JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Mac 2012

ISU ANTARABANGSA : GREECE MASIH CARI JALAN PENYELESAIAN ATASI KRISIS EKONOMI

Oleh Jean Pisani-Ferry
Penulis ialah Pengarah Bruegel, sebuah kumpulan pemikir ekonomi antarabangsa; Profesor Ekonomi di Universiti Paris-Dauphine dan anggota Penganalisis Majlis Ekonomi Perdana Menteri Perancis


Tindakan untuk mencari ‘kambing hitam’ atau siapa patut dipersalahkan dalam kes muflis Kerajaan Greece belum lagi bermula dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah (EU).  Negara yang dilanda krisis ekonomi terburuk ini masih ‘selamat’ kerana satu perjanjian dimeterai dengan kreditor swasta dan bantuan sektor awam dijangka membolehkan Greece membayar semula pinjaman mengikut jadual pada 20 Mac ini. EU patut dipuji kerana mengakui ia adalah krisis dan mengambil langkah tegas untuk menanganinya. Kreditor swasta sudah menerima hakikat dan bersetuju menuntut 50 peratus daripada jumlah pinjaman dan menurunkan kadar faedah – sekali gus melegakan beban hutang Greece kepada lebih dua pertiga. Ketika langkah penyelesaian ditemui dalam suasana begitu mencengkam, ramai percaya ia sekadar menunda isu sebenar iaitu Greece tidak mungkin mampu menunaikan semua janji dan krisis ini mungkin berakhir sama ada – negara ini membuat keputusan untuk keluar atau disingkir daripada EU.

Sebelum perjanjian terkini dibuat, pemimpin politik di Belanda, Finland serta Jerman, lantang menyuarakan persoalan mengapa Greece patut terus kekal dalam EU.  Di Athens, desakan ini sudah mencapai tahap baru, pertelingkahan merebak dengan kadar semakin berbahaya dan mengingatkan sejarah mengenai ganti rugi perang dari Jerman pada 1920-an.  “Siapa kehilangan China?” soal seorang pakar strategi Amerika pada 1950-an, berikutan kemenangan parti komunis Mao Zedong pada 1949. Negara Eropah mungkin mula bertanya soalan sama tidak lama lagi, tetapi kali ini membabitkan Greece. Pengkhianat utama sudah tentu rakyat Greek sendiri. Kelemahan terutama pemimpin politik yang gagal menentukan hala tuju negara menjerumuskan mereka ke jurang kejatuhan begitu serius - sistem perlindunganlah meracun kerajaan.  Indeks rasuah Transparency International meletakkan Greece di tangga ke-80 dan pada September, 2011, perbendaharaan negara itu menyelesaikan 31 daripada 75 audit cukai individu berpendapatan tinggi.

Amat mudah melihat dari satu sudut, dan meletak kelemahan lain sebagai tanggungjawab Eropah.  Kesilapan pertama EU ialah mereka tidak mengendahkan masalah Greece berbulan-bulan, dengan hanya memberi program bantuan tidak realistik iaitu bagi mengembalikan Greece ke pasaran saham pada 2013. Kini amat jelas langkah untuk memulihkan ekonomi dan membetulkan ketidakseimbangan negara itu akan memakan masa bertahun-tahun, mungkin satu dekad.  Kesilapan kedua Eropah ialah ketidaksungguhan pada peringkat awal untuk menyelesaikan krisis. Dua strategi boleh dilakukan iaitu sama ada mengurangkan hutang kerajaan lebih awal atau menyusun semula hutang Greece atas alasan untuk mempertahankan reputasi kolektif semua negara Eropah.  Satu daripada strategi ini logik, tetapi Jerman dan Perancis menganggap ia tidak boleh digunakan. Jerman dan Perancis sengaja menganggap Greece sudah mencari (solven) dan memberi pinjaman pada kadar faedah begitu tinggi, sekali gus membuatkan keadaan menjadi semakin parah. Greece memerlukan tempoh 18 bulan untuk menghapuskan polisi ini.

