Memaparkan catatan dengan label RENCANA SUMBER ILMU DAN ILHAM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label RENCANA SUMBER ILMU DAN ILHAM. Papar semua catatan

08 Oktober 2025

Kisah Hidup Greta Thunberg: Suara Muda untuk Iklim dan Kemanusiaan

 


Kisah Hidup Greta Thunberg: Suara Muda untuk Iklim dan Kemanusiaan

Greta Thunberg ialah seorang aktivis iklim dan kemanusiaan dari Sweden yang telah menjadi ikon gerakan global dalam perjuangan menentang perubahan iklim dan penindasan. Dilahirkan pada 3 Januari 2003 di Stockholm, Sweden, Greta bukan sahaja dikenali kerana usia mudanya ketika mula bersuara, tetapi juga kerana ketegasan dan keikhlasannya dalam memperjuangkan masa depan bumi dan keadilan sejagat.

Kesedaran Awal dan Perjuangan Peribadi

Sejak kecil, Greta sangat peka terhadap isu alam sekitar. Ketika berumur 8 tahun, dia mula mengetahui tentang perubahan iklim dan menjadi semakin gelisah apabila melihat kegagalan masyarakat dunia mengambil tindakan serius. Pada usia 11 tahun, beliau mengalami kemurungan, berhenti bercakap buat seketika, dan akhirnya disahkan menghidap sindrom Asperger, OCD, dan mutisme selektif.

Namun, Greta tidak melihat cabaran ini sebagai kelemahan. Sebaliknya, dia menganggap keadaannya sebagai “superpower” kerana ia membantunya memberi tumpuan kepada isu penting tanpa terganggu oleh norma sosial. Dengan semangat luar biasa, dia bangkit menjadikan suara kecilnya sebagai alat perubahan besar.

Mogok Sekolah dan Kebangkitan Suara Global

Pada Ogos 2018, ketika berumur 15 tahun, Greta mula melakukan mogok sekolah di luar bangunan Parlimen Sweden sebagai protes terhadap kelalaian kerajaan menangani krisis iklim. Dengan papan tanda bertulis “Skolstrejk för klimatet” (Mogok Sekolah untuk Iklim), dia duduk seorang diri setiap hari Jumaat. Tindakan ini mencetuskan gerakan global bernama Fridays for Future, di mana pelajar dari seluruh dunia menyertai mogok mingguan untuk menuntut tindakan iklim yang sebenar.


Ucapan Berani di Pentas Dunia

Greta telah dijemput berucap di banyak forum antarabangsa, termasuk Sidang Kemuncak Iklim PBB di New York pada tahun 2019. Dalam ucapannya yang lantang, dia bertanya kepada pemimpin dunia, “How dare you?” — satu teguran tajam terhadap kegagalan mereka melindungi masa depan generasi muda. Beliau juga pernah belayar melintasi Lautan Atlantik menggunakan kapal bebas karbon untuk menghadiri acara iklim, demi mengurangkan jejak karbon peribadinya.

Penglibatan dalam Isu Kemanusiaan: Sumud Flotilla ke Gaza

Selain isu alam sekitar, Greta turut menunjukkan komitmen terhadap isu kemanusiaan. Pada tahun 2025, beliau menyertai misi kemanusiaan antarabangsa dikenali sebagai Global Sumud Flotilla, satu konvoi kapal yang bertujuan untuk memecah sekatan laut ke atas Gaza dan menghantar bantuan perubatan serta bekalan asas.

Pada awalnya, Greta menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa Pemandu flotilla tersebut, membantu dalam merancang laluan dan menyelaras bantuan antarabangsa. Walaupun beliau kemudian menarik diri dari jawatan itu sebelum flotilla belayar, beliau tetap menyertai misi sebagai aktivis dan pemerhati antarabangsa. Flotilla ini disertai oleh puluhan kapal dan ratusan aktivis dari lebih 40 negara, termasuk doktor, wartawan, dan sukarelawan kemanusiaan.

Misi tersebut menghadapi halangan besar apabila tentera laut Israel memintas kapal-kapal flotilla di perairan antarabangsa. Greta dan ramai lagi aktivis ditahan sebelum akhirnya dideportasi ke Greece. Dalam kenyataan selepas dibebaskan, Greta menyatakan bahawa usaha flotilla adalah simbol penentangan damai terhadap “pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza,” dan menegaskan bahawa diam terhadap kezaliman adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap kemanusiaan.

Cabaran dan Kritikan

Keberanian Greta telah menerima pujian, tetapi juga kritikan daripada pihak tertentu, termasuk ahli politik dan tokoh industri. Ada yang menuduhnya tidak layak memberi pandangan kerana usianya dan kurangnya kelayakan akademik. Namun, Greta terus menegaskan bahawa perjuangannya berasaskan sains, fakta, dan prinsip moral — bukan populariti atau keuntungan.

Dia juga sering menolak anugerah dan penghargaan yang tidak diiringi dengan tindakan nyata, sambil menyatakan bahawa dunia tidak memerlukan lebih ramai pemenang anugerah, tetapi lebih ramai yang benar-benar bertindak.

Impak dan Legasi

Greta telah mencetuskan perubahan besar dalam cara dunia melihat krisis iklim. Dia telah memberi inspirasi kepada generasi muda untuk bersuara dan bertindak, bukan sahaja dalam isu alam sekitar, tetapi juga dalam hal kemanusiaan dan keadilan sosial. Kehadirannya dalam Sumud Flotilla menunjukkan bahawa perjuangan untuk masa depan bumi tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan untuk keadilan dan kebebasan.

Penutup

Kisah hidup Greta Thunberg membuktikan bahawa suara seorang remaja pun boleh menggegarkan dunia. Sama ada di jalanan Stockholm, sidang PBB, atau di atas kapal flotilla menuju Gaza, Greta telah menunjukkan bahawa keberanian, prinsip, dan tindakan berasaskan nilai sejagat mampu memberi impak besar. Dalam dunia yang sering dibutakan oleh kuasa dan keuntungan, Greta menjadi suara yang tidak gentar untuk menyatakan: "Sudah tiba masanya untuk bertindak – bukan esok, tetapi sekarang."



27 Julai 2023

MALAYSIA TAKSUB UKUR KECEMERLANGAN ANAK MELALUI PEPERIKSAAN

Malaysia taasub ukur kecemerlangan anak melalui peperiksaan

Oleh Mohd Amin Jalil - Jun 26, 2023 @ 3:37pm

bhpendidikan@bh.com.my


Kemerosotan pencapaian SPM baru lalu membuatkan ibu bapa dan guru runsing selain mengaitkannya dengan pemansuhan UPSR, pembatalan PT3.

Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan pembatalan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sejak 2021 menimbulkan pelbagai polemik yang tidak berkesudahan dalam kalangan ibu bapa sehingga kini. Ramai ibu bapa dan guru masih melihat UPSR sebagai peperiksaan penting menilai prestasi murid dari Tahun Satu hingga Enam selain kemampuan dan kebolehan murid menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira di sepanjang berada di sekolah rendah, manakala PT3 sebagai penegasan penguasaan pembelajaran di sekolah menengah.

Apatah lagi sebaik pengumuman Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dibuat, 77.2 peratus pelajar gagal mencapai keputusan yang baik, manakala 29,663 calon berdaftar tidak menduduki peperiksaan itu. Ramai guru dan ibu bapa mula bersungut di media sosial apabila pelajar sekolah menengah masih tidak tahu membaca selain kemasukan ke sekolah berasrama semakin tidak berkualiti yang dikaitkan dengan pemansuhan UPSR.

Pensyarah Jabatan Pendidikan dan Sains Teknikal, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Othman Talib, berkata membicarakan soal pendidikan memerlukan masa yang panjang untuk melihat kesannya. Katanya, beberapa negara maju seperti Finland, meletakkan peperiksaan itu sebagai sebahagian sahaja daripada proses, tetapi bukan keutamaan. Belajar itu hanya untuk mengetahui dan menilai kebolehan akademik pelajar serta kemahiran-kemahiran yang lain. Isu kenapa UPSR dan PT3 itu dimansuhkan adalah kerana ketaasuban Malaysia menghasilkan pelajar cemerlang dalam bentuk peperiksaan. Masyarakat kita terutama ibu bapa di negara ini mempunyai pemikiran sebegitu dan melihat kecemerlangan murid masih bergantung kepada peperiksaan. 

