JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 Februari 2011

ISU SOSIAL : KURANG DIDIKAN AGAMA SEJAK KECIL MENYEBABKAN RAMAI GADIS TERBABIT DALAM GEJALA SOSIAL


Kekurangan ilmu agama menjadi penyebab ramai gadis sanggup terbabit dalam gejala sosial semata-mata mengejar pendapatan lumayan, biarpun berpelajaran tinggi. Panel Sosial, Ahli Majlis Perunding Islam Malaysia, Dr Mastura Badzis berkata, gadis masa kini tidak mendapat pendidikan agama secukupnya daripada keluarga. Katanya, meskipun mempunyai segulung ijazah, ia belum menjamin masa depan mereka supaya tidak terbabit dengan gejala sosial. Ajaran ilmu agama lebih penting daripada segala-galanya. Sebab itu anak harus diajar mengenai agama sejak kecil. Selain itu, kesibukan ibu bapa yang bekerja siang dan malam juga menjadi punca mengapa anak mereka menjadi begini ketika meningkat dewasa. Seharusnya, ibu bapa menjadi kawan rapat kepada anak mereka dan berkongsi masalah serta memantau apa yang dilakukan mereka supaya tidak terbabit dengan gejala ini.

Menurut Mastura, ibu bapa juga harus mengawal penggunaan Internet kerana tanpa pengawasan, ia boleh membinasakan masa depan anak. Laman sosial kini memberi lebih banyak impak negatif kepada golongan remaja jika tidak dipantau. Jadi tidak hairan pelbagai masalah bangkit daripada penggunaannya. Penipuan dijalankan sesetengah gadis itu ibarat memakan diri sendiri. Mungkin pada mulanya mereka sekadar suka-suka, tetapi impaknya lebih teruk daripada itu. Pendidikan awal untuk remaja menjadi agenda penting dalam mendidik peribadi golongan itu. Sekurang-kurangnya, mereka dapat memahami bahaya atau ancaman akan datang. Kebanyakan ibu bapa membenarkan anak mereka menggunakan Internet tanpa had dan kawalan. Selain itu, terpengaruh dengan rakan juga menjadi sebab mengapa mereka berani melakukan penipuan seperti itu. 

SUMBER :
METRO AHAD
06 BFEBRUARI 2011

ISU LUAR NEGARA : HARTA HOSNI MUBARAK DILAPORKAN BERNILAI RM213 BILION, MENGATASI BILL GATES DAN CARLOS SLIM HELU!

Sebuah rumah Presiden Hosni Mubarak 
berhampiran Terusan Suez di Mesir.

Lebih kaya daripada pengasas bersama Microsoft, bilionair Bill Gates, malah manusia terkaya di dunia, Carlos Slim Helu pun tidak setanding dengannya. Ketika Mesir terus dilanda konflik politik, Presiden negara itu, Hosni Mubarak dan keluarganya dilapor memiliki anggaran kekayaan mencecah AS$70 bilion (RM213 bilion) sepanjang tiga dekad era pemerintahannya. Jumlah harta Presiden Mesir itu melebihi kekayaan Gates dari Amerika Syarikat (AS) dan Slim Helu dari Mexico, yang masing-masing memiliki aset AS$53 bilion (RM161 bilion) dan AS$54 bilion (RM163 bilion) pada tahun 2010, menurut senarai majalah Forbes.

Anggaran kekayaan Hosni juga hampir setanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar Guatemala, negara rantau Amerika Tengah yang bersempadan dengan Mexico. Mengulas mengenai perkara tersebut, beberapa pakar kewangan Asia Barat berkata, sebahagian besar kekayaan Hosni, 82, disimpan di bank-bank Britain dan Switzerland. Sebahagian lagi kata mereka, telah dilaburkan dalam sektor hartanah di London, New York, Los Angeles serta kawasan peranginan pesisir Laut Merah termasuk hotel-hotel di Sharm El Sheikh.

Kediaman mewah enam tingkat berharga AS$13.6 juta (RM41.6 juta) 
milik anak Hosni, Gamal Mubarak di barat London.

Rangkaian berita ABC menyatakan, kebanyakan harta Hosni diperoleh menerusi kontrak usaha sama ketenteraan, yang bermula semasa beliau berkhidmat sebagai seorang pegawai Tentera Udara Mesir. Semasa beliau memerintah Mesir, Hosni terus memperoleh pendapatan besar dipercayai melalui amalan rasuah dan penyelewengan wang rakyat di samping keuntungan pelaburan yang mencecah ratusan juta dolar. Namun, kebanyakan harta itu didepositkan ke dalam beberapa akaun bank asing termasuk bank UBS dan Bank of Scotland atau dilabur dalam dalam sektor pembinaan seperti hotel. Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Arab, Al Khabar pada tahun lalu, Hosni memiliki hartanah di Manhattan, New York dan di Beverly Hills, Los Angeles, AS.

Anak kedua Hosni, Gamal Mubarak dan isterinya, Khadija El-Gamal.

Dua anak lelaki presiden berkenaan, Gamal dan Alaa, bertaraf bilionair dengan anggaran kekayaan kedua-duanya melebihi AS$25 juta (RM76 bilion). Gamal turut memiliki dua kapal pesiaran mewah berharga sekitar AS$81 juta (RM248 juta). Seorang profesor sains politik Universiti Princeton, AS, Amaney Jamal berkata, anggaran kekayaan Hosni adalah munasabah kerana rata-rata pemimpin rantau Teluk memiliki kekayaan mencecah AS$40 (RM122 bilion) atau lebih besar. "Usaha sama perniagaan semasa beliau (Hosni) berkhidmat dalam tentera dan pentadbiran negara melonjakkan kekayaan peribadinya," kata profesor berkenaan.

Seorang lagi pakar politik Asia Barat, Christopher Davidson dari Universiti Durham, Britain, memberitahu, Hosni dan isterinya, Suzanne mengumpul harta menerusi usaha sama dengan para pelabur dan firma asing sejak beliau memegang jawatan tinggi dalam tentera Mesir. Menurutnya, kebanyakan negara Teluk mewajibkan warga tempatan memiliki sehingga 51 peratus kepentingan dalam sesuatu projek usaha sama. 

Sumber : 
KOSMO AHAD
06 FEBRUARI 2011