Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sebelum sampai ke penghujung nya, setiap orang mempunyai impian atau hajat yang harus ditakhtakan di mercu kejayaan. Sesungguhnya, tiada manusia yang tiada impian ada tiada insan yang tidak pernah terlena diulit angan-angan. Cuma beza antara kita hanyalah cara yang digunakan untuk merealisasikan mimpi menjadi realiti atau menjelmakan angan-angan yang mengulit dan membelai itu menjadi nyata. Hakikatnya, ada dalam kalangan kita yang berjaya dan ada pula yang kecundang sehingga lesu dan tidak bermaya. Bagi mereka yang kecundang, sudah tentu mimpi yang indah tiba-tiba menjadi barah yang membusung nanah sehingga berbau dan berulat serta payah untuk dirawat. Dunia yang indah dan penuh warna warni boleh bertukar menjadi kelam dan gelap sehinggakan terpaksa merangkak dan mengensot untuk mara ke hadapan. Hidup bagai terpenjara di sangkar berduri ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Apakah kita silap percaturan, salah perancangan, atau tidak betul perbuatan? Mimpi yang pada mulanya indah dan manis bertukar menjadi hodoh dan masam? Jangan sesekali salahkan takdir maha pencipta kerana dia berhak untuk menguji umat-Nya. Jangan sesekali juga menghukum diri sendiri sehingga patah semangat dan lunyai keyakinan untuk bangkit kembali. Percayalah, sebelum sampai ke penghujungnya, kembalilah ke garisan permulaan. Betulkan segala kesilapan dan perkukuh kembali strategi diri. Insyallah, Allah akan merestui perjalanan baru kita itu. Sekiranya, sinar mula menjelma dan hidup kembali bercahaya janganlah pula kita leka menikmatinya sehingga hanyut di arus noda dan dosa. Kita sering melihat mereka yang berjaya pada peringkat permulaan tiba-tiba terjelepok jatuh sampai tidak boleh lagi berjalan kerana lupa diri, lupa daratan, dan lupa salasilah keturunan. Yang halal diharamkan dan yang haram dihalalkan kerana mereka percaya dunia ini mereka yang punya.
Sebelum sampai ke penghujungnya, pilihlah jalan hidup yang boleh membawa kita ke pintu bahagia dan sejahtera. Kekayaan mungkin memampukan kita memiliki segala-galanya tetapi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup bukannya boleh dijual beli. Alangkah sedihnya hidup andai kita mempunyai harta dan wang yang banyak tetapi di malam hari kita melayari bahtera malam keseorangan diri tanpa keluarga, sahabat handai, rakan taulan, isteri, dan anak-anak di sisi. Kita selalu keseorangan dan tidak berteman kerana disisihkan disebabkan perlakuan kita yang menyesakkan. Bukankah itu menyakitkan? Jika menyakitkan mengapa harus jalan itu yang kita pilih? Bukankah ada jalan lain yang lebih menyenangkan?
Sebelum sampai ke penghujungnya, alangkah baiknya jika semua manusia di dunia ini menjadi sahabat kita. Janganlah memusuhi sesiapa kerana permusuhan akan menjadikan jalan hidup kita semakin pendek dan dunia kita semakin sempit dan diri kita akan terhimpit. Terimalah sesiapa sahaja yang ingin mendekati, mengenali, dan membina jalinan persahabatan dengan kita walaupun mereka serba kekurangan. Janganlah kita sewenang-wenangnya menghina, mencaci, mengeji, atau berlaku ganas dan kejam kepada manusia lain hanya kerana mereka tidak sempurna kerana di sisi Allah taraf dan darjat kita semua sama sahaja. Sebelum sampai ke penghujungnya, lebih baik kita khalifah yang mampu mengembirakan, membahagikan, menyenangkan, dan mensejahterakan setiap insan yang ada di sekeliling kita. Inilah merupakan kapsul terbaik untuk menjadikan kita bebas lepas daripada segala masalah.