Pemikiran sebegitu adalah sempit kerana falsafah pendidikan tidak menyebut soal peperiksaan sebaliknya menekankan kepada aspek membina potensi individu pelajar secara jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Walau bagaimanapun, disebabkan masyarakat kita mempunyai pemikiran yang bergantung kepada peperiksaan, manakala anak-anak belum biasa dengan situasi dan hasrat untuk membina potensi individu, pemansuhan dan pembatalan UPSR serta PT3 masih menimbulkan konflik. Apatah lagi, pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa tanpa pengisian yang komprehensif. Walaupun usaha pembangunan murid secara holistik dibuat melalui pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), namun dipercayai guru-guru belum bersedia melaksanakan inisiatif berkenaan. Selain itu kita berhadapan faktor seperti prasarana di negara ini tidak setaraf seperti di negara maju yang hanya menempatkan jumlah murid dalam satu-satu kelas itu antara 20 hingga 25 murid. 

Di Malaysia, satu bilik darjah pula muridnya mencecah sehingga 40 hingga 45 orang murid.

Jika mahu membuat perbandingan antara sistem sekolah di negara ini dan luar negara terdapat banyak perbezaan. Misalnya ada negara mengamanahkan satu kelas kepada seorang guru yang mengajar beberapa subjek. Ia membolehkan guru itu melihat potensi murid terutama dari segi kemanusiaan dan celik huruf. Mereka juga memberi penekanan kepada subjek utama seperti bahasa, Matematik dan Sains, manakala mata pelajaran lain diletakkan di bawah subjek sosial sains. Murid hanya belajar sedikit mengenai Sejarah, Geografi dan beberapa subjek lain yang hanya diselia oleh seorang guru. Namun begitu , di negara ini, murid belajar sehingga lapan dan 10 subjek, jadi apabila tiada peperiksaan, murid akan hilang minat dan keliru apa sebenarnya mereka hendak buat. Sebenarnya, kita kena sedar sekolah rendah adalah tempat membina potensi dan memupuk asas serta minat murid dalam pendidikan. Jadi, seharusnya mereka tidak diberikan penekanan kepada aspek untuk mendapat skor A. Keputusan pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 seharusnya dibuat dengan persiapan yang rapi. Jadi, KPM perlu merangka pendekatan progresif termasuk memberi ruang kepada guru mendidik murid dengan cara sendiri. Misalnya, memberi penekanan kepada aspek penguasaan 3M tetapi dengan kaedah daripada guru itu sendiri.

Sementara itu Pensyarah Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Mazarul Hasan Mohamad Hanapi menyifatkan keresahan ibu bapa amat difahami. Analisis keputusan SPM 2022 meskipun ada peningkatan tetapi juga merekodkan penurunan misalnya kadar murid yang memperoleh sijil. Hal ini katanya membuat ibu bapa mahu UPSR dan PT3 dikembalikan kerana pemansuhan dan pembatalan kedua-dua peperiksaan itu dipercayai menjadi punca murid bersikap acuh tak acuh untuk belajar kerana tiada sasaran hendak dikejar. Murid tidak mempersiapkan diri dengan pelajaran kerana tiada peperiksaan sekali gus motivasi untuk belajar juga menurun. Apatah lagi Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diguna pakai kini turut memberi kebimbangan kepada ibu bapa terutama tahap intelektual anak-anak Sememangnya pembelajaran masa kini bersifat lebih holistik namun, satu peperiksaan besar mesti diwajibkan untuk mengukur tahap pembelajaran anak-anak. 

Hal ini menyebabkan ibu bapa malah sebahagian guru mula bimbang dan mendesak UPSR dan PT3 dikembalikan semula kerana bimbang nasib anak mereka yang seolah-olah menjadi 'lost generation' (generasi tiada hala tuju) akibat pasca COVID-19.

24 Julai 2023

PUNCA PELAJAR GAGAL MATEMATIK KERANA TIDAK FAHAM KONSEP


Oleh Muhamad Lokman Khairi - 11Julai 2023, 1:31pm

bhpendidikan@bh.com.mY 

Salah silibus yang didakwa  terlalu  tinggi atau kegagalan pelajar  memahami  konsep  Matematik? Dua soalan  itu  wajar  ditanyakan  susulan  kebimbangan  sesetengah  pihak  mengenai  petanda  kewujudan generasi buta Matematik. Ia susulan analisis keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) baru-baru  ini merekodkan 24.3  peratus  daripada  369,348  pelajar  yang  mengambil  subjek  itu  gagal, manakala 29 peratus  lagi  memperoleh gred D dan E.  Angka  ini merosot  berbanding  pencapaian  tahun lalu malah antara semua 95  mata pelajaran  yang ditawarkan dalam SPM 2022, Matematik mencatatkan peratusan kegagalan pelajar paling tinggi.

Jadi, adakah kegagalan itu disebabkan silibus Matematik terlalu tinggi hingga gagal dikuasai dengan baik oleh pelajar?

Menurut Pensyarah Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Rusliza Ahmad, kegagalan pelajar dalam subjek itu berpunca daripada cara belajar yang tidak berkesan. Hal ini katanya menyebabkan wujud dalam pemikiran sebahagian pelajar bahawa Matematik adalah subjek susah. Keadaan ini disebabkan pelajar lebih memberi penekanan kepada menghafal konsep serta jalan kerja berbanding memahami konsep sebelum mempraktikkannya dalam setiap masalah Matematik.

Setiap masalah Matematik mempunyai jalan kerja yang berbeza. Silapnya adalah pelajar hanya hafal tanpa faham. Berdasarkan penelitian terhadap pelajar di peringkat diploma, ramai yang masih lagi lemah asas Matematik, termasuk operasi mudah seperti tambah dan tolak," katanya. Matematik bukan subjek susah jika pelajar diajar kaedah yang betul. Paling utama asas mempelajari subjek itu adalah memahami bukan menghafal. Antara kaedah mempelajari Matematik yang berkesan disebut 'mnemonik' iaitu teknik mengingat. Murid sebenarnya akan lebih ingat jika guru menggunakan diagram atau graf sewaktu mengajar. Dalam hal ini guru perlu kenal pasti topik yang mana boleh diajar dengan teknik diagram atau kaedah lain. Jangan ajar mereka hafal daripada buku teks semata-mata.

Berkongsi tips melalui pengalamannya, Rusliza menyarankan pelajar mempelbagaikan teknik untuk memahami konsep dan formula Matematik. Selain menggunakan diagram atau graf, pelajar juga seharusnya perlu memperbanyakkan latihan kerana setiap soalan mempunyai masalah yang berbeza dan perlu diselesaikan dengan teknik berlainan. Kekerapan menyelesaikan latih tubi membantu otak menjadi semakin kreatif dalam berfikir bagi mencari jawapan. Selain itu latih tubi memastikan apa yang diajar guru di dalam kelas mudah untuk diingat. Selain itu, Rusliza menegaskan teknik pembelajaran yang berkesan juga adalah kerap merujuk guru atau bertanya kawan-kawan jika tidak mendapat jawapan.

