JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : SUBJEK SEJARAH BERAT DAN SERIUS


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali


Dibandingkan keberuntungan hidup antara generasi dulu dan kini perbezaannya ibarat langit dan bumi. Generasi dulu terpaksa berhempas pulas demi meneruskan kelangsungan hidup, padahal golongan muda hari ini menikmati kesenangan dalam pelbagai aspek pembangunan, kemudahan dan modenisasi. Malangnya, kepelbagaian kemudahan itu turut menjadikan mereka kurang peka terhadap tuntutan memartabatkan perjalanan sejarah hingga menganggapnya tidak penting. Justeru, timbul tanggapan mereka dilabelkan sebagai generasi buta sejarah hingga menimbulkan polemik dalam masyarakat yang tertanya-tanya apakah kemampuan golongan itu mengemudi negara kelak tanpa sikap patriotisme asli.

Persoalannya, apakah faktor yang menyebabkan mereka alpa? Masyarakatkah yang bersalah kerana lepas tangan atau proses pembangunan yang terlalu pantas menyebabkan golongan itu hanya mengejar keperluan material. Pensyarah Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Ishak Saat berkata, generasi muda hari ini dikelilingi kesenangan dan kemudahan dan jarang didedahkan dengan kesusahan serta perjuangan masyarakat terdahulu. Subjek Sejarah di sekolah yang hanya bersandarkan peperiksaan semata-mata juga menyumbang kepada kekurangan penghayatan sejarah di kalangan golongan muda. “Fenomena ini menyebabkan semangat patriotisme boleh dipersoalkan, malah lebih menyedihkan mereka melihat sejarah dan mentafsirkannya berdasarkan pemahaman sendiri. Mereka membuat penafsiran sendiri dan enggan menjiwainya. Jadi, jangan menunding jari jika golongan berkenaan buta sejarah sebab mereka diajar dengan pendekatan seperti itu,” katanya.

Isu generasi muda hari ini yang menganggap sejarah sebagai aspek picisan cukup membimbangkan, apatah lagi mereka juga gagal menunjukkan semangat patriotik mendalam terhadap negara seperti generasi terdahulu. Keadaan ini menimbulkan polemik dan kebimbangan di kalangan masyarakat mengenai kecenderungan masa depan generasi ini dalam mengemudi negara suatu hari nanti. Beliau berkata, sejarah mesti diajar dengan prinsip supaya tidak dikuasai golongan tertentu semata-mata, sebaliknya perlu dikongsi bersama. “Malangnya, hanya golongan tertentu saja mendominasi perjalanan serta cerita sejarah ini manakala selebihnya hanya diberi ‘sedikit’ saja pengetahuan mengenainya. Ini turut menjadikan minat yang sedikit semakin merudum. Dalam hal ini, bukan salah sepenuhnya generasi muda andai kata mereka tidak minat kerana mekanisme digunakan bagi menarik minat mereka juga kurang tepat,” katanya.

Bagaimanapun, itu bukan alasan terus mengetepikan tanggungjawab untuk menarik minat generasi muda lebih peka terhadap perjalanan dan kepentingan sejarah. “Jika tahu mereka jauh, apa salahnya kita menarik semula perhatian golongan itu dengan mekanisme tertentu. Jangan pisahkan mereka dengan sejarah kerana ini adalah kelangsungan dan kesinambungan perjalanan negara. Kalau bukan mereka yang meneruskannya siapa lagi,” katanya. Ditanya adakah sukar ingin memupuk minat golongan terbabit terhadap sejarah, beliau berkata, ia tidak sukar kerana pandangan mereka lebih kritikal serta mempunyai kekuatan pandangan baru menerusi pelbagai sumber. Mereka boleh memperoleh pelbagai maklumat dengan mudah, jadi masyarakat perlu menggunakan peluang ini bagi mendekati golongan sasaran. Malangnya, apa dilakukan secara bermusim seperti hanya pada bulan kemerdekaan sedangkan penghayatan sejarah perlu sepanjang masa agar sentiasa mantap. Mekanisme digunakan tidak cukup, jadi tidak hairan mereka langsung tidak tertarik,” katanya.

Katanya, generasi dahulu lebih prihatin kerana sistem pendidikannya tidak terlalu berorentasikan peperiksaan. “Malah, guru dulu sanggup berkorban demi meningkatkan semangat patriotik di kalangan pelajar. Bagaimanapun, cabaran dulu dan kini berbeza. Generasi dulu lebih fokus pada pembinaan jati diri tapi kini penghidupan lebih mencabar dengan pembangunan semakin rancak selain materialistik. Tapi, jiwa patriotisme juga mesti dititikberatkan. Kita tidak mahu melahirkan  generasi cerdik pandai tetapi buta sejarah negara sendiri,” katanya. Mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah, Mohamad Husairi Hanafi mengakui, generasi muda kurang berminat pada sejarah kerana beranggapan ia aspek yang leceh, sukar dan tidak penting.

