh bangsa sendiri menjadi realiti. Pelbagai perkataan yang indah dipilih bagi mewakili ekspresi lambang kehebatan negara bangsa yang baru merdeka itu dalam menentukan kesanggupan bangsa itu menghadapi sendiri nasib baik dan buruk pada zaman berikutnya. Pelbagai sumpah setia bangsa dilafaz dengan penuh semangat dan didokumentasikan. Kebebasan menentukan nasib diri sendiri yang dipanggil juga sebagai ‘kedaulatan’ menjadi perkataan suci yang sanggup dipertahankan dengan apa saja.

Aspirasi menentukan nasib sendiri itu diperkukuhkan oleh Charter Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang seperti serik dengan pengalaman menghadapi dua peperangan besar dunia yang memundurkan tamadun manusia lebih ke belakang. Artikel Satu, Perkara Dua tujuan penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyebutkan dengan jelas tentang hubungan antara negara berdasarkan prinsip ‘equal rights’ dan ‘self-determination’ demi memastikan keamanan sejagat. Selanjutnya Artikel Dua, Perkara Satu menambahkan lagi kejelasan kebebasan setiap negara anggota yang berbunyi, ‘Organisasi ini berlandaskan prinsip kesamarataan kedaulatan setiap negara anggota’.

Namun pertengahan kurun ke-20 menyaksikan pula perubahan set pemikiran warganegara yang dahulunya sangat kental mempertahankan prinsip menolak sebarang campur tangan pihak luar dalam urusan dalaman sesebuah negara bangsa kepada set pemikiran yang seperti mengundang pihak luar secara terhormat memberi arahan apa yang betul dan apa yang tidak betul dalam menguruskan kehidupan sesebuah negara anggota masyarakat dunia. Jika pada suatu masa generasi muda kecewa kerana sejarah sesuatu negara mencatat tentang adanya pembesar-pembesar negara sanggup menyerahkan negara dijajah kuasa luar, generasi yang dahulunya muda tetapi kini telah berusia seperti mengulang apa yang mereka pernah benci suatu masa lalu itu.

Ini mungkin kerana kehebatan kerja-kerja diplomasi negara-negara yang secara tradisinya suka menjajah secara halus menjaga kepentingan mereka melalui pelaburan dalam pelbagai program bantuan seperti atas nama pertukaran pelajar pelbagai budaya, aktiviti kesarjanaan dan pembangunan komuniti profesional. Perubahan set pemikiran segolongan warganegara ini menyediakan tanah yang subur bagi kuasa-kuasa penjajah tradisi itu menggunakan sepenuhnya PBB untuk tujuan menjaga pelbagai kepentingan mereka. Kuasa-kuasa tradisi penjajah ini mewujudkan pelbagai badan bukan kerajaan dan kemudian menggunakan PBB untuk menghalalkan kuasa badan-badan tersebut.

Badan-badan yang pada mulanya tidak lebih daripada pertubuhan sukarela, tiba-tiba berubah menjadi badan penguasa yang boleh mengeluarkan pelbagai peraturan yang mereka namakan sebagai undang-undang antarabangsa. Kuasa-kuasa penjajah tradisi ini menyalurkan kehendak-kehendak mereka yang dihalalkan oleh badan dunia yang mulia itu. Contoh yang mudah difahami mengenai kuasa badan-badan sukarela dunia ini ialah dalam kes penjanaan tenaga nuklear Iran. Suatu badan yang asalnya ialah badan sukarela, iaitu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), melekatkan dirinya dengan PBB atas nama mempromosikan penggunaan tenaga atom untuk tujuan kesejahteraan manusia dan keamanan, telah mengeluarkan peraturan yang membataskan apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh negara-negara anggota.

Selepas Iran mengakui telah melakukan ujian nuklear pada tahun 2009, Ketua Pengarah IAEA membuat kenyataan bahawa ‘kawalan edaran tenaga nuklear hendaklah dipindahkan daripada kuasa nasional kepada kuasa multinasional’. Jika Charter PBB itu diumpamakan Perlembagaan sesebuah negara, peraturan IAEA telah melanggar dasar Perlembagaan itu yang menjamin ruang kuasa atau jurisdiction’ sebuah negara anggota. Arahan itu secara langsung mencerobohi kemerdekaan dan kedaulatan negara Iran.