Kesilapan ketiga ialah mereka gagal menyenaraikan keperluan dan kepentingan mengikut keutamaan. Dari luar krisis ini, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) mengesan dua masalah berkembar – sistem kewangan awam lemah dan kerugian persaingan yang serius.  Malangnya, pembuat dasar hanya memberi fokus pada kelemahan pertama, dan menaruh harapan perubahan struktur akan menyelesaikan isu kedua. Pihak berkuasa Greece melabur kebanyakan modal yang tidak seberapa ke atas penyesuaian belanjawan, bukannya membina ekonomi yang kompetitif.  Program dirancang kini berada di fasa akhir untuk membetulkan landasan semua keperluan dan kepentingan terbabit – meletakkan persaingan dan pertumbuhan mendahului pengukuhan belanjawan. Bagaimanapun, persoalan yang terus bermain di fikiran ialah mengapa keputusan ini perlu menunggu hampir dua tahun untuk dileraikan.  Keempat, tiada tindakan tegas untuk mengukuhkan pertumbuhan. Program penyesuaian penting untuk mengurangkan kemelesetan, tetapi ia memerlukan mekanisme lebih kukuh untuk pemulihan ekonomi.

Secara prinsip, Greece sebenarnya boleh menerima bantuan pembangunan serantau lebih besar daripada EU. Dana ini tidak banyak digunakan kerana kelemahan pembiayaan bersama peringkat tempatan.  Kelemahan ini hanya disedari musim panas lalu – itu pun pada darjah kesedaran sederhana – apabila ada pihak akhirnya menyedari bantuan ini boleh digunakan untuk menyokong usaha pemulihan ekonomi.  Kesilapan terakhir Eropah ialah tidak mengambil berat untuk berkongsi beban antara negara anggota. IMF sebagai institusi teknokrat tidak akan terbabit secara melampau dalam ekonomi makro tetapi EU ialah entiti politik yang menjadikan keadilan sosial sebagai satu daripada matlamat asasnya. Di sebalik kritikan ini, Eropah tidak boleh dipersalahkan kerana tindakan keras ke atas Greece. Peraturan tegas perlu terutama membabitkan bantuan kewangan kepada negara yang mencatat ketidakseimbangan ekonomi yang serius.  Cuma EU boleh ditegur kerana lewat bertindak, mencadangkan program bantuan tidak wajar, tidak seimbang dan tidak membantu. Jika persoalan siapa yang menyebabkan ‘kehilangan’ Greece muncul satu hari nanti, cukup ramai untuk dipersalahkan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA MINGGU
4 MAC 2012

ISU ANTARABANGSA : KAJIAN SEMULA DASAR TERBUKA VISA DAN PAS LAWATAN PELAJAR

Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my


Laporan  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), November lalu, mendedahkan kumpulan mafia dadah antarabangsa dari Afrika dan Iran semakin aktif dalam pengedaran methamphetamine di Asia Tenggara hingga ke Asia Timur. Pil rangsangan (ATS) termasuk amphetamine dan methamphetamine atau syabu menjadi dadah pilihan di kebanyakan bahagian di Asia Tenggara dan Asia Timur, khasnya sejak 1990-an, menggantikan dadah berasaskan tumbuhan seperti heroin, candu dan ganja. Ia mudah dihasilkan di mana saja dan memberi keuntungan lumayan menerusi pelaburan kecil. Peningkatan penggunaan dadah itu dilaporkan oleh kebanyakan negara di rantau ini terutama pada 2010 dan tahun lalu.  Penjenayah Afrika yang terbabit dalam jual beli kokain dan heroin beralih kepada penyeludupan ATS, manakala kumpulan Iran dikenal pasti sebagai ancaman besar penyeludupan dadah di rantau ini.