Menurutnya, faktor dibesarkan selepas zaman kemerdekaan serta hidup dikelilingi kemudahan juga menjadi penyebab mereka enggan ‘membebankan’ fikiran dengan fakta sejarah. “Sejarah selalunya dianggap aspek berat, serius selain hanya untuk orang lama, sebab itu kurang mendapat tempat di hati generasi muda. Pemahaman kurang jelas juga menjadikan mereka tidak berminat, sekali gus bakal memberi kesan jangka panjang. Malah, saya mengakui golongan muda hari ini lebih suka pada kebebasan,” katanya. Rakannya, Emy Nazira Embong berpendapat, kecenderungan generasi muda kepada aspek keseronokan mendorong mereka ‘mengabaikan’ kepentingan sejarah. “Biarpun subjek itu diajar, mereka tidak mendalaminya secara serius. Pada mereka, buat apa (belajar) sedangkan negara sudah mencapai kemerdekaan. Tanggapan seperti itulah yang membuatkan mereka ambil mudah dan menganggap sejarah tidak penting, padahal sebuah bangsa berjaya kerana sejarahnya,” katanya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Harian Metro
27 Ogos 2012

ISU WANITA : KUASA WANITA PACU EKONOMI KELUARGA DAN NEGARA


Rencana ini ditulis oleh :
Nor Affizar Ibrahim


Kehadiran Hari Wanita Kebangsaan kali ini sememangnya istimewa ketika seri Syawal masih berbahang dan aura sambutan kemerdekaan negara ke-55 kian terasa. Bertemakan Wanita Pencetus Ekonomi Baru, ia ternyata selaras dengan manifestasi kerajaan terhadap sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi keluarga. Hakikatnya, dalam memastikan pembangunan berjalan lancar, peranan wanita tidak boleh diketepikan. Sumbangan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan meliputi ekonomi, sosial dan politik di kebanyakan negara bukan lagi sekadar bualan kosong, tetapi kenyataan.  Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia pada hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 tahun atau 20 tahun lalu” - Wan Hasmah Wan Mohd, Ketua Pengarah JPW

Di Malaysia misalnya, dulu wanita hanya dikaitkan dengan status suri rumah tetapi segala-galanya berubah seiring pembangunan negara. Dalam bidang ekonomi, pembabitan wanita tidak hanya ‘bertarung’ membebaskan diri daripada prasangka dan kongkongan, malah mereka sudah menjadi sebahagian penggerak ekonomi diri dan negara. Isu diskriminasi wanita tidak lagi mencengkam golongan Hawa pada hari ini, sebaliknya, integrasi ekonomi dunia seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat, sudah membentuk realiti ekonomi wanita dalam pelbagai cara.  Wanita terus mengorak langkah mengharungi cabaran memastikan kehadiran dan bakat mereka disedari dan diiktiraf. Dengan kebanjiran tenaga kerja wanita serta meningkatnya pendapatan dan kekayaan golongan ini, peranan wanita semakin berpengaruh baik dalam hal rumah tangga, organisasi mahupun negara.

Yang pasti, sumbangan wanita boleh dibanggakan sejak kebelakangan ini. Penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat daripada 44.7 peratus pada 1995 kepada 46.4 peratus pada 2009 dan sasaran sehingga 55 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh-10 (RMKe-10).  Perumpamaan ‘tangan wanita yang menghayun buaian boleh menggegarkan dunia’ dapat dilihat sebagai gambaran paling tepat untuk menggambarkan kesungguhan wanita di negara ini, khususnya dalam memastikan kestabilan negara dan kedudukan ekonomi. Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Wan Hasmah Wan Mohd, berkata hakikatnya sudah ramai menyedari potensi wanita dan memanfaatkan kehadiran mereka dalam pembangunan dan kemajuan ekonomi di negara ini.

Atas alasan itu, sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012 memilih tema Wanita Pencetus Ekonomi Baru yang mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi keluarga.  “Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia pada hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 tahun atau 20 tahun lalu. Usaha mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi melalui Model Baru Ekonomi (MBE) menjadikan wanita berperanan besar menggalas cabaran dalam era globalisasi dan terus menyokong pembangunan negara. Justeru, inilah signifikan tema itu dipilih,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini. Wan Hasmah berkata, dalam tiga tempoh Rancangan Malaysia, sumbangan wanita ketara dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara. Sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha diambil kerajaan dengan menyediakan persekitaran kondusif bagi memastikan penyertaan wanita lebih berkesan dalam pembangunan negara.