Menurut beliau, guru-guru juga wajar pelbagaikan cara mengajar kerana subjek Matematik sangat kuat melekat dengan stigma sebagai mata pelajaran yang menakutkan dan membosankan dalam kalangan pelajar. Dalam hal ini katanya, guru boleh mengguna pakai teknik mengajar menerusi aktiviti permainan bagi pelajar sekolah rendah. Menanam minat murid terhadap Matematik sejak sekolah rendah tegas beliau, sangat penting kerana ia akan mempengaruhi minat seseorang pelajar itu apabila dia melangkah ke peringkat menengah. Bagaimanapun jangan terlalu fokus kepada cara menjawab soalan peperiksaan sahaja sehingga kita mengabaikan penyampaian secara keseluruhan. Akhirnya pelajar masih gagal faham kerana guru tidak memberi penjelasan atau gambaran terperinci mengenai sesuatu topik.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Datuk Zahar Hashim yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perakaunan lebih 35 tahun, berpandangan ungkapan 'Matematik itu susah' seakan-akan sudah sebati dalam kalangan masyarakat terutama orang Melayu. Katanya, ia selalu dijadikan alasan setiap kali seseorang itu gagal lulus dalam subjek berkenaan tanpa mahu mengoptimumkan usaha. Malas berfikir juga menyebabkan pelajar kurang berminat dengan Matematik. Jadi apabila kurang minat, mereka kurang memberikan tumpuan akhirnya subjek itu menjadi begitu 'menakutkan' dan fobia. Ada juga sesetengah ibu bapa juga kurang merangsang anak-anak untuk memahami atau belajar angka, walaupun mungkin permainan mudah seperti 'main angka atau main kira-kira' yang sebenarnya boleh dibuat bersama anak dalam kehidupan kita seharian. Tambah Zahar, kemungkinan wujudnya generasi buta Matematik memang menyedihkan namun ia tidak boleh dinafikan.

Apatah lagi sesuai dengan perkembangan semasa penggunaan kalkulator lebih meluas hingga ada pelajar yang beranggapan mengira menggunakan alat sebegitu lebih mudah. Hal ini sekali gus menyebabkan mereka tidak lagi mahu berpenat lelah membuat kiraan meskipun hal sedemikian mampu menjadikan minda lebih kreatif. Banyak usaha perlu dibuat oleh Kementerian Pendidikan dalam mencari jalan keluar terbaik bagi memperbaiki keadaan ini. Apatah lagi katanya, keciciran dalam subjek Matematik tentu saja akan memberi kesan kepada usaha kerajaan melahirkan untuk melahirkan profesional dalam bidang berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

02 Julai 2023

KEPUTUSAN SPM 2022: PETANDA WUJUDNYA GENERASI 'BUTA' MATEMATIK

BERITA HARIAN DALAM TALIAN
Oleh Zanariah Abd Mutalib - Jun 21, 2023 @ 11:06am
zanariah_mutalib@bh.com.my


Kegagalan seorang daripada setiap 4 pelajar dalam subjek Matematik SPM 2022 mencetuskan kekhuatiran Malaysia mungkin berdepan generasi tidak celik mata pelajaran itu sehingga menjejaskan usaha negara melahirkan profesional dalam bidang berkaitan. 

Pencapaian dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan baru-baru ini, mencetuskan kekhuatiran Malaysia mungkin berdepan generasi tidak celik matematik. Saintis bidang tenaga dan kelestarian iklim, Dr Amir Faizal Abdul Manan, berkata keputusan SPM 2022 menunjukkan 24 peratus atau seorang daripada empat calon gagal dalam mata pelajaran terbabit, manakala 29 peratus lagi mendapat gred D dan E. Ini bermakna hampir separuh daripada pelajar lemah dalam matematik, sekali gus akan menjejaskan usaha negara untuk melahirkan profesional dalam bidang berkaitan. Pernyataan ini bukan mengenai matematik lanjutan, Matematik Tambahan walaupun ia menunjukkan statistik pencapaian yang sama. Pernyataan ini adalah merujuk kepada matematik teras, yang diduduki 369,348 murid pada peperiksaan SPM 2022.


DR. AMIR FAIZAL ABDUL MANAN

Kelemahan dalam subjek Matematik ini sangat menggusarkan. Kita mempunyai generasi masa depan pemimpin berpotensi, orang dewasa, guru, saintis, akauntan, doktor, ahli ekonomi, arkitek, ahli perniagaan, bapa dan ibu yang tidak celik matematik asas. Pada masa sama, antara semua 95 mata pelajaran yang ditawarkan dalam SPM 2022, Matematik mencatatkan peratusan kegagalan tertinggi. Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2022 yang disiarkan KPM mendedahkan seramai 403,637 calon mendaftar menduduki peperiksaan tahun lalu membabitkan 3,355 pusat peperiksaan. Daripada jumlah calon berdaftar itu, seramai 388,832 orang adalah calon baharu yang mendaftar untuk menduduki sekurang-kurangnya enam mata pelajaran. Jumlah calon baharu yang hadir menduduki peperiksaan pula adalah seramai 373,974 orang. Amir Faizal mendakwa, kadar kegagalan mata pelajaran Matematik yang tinggi bukan sesuatu yang mengejutkan Kementerian Pendidikan (KPM), berdasarkan laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) yang dijalankan setiap empat tahun, membabitkan pelajar Tingkatan Dua.

Kajian TIMSS pada 2019, menunjukkan 26 peratus pelajar gagal mencapai standard asas yang diperlukan untuk celik matematik. Kini, tiga tahun kemudian, kita melihat hasil yang sama dalam keputusan SPM 2022.  Selain itu, Amir Faizal mendakwa, bagi pencapaian soalan dengan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) pada SPM 2022, statistik menunjukkan lebih separuh murid mencatatkan skor rendah dalam kemahiran mengaplikasi. Ini satu masalah yang besar kerana ia memberi makna, pelajar kita tidak mempunyai pemahaman praktikal mengenai ilmu yang mereka peroleh. Menurut beliau, Lebih baik jika markah KBAT itu dipecahkan mengikut mata pelajaran, jika ada kerana ia akan memberi lebih maklumat. Namun begitu, sebalik pengumuman keputusan yang dibuat, beliau mendakwa, KPM seolah-olah menafikan kelemahan yang dikesan dengan hanya menonjolkan kebaikan, berbanding jujur dan telus mengenai kualiti sistem pendidikan semasa negara. 


Sebenarnya, seluruh negara berisiko berdepan krisis. Saya tidak bersikap melodramatik di sini. Cara paling pasti untuk memusnahkan sesebuah negara adalah dengan merosakkan sistem pendidikannya. Kita perlu benar-benar keluar daripada situasi ini 
sebelum terlambat. 

LINK UNTUK ARTIKEL INI
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1117138/keputusan-spm-2022-petanda-wujud-generasi-buta-matematik

30 Mei 2023

ISU LAMBAKAN GRADUAN PERGURUAN BERLAKU AKIBAT PENGAMBILAN TIDAK IKUT UNJUTAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

 


Kecenderungan universiti awam serta swasta yang berlumba-lumba menawarkan pengajian pendidikan untuk melahirkan siswazah perguruan tanpa unjuran keperluan Kementerian Pendidikan (KPM), boleh menyumbang kepada isu pengangguran dalam kalangan graduan bidang terbabit. Ia berikutan rata-rata institusi pengajian tinggi negara ini membuat pengambilan pelajar ke program berkenaan berdasarkan kemampuan institusi itu sendiri sehingga mewujudkan keadaan penawaran melebihi permintaan.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP),  Aminuddin Awang. - Foto NSTP

Perkara ini didedahkan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, bahawa keadaan sebaliknya berlaku kepada lepasan siswazah Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah kendalian KPM apabila mereka terus diserap selepas menamatkan pengajian. Graduan IPG ini akan terus ditempatkan di sekolah rendah berdasarkan unjuran keperluan kementerian berasaskan faktor bilangan guru yang bersara, pembukaan sekolah baharu dan sebagainya.

Disebabkan itu, lepasan siswazah IPG tidak menunggu lama untuk diserapkan kerana pengambilannya mengikut keperluan guru sebenar dalam satu tempoh tertentu. Difahamkan, seramai 4,390 Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) menamatkan pengajian masing-masing antara 2011 hingga 2020, namun sebahagiannya dilaporkan masih tidak mendapat panggilan temu duga untuk ditempatkan di sekolah, manakala sebilangan kecil terpaksa memilih pekerjaan lain tanpa memerlukan kelayakan akademik. Hakikatnya, bermula 2017 tiada lagi unjuran KPM kepada semua universiti awam (UA) yang menawarkan program ISMP selain, wujud keadaan guru dengan opsyen tertentu dikatakan berlebihan berdasarkan perbandingan keluaran UA dan keperluan KPM.

