Kita
sering disajikan dengan berita kematian akibat bunuh diri daripada setiap
lapisan masyarakat dan yang lebih menarik perhatian apabila ia dilakukan oleh
artis-artis terkenal antarabangsa seperti Korea Selatan, Jepun,dan Amerika
Syarikat. Mereka bergelut dengan masalah tekanan mental sehingga meragut nyawa
diri sendiri disebalik senyuman, dendangan lagu, dan lakonan yang menghiburkan
peminat. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam mendepani masalah ini tatkala
berita tentang kematian bunuh diri semakin meningkat dan rata-ratanya berlaku
dalam kalangan belia pelapis masa depan negara. Mental yang sihat merupakan kemampuan
seseorang individu, kumpulan dan persekitaran untuk berinteraksi dengan
individu lain, dengan mengunakan cara pemikiran, perasaan dan keupayaan
berkomunikasi bagi mencapai kesejahteraan hidup yang saksama. Oleh itu terdapat
pelbagai punca yang menyebabkan masalah kesihatan mental dan langkah-langkah
untuk mengatasinya.
Masalah
mental yang dihadapi oleh seseorang adalah disebabkan oleh faktor persekitaran.
Faktor ini mengambil kira keadaan sekeliling seseorang seperti kawasan, tempat
kerja dan rakan-rakan. Perhubungan dengan orang sekeliling seperti kawan-kawan
menjadi faktor kepada masalah mental seperti pergaduhan, cemburu atau ditipu oleh
rakan sendiri. Hal ini sering terjadi dalam kalangan remaja terutamanya jika
wujud situasi seperti tekanan daripada rakan sebaya. Statistik kesihatan mental
di malaysia 2019 menunjukkan bahawa kawasan persekitaran tempat tinggal pula,
masalah mental adalah lebih tinggi dalam kalangan masyarakat bandar
(12.6%) berbanding luar bandar (8.5 %).
Jelaslah bahawa faktor persekitaran sememangnya penyebab utama berlakunya masalah
kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di negara kita.
Faktor
pekerjaan juga dikenal pasti sebagai punca seseorang menghadapi masalah tekanan
mental. Majikan yang garang dan tidak berperikemanusiaan menyebabkan seseorang
sering berasa terancam dan ketakutan. Segelintir majikan sentiasa mengugut
pekerja sekiranya selalu cuti sakit, datang lambat, atau selalu tidak menyiapkan
tugasan pada masa yang ditetapkan. Mereka langsung tidak bertolenrasi dengan
pekerja sebegini. Ketua jabatan yang menetapkan target mingguan, bulanan, dan
tahunan yang tinggi menyebabkan pekerja sering dimarahi jika gagal mencapai
sasaran yang ditetapkan. Perkara sebegini memang menyumbang kepada depresi
terutamanya bagi pekerjaan yang memerlukan masa dan tenaga yang tinggi.
Impaknya, ramai pekerja menghadapi masalah tekanan mental pada hari ini.
Institusi
kekeluargaan yang lemah juga menjadi penyebab berlakunya masalah mental. Pasangan
suami isteri yang sering bergaduh kerana sudah hilang persefahaman dan rasa
hormat sering berhadapan dengan tekanan. Suami atau isteri yang curang
menyebabkan rumahtangga menjadi porak peranda hingga berakhir dengan perceraian
semakin meningkat di negara kita. Kehadiran orang ketiga telah menimbulkan
konflik yang berpanjangan apabila mereka saling menyalahkan dan menuntut
hak di mahkamah. Berdasarkan kajian
daripada portal kesihatan MyHealth sumber Kementerian Kesihatan Malaysia, kadar
masalah mental adalah paling tinggi dalam kalangan mereka yang bercerai
(13.6%); diikuti oleh bujang (13.1%) balu (12.2%) dan mereka yang berkahwin.
(10.5%). Masalah keluarga ini bukan sahaja menyebabkan ibu atau bapa yang
menghadapi tekanan mental malah anak-anak turut terlibat. Terbuktilah bahawa
masalah keluarga adalah penyebab berlakunya masalah tekanan mental di negara
kita.
Prakarsa
utama dalam membendung tekanan atau stres adalah dengan mempelajari kawalan
emosi kendiri. Terdapat tekanan yang berbentuk sedikit, sederhana dan
berlebihan di mana dalam jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani oleh
individu tersebut, ia akan menyebabkan kesan negatif serta memudaratkan
kesihatan mereka. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah
memperkenalkan penyelesaian jangka pendek sebagai kawalan emosi kendiri yang
dikenali sebagai kaedah “10B”. Sekiranya anda mengalami stres atau tekanan anda
perlu mengikuti kaedah ini secara berturutan iaitu bertenang, bernafas secara
dalam, berkata relaks kepada diri, beribadat, bercakap dengan seseorang,
berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam serta akhir sekali
berfikiran positif. Kaedah ini juga baik untuk membantu menangani tekanan darah
tinggi yang meyumbang kepada punca stres. Memang kita tidak boleh nafikan bahawa
punca tekanan dan stres lazimnya bukan daripada diri kita dan sukar untuk
mengatasinya tetapi dengan kaedah yang diutarakan, kita dapat mencegah perkara
yang lebih negatif daripada berlaku.
Tekanan
atau stres boleh diatasi dengan berkongsi masalah atau bercerita tentang
perkara yang dilalui kepada individu yang dipercayai. Sebagai contoh, apabila
majikan memarahi pekerja tentang tugasan yang diberikan, pekerja tersebut tidak
berasa tertekan dan tidak tahu cara untuk menyelesaikan masalah terbabit untuk
mengurangkan stress. Maka, pekerja tersebut boleh mencari rakan kerja yang
berkecimpung dalam bidang yang sama seterusnya berkongsi masalah dan berbincang
tentang jalan penyelesaian terbabit. Tindakan ini bukan sahaja dapat
mengurangkan tekanan malah menunjukkan teladan dan tahap profesional yang lebih
baik daripada majikan pekerja tersebut yang menuding jari tanpa memberikan
sebarang bantuan. Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat telah pun membangunkan Talian Kasih 15999 yang beroperasi selama 24
jam pada setiap hari. Talian aduan krisis ini membolehkan sesiapa sahaja yang
mempunyai masalah berkaitan kaunseling, kebajikan, perlindungan dan masalah
keluarga untuk berhubung dengan pegawai yang bertugas dan mereka akan membantu
mangsa atau individu yang tiada kenalan untuk berkongsi masalah serta untuk
menghilangkan stres.
Sebagai
kesimpulan, terdapat banyak cara menghilangkan stress yang boleh dilakukan bagi
mengatasi tekanan atau stres. Ia adalah perasaan semula jadi yang ada pada
setiap individu dan pelbagai faktor yang menyumbang kepada desakannya terhadap
sesorang individu. Dengan kesedaran masyarakat yang semakin baik terhadap
perkara ini, ramai pihak seharusnya menggembleng tenaga bagi memperkenalkan
mekanisme kawalan terhadap tekanan atau stres yang dihadapi oleh ahli
masyarakat. Perkara ini boleh diputar menjadi sumber motivasi seseorang untuk
mencapai segala bentuk kejayaan dalam perkara yang mereka ceburi. Kita hanya
memerlukan kepakaran dan kajian yang telus supaya dapat membantu golongan yang
terkesan serta untuk mengetahui kaedah terbaik kerana mencegah lebih baik
daripada merawat. Semoga segala inisiatif dan cara menghilangkan stres yang
diatur dapat memangkin sifat mahmudah dalam diri setiap individu seterusnya
melahirkan komuniti yang hidup sejahtera, aman dan harmoni.