Tidak hairanlah Malaysia berjaya menahan seramai 228 penyeludup dadah dari Iran pada 2009 hingga 2010 kerana menyeludup methamphetamine.  Sepanjang tahun lalu saja, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas pelbagai jenis dadah seberat 187.45 kilogram (kg) bernilai lebih RM34 juta selepas mematahkan 39 cubaan menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang.  Rampasan paling banyak membabitkan dadah jenis methaphetamine atau syabu iaitu 125.2kg (RM31.78 juta), diikuti ketamin 47.55kg (RM666,585); eramin sebanyak 9.5kg (RM958,000); heroin 3.21 kg (RM640,000) dan ganja 1.8 kg (RM4,320).  Sepanjang tahun lalu, KDRM KLIA menahan 30 suspek, sembilan warga Nigeria, enam rakyat Malaysia, lima India, tiga Iran, dua Cyprus dan masing-masing seorang warga Vietnam, Sweden, Pakistan, Sierra Leone serta Azerbaijan kerana disyaki menjadi keldai dadah sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, ada tiga kes warga asing khasnya dari Iran ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan KDRM kerana kesalahan menyeludup dadah di KLIA atau memproses dadah di banglo mewah di ibu negara.  Ada beberapa faktor yang mendorong kepada perkara ini berlaku antaranya, tahap keselamatan di pintu masuk negara yang lemah di samping sikap ‘tidak apa’ di kalangan pegawai yang menjaga keselamatan pintu masuk negara.  Mungkin tidak adil menuduh pegawai jabatan kerajaan bersikap sambil lewa, tetapi penyeludupan dadah boleh dihalang jika semua pihak mempunyai inisiatif untuk mengetatkan pemeriksaan dan pemantauan di setiap pintu masuk negara ini.  Justeru, cadangan KDRM sebelum ini yang mahu menempatkan mesin pengimbas canggih dan berteknologi tinggi amat dialu-alukan bagi mengatasi jenayah penyeludupan dadah berleluasa di lapangan terbang atau pelabuhan di negara ini.

Pada masa sama, pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata agensi penguatkuasaan mempunyai pelbagai alternatif untuk mengekang jenayah ini seperti menambah pegawai risikan yang cekap dan berpengalaman serta berintegriti tinggi.  Katanya, pegawai risikan ini perlu bertanggungjawab, tidak mudah digoda dengan rasuah sehingga bersikap ‘tutup mata’ dengan tidak memeriksa barang atau bagasi suspek yang disyaki penyeludup dadah.  “Agensi keselamatan perlu memiliki alat pengesan atau pengimbas dadah untuk mengawal kemasukan dadah atau barang larangan lain. Walaupun begitu, kita tahu penjenayah juga bijak. Mereka akan mencari jalan untuk mengatasi masalah ini.  Kita hanya perlu memiliki alat lebih canggih,” katanya.  Beliau mengambil contoh, pihak keselamatan lapangan terbang di luar negara seperti di Melbourne, menempatkan pegawai berserta seekor anjing pengesan untuk menghidu dan memeriksa bagasi yang disyaki mengandungi bahan larangan seperti dadah.

Satu lagi kelemahan yang perlu diambil perhatian sistem saringan dan keselamatan kemasukan warga asing ke Malaysia, kata Akhbar, ialah dasar terlalu terbuka dalam pemberian visa atau pas lawatan pelajar kepada warga asing khasnya dari Iran dan Afrika.  “Ada yang menyalahgunakan pas pelajar untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah. Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu membantu pihak penguatkuasa bagi mengatasi masalah ini," katanya.  Beliau juga tidak menolak kebanjiran warga asing ke negara ini seperti Iran di Nilai 3, Negeri Sembilan, mendorong warga negara itu menyeludup dadah ke negara ini bagi memenuhi keperluan rakyat negara itu yang diketahui bebas mengambil dadah di tempat mereka.

Mengulas mengenai kecenderungan warga asing ini menjadikan banglo mewah atau kondominium untuk dijadikan makmal memproses dadah, Akhbar berkata, ia menunjukkan penjenayah asing sudah mengkaji kelemahan sistem keselamatan negara ini.  Justeru, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa di pintu masuk negara supaya membuat laporan profil terhadap warga asing yang disyaki menjadi kumpulan pengedaran dadah ke negara atau rantau ini.  Beliau berpendapat, permintaan dadah methamphetamine yang tinggi di Malaysia dan rantau ini mendorong mafia dadah berlumba-lumba menyeludup dadah menerusi negara ini, yang akhirnya mencemar dan memburukkan nama negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA MINGGU
4 MAC 2012