Merestui

Dalam kes Iran, mungkin banyak negara anggota PBB merestui penggunaan IAEA oleh negara penjajah tradisi kerana kurang yakin terhadap kewarasan Iran mengawal kesudahan usaha nuklearnya setelah melihat Iran pernah ghairah mengeksport revolusi pada tahun 1980-an di bawah Khomeini. Tetapi, kes negara Haiti, memperlihatkan bagaimana badan-badan sukarela dipergunakan sepenuhnya secara yang dikatakan sangat tidak bermoral dalam menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya demokratik. Kerajaan yang sangat popular dijatuhkan melalui operasi oleh kuasa luar yang menggunakan ejen-ejen tempatan.

Badan yang ditaja, menamakan diri mereka the National Coalition for Haitian Rights (NCHR) memainkan peranan mempersoalkan isu ketelusan proses pilihan raya. Badan antarabangsa memberi tekanan kepada kerajaan Haiti dengan menghentikan semua bantuan kewangan berikutan daripada aduan-aduan itu. Namun keadaan itu tidak pula mengurangkan sokongan kepada kerajaan Aristide. Episod ini berkesudahan dengan apa yang didakwa oleh Aristide sebagai kudeta yang dilakukan sendiri oleh tentera negara besar dengan menculiknya dan memaksanya menandatangani surat meletak jawatan sebagai Presiden. Aristide mengatakan dia diterbangkan dengan kawalan tentera asing bersenjata ke Republik Afrika Tengah dan kemudiannya ke Afrika Selatan. Dua orang personaliti Haiti yang telah tinggal dan dilatih di Amerika Syarikat kemudiannya dibawa pulang ke Haiti untuk menjawat jawatan masing-masing, sebagai Presiden dan Perdana Menteri.

Ini suatu keadaan yang tidak semestinya terpencil dengan turut melihat pemimpin di Afghanistan, termasuk Mesir yang dikagumi segolongan orang Malaysia sekarang. Meskipun The Caribbean Community (CARICOM) yang seakan-akan ASEAN di sini mengutuk kudeta di Haiti itu dan mempersoalkan kesahan kerajaan yang baru, kutukan itu tidak pernah diendahkan oleh masyarakat antara bangsa termasuk PBB. Demikianlah, bukan sahaja kerajaan yang dikatakan menindas dan dibenci oleh warganegaranya boleh diturunkan tetapi sebuah kerajaan yang disokong oleh majoriti warganegara juga boleh diturunkan oleh sesuatu kuasa yang mempunyai kepentingan tertentu.

Kuasa luar dijemput secara sangat terhormat oleh segolongan warganegara sesebuah negara sasaran, dan jemputan itu diberi layanan istimewa walaupun yang menjemput itu mewakili golongan yang sangat minoriti. Di Malaysia sendiri nampaknya ada bibit warganegaranya mulai dilatih dan diorientasikan dengan sengaja supaya mengagungkan pengesahan daripada kuasa luar ini tentang apa yang baik dan tidak baik untuk Malaysia.

Atas nama pengiktirafan antara bangsa dari sekecil perkara berkaitan hal teknikal seperti dalam pentadbiran yang memerlukan persijilan ISO berasal dari Geneva, hingga ke pengurusan ilmu yang institusinya ghairah menagih ranking hinggalah kepada proses pilihan raya umum yang bakal menentukan nasib buruk atau sejahteranya umat di negara ini. Seperti tidak sempurna sesuatu aktiviti kehidupan bernegara di Malaysia sekiranya tidak mendapat endorsement daripada luar. Orang berpengetahuan psikologi akan cepat mengesan tanda-tanda potensi perlakuan tidak normal pada masyarakat atau komuniti seperti ini.