Semakan rekod pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 bagi tahun 2020 yang dikemas kini pada 6 Januari lalu di laman sesawang https://www.data.gov.my mendapati 97,276 permohonan diterima untuk mengisi jawatan itu dengan 4,586 dipanggil temu duga bagi mengisi 4,189 jawatan. Menjelaskan lanjut, Aminuddin berkata, isu pengangguran dalam kalangan bakal guru akan terus berlaku kesan daripada dasar keterbukaan universiti tempatan menganjurkan kursus diploma pendidikan kepada lepasan ijazah tanpa merujuk kepada unjuran keperluan guru sebenar.

Perlu kawalan, penyelarasan kursus

Menurut beliau, dalam hal ini, KPM dan universiti perlu mewujudkan kawalan dan penyelarasan kursus. Mengulas mengenai 19,000 kekosongan diiklankan untuk pengambilan jawatan PPP DG41 baru-baru ini, Aminuddin berkata, kekosongan itu lebih terarah bagi menangani ketidakcukupan guru berdasarkan keperluan sebenar sesebuah sekolah atau ketidakcukupan dari segi keperluan opsyen guru dalam mata pelajaran. Akan tetapi realitinya, pengambilan 19,000 guru itu masih tidak mampu menyelesaikan isu kekurangan guru kesan daripada persaraan paksa, persaraan pilihan dan pembukaan sekolah baharu yang memerlukan ramai tenaga pengajar.

Bagaimanapun, inisiatif dan komitmen yang dilaksanakan KPM itu secara langsung mampu mengurangkan bebanan guru sedia ada disebabkan kekurangan guru di sekolah. Oleh itu, kita amat berterima kasih kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) kerana mahu mengambil 19,000 calon guru dan ia dilakukan pada masa tepat ketika KPM sedang dalam landasan ke arah kesejahteraan guru.. Pengambilan 19,000 guru baru-baru ini meliputi jawatan guru tetap atau guru sementara bagi menangani isu kekurangan guru dalam empat mata pelajaran iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI) dan Pendidikan Islam. Hal ini dikatakan demikian kerana ketika ini terdapat kekurangan 19,431 guru atau 4.49 peratus di seluruh negara membabitkan mata pelajaran terbabit. Aminuddin juga berharap pengisian 19,000 calon guru baharu itu dapat diberikan kepada mereka yang mempunyai kelayakan ikhtisas iaitu Diploma Pendidikan sahaja sekiranya kerajaan tidak mahu isu pengangguran dalam kalangan bakal guru terus kronik. Selepas itu, bidang yang tidak cukup calon berkelayakan seperti Bahasa Inggeris, barulah dibuka kepada calon yang tiada kelayakan ikhtisas.

Lepasan ISMP perlu teroka bidang kerjaya lain

Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) tidak boleh terus bergantung nasib kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi penempatan selepas tamat pengajian, sebaliknya menerokai peluang mengajar di sekolah bukan kerajaan. Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pada masa sama, graduan guru perlu berusaha menerokai bidang kerjaya lain berbeza dengan ijazah yang dimiliki. Graduan pendidikan tidak seharusnya bergantung kepada KPM sebagai sumber utama berkhidmat sebagai guru berikutan mereka masih berpeluang mengajar di sekolah swasta, sekolah antarabangsa, sekolah persendirian, pusat tahfiz dan lain-lain. Selain itu dengan cabaran pengangguran sekarang, graduan tidak boleh terikat kepada satu bidang sahaja kerana terdapat banyak peluang lain dan ramai yang beralih kerjaya dan mereka ini berjaya. Kita dapat disaksikan ada lepasan pengajian kejuruteraan beralih kepada perkhidmatan insurans, lulusan perakaunan menerokai perniagaan dan pelbagai bidang lagi yang akhirnya berjaya menjadi usahawan atau petani moden.


Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. - Foto NSTP

Alimuddin yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Arkib Negara dan Ahli Jawatan Kuasa Yayasan Pesara Kerajaan, berkata KPM menawarkan kekosongan mengikut peruntukan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) walaupun ramai mahu mengisi jawatan biarpun tempat terhad, sekali gus menimbulkan pengangguran dalam kalangan graduan pendidikan. Bilangan yang mahu diambil sudah ditetapkan bagi mengisi kekosongan disebabkan guru pencen, guru berhenti dan juga perluasan sekolah, tetapi universiti awam (UA) dan universiti swasta setiap tahun menghasilkan ramai lepasan siswazah seperti Institut Pendidikan Guru (IPG). Berikutan itu katanya, sebahagian besar UA menukarkan nama program misalnya Ijazah Sarjana Muda (ISM) Pendidikan dengan Ekonomi atau Perniagaan, Perakaunan serta lain-lain. Hal ini bagi meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan kerana tidak mahu mereka ini hanya tertumpu kepada sektor pendidikan, tetapi berupaya menerokai bidang lain.

Justeru bagi program pengajian itu, perlunya pengkhususan utama dan minor 50-50 bidang lain selain menumpukan sepenuhnya kepada perguruan, mengikut unjuran keperluan. Siswazah juga perlu memperlengkapkan diri dengan mengikuti kursus sama dalam atau luar universiti termasuk dalam talian bagi meningkatkan kebolehpasaran dalam bidang seperti Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), perniagaan, teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan keusahawanan untuk dimanfaatkan selepas tamat pengajian.

Iklan bantu pelajar

Berhubung usaha KPM mengiklankan 19,000 kekosongan bagi mengatasi masalah kekurangan guru baru-baru ini, beliau berkata, bilangan terbabit masih tidak mampu menyelesaikan isu pengangguran, tetapi diharap membantu pelajar yang betul-betul berminat dan berkelayakan untuk memohon. Kebiasaannya unjuran dibuat dalam tempoh lima atau sekurang-kurangnya tiga tahun berdasarkan guru bersara awal, pertambahan penduduk dan sekolah baharu setiap tahun, jadi KPM menambah bilangan guru ikut kekosongan diperlukan setiap tahun. Malah, bagi pengambilan guru, lazimnya hampir 100,000 orang memohonnya. Justeru, langkah pertama saringan komputer dibuat mengikut purata nilai gred kumulatif (CGPA) calon, kemudian mereka yang melepasinya menduduki ujian kecenderungan dan personaliti dan ketiganya, temu duga. Jadi, calon guru kena berusaha dan memastikan mereka melepasi ketiga-tiga saringan. Ini kerana calon terbaik saja dipilih untuk mengisi kekosongan yang ada," katanya.



  • SUMBER 
  • BERITA HARIAN
  • Oleh Mahani Ishak - Mei 27, 2023 @ 10:00am

17 Mei 2023

Masalah Kekurangan Guru dan Sikap Malas Membaca, Punca Utama Mata Pelajaran Sastera Tidak Diminati


 

Penulis Rencana

Siti Aminah Mohd Yusof - Mei 9, 2023 @ 10:54am

bhpendidikan@bh.com.my

 

Sikap tidak suka membaca memberi cabaran kepada subjek Kesusasteraan Melayu sehinggakan banyak sekolah tidak lagi menawarkan mata pelajaran itu. Hal ini diburukkan lagi dengan kekurangan guru opsyen malah selepas subjek itu dijenamakan semula sebagai Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK), ia dilihat masih kurang mampu menarik perhatian murid. Apatah lagi KMK adalah subjek elektif. Hal ini tentu berbeza dengan subjek Sejarah yang meskipun turut menuntut murid banyak membaca tetapi ia disebabkan mata pelajaran wajib, pelajar tiada pilihan.

Presiden Persatuan Penulisan Budiman Malaysia (BUDIMAN), Prof Dr Abdul Halim Ali, berkata fenomena penutupan kelas KMK adalah 'tidak sihat'. Katanya, beliau maklum banyak kelas KMK di sekolah-sekolah sekitar Melaka, Perak, Selangor dan Johor selain  Kedah, Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur semakin berkurangan ketika ini. Bagaimanapun di negeri seperti Kelantan, Sabah, Sarawak masih banyak menawarkan mata pelajaran itu pada peringkat menengah dan prauniversiti. Beliau yang juga Pensyarah di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkata antara faktor yang biasa disebut oleh pihak sekolah yang tidak menawarkan subjek KMK termasuklah murid kurang minat membaca dan tiada guru opsyen.