ISU UMUM : 10 CARIAN YOUTUBE TERHANGAT

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN


YOUTUBE telah menjadi era video atas talian yang banyak mempopularkan penyanyi baru seperti Justin Bieber dan Yuna serta Najwa Latif. Maklumat terkini mendapati Bieber masih menerajui senarai apabila klip video Baby berjaya menarik lebih setengah juta penonton. Muzik video oleh Jennifer Lopez bertajuk On The Floor pula menduduki tangga kedua dengan 500 juta penonton dalam masa 10 bulan. Video pelawak Judson Laipply dengan tajuk Evolution of Dance yang pernah menduduki tempat pertama dengan hampir 56 juta penonton sekarang terkeluar daripada senarai 10 teratas. Pada September 2008, Avril Lavigne dengan video muzik pop Girlfriend pernah berada di tangga teratas dengan 103 juta penonton. Video Charlie bit my finger - again! yang tidak ada kena-mengena dengan artis popular juga pernah berada di tangga teratas dengan 148 juta penonton pada 2010. Namun mulai Januari 2011, Bieber mula menunjukkan penguasaannya di alam maya apabila menguasai tempat teratas dengan lebih 400 juta penonton bagi klip video Baby.

Sehingga artikel ini ditulis, kedudukannya masih tidak berubah dan telah ditonton sebanyak 684,597,595 kali. Youtube telah mempopularkan ramai artis yang sebelum itu tidak mempunyai nama besar pun. Antara yang mencipta fenomena hasil muat naik klip video di Youtube ialah Dhanush. Tidak sah menjadi peminat Youtube jika tidak pernah menonton video Kolaveri Di - soundtrack lagu daripada filem Tamil yang digubah oleh pengarah muzik Anirudh dan ditulis dan dinyanyikan oleh Dhanush. Ia ditonton oleh 18.5 juta penonton dalam masa lapan hari. Kolaveri Di secara rasmi dilancarkan pada 16 November 2011 dan seakan-akan virus yang menyerang laman rangkaian sosial kerana lirik Tanglish (gabungan Tamil dan Inggeris). Senikata lagunya yang lucu dan mencuit hati menjadi kegilaan bukan saja di India bahkan seluruh Asia dan beberapa negara Eropah. Dalam masa seminggu, YouTube menganugerahkan Pingat Emas Paling Popular dan Pingat Perak kerana menerima bilangan hit yang tinggi dalam masa yang singkat.

Fenomena

Bukan saja di peringkat global malah di negara ini, YouTube juga menjadi satu fenomena baru bagi memperkenalkan bakat baru. Imratul Najwa Abdul Latif atau nama glamornya Najwa Latif yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku mengembangkan bakat dan minatnya melalui YouTube. Ana Rafali yang tidak asing lagi bagi peminat hiburan tanah air juga bermula dengan video klipnya di YouTube Tampil berbaju kurung memetik gitar dan menyanyi, dia pantas meraih populariti. Bermula dengan memperkenalkan lagu-lagu ciptaan sendiri di laman Youtube, dia akhirnya melebarkan sayap dalam bidang seni sehingga menarik perhatian komposer Aidit Alfian dan mendapat peluang bergandingan dengan nama besar seperti Sohaimi Mior Hasan.

Seorang lagi anak kelahiran Malaysia, Zee Avi atau Izyan Alirahman, juga mula dikenali di YouTube melalui lagu Kantoi dan kini mengukir nama di luar negara. Begitu juga Yuna yang mula dikenali dengan lagu Yang Sebenarnya di YouTube kemudian menjadi artis yang dikagumi di Malaysia dan kini mengembangkan sayapnya ke Amerika Syarikat (AS). Seorang lagi yang mengecapi populariti melalui YouTube ialah Cikgu Shida tetapi bukan mempertaruhkan vokal, sebaliknya menarik perhatian dengan aksi lucunya mengikut gerak bibir (miming) lagu popular. Antaranya lagunya adalah Kalau Berpacaran, Wakakaka Africa Cari Jodoh, Jahat, Yunk dan banyak lagi. Pokoknya, tidak susah hendak popular. Apa yang diperlukan adalah sedikit kreativiti. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
4 MAC 2012