Dikatakan Pilihan Raya Umum di Malaysia tidak akan sah selagi dia tidak diselia, dipantau dan disahkan oleh badan asing atas nama neutraliti. Yang terbaharu pada pengamatan saya di Malaysia ialah munculnya golongan yang bergerak cergas mengundang campur tangan PBB menyemak semula referendum 1963 tentang pembentukan Malaysia. Mereka menuntut supaya PBB mengadili kesahan referendum itu dan pelaksanaannya. Gerakan seperti ini, sekiranya berlaku pada zaman Tun Razak dan Tun Hussein Onn, tentulah akan mendapat jawapan yang sangat serius daripada kedua-dua tokoh itu. Gerakan seperti ini akan disifatkannya sebagai suatu gerakan subversif dan anti-nasional. Namun, pada zaman ini, semuanya seperti dibenarkan atas nama kebebasan menyatakan sesuatu pendirian di sebuah negara yang mengaku mengamalkan demokrasi seperti Malaysia.

Dalam kes Haiti, Aristide mendedahkan bahawa kudeta ke atasnya berlaku kerana keengganannya membuka syarikat-syarikat kepentingan awam seperti elektrik dan telekom yang dikuasai oleh kerajaan untuk dikuasai oleh syarikat-syarikat besar daripada Amerika Syarikat terutamanya. Malaysia tidak sedikit pun kurang pentingnya berbanding Haiti. Malaysia ada TNB, PNB, Telekom, Felda, Tabung Haji dan dengan itu pemimpin Malaysia sewajarnya lebih bijaksana daripada Aristide.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Mingguan Malaysia
02 September 2012

ISU UMUM : IMPLIKASI APPLE LAWAN SAMSUNG


Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim


Bagi wartawan yang baru bermula pada awal 1990-an, alat komunikasi yang hebat dan bergaya adalah kelui. Apa itu kelui? Ia tiada kena-mengena dengan ikan kaloi atau ejaan salah bagi keluli. Bahasa Inggeris disebut pager atau nama popular, beeper. Fungsinya menyalurkan mesej bertulis ringkas. Kenapa hebat, bergaya? Pada awal 1990-an, kelui boleh digantung pada tali pinggang. Ketika itu, hanya beberapa kategori profesional yang memiliki alat paling canggih tersebut iaitu wartawan, eksekutif pemasaran, doktor dan bookie bolasepak. Betapa usangnya teknologi yang wujud 20 tahun lalu, seseorang yang tahu nombor kelui anda, perlu menelefon pusat khidmat kelui dan menyampaikan secara lisan pesanan ringkas yang kemudian ditaip dan dihantar ke kelui. Kerja kakitangan pusat khidmat kelui ini tentu mencabar bila terpaksa menaip ayat, ‘Beli 5712 RM5 big, RM5 small’ atau Saya sayang awak’ dalam kekerapan tinggi.

Kenapa tidak ada telefon bimbit? Awal 1990-an adalah era revolusi mental bagi rakyat Malaysia. Konsep membeli telefon bimbit berharga RM1,000 masih dianggap suatu perbelanjaan mewah. Hari ini, telefon pintar berharga RM1,000 dianggap biasa sahaja. Maka acap kali selepas menerima mesej pada kelui, saya harus mencari pondok telefon terdekat atau telefon awam di kedai mamak. Bermakna kad telefon RM20 atau duit syiling sentiasa ada dalam poket. Secara ringkasnya, kelui ialah bapa kepada khidmat pesanan ringkas (SMS) pada telefon bimbit, yang kini disebut telefon pintar jika ada akses Internet. Bagi anda yang segenerasi dengan saya, tentu ingat jenama telefon popular Motorola bersaiz sebesar lengan dan telefon Hotline Combi Ericsson yang lengkap dengan bateri besar bak telefon tentera sebelum dibayangi Nokia yang disukai ramai kerana kemudahan mengecas bateri. Hari ini, jenama yang kuat di negara ini ialah iPhone, Samsung dan BlackBerry yang sarat dengan ciri-ciri pintar, malah dianggap mampu menggantikan fungsi komputer riba.

Sengit

Pasaran bagi telefon-telefon pintar begitu sengit hari ini. Lihat sahaja kes saman Apple terhadap Samsung yang dituduhnya meniru produk Apple iPhone dan iPad, dengan Mahkamah San Jose memerintahkan syarikat Korea Selatan itu membayar pampasan sebanyak AS$1.05 bilion (RM3.15 bilion) pada 24 Ogos lalu. Apple yang diasaskan oleh mendiang Steve Jobs turut menuntut lapan produk Samsung diharamkan daripada dijual di Amerika Syarikat dan perbicaraannya dijadual pada 6 Disember depan. Pelbagai pandangan telah dikemukakan oleh para penganalisis industri berhubung kemenangan Apple tersebut, yang sebenarnya bertarung dengan Samsung di sembilan negara lagi. Paling terbaru di Jepun pada Jumaat lalu, mahkamah Tokyo menolak tuntutan Apple yang mendakwa Samsung meniru teknologi miliknya.

Pada 24 Ogos di Korea Selatan, mahkamah negara itu juga menolak tuntutan Apple. Di Jerman, mahkamah Dusseldorf pada Julai mengatakan produk Samsung Galaxy Tap 7.7 meniru rekaan Apple dalam ‘cara tidak boleh diterima’ dan memerintahkan jualannya di Eropah dihentikan. Di Australia, Samsung dibenarkan menjual komputer tablet Galaxy selepas mahkamah tertinggi negara itu mengetepikan rayuan Apple pada Disember 2011. Uniknya kes Apple lawan Samsung ini di sebalik pertarungan di mahkamah, kedua-duanya masih mengekalkan kontrak pembuatan bagi komponen-komponen khusus yang diguna dalam iPhone dan iPad di kilang elektronik Samsung. Presiden Creative Strategies Corp., Tim Bajerin dalam majalah TIME mengaitkan tindakan perundangan Apple itu kepada kemarahan Steve Jobs terhadap Google berhubung rekaan perisian Android yang didakwa diciplak daripada Apple. Menyaman Google mungkin lebih sukar, maka Apple memilih untuk menyaman pemegang lesen Android paling berprofil tinggi. Secara umumnya, Samsung ialah budak belasahan’ bagi Apple untuk melepaskan marahnya terhadap Google,’’ ujarnya sambil menambah, Apple mungkin akan menyaman syarikat lain seperti Motorola dan HTC.

Rayuan

Samsung kini dalam proses rayuan terhadap keputusan mahkamah San Jose tersebut dan tidak mungkin dalam masa terdekat ini ia akan mengeluarkan cek berbilion dolar itu atau kemungkinan syarikat Korea Selatan itu akan melingkup kerana RM3.15 bilion mewakili kurang daripada 1.4 peratus keuntungan global syarikat itu yang diunjurkan bagi tahun depan, menurut firma Sanford C. Bernstein. Ini kerana saman tersebut merujuk kepada model terawal Samsung dan banyak perubahan telah dilakukan pada Galaxy Tab versi terkini. Maka apa kesannya kepada pengguna? Pakar paten, Thomas Frey dari Institut DaVinci di Louisville, Colorado berpendapat para pengguna tidak akan peduli sangat perihal tersebut.

Di pasaran AS, majoriti telefon pintar dijual pada harga yang disubsidi besar oleh syarikat telekomunikasi, dengan kontrak khidmat dua tahun. Ini akan terus mengurangkan kesan yuran perlesenan ke atas harga telefon. (Ia juga faktor susah bagi kita hendak membeli iPhone di New York kerana ia tidak sama seperti di Malaysia yang ada menawarkan set telefon tanpa kontrak). Paul M. Barret dalam Bloomberg Businessweek berkata, memandangkan populariti besar yang dinikmati oleh Samsung dan syarikat-syarikat penyedia Android lain di kalangan pengguna, tidak mungkin syarikat telekomunikasi akan mengehadkan pemilihan mereka.