"Apa yang berlaku, kurang kefahaman dan maklumat mengenai kepentingan KMK dalam kalangan pentadbir dan murid-murid di sekolah. Selain itu wujud persepsi salah terhadap KMK sebagai mata pelajaran tidak bernilai komersial turut menyebabkan perkara ini berlaku. Ia juga turut berpunca daripada pilihan mata pelajaran elektif yang banyak, komposisi kelompok mata pelajaran elektif dihadkan atau ditutup," katanya. Abdul Halim berkata subjek KMK di sekolah tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai satu pelajaran elektif sebaliknya ia perlu dilihat sebagai wadah pembinaan dan pengukuhan jati diri bangsa. Kesusasteraan Melayu katanya adalah satu daripada juzuk khazanah peradaban bangsa Melayu. Ia adalah identiti bangsa pemiliknya sekali gus menjadi sumber yang memperkenalkan adab dan kesantunan serta kekayaan akal budi bangsa.

"Bagaimana bangsa Malaysia pada masa hadapan dapat diterapkan nilai-nilai murni budi pekerti yang kaya dalam sastera Melayu jika sekiranya mata pelajaran ini tidak ditawarkan kepada murid-murid? Mengajar subjek ini juga bererti kita menyambung mata rangkai warisan bangsa yang akan disambung generasi baharu kemudiannya," ujarnya. Katanya, kurang minat membaca boleh ditangani dengan memperbanyakkan usaha itu oleh sekolah dan ibu bapa. Katanya ia boleh bermula di tapak perhimpunan dengan aktiviti NILAM, sesi pengajaran dan pembelajaran, sisipan jadual waktu untuk murid membuat aktiviti bacaan di pusat sumber selain aktiviti kokurikulum dan aktiviti lanjutan pada masa senggang dan cuti sekolah.

Tambah beliau lagi "Jika Dasar 1 Murid 1 Sukan boleh dilaksanakan, apa susahnya melaksanakan aktiviti 1 murid 1 buku 1 hari 1 cerita ? "Guru adalah manusia kreatif dan inovatif. Mereka tahu untuk merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti sesuai dengan tahap murid dan kemudahan yang ada. Persoalannya, sejauh manakah sesuatu dasar atau aktiviti itu dapat dilaksanakan secara konsisten dan berimpak. Pandangan yang menyebut KMK kurang nilai ekonomi adalah salah dan tidak benar. Malah, ia adalah pandangan yang semborono, tidak disokong dengan data yang boleh dipertanggungjawabkan. Tambahnya, murid-murid di sekolah adalah kelompok generasi akan datang yang bakal mengisi keperluan modal insan. Justeru, mereka bukan sekadar perlu bijak menguasai teknologi maklumat tetapi juga mesti bijaksana membuat pertimbangan moral, kemahiran sosial dan kemanusiaan yang tinggi.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Unit Komunikasi Korporatnya ketika dihubungi mengesahkan antara punca penutupan kelas KMK di sekolah disebabkan kurang permintaan terhadap mata pelajaran itu dengan bilangan murid sedikit yang tidak memenuhi syarat pembukaan kelas. "Selain itu, murid turut dilihat cenderung kurang berminat mengambil mata pelajaran yang memerlukan banyak pembacaan. "Berdasarkan statistik seramai 13,044 calon berdaftar bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022, berbanding 14,045 pada 2021, 14,972 (2020), 15,857 (2019) dan 16,394 (2018). "Sebagai rekod terdapat seramai 29,544 murid membabitkan 1,132 buah kelas yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Bahasa Melayu di seluruh negara," katanya.

Menurut KPM, Kesusasteraan Melayu (KM) adalah subjek elektif bagi Tingkatan Empat dan Lima dalam kurikulum Kebangsaan turut dilaksanakan dalam Kurikulum Baharu Sekolah Menengah (KBSM) sehingga 2019. Bagaimanapun mulai tahun 2020 bermula pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi murid Tingkatan Empat dan Lima, KM dijenamakan semula dengan KMK bagi memugar kembali KM dengan beberapa penambaikan yang mengikut situasi semasa. Walaupun terdapat penjenamaan semula KM kepada KMK namun 'roh' KM masih kekal malah karya yang digunakan sewaktu KM masih diguna pakai sehingga hari ini. Sesuai perkembangan semasa dan keperluan RI 4.0, elemen baharu dalam pembelajaran Kesusasteraan Melayu perlu diterapkan. Untuk itu mata pelajaran KM yang dijenamakan semula sebagai KMK menerapkan elemen multimedia sastera dalam KMK bagi membantu usaha KPM melaksanakan pendigitalan pendidikan.

Melalui elemen baharu ini, aspek didik hibur juga diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) KMK dengan KPM akan terus mempergiat usaha dalam menjelaskan kepentingan mata pelajaran KMK dalam kalangan murid sekolah dan dalam masyarakat. Subjek itu akan diteruskan dan tiada cadangan untuk memansuhkannya. Bagaimanapun ia bergantung kepada tawaran mata pelajaran elektif peringkat sekolah masing-masing.

24 Julai 2022

PENGABAIAN KECERDASAN EMOSI TELAH MENJEJASKAN PENCAPAIAN AKADEMIK MURID LELAKI


PENULIS: Dr Noradilah Md Nordin, Pengarah, Pusat Sejahtera, Universiti Malaysia Pahang

TARIKH DIKELUARKAN : 29 Mac 2022

SUMBER: BERITA HARIAN ONLINE

Secara umum masyarakat selalu berpandangan murid perempuan lebih bijak berbanding lelaki. Hal ini disimpulkan berdasarkan kepada laporan kemasukan ke institut pengajian tinggi yang mana pelajar perempuan lebih ramai. Sebagai contoh, enrolmen atau jumlah kemasukan pelajar perempuan ke universiti awam adalah lebih tinggi berbanding lelaki bagi tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2015, 2016 dan 2017. Ini ditambah pula dengan peratusan kelulusan pelajar perempuan dalam peperiksaan awam misalnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Misalnya jika kita lihat keputusan SPM 2017, murid perempuan menunjukkan prestasi akademik yang lebih baik berbanding murid lelaki. Malah, kecemerlangan mereka tidak hanya terhenti di bangku sekolah tetapi juga diteruskan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Keadaan ini membuatkan kita yakin, murid perempuan lebih bijak berbanding lelaki. Namun begitu, pandangan ini kurang tepat kerana ia hanyalah gambaran awal sahaja. Ia juga sebenarnya memberitahu kita mengenai dominasi dan ketidakseimbangan pencapaian antara murid perempuan dan lelaki. Sebenarnya, keadaan ini perlu difahami seiring dengan aspek perkembangan psikologi murid. Dari sudut perkembangan psikologi, situasi ketidakseimbangan jantina dalam pencapaian akademik sangat berkait rapat dengan faktor kecerdasan emosi.

Murid lelaki lambat matang

Kematangan kecerdasan emosi antara murid lelaki dan perempuan adalah berbeza. Pelajar perempuan dilihat lebih cepat matang berbanding lelaki. Oleh kerana tahap kecerdasan emosi yang tinggi, murid perempuan lebih cepat pandai dalam mengurus diri sendiri terutamanya membabitkan proses berfikir, berkongsi pendapat, mengawal perasaan dan bertindak mengikut kesesuaian masa dan keadaan. Contohnya, ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dijalankan murid perempuan lebih mudah untuk berkongsi sesuatu perkara dengan rakan dan guru mengenai apa yang mereka fikirkan dan rasai. Mereka juga lebih mudah bertanya sekiranya tidak memahami isi kandungan mata pelajaran atau arahan yang diberikan oleh guru. Situasi ini seterusnya akan meningkatkan lagi motivasi murid untuk hadir ke sekolah, berdisiplin serta konsisten dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberi oleh guru mereka. Oleh itu, murid perempuan lebih cepat menyesuaikan diri dengan permasalahan yang sedang dialami, membantu meningkatkan kemahiran menyelesaikannya dan dapat memperbaiki tahap perkembangan kognitif mereka.