ISU UMUM : KOPITIAM PUN MILIK MEREKA

Dari Jakarta Saharudin Musthafa
  

Tidak  pasti sama ada mahu ketawa atau marah sebaik mendengar berita seorang pengusaha perniagaan kopitiam tempatan Indonesia, Abdul Alek diberikan hak eksklusif untuk menggunakan perkataan "kopitiam" pada restoran yang diusahakan beliau. Barangkali, kerana menyedari potensi perniagaan kopitiam berkembang luas di Indonesia, Abdul Alek awal-awal lagi membuat keputusan untuk mendaftar perkataan kopitiam pada pihak berwajib pada tahun 1996 sebagai hak miliknya seorang. Tindakan itu sebagai persediaan bahawa jangan ada mana-mana ahli perniagaan lain yang berani menggunakan perkataan kopitiam pada restoran yang diusahakan mereka. Abdul Alek bukan main-main dalam hal itu. Dia berjaya memperoleh hak eksklusif untuk menggunakan perkata kopitiam apabila mahkamah memberi kemenangan kepadanya selepas memfailkan saman ke atas Kopitiam Kok Tong di Medan dua tahun lalu kerana menggunakan kopitiam pada kedainya.

Abdul Alek tentunya boleh meraikan kemenangan itu. Dia berjaya memperoleh apa yang dimahukannya tanpa menyedari tindakan beliau itu bukanlah suatu hal yang bijaksana. Jika diperhalusi dari kaca mata umum, tindakan Abdul Alek mendaftar perkataan kopitiam sebagai harta intelek beliau hanya mengundang rasa kurang senang pengusaha kopitiam bukan sahaja di Indonesia bahkan pengusaha kopitiam di Malaysia dan Singapura juga. Seperti tidak masuk akal sepatah kata yang sudah lama digunapakai oleh masyarakat umum diperjuangkan menjadi hak milik individu. Umum melihat, Abdul Alek terdorong untuk mendaftar kopitiam sebagai hak eksklusifnya kerana enggan perniagaan kedai kopi moden miliknya dibayangi oleh kedai-kedai milik orang lain yang turut menggunakan perkataan kopitiam. Namun, persoalan yang mencetuskan tanda tanya ramai ialah sejak bila pula kopitiam iaitu kata gabungan antara kopi (bahasa Melayu) dan tiam (bahasa Hokkien) diilhamkan oleh Abdul Alek?

Sepengetahuan kita semua, kopitiam sudah lama diguna pakai olah masyarakat serantau baik di Indonesia, Malaysia mahupun Singapura. Justeru, apakah justifikasi yang boleh diguna pakai untuk mendakwa kopitiam milik Abdul Alek seorang? Selepas membaca penerangan di atas, penulis percaya tentu sebilangan besar pembaca artikel ini sudah boleh memahami maksud reaksi bagaimana yang dapat ditunjukkan sebagai respons kepada dakwaan yang kurang berasas ini. Tentu ada yang ketawa dengan berita yang menjadi bahan perdebatan ramai di Indonesia. Tidak kurang pula, ramai yang akan menggeleng kepala memikirkan apa rasional kopitiam didaftar sebagai harta intelek. Secara umumnya, definisi kopitiam membawa maksud kedai kopi yang merupakan kata benda bersifat generik kerana ia membawa pengertian yang meluas seperti juga perkataan restoran atau hotel .

Jenama

Kopitiam bukanlah jenama yang diilhamkan oleh seseorang individu seperti Starbuck, Coffee Bean dan sebagainya. Kopitiam milik masyarakat umum yang mengenalinya sebagai kedai kopi dan tidak ada sebab kenapa ada individu yang boleh mendaftar ia sebagai hak milik peribadi. Sekali lagi ditegaskan, kopitiam bukanlah jenama kerana ia merupakan kata benda yang boleh diguna oleh sesiapa sahaja. Rasa kurang senang dengan tindakan Abdul Alek itu turut mendapat perhatian Persatuan Pengusaha Kopitiam Indonesia (PPKTI) yang berpendapat, kopitiam tidak sewajarnya dimonopoli oleh seseorang atau badan pelaksana undang-undang. "Kopitiam bukan jenama dan bukan juga karakter utama atau faktor dominan sebagai sebuah jenama. Sudah diketahui, definisi kopitiam ialah kedai kopi yang merupakan kata benda," tegas pemimpin PPKTI, Mulyadi Praminta.

Apabila hak eksklusif penggunaan kopitiam diberikan kepada seorang individu di Indonesia, apa yang membimbangkan PPKTI ialah tempias itu turut akan dirasakan oleh pengusaha kopitiam di negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia. "Kalau anda ke Malaysia dan Singapura, istilah kopitiam digunakan oleh siapa saja yang memenuhi syarat sebagai tradisional sarapan pagi dan kedai kopi. Kopitiam ialah kedai kopi, ia bukan jenama," sekali lagi Mulyadi memberi penekanan sebagai menyatakan tindakan memberi hak eksklusif penggunaan kopitiam kepada Abdul Alek tidak betul dan wajar diteliti semula. PPKTI tentunya mempunyai sebab untuk berasa bimbang kerana persatuan itu dibentuk oleh sejumlah besar pemilik dan pengendali kopitiam di Indonesia seperti Kiliney's Kopitiam, QQ Kopitiam, Lau's Kopitiam, Bangi Kopitiam, Eastern Kopitiam, Mao Kopitiam dan Kopitiam Oey. Jika ditanya kepada sesiapa sahaja, situasi ini sangat aneh dan memerlukan penelitian dari segenap aspek bagaimana kuasa undang-undang dengan sewenang-wenangnya memberi kemenangan itu ke atas hal yang sangat umum dan menjadi milik masyarakat sejak berdekad-dekad lamanya.

Mengambil tindakan menjenamakan harta rakyat sebagai milik peribadi hanya akan meruntuhkan moral seseorang sahaja kerana usaha itu boleh disamakan sebagai tamak haloba. Secara tidak langsung juga, kemenangan yang diperoleh Abdul Alek ini akan membuka ruang yang lebih luas kepada pihak lain untuk meraih untung atas angin dengan mudah. Agak-agaknya bagaimana reaksi pengusaha nasi padang yang masyhur seperti Garuda dan Sederhana seandainya ada seorang individu lain yang secara tiba-tiba mendapat ilham untuk mendaftar nasi padang sebagai hak eksklusifnya? Kalau sudah kopitiam sudah boleh didaftar sebagai harta intelek tentunya tidak mustahil untuk nasi padang juga akan mendapat pembelaan yang serupa. Lalu apa akan jadi dengan nasib restoran Nasi Padang Garuda yang sangat masyhur selepas itu?

Kalau begitu, nampaknya, selepas ini semua orang harus memikirkan apa lagi perkataan yang boleh didaftarkan sebagai hak eksklusif masing-masing. Mana tahu, kalau bisnes yang diusahakan tidak menjadi, sekurang-kurangnya peluang menyaman pesaing yang berdegil menggunakan kata eksklusif kita mampu menawarkan ganjaran yang cukup besar. Sekalipun sudah gulung tikar, sekurang-kurangnya akaun simpanan sudah penuh kerana mendapat pampasan yang besar hasil daripada menyaman orang lain! Soalnya, apakah sampai hati kita untuk berbuat demikian? Oh, satu lagi soalan yang ingin ditanya, kalau kopitiam pun milik orang Indonesia, nampaknya kita di Malaysia dan Singapura hanya mampu berputih mata sahajalah. Apa lagi yang menjadi milik kita kalau semuanya didakwa milik mereka?