Lagipun menurut Barret, berbanding dengan mendiang Jobs yang komited untuk menewaskan Google dan Android yang ditawarkan oleh syarikat enjin carian itu, pemimpin baru Apple iaitu Tim Cook tidak memiliki ‘insentif’ untuk menghancurkan Samsung. Rata-rata laporan penganalisis seumpamanya merumuskan perniagaan akan terus berjalan dan kes saman Apple lawan Samsung ini akan kekal begitu. Namun kemuncak segala-galanya ialah pengguna seperti kita yang akan memilih sesuatu gajet telefon pintar berdasarkan ciri-ciri yang tercanggih, selain harga yang berpatutan.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Mingguan Malaysia
02 September 2012

ISU MEDIA : SAMAN MEDIA : PERKEMBANGAN DI LUAR NEGARA


Rencana ini ditulis oleh :
PROF. SALLEH BUANG


Sedikit masa lalu saya ada membuat ulasan ringkas mengenai trend terkini di kalangan figura awam tempatan menyaman media bila ada sesuatu yang disiarkan oleh media berkenaan yang tidak berkenan di hati mereka (lihat “Saman Media: Baharui Akta Fitnah", Utusan Malaysia, 16 Julai 2O12). Persoalan undang-undang yang saya bangkitkan pada masa itu ialah sama ada kecenderungan menyaman media itu sesuatu yang sihat dan selaras dengan kebebasan akhbar? Kita akui dan sedia maklum bahawa kebebasan akhbar di negara ini bukanlah sesuatu yang mutlak, bahkan ada had dan sempadannya seperti yang digariskan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Selain dihadkan oleh Perlembagaan Persekutuan, kebebasan media di negara ini juga dikawal dan dibendung oleh beberapa statut, antaranya Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan, undang-undang privasi, penghinaan mahkamah dan lain-lain.

Malangnya bagi pengamal media di negara ini, Akta Fitnah kita (yang dipadankan kepada Akta Fitnah 1952 di UK) adalah satu undang-undang yang sudah lapuk, dan jelas ketinggalan zaman. Walaupun dunia sudah berubah, dan warga dunia sudah lama memeluk media baru, paradigma undang-undang yang kita ada masih lagi berwajah kurun ke-20. Apakah senario yang sama wujud di luar negara? Lebih khusus lagi, persoalan yang mesti difikirkan oleh pengamal media di negara ini adalah seperti berikut - Apakah pembelaan “fair comment" (ulasan saksama) yang termaktub dalam seksyen 9 Akta Fitnah itu masih mampu melindungi mereka bila disaman oleh figura awam atau mana-mana pihak lain? Bilakah undang-undang lapuk ini akan diperbaharui?

Kecendurungan figura awam menyaman media berlaku di mana-mana, bukan hanya di negara kita. Antara contoh terkini, pada Mei 2012 lalu seorang celebriti Hollywood bernama Phaedra Parks (yang membintangi siri “Real Housewives of Atlanta") telah menyaman dan menuntut gantirugi AS$30 juta dari dua defendan, Vibe Holdings dan Augustus Publishing, yang didakwa telah memfitnahnya. Sama ada kes ini nanti akan diselesaikan di luar mahkamah atau terus didengar dan diputuskan oleh mahkamah, hanya masa akan menentukannya. Yang berbeza antara negara kita dan beberapa negara di Barat, andainya ada pengamal media disaman oleh figura awam atas dakwaan apa yang disiarkan itu telah memfitnahnya, pengamal media di luar negara kini menikmati suatu hak pembelaan yang diberi nama “responsible journalism" (kewartawanan yang bertanggungjawab).

Dalam kes Grant v. Torstar Corp. (2009) SCC 61, akhbar Toronto Star telah menyiarkan satu rencana yang dikatakan telah memfitnah plaintif (Grant). Akhbar itu telah memetik dan menyiarkan pendapat penduduk setempat yang mengatakan bahawa plaintif telah menggunakan pengaruh politiknya untuk mendapatkan kelulusan dari pihak berkenaan membina dan memajukan satu padang golf. Plaintif telah menyaman akhbar yang menyiarkan pendapat penduduk itu, bukan menyaman penduduk berkenaan yang mengeluarkan pendapat sedemikian itu. Kes itu telah dibicarakan di ketiga-tiga peringkat mahkamah, iaitu mahkamah bicara, Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Agong Kanada - sekali gus menunjukkan betapa pentingnya keputusan kes ini kepada pengamal media di negara itu.