Golongan wanita kian terserlah sebagai usahawan berjaya, turut dilengkapkan dengan pakej sesuai supaya mampu bersaing dalam persekitaran ekonomi moden. “Ketika ini, wanita membentuk 49.1 peratus atau 14.03 juta populasi daripada 28.55 juta penduduk Malaysia. Seramai 9.03 juta (64.3 peratus) wanita adalah pada usia produktif iaitu 15 hingga 64 tahun,” katanya.  Sehubungan itu, sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012, ada isu khusus yang bakal dibincangkan seperti sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi negara, pembabitan wanita dalam pasaran kerja dari pelbagai perspektif, prospek kembali bekerja dan aturan kerja fleksibel.  

“Jika dibandingkan negara lain seperti Vietnam dan China, peratusan jumlah tenaga kerja wanita di Malaysia masih rendah. Ini berlaku kerana ramai wanita berhenti kerja atas faktor tertentu. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku dan kita perlu pastikan, menjelang 2015 dianggarkan 55 peratus wanita produktif berusia 18 hingga 60 tahun mesti berada dalam pasaran kerja. Wan Hasmah berkata, menyedari permasalahan itu sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012, portal Microsite TalentWanita akan dilancarkan. Portal berkenaan berfungsi sebagai pengantara kepada wanita yang meninggalkan pasaran pekerjaan untuk kembali bekerja.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Berita Harian
27 Ogos 2012

ISU SOSIAL : HARAPAM MEMILIKI RUMAH MENJALANG BAJET 2013


Rencana ini ditulis oleh :
Pandangan IKIM
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik
Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


Walaupun masih berada dalam kemeriahan lebaran dan persiapan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara, sebahagian besar masyarakat masih memberi tumpuan kepada perbahasan mengenai pelan Bajet 2013. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memberi jaminan antara lain untuk menimbang permasalahan kos sara hidup dalam rancangan Bajet 2013 yang akan diumumkan kelak. Walaupun ekonomi negara diunjur tumbuh sekitar 5.4 peratus tahun ini yang diyakini berada dalam landasan yang baik bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi 2020, masih banyak perkara yang perlu ditangani terutama berkenaan kos sara hidup yang menjadi duri dalam daging bagi sebahagian besar rakyat negara ini. Tahun ini kita menyaksikan beberapa kaedah yang diambil kerajaan bagi membantu rakyat mengurangkan kos yang dihadapi namun kebanyakannya adalah bersifat pelan jangka pendek.

Pelan jangka pendek lebih mudah diterima orang ramai berdasarkan kesannya yang cepat dan efektif pada masa itu. Walau bagaimanapun, penstrukturan pelan jangka panjang adalah lebih baik dan penting kerana bersifat lebih kukuh dan berpanjangan dengan kos yang lebih minimum. Dalam isu menangani kos sara hidup dalam pembangunan bajet 2013 ini pelan jangka panjang dan pendek perlu diperhalusi bagi mendapatkan kesan yang lebih kukuh dan efektif. Antara cadangan yang popular dilontar orang ramai untuk pembangunan bajet kali adalah berkaitan isu harga rumah. Isu rumah sememangnya menjadi isu yang amat kritikal kerana rumah adalah satu daripada keperluan asas hidup dan menjadi pelan kontingensi kepada saat-saat kecemasan yang berlaku pada masa akan datang. Oleh itu, memiliki rumah bagi setiap individu pada hari ini dianggap sebagai satu kemestian.

Harga rumah yang meningkat dengan tidak munasabah terutama sekali di bandar dan pinggir bandar sejak lima tahun kebelakangan ini menjadi kekangan kepada sekurang-kurangnya bagi sebuah keluarga untuk memiliki seunit rumah. Malang sekali lagi apabila rumah yang dijual dengan harga begitu mahal tidak berkualiti pula. Bagi golongan muda, kelihatannya seolah-olah amat mustahil untuk memiliki sebuah rumah dalam masa terdekat dengan tambahan hutang pendidikan yang ditanggung mereka. Kita akui bahawa untuk kerajaan mengambil alih kawalan harga rumah sepenuhnya adalah sesuatu yang tidak baik bagi ekonomi negara. Aktiviti ekonomi seharusnya bebas namun perlu dipantau bagi mengelakkan herotan berlaku oleh sebab yang disengajakan seperti spekulasi atau tidak disengajakan seperti kemelesetan ekonomi global. Maka, mengawal harga rumah menerusi kaedah secara tidak langsung diharap dalam dipertimbangkan dalam pembangunan dan pembentukan bajet pada hari ini.

Kaedah sedia ada seperti kerajaan membina rumah mampu milik perlu diperluaskan ke kawasan lain. Peringkat pendapatan juga perlu dikaji bagