Ketum atau nama saintifiknya ‘mitragyna
speciosa’ sering menjadi tajuk perbualan, seiring dengan konflik yang
membelenggu tanaman kontroversi itu, sama ada ia benar-benar membawa manfaat
atau mencetus mudarat. Bagi majoriti penduduk, khususnya di sekitar utara
Semenanjung, ketum atau lebih dikenali sebagai biak sudah sebati dengan
kehidupan mereka sejak turun-temurun. Namun begitu, penyalahgunaan ketum
sehingga membawa kepada ketagihan untuk meminumnya mencetus kebimbangan. Cadangan
kerajaan untuk mengharamkan penanaman ketum bagi mengelak penyalahgunaan
berleluasa, antara langkah yang wajar disahut.
Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan
(AADK) kewujudan lebih 32 hektar ladang ketum di negeri Kedah yang menjadi
sumber bekalan utama pengedaran di negara ini dan Thailand telah membawa pulangan
keseluruhan yang dijana dianggarkan di antara RM500,000 hingga RM1 juta
sebulan. Itu baru di Kedah, belum lagi di Perlis dan Perak. Persoalannya,
mengapa begitu banyak ketum ditanam sehingga berskala ladang seolah-olah, mahu
dijadikan komoditi untuk eksport dan tidak menghairankan apabila banyak kes
daun ketum dirampas di sempadan negara oleh pihak berkuasa. Isu pengharaman
ketum sudah lama disuarakan dan ramai bersetuju kesan mudarat akibat
ketagihannya yang mengandungi bahan aktif mitragynine, iaitu sejenis alkaloid
psikoaktif yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.
Sehubungan itu, timbul gesaan supaya
ketum disenarai di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, sebaris pokok ganja,
kanabis, popi dan koka, malah pindaan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya 1952
juga pernah dibentangkan di Dewan Rakyat. Sehingga kini, tiada keputusan
konkrit mengenai pengharaman ketum dan ia terus menjadi polemik dari semasa ke
semasa. Satu fakta menarik perlu diambil kira iaitu apabila menanam pokok ketum
tidak dikira sebagai kesalahan, melainkan saat daunnya dipetik. Seksyen 30 Akta
Racun 1952 menetapkan kesalahan bagi aktiviti mengimport, mengeksport,
mengilang, menjual dan memiliki bahan psikotropik termasuk ketum, namun tiada
soal penanaman disenaraikan.
Ruang lompong sebegini membuka ruang
kepada pekebun untuk beralih mengusahakan ketum, beranggapan memiliki status
‘kebal’ dan tidak boleh disentuh pihak berkuasa. Kelonggaran ini wajar
diberikan perhatian oleh kerajaan dalam merangka undang-undang berkaitan
pengharaman ketum. Cadangan kerajaan negeri Kedah untuk merampas tanah yang
dijadikan ladang ketum boleh dilihat semula walaupun ia tidak sempat
dilaksanakan atas sebab tertentu. Malah, Jabatan Perhutanan di Kedah dan Perak
pernah mengambil tindakan memusnahkan ladang ketum yang diusahakan secara haram
di atas tanah rizab kerajaan atau dalam kawasan hutan simpan.
Apapun keputusan yang akan dibuat,
manfaat ketum dari segi komersial dan perubatan perlu diberikan perhatian
terlebih dahulu oleh kerajaan sebelum langkah mengharamkannya secara total
diambil.