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
4 MAC 2012

ISU EKONOMI : KEDUDUKAN EKONOMI NEGARA KUKUH

Oleh Dr. Mahani Zainal Abidin


Kebelakangan  ini sering terdengar suara kebimbangan tentang hutang negara yang tinggi yang diuar-uarkan akan membawa padah buruk kepada Malaysia. Malaysia dikatakan tidak dapat menanggung beban hutang yang besar ini. Ada juga yang meramalkan Malaysia akan jadi seperti Greece yang muflis serta terpaksa diselamatkan oleh IMF dan negara-negara lain mengakibatkan rakyatnya menderita kerana syarat-syarat ketat yang dikenakan. Adakah ini benar? Biarlah saya mulakan dengan memberi penjelasan tentang situasi hutang negara. Memang benar hutang negara sampai tahap yang tinggi iaitu telah mencecah RM440.7 bilion atau 53.1 peratus dari Keluaran Domestik Kasar Negara (KDNK) pada suku ketiga 2011. Ramalan jumlah hutang negara boleh menjadi RM495 bilion di akhir tahun 2012, berdasarkan perbelanjaan Bajet 2012. Disamping tahap yang tinggi, mengikut penganalisis ekonomi, kadar kenaikan pantas ini iaitu sebanyak 68 peratus dari tahun 2006 sehingga 2010 jika berterusan boleh menyebabkan hutang negara menjadi sangat besar.

Kadar hutang negara kini dianggap kritikal oleh sesetengah pihak kerana hampir sampai kepada batas maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang. Akta Pembiayaan Kerajaan 1983 dan Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 menetapkan had maksimum hutang kerajaan setakat 55 peratus daripada KDNK. Akta Pinjaman Luar 1963 pula membenarkan luar negara hanya sebanyak RM35 bilion. Walaupun kadar hutang ini tinggi (53.1 peratus) tetapi masih belum lagi melanggar had yang ditetapkan oleh kedua-dua akta tadi. Parlimen boleh menaikkan had hutang ini jika perlu, seperti yang dibuat di Amerika Syarikat tahun lalu. Kenaikan hutang yang mendadak ini disebabkan oleh perbelanjaan rangsangan fiskal kerajaan untuk memastikan ekonomi negara tidak terjerumus ke jurang kemelesetan akibat daripada krisis kewangan global bermula pada tahun 2008. Walaupun ekonomi Malaysia pulih dengan cepat pada tahun 2010, ia masih tidak dapat berkembang pantas kerana ekonomi dunia masih lembap. Sebagai negara pengeksport, Malaysia sangat bergantung kepada perdagangan antara bangsa. Kalau perdagangan dunia rancak, permintaan untuk eksport negara turut naik dan pendapatan negara bertambah.

Tetapi, kemelut di Kesatuan Eropah (EU) telah menjadikan prospek pemulihan ekonomi dunia malap. Eksport Malaysia berkembang hanya pada kadar 9.8 peratus dalam tahun 2011. Justeru, pertumbuhan ekonomi perlu datang daripada punca domestik dan tidak hairanlah apabila kerajaan berbelanja lebih supaya ekonomi domestik boleh terus maju. Betulkah kadar hutang ini akan mengheret Malaysia menjadi muflis? Mengimbas kembali sejarah rekod hutang negara, kadar 53.1 peratus ini bukanlah yang tertinggi. Pada tahun 1990 hutang negara adalah 75.5 peratus daripada KNDK. Malah dari tahun 1983 sehingga 1991, kadar hutang negara melebihi 55 peratus. Tahap tertinggi ini telah berjaya diturunkan dan pada tahun 2007 hutang negara hanya 41.5 peratus daripada KDNK. Ini membuktikan Malaysia mempunyai azam dan keupayaan menurunkan hutang ke peringkat yang rendah. Oleh itu, tidak mustahil bagi Malaysia mengulangi langkah ini.
Ditentukan

Hutang negara tinggi tetapi tidak berbahaya. Ini bukan satu keadaan seperti telur di hujung tanduk kerana sebahagian besar dari hutang ini dipinjam dari sumber dalaman bukan dari luar. Komposisi hutang penting untuk menentukan sama ada ia boleh menimbulkan masalah besar atau boleh diselesaikan. Daripada jumlah keseluruhan hutang, 96 peratus (RM422.7) berpunca daripada sumber dalaman sementara hanya 4 peratus (RM 18 bilion) adalah hutang luar. Oleh sebab sebahagian besar hutang daripada punca dalaman ia boleh diselesaikan dan tidak akan memaksa Malaysia mengharap bantuan luar. Hutang negara berlainan daripada hutang oleh rumah-tangga atau syarikat. Keupayaan membayar hutang rumah tangga atau syarikat ditentukan oleh pendapatan atau keuntungan yang diluar kawalan mereka. Bila pendapatan tidak mencukupi, rumah-tangga atau syarikat tidak dapat membayar hutang dan akhirnya menjadi muflis.

