Rencana ini ditulis oleh
:
DR. AHMAD ZAHARUDDIN
SANI SABRI
Penyelaras/pensyarah
kanan di Universiti Utara Malaysia
Jika disoroti sejak
kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan pelbagai kes bunuh diri dan cubaan
membunuh diri. Lebih terkejut, apabila ada golongan profesional seperti doktor
dan peguam yang mengambil keputusan membunuh diri, ramai yang tidak dapat
memahami kenapa jalan terakhir itu yang dipilih. Belum lagi dikira dengan kes
terminum racun dan terjatuh bangunan. Jika orang dewasa yang matang tidak dapat
mengawal perasaan, apatah lagi remaja dan kanak-kanak. Semuanya dikaitkan
dengan tekanan dan konflik hidup sebagai puncanya. Masalah mental adalah
penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan
perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang
mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.
Kini, masalah mental
menjadi salah satu ancaman utama kepada seluruh penduduk dunia dan penduduk
Malaysia khususnya. Tinjauan Kesihatan Mobiliti dan Kesihatan 2011 menunjukkan
12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai
jenis penyakit mental. Statistik ini amat menakutkan, iaitu satu angka yang
tinggi kerana menunjukkan seorang daripada enam (1:6) rakyat negara ini ada
penyakit mental. Pada masa kini, masyarakat menganggap mereka yang mengalami
masalah mental sebagai satu ancaman kepada keselamatan awam kerana akhbar
sering melaporkan pelbagai kes amuk, bunuh dan gangguan-gangguan yang dilakukan
oleh mereka yang mengalami masalah mental. Keadaan ini menyebabkan masyarakat
membuat tanggapan negatif kepada mereka yang mengalami masalah mental ini tanpa
mengkaji sebab mereka berkelakuan sedemikian.
Ironinya kita tidak
didedahkan secara sepenuhnya mengenai penyakit mental ini. Masyarakat hanya
memandang pesakit mental adalah orang 'gila'. Tetapi jika diperhatikan kembali
hanya terdapat segelintir masyarakat yang mempunyai pengetahuan mengenai
masalah mental sahaja yang dapat menerima serta membantu pesakit mental. Saya
ingin mengusulkan, melihat kepada perkembangan semasa ini, mungkin pendedahan
boleh diberikan di peringkat sekolah memandangkan sekolah merupakan medium
terbaik dalam penjanaan ilmu pengetahuan serta memupuk sikap para pelajar dan
masyarakat. Pesakit mental tidak seharusnya dipinggirkan oleh masyarakat kerana
mereka yang mengalami masalah mental mempunyai peluang untuk pulih semula dan
menjadi sebahagian daripada masyarakat.
Mereka sepatutnya
diberi perhatian kerana ada dalam kalangan mereka mengalami tekanan dalam hidup
yang berat sehingga mereka cenderung menghidap masalah mental. Oleh itu, setiap
individu perlu mengubah perspektif negatif mereka terhadap pesakit mental dan
memberikan sokongan-sokongan yang diperlukan agar mereka tidak merasa
terpinggir daripada kelompok masyarakat. Bagi saya wujudnya 45 jabatan
psikiatri di seluruh negara di samping empat buah hospital mental untuk pesakit
mental menjalani rawatan pemulihan dengan sebaik mungkin tidak memberi erti
jika sikap prejudis masyarakat menghalang pesakit untuk mendapatkan rawatan. Di
samping itu, saya menyarankan Klinik Mental 1Malaysia perlu diwujudkan di setiap
DUN dan Parlimen. Ketika ini kita hanya ada 233 pakar sakit jiwa seluruh
Malaysia untuk jumlah penduduk hampir 30 juta. Nisbahnya ialah 0.8 pakar untuk
100,000 penduduk. Satu angka yang tidak masuk akal. Sesuatu perlu dilakukan
segera.
Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Negeri sebagai tunggak pengurusan orang
Islam di negara ini perlu proaktif dengan menubuhkan unit kaunseling
berteraskan online di setiap kariah, daerah dan negeri. Tapi perhatikan saja
laman web mereka, ada yang tidak pernah dikemas kini berbulan-bulan lamanya. Saya
bukan seorang yang anti-agama lain namun jika dibuat perbandingan dengan NGO
lain seperti Befriender, mereka nampaknya lebih ke hadapan menangani isu ini
sedangkan mereka hanya bergerak menerusi dana-dana 'sedekah'. Saya amat
menekankan perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi kerana ia berperanan
menyediakan ruang untuk mangsa tekanan mental meluahkan isi hati mereka.
Kaunseling juga dapat memberikan nasihat agar membantu individu tersebut
menyelesaikan masalahnya.
Kaunseling juga perlu
diberikan kepada keluarga penyakit mental supaya mengurangkan tekanan mereka
yang terpaksa menjaga pesakit. Dengan itu, jelaslah bahawa kaunseling dan
perkhidmatan psikoterapi merupakan satu langkah yang penting dalam mengelakkan
tekanan mental. Bukan semua individu dapat menangani tekanan hidup dengan baik.
Cara dan tahap seseorang menerima sesuatu tekanan adalah berbeza. Mungkin bagi
individu A, masalah dihadapi individu B dianggap remeh, tetapi tidak bagi
individu B. Begitulah juga sebaliknya. Harus disedari bahawa prinsip suka
menyendiri akan cenderung ke arah sakit mental. Ini kerana menyendiri akan
menyebabkan kita mudah mengikut rasa dan nafsu, apatah lagi kita akan mudah
mengikut telunjuk syaitan. Justeru dalam hidup ini, kita perlu mempunyai
hubungan yang akrab dengan keluarga dan rakan-rakan. Sedarlah kita perlu hidup
bermasyarakat, dan tidak perlu kita menjadi 'kera sumbang' kerana siapalah kita
tanpa masyarakat. Marilah kita belajar hidup bermasyarakat.
Pohon bersandar, pohon
cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
22 Jun 2012