Murid lelaki mengabaikan emosi

Murid lelaki kerap mengabaikan emosi mereka sendiri seperti mengabaikan kegelisahan atau kerisauan sekiranya tidak memahami sesuatu topik ketika sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Mereka sukar berkomunikasi dengan guru dan rakan-rakan mengenai permasalahan yang dialami. Sekiranya keadaan itu berterusan, murid akan cepat berasa bosan dan sesi PdP dalam kalangan murid lelaki akan menjadi pasif seperti mereka tidak mahu terbabit dalam aktiviti pembelajaran, enggan menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru dan lain-lain lagi. Permasalahan ini sekiranya tidak dikawal pada peringkat awal, murid lelaki akan lebih terdedah dengan masalah disiplin seperti ponteng sekolah atau kelas, melawan guru, merokok, bergaduh sesama rakan dan lain-lain lagi. Semua ini akhirnya akan meningkatkan lagi keterbatasan untuk perkembangan intelek mereka. Oleh sebab itu, tidak hairanlah mengapa murid lelaki kurang cemerlang dalam pembelajaran berbanding perempuan disebabkan lemahnya kecerdasan emosi. Jadi, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh, elemen intelek perlu juga seiring dengan kecerdasan emosi. Dalam hal ini, peranan guru-guru amatlah besar bagi memastikan murid lelaki tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran. Kemahiran guru mempelbagaikan pendekatan dan aktiviti pembelajaran yang bersesuaian perlu ditingkatkan kerana kadar kematangan kecerdasan emosi murid lelaki dan perempuan adalah berbeza.

1. Sediakan aktiviti pembelajaran

Secara umum, guru perlu meningkatkan minat murid dengan memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran tidak pasif. Murid lelaki cepat berasa bosan sekiranya guru hanya menyampaikan isi pelajaran tanpa diselangi dengan aktiviti yang bersesuaian dengan sifat dan personaliti mereka yang sukakan cabaran, menunjukkan kebolehan dan kemahiran. Sebagai contoh, guru boleh menyediakan aktiviti pembelajaran berbentuk pertandingan secara berkumpulan bagi menggalakkan murid bertanya. Hal ini juga meningkatkan proses komunikasi antara murid dan guru. Menerusi kaedah itu, murid lelaki akan lebih tertarik dan mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti semasa sesi PdP dijalankan.

2. Sokongan ibu bapa

Ibu bapa juga perlu berperanan meningkatkan potensi murid dalam pembelajaran. Sebagai contoh, ibu bapa boleh memberi sokongan motivasi dengan sentiasa memberi galakan kepada anak-anak terutamanya murid lelaki untuk membuat ulang kaji di rumah dan menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru.

3. Berkomunikasilah dengan anak

Selain itu, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk berkomunikasi dengan anak-anak berkenaan permasalahan yang dihadapi dalam pembelajaran mereka. Ini adalah kerana, murid lelaki akan lebih rasa dihargai apabila ibu bapa mengambil berat akan kesukaran yang dialami dan seterusnya akan meningkatkan motivasi mereka untuk terus berusaha dengan lebih baik dan berjaya. Konklusinya,  guru dan ibu bapa sama-sama perlu memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecerdasan emosi murid. Dengan ini diharapkan kita akan membantu merapatkan jurang perbezaan kecemerlangan pembelajaran antara murid lelaki dan perempuan.

01 Ogos 2021

PENGGUNAAN TEKNOLOGI UNTUK MEMERANGI RASUAH DAPAT MEMPERTINGKATKAN INTEGRITI

Berita Harian Online

1 Ogos 2021 (Ahad)

Butiran Penulis

Mohd. Azrul Mat Said

Perunding Latihan Kanan, Sub Kluster Etika, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

 

Ketika dunia sedang bergelut menghadapi pandemik COVID-19, rasuah dan salah guna kuasa juga mengubah sifatnya, khususnya dengan perkembangan teknologi maklumat. Keratan kajian Global Economic Crime and Fraud Survey 2020 oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) menunjukkan peratusan kes penipuan membabitkan pengguna disenaraikan sebagai jenayah ekonomi tertinggi, iaitu 20 peratus, diikuti rasuah dan korupsi (18 peratus); jenayah siber (16 peratus) dan penyelewengan aset (16 peratus). Ini menunjukkan perlunya suatu dasar yang dapat memangkin serta mempersiapkan seluruh segmen masyarakat Malaysia untuk menelusuri dunia digital dan teknologi yang sentiasa berkembang.

 

Statistik Jabatan Perangkaan mengenai penggunaan dan capaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) individu dan isi rumah pada tahun lalu menunjukkan peningkatan kepada 91.7 peratus berbanding 90.1 peratus pada 2019. Capaian isi rumah terhadap telefon bimbit dan komputer juga meningkat kepada 98.6 peratus dan 77.6 peratus pada 2020. Ini membuktikan negara kini sedang mengadaptasi norma baharu bukan sahaja dari segi fizikal, bahkan secara dalam talian. Dasar Revolusi Industri Keempat (4IR) yang dilancarkan, 1 Julai 2021, memudahkan aliran maklumat antara institusi kerajaan, mengurangkan asimetri maklumat antara pegawai awam dan rakyat, mengehadkan budi bicara pegawai awam, pengautomasian proses, menghapuskan perantara dan mengurangkan kerenah birokrasi.

 

Namun begitu, cabaran utama bagi 1IR merealisasikan potensinya bergantung kepada kehendak politik, prasarana, faktor ekonomi dan sosial, capaian internet, faktor kerahsiaan serta kos implementasi ICT dari segi infrastruktur dan latihan. Atas dasar itu, kerajaan sentiasa mengoptimumkan inovasi teknologi dalam pentadbiran awam. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkenalkan aplikasi MACCMobile agar aduan rasuah boleh dibuat menggunakan telefon pintar. SPRM merekodkan sebanyak 243 aduan berkenaan rasuah bagi Januari hingga Jun tahun lalu berbanding 521 bagi tempoh sama tahun ini. Pertambahan laporan ini kesan kesedaran masyarakat dalam memerangi rasuah.

 

Masyarakat juga boleh mendapatkan maklumat mengenai operasi kerajaan melalui pelbagai saluran seperti laman portal dan aplikasi telefon pintar seperti MySejahtera. Menurut Galeri Aplikasi Mudah Alih Malaysia (GAMMA), terdapat 190 aplikasi dibangunkan oleh 97 agensi kerajaan yang boleh dimuat turun setakat ini untuk memastikan masyarakat mendapat maklumat tepat terus daripada kerajaan. Hakikatnya, langkah mengoptimumkan teknologi rancak dilaksanakan di seluruh dunia. Openspending.org umpamanya, inisiatif mempromosikan pengetahuan dan data terbuka mengenai belanjawan sesebuah kerajaan atau syarikat korporat. Ia akan mencipta peta aliran belanjawan secara dalam talian. Slovakia dan Cameroon mengadaptasinya, sekali gus membolehkan rakyatnya dapat meneliti data kewangan negara secara dalam talian.

 

Rakyat Argentina melalui PoderCiudadano melancarkan laman web Dinero y Politica bertujuan untuk melihat kedudukan kewangan sesuatu parti politik Argentina. Slovakia dan Republik Czech pula menggunakan laman web KohoVolit untuk memantau cadangan dan kedudukan calon pilihan raya sebelum dan selepas pilihan raya. Ia juga memantau tindakan dilaksanakan calon menang apakah ia selaras janji diikrarkan selepas mendapat kuasa daripada pilihan raya. Guatemala ialah negara yang 'kekebalan' menjadi masalah sangat serius, sebahagiannya disebabkan mempolitikkan pelantikan hakim. Laman web Guatemala Visible ditubuhkan dan dikawal selia masyarakat, yang memantau pemilihan Juruaudit Negara, Peguam Negara, Peguambela Awam, Ombudsman dan pegawai kehakiman utama lain.