Mengekang

Mahkamah Agong Kanada memutuskan bahawa undang-undang fitnah negara itu memang meletakkan had dan batasan pada kebebasan bersuara (freedom of expression) seperti yang dijamin oleh undang-undang Kanada, tetapi dalam masa yang sama had dan batasan itu hendaklah jangan terlalu luas hingga mengekang kebebasan bersuara (to place a 'chill' on freedom of expression). Mahkamah selanjutnya menimbangkan sama ada satu pembelaan berasaskan komunikasi yang bertanggungjawab perlu diiktiraf demi menjaga kepentingan awam, dan jika jawabnya adalah “Ya", apakah ciri-ciri utama pembelaan baru itu?

Setelah mendengar hujah peguam dari kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan bahawa pembelaan itu sewajarnya wujud supaya tidak mengekang kebebasan bersuara (“the defence should exist so as to not chill free speech"). Mahkamah menambah bahawa pembelaan itu boleh menseimbangkan dengan betul antara hak bersuara yang dijamin di bawah undang-undang negara dengan hak privasi dan perlindungan reputasi. Mahkamah juga mengakui bahawa pembelaan itu telah diiktiraf oleh beberapa negara common law yang lain. Mahkamah menekankan juga bahawa pembelaan komunikasi bertanggungjawab (defence of responsible communication) ini adalah satu pembelaan yang baru, bukan modifikasi atau ubahsuaian pembelaan lama keistimewaan bersyarat (qualified privilege).

Yang amat menarik sekali dalam keputusan mahkamah ini adalah bila Chief Justice Beverley McLachlin menekankan bahawa pembelaan baru ini hendaklah dipanggil pembelaan komunikasi bertanggungjawab" (responsible communication), kerana pembelaan ini bukan hanya dinikmati oleh wartawan akhbar sahaja, tetapi juga blogger dan mana-mana orang lain yang menyebarkan maklumat, tidak kira apa status mereka. Dalam pada itu, mahkamah memberi amaran bahawa sebelum pembelaan ini boleh diterima oleh mahkamah, defendan (yang disaman) mesti dapat membuktikan perkara berikut -

(a) Perkara yang ditulis itu adalah sesuatu yang melibatkan kepentingan awak;

(b) Defendan telah bertindak penuh bertanggungjawab, dengan menunjukkan kerajinan yang wajar (diligence) dalam usahanya mencari pengesahan atau kepastian dari pihak-pihak lain tentang kebenaran apa yang ditulisnya itu.

Saya sering mengingatkan pengamal media bahawa sebelum mereka menyiarkan apa yang mereka tulis, lakukan dua perkara penting berikut. Pertama, cari kebenaran (seek the truth). Pastikan dari sumber-sumber lain (kedua, ketiga dan seterusnya) bahawa apa yang ditulis itu adalah semuanya benar belaka, bukan sesuatu yang dusta atau sengaja diada-adakan. Kedua, berlalu adil (be fair), iaitu setelah dipastikan bahawa apa yang ditulis itu adalah benar, tanya dulu orang yang punya diri (yang mengenainya tulisan dibuat) apakah dia ada apa-apa komen supaya komennya itu dapat disiarkan sekali dalam tulisan berkenaan. Di England, kita difahamkan bahawa pada June 2012 yang lalu, satu Rang Undang-Undang Fitnah yang baru telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua di House of Commons.

Berkuatkuasa di England dan Wales (jika Rang Undang-Undang itu nanti diluluskan dan dikuatkuasakan), Akta Fitnah baru itu secara jelas telah memodenkan undang-undang fitnah negara itu dengan memberi pengiktirafan kepada pembelaan responsible journalism". Sama ada pembelaan baru ini dipanggil responsible journalism atau responsible communication, yang penting kewujudannya sudah diiktiraf oleh negara-negara berkenaan. Jika pemodenan undang-undang fitnah ini di masa lampau adalah hasil kerja badan kehakiman, di England (seperti yang kita lihat di atas tadi) badan perundangannya juga telah bangkit sama untuk memodenkan Akta Fitnah negara. Di Malaysia, barangkali kita hanya boleh bermimpi sambil berharap.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Mingguan Malaysia
02 September 2012