Berlainan bagi sebuah negara. Pembayaran hutang boleh ditentukan oleh kerajaan negara sendiri kerana ia boleh menerbitkan wang disebabkan Bank Negara di bawah kawalannya. Hutang daripada sumber dalaman dan dalam mata wang negara itu sendiri boleh dibayar balik dengan mengeluarkan wang tambahan atau mendapat persetujuan pemberi hutang untuk melewatkan pembayaran balik. Tempuh pembayaran balik boleh dipanjangkan dan hutang boleh distrukturkan untuk membolehkan pembayaran balik secara teratur. Kalau kita lihat masalah di Greece ia kerana sebahagian besar hutangnya adalah dari luar. Bank-bank antarabangsa yang memberikan hutang mahu dibayar balik pada waktu yang ditetapkan. Kerajaan Greece tidak boleh membayar dengan mata wang aslinya iaitu drachma kerana setelah menjadi ahli EU mata wang aslinya dihapuskan dan sebaliknya menggunakan mata wang Euro. Bank pusat Greece tidak boleh mengeluarkan Euro dengan mudah untuk melunaskan hutang dan akhirnya Greece menjadi muflis.

Sebagai perbandingan, walaupun hutang negara Jepun melebihi 200 peratus daripada KDNK tetapi negara itu tidak menjadi muflis. Jawapannya ialah kerana hutang Jepun berpunca daripada sumber dalaman dan kerajaan Jepun boleh membayar balik dengan mata wang yen, walaupun akan mengambil masa yang lama. Malaysia tidak akan menerima nasib seperti Greece kerana sebahagian besar hutangnya adalah dari punca dalaman dan hutang luarnya sangat kecil. Mari kita kaji dengan lebih mendalam komposisi hutang ini. Hampir dua pertiga terdiri dari penjualan bon-bon jangka panjang kerajaan (antara empat hingga sepuluh tahun). Hanya 1.1 peratus sahaja yang perlu dibayar balik dalam tempuh satu tahun. Secara tidak langsung, ini bermakna pihak yang memberi pinjaman (dengan membeli bon kerajaan) yakin tentang masa depan ekonomi Malaysia yang dianggap kukuh. Badan-badan penarafan kredit antarabangsa juga mengiktiraf ekonomi Malaysia sebagai mantap.

Kemantapan ekonomi Malaysia diiktiraf oleh IMF dalam laporan penilaiannya yang diumumkan baru-baru ini. IMF berpendapat jika ekonomi dunia terus lembap, Malaysia mungkin dapat tempias. Tetapi, kesan negatif, jika ada, boleh diatasi kerana sektor kewangan mantap, kedudukan kewangan syarikat-syarikat swasta kukuh dan simpanan rizab antara bangsa negara besar. Kadar faedah boleh direndahkan bagi membolehkan syarikat dan individu mendapat pinjaman bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi. Walau bagaimanapun, langkah merancakkan ekonomi melalui perbelanjaan kerajaan mungkin terhad kerana kadar hutang negara yang tinggi. Keadaan hutang tidak membimbangkan dan kita jangan panik. Jangan jadikan isu ini berlebihan dari sepatutnya. Namun, hutang negara sepatutnya diturunkan apabila ekonomi pulih. Untuk ini, Malaysia perlu menjadi lebih kompetitif dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang bermutu tinggi yang menambahkan eksport. Dengan ini, pendapatan Kerajaan bertambah dan hutang boleh diturunkan.

Negara selalunya berhutang . Kalau berhutang, tahap (atau kadar) hutang bukanlah menjadi isu penentu tunggal. Yang pentingnya bagaimanakah dana yang dihasilkan dari hutang itu digunakan. Jika digunakan untuk pelaburan produktif yang boleh menghasilkan pertumbuhan ekonomi tinggi di masa depan, langkah itu adalah strategik. Sesebuah negara mesti menambahkan kapasiti untuk berkembang. Jika tidak, ia tidak dapat menjana pertumbuhan tinggi yang berterusan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
4 MAC 2012