 

Pasukan Polis Afghanistan pada 2009 memperkenalkan sistem pembayaran gaji melalui telefon berbanding tunai sebelum ini. Kebanyakan anggota polis menganggap terdapat kenaikan dalam gaji mereka, namun hakikatnya ini adalah pertama kali mereka mendapat gaji penuh. Sepuluh peratus gaji mereka sebelum ini dibayar kepada 'polis hantu' yang mempunyai kaitan dengan pegawai atasan. Seoul memperkenalkan pangkalan data Online Procedures Enhancement for Civil Applications (OPEN) dalam talian sebagai usaha meningkatkan ketelusan operasi. Sistem ini membolehkan masyarakat memantau permohonan awam berkaitan 70 pihak berkuasa perbandaran mempunyai kadar rasuah tinggi berkaitan perumahan dan projek pembangunan, peraturan alam sekitar dan perancang bandar.


Pangkalan data ini membolehkan pemantauan permohonan dalam talian daripada pegawai memproses permohonan, masa diperuntukkan, sebab kelewatan memproses permohonan dan sebab permohonan ditolak. Hakikatnya, terdapat pelbagai lagi kemungkinan boleh kita garap dan adaptasikan kemajuan teknologi dibawa bersama 4IR dalam membasmi rasuah. Kerjasama setiap pihak baik kerajaan, swasta, ahli politik dan masyarakat diperlukan dalam memastikan sebarang tanggungjawab diamanahkan adalah telus dan berintegriti. Membasmi rasuah tidak sepatutnya terletak kepada kertas penarafan atau objektif sesebuah syarikat semata-mata. Selagi jati diri tidak disemai dari sekarang dikhuatiri kita akan selamanya dipersalahkan oleh generasi akan datang terhadap kelemahan kita membasmi rasuah.

28 Julai 2019

ISU HANGAT : PELAJAR SEKOLAH HISAP ROKOK ELETRONIK DAN VAPE




Isu menghisap vape dan rokok elektronik kembali hangat diperkatakan setelah dilihat ia menular dalam kalangan pelajar termasuk murid sekolah rendah hingga menimbulkan keresahan masyarakat termasuk ibu bapa dan guru-guru. Perkara yang lebih membimbangkan ialah pelajar-pelajar dan murid-murid perempuan turut terpengaruh menghisap vape dan bilangan mereka dilihat semakin meningkat, memandangkan peralatan vape atau peranti rokok elektronik itu boleh didapati dengan mudah di pasaran. Kini, pelbagai bentuk peranti rokok elektronik yang menarik ditawarkan oleh penjual, sama ada dijual secara terbuka di kedai-kedai atau secara dalam talian, menyebabkan para pelajar mudah terjebak dalam aktiviti menghisap vape ini, sehingga ia menjadi trend, terutama selepas waktu persekolahan.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan tegas dan bersepadu melibatkan semua pihak berkepentingan perlu diambil bagi mengatasi isu ini kerana ia tidak boleh ditangani secara bersendirian. Menurut beliau, pihak berkuasa berkaitan perlu mengambil tindakan tegas untuk menghentikan penjualan vape kepada kanak-kanak manakala pihak sekolah pula perlu memantau dan mengadakan kempen kesedaran mengenai bahaya vape terhadap kesihatan. Selain itu, ibu bapa pula tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa. Mereka perlu memantau aktiviti anak-anak mereka bagi memastikan tidak ada yang terlibat dengan aktiviti menghisap vape.

Tan Sri Lee Lam Thye turut menyatakan ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan aspek penguatkuasaan sukar dilakukan hingga penjualan vape dilihat berleluasa meskipun ia tidak dihalang dalam kalangan golongan dewasa. Oleh itu, beliau amat berharap agar rang undang-undang baharu berkaitan kawalan pengunaan rokok elektronik atau vape dan shisha dapat dibentang di Parlimen secepat mungkin bagi menangani masalah ini. Sementara menunggu undang-undang baharu diperkenalkan, beliau turut menggesa semua pihak bersama-sama menjalankan tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya menghisap vape serta melarang ia diambil di kawasan sekolah.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan isu ini, berdasarkan pemantauan yang dibuat, KPM mendapati jualan bahan-bahan tersebut adalah di luar kawasan sekolah. Oleh itu, pihak-pihak lain juga perlu membantu usaha membanteras penggunaan vape ini. Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang N.V Subbarow mencadangkan supaya mengharamkan penggunaan pelbagai jenis rokok elektronik supaya dapat membantu menangani masalah itu selain tidak meluluskan lesen kedai atau perniagaan yang menjual rokok elektronik. Sekiranya kita tidak bertindak sekarang, kita tidak akan mempunyai belia yang sihat dalam tempoh 10 tahun akan datang. Sekiranya kerajaan terus menangguhkan sebarang tindakan, jumlah pengguna muda rokok elektronik akan meningkat pada masa depan sekali gus akan mendedahkan mereka kepada masalah kesihatan.

Dapatan daripada  Penyelidik Utama National E-Cigarette Survey (NECS) Prof Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), nikotin di dalam rokok elektronik cenderung untuk memberi ketenangan dan keseronokan dalam kalangan belia berbanding orang dewasa dan ini boleh menjadi antara sebab ramai pelajar menghisap rokok elektronik. Kajian menunjukkan remaja lebih sensitif terhadap kesan 'baik' rangsangan nikotin seperti keseronokan, mood lebih baik dan ketenangan. Perkara yang amat membimbangkan ialah pendedahan kepada nikotin lebih awal boleh mendorong kepada penyalahgunaan bahan seperti alkohol, kokain dan meth (methamphetamine). Pelajar tidak begitu sedar dengan bahaya rokok elektronik kerana mereka memikirkannya selamat disebabkan tiada kesan tembakau di dalam kandungannya. Rokok elektronik hanya untuk keseronokan. Mereka terdorong untuk menghisap rokok elektronik dan vape apabila melihat rakan-rakan mereka merokok dan memberitahu mereka bahawa ia lebih selamat daripada rokok biasa. Mereka juga mempunyai idea salah bahawa rokok elektronik dan vape tidak mempunyai tembakau di dalamnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Tunku Munawirah Putra pula menyuarakan isu ini boleh ditangani dari rumah dengan penglibatan ibu bapa supaya mereka bertegas dengan anak-anak terutama daripada segi pergaulan. Ibu bapa perlu memastikan dengan siapa anak mereka berkawan dan tahu cara untuk mendidik anak mereka bahawa vape juga sama bahaya seperti merokok. Ibu bapa juga harus menunjukkan teladan yang sebaiknya dan bersifat terbuka serta berpengetahuan untuk mendidik anak-anak.

13 Disember 2018

DAUN KETUM MEMPUNYAI NILAI KOMERSIAL?



Ketum atau nama saintifiknya ‘mitragyna speciosa’ sering menjadi tajuk perbualan, seiring dengan konflik yang membelenggu tanaman kontroversi itu, sama ada ia benar-benar membawa manfaat atau mencetus mudarat. Bagi majoriti penduduk, khususnya di sekitar utara Semenanjung, ketum atau lebih dikenali sebagai biak sudah sebati dengan kehidupan mereka sejak turun-temurun. Namun begitu, penyalahgunaan ketum sehingga membawa kepada ketagihan untuk meminumnya mencetus kebimbangan. Cadangan kerajaan untuk mengharamkan penanaman ketum bagi mengelak penyalahgunaan berleluasa, antara langkah yang wajar disahut.

Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kewujudan lebih 32 hektar ladang ketum di negeri Kedah yang menjadi sumber bekalan utama pengedaran di negara ini dan Thailand telah membawa pulangan keseluruhan yang dijana dianggarkan di antara RM500,000 hingga RM1 juta sebulan. Itu baru di Kedah, belum lagi di Perlis dan Perak. Persoalannya, mengapa begitu banyak ketum ditanam sehingga berskala ladang seolah-olah, mahu dijadikan komoditi untuk eksport dan tidak menghairankan apabila banyak kes daun ketum dirampas di sempadan negara oleh pihak berkuasa. Isu pengharaman ketum sudah lama disuarakan dan ramai bersetuju kesan mudarat akibat ketagihannya yang mengandungi bahan aktif mitragynine, iaitu sejenis alkaloid psikoaktif yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.

Sehubungan itu, timbul gesaan supaya ketum disenarai di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, sebaris pokok ganja, kanabis, popi dan koka, malah pindaan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya 1952 juga pernah dibentangkan di Dewan Rakyat. Sehingga kini, tiada keputusan konkrit mengenai pengharaman ketum dan ia terus menjadi polemik dari semasa ke semasa. Satu fakta menarik perlu diambil kira iaitu apabila menanam pokok ketum tidak dikira sebagai kesalahan, melainkan saat daunnya dipetik. Seksyen 30 Akta Racun 1952 menetapkan kesalahan bagi aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, menjual dan memiliki bahan psikotropik termasuk ketum, namun tiada soal penanaman disenaraikan.

Ruang lompong sebegini membuka ruang kepada pekebun untuk beralih mengusahakan ketum, beranggapan memiliki status ‘kebal’ dan tidak boleh disentuh pihak berkuasa. Kelonggaran ini wajar diberikan perhatian oleh kerajaan dalam merangka undang-undang berkaitan pengharaman ketum. Cadangan kerajaan negeri Kedah untuk merampas tanah yang dijadikan ladang ketum boleh dilihat semula walaupun ia tidak sempat dilaksanakan atas sebab tertentu. Malah, Jabatan Perhutanan di Kedah dan Perak pernah mengambil tindakan memusnahkan ladang ketum yang diusahakan secara haram di atas tanah rizab kerajaan atau dalam kawasan hutan simpan.

Apapun keputusan yang akan dibuat, manfaat ketum dari segi komersial dan perubatan perlu diberikan perhatian terlebih dahulu oleh kerajaan sebelum langkah mengharamkannya secara total diambil.

SIAPAKAH JAMAL KHASHOGGI?


Kisah kehilangan dan kematian Jamal Khashoggi, seorang wartawan kelahiran Arab Saudi mendapat liputan meluas dalam berita dunia. Beliau dilaporkan hilang sejak 2 Oktober lalu selepas memasuki Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki dan Jamal sebelum ini memilih untuk hidup dalam buangan di Virginia, Amerika Syarikat (AS) selepas meninggalkan Arab Saudi pada tahun lalu. Pihak berkuasa Turki menegaskan bahawa Jamal dibunuh dalam konsulat tersebut dan Riyadh pula mengakui bahawa Jamal meninggal dunia akibat bergaduh dalam bangunan itu biarpun sebelum ini negara berkenaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit.

Berikut adalah beberapa perkara mengenai Jamal:

KENAPAKAH JAMAL PALING MENONJOL?

Jamal dilahirkan pada 13 Oktober 1958 di Arab Saudi dan kariernya sebagai wartawan sering mengkritik barisan kepemimpinan kerajaan Riyadh ketika ini dan beliau berkongsi pandangannya menerusi ruang kolumnis dalam akhbar Washington Post sejak setahun lalu. Kariernya juga menyaksikan Jamal pernah membuat laporan mengenai kumpulan militan al-Qaeda di Afghanistan termasuk kebangkitan pemimpinnya, Osama Laden pada tahun 1980-an. Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarang di akhbar Arab News pada 2001 dan insiden serangan pengganas pada 11 September menjadikan Jamal sebagai ‘sumber paling berharga’ kepada media asing untuk mengetahui serta memahami situasi sebenar dalam serangan tersebut. Jamal sebelum ini pernah dipecat sebanyak dua kali sebagai Ketua Pengarang akhbar Saudi Al-Watan kerana berita yang dipaparkan sering mengkritik golongan pelampau dan pelaksanaan nilai agama di Arab Saudi.

KENAPAKAH BELIAU AMAT DIKENALI DI LUAR ARAB SAUDI?

Ketika berkhidmat dengan Saudi Al-Watan, Jamal juga merupakan penasihat kepada Duta Arab Saudi ke London iaitu Putera Turki Al-Faisal. Pada 2005, apabila Putera Turki dilantik pula sebagai Duta Arab Saudi ke AS, Jamal menjadi pembantu medianya dan kebanyakan masa Jamal bertugas sebagai kolumnis dan pengulas sebelum meninggalkan negara itu dan pindah ke AS pada Jun 2017.


KENAPAKAH JAMAL HIDUP DALAM BUANGAN?

Jamal memberitahu rakan dan wartawan bahawa ruang kebebasan bersuara di bawah pimpinan Putera Mahkota Arab Saudi iaitu Putera Mohammed Salman semakin mengecil dan beliau bimbang akan keselamatannya. Dalam satu temu bual bersama Al-Jazeera TV pada Mac lalu, Jamal memaklumkan bahawa dia akan meninggalkan Riyadh kerana enggan ditahan pihak berkuasa negara itu. Beliau juga menceritakan bagaimana dia dipecat sebanyak dua kali kerana mendesak reformasi dilakukan di Arab Saudi.

APAKAH YANG DITULIS OLEH JAMAL?

Jamal tidak menganggap dirinya sebagai seorang pengkhianat negara, sebaliknya sebagai seorang penulis yang melahirkan kebimbangan mengenai hala tuju Arab Saudi di bawah pimpinan Putera Mohammed yang berusia 33 tahun. Penulisan pertamanya dalam Washington Post pada 18 September 2017 menceritakan tentang keputusannya meninggalkan Arab Saudi. “Saya sudah tinggalkan rumah, keluarga, kerja saya. Untuk melakukan perkara sebaliknya akan mengkhianati pihak yang telah dipenjarakan. Saya ingin anda tahu bahawa Arab Saudi tidak seperti yang anda lihat ketika ini. Rak­yat negara itu berhak untuk dapat yang terbaik,” tulisnya.

Pada Februari lalu, Jamal menulis bahawa Putera Mohammed perlu belajar daripada kerabat diraja Britain bagaimana untuk mendapatkan kedudukan, kepercayaan, penghormatan dan kejayaan dengan bersikap rendah diri. “Jika Putera Mohammed bo­leh menerima segala kritikan rakyat, saya yakin beliau boleh tingkatkan kuasa serta pentadbirannya,” tulis Jamal. Selain itu, beliau juga menyamakan Putera Mohammed seperti Presiden Rusia, Vladimir Putin. Menerusi kolum terakhir sebelum beliau dilaporkan hilang, Jamal menggesa Putera Mohammed menamatkan perang terhadap Yemen yang dimulakan sejak lebih tiga tahun lalu.

KENAPAKAH JAMAL MEMASUKI KONSULAT ARAB SAUDI?

Jamal pergi ke Konsulat Arab Saudi di Istanbul untuk mengambil dokumen peribadi sebelum berkahwin dengan de­ngan tunangnya, Hatice Cengiz yang merupakan pelajar doktor falsafah warga Turki dan berusia 36 tahun. Beliau juga dilaporkan membeli sebuah rumah di Istanbul sebagai persiapan selepas berkahwin dengan Hatice.

APAKAH PANDANGAN ARAB SAUDI MENGENAI JAMAL?

Pihak berkuasa Arab Saudi sehingga kini tidak membuat sebarang kenyataan kritikal mengenai Jamal sejak kehilangannya. Putera Mohammed dalam temu bual bersama Bloomberg sebelum ini hanya memaklumkan bahawa Jamal merupakan warga Arab Saudi dan ingin tahu apa yang terjadi kepada wartawan tersebut. Putera Khalid Salman yng kini merupakan Duta Arab Saudi ke AS pula menyifatkan Jamal sebagai seorang rakan dan memuji beliau atas sumbangannya terhadap negara.

PERSON OF THE YEAR


Wartawan terkenal Arab Saudi, Jamal Khashoggi yang dibunuh kejam di Konsulat Riyadh di Istanbul dinamakan sebagai 'Person of the Year' oleh majalah Time pada 11 Disember 2018. Beliau turut berkongsi gelaran itu bersama beberapa wartawan lain yang digelar sebagai 'penjaga' kebenaran seperti Maria Ressa dan Wa Lon serta Kyaw Soe Oo yang kini dipenjarakan di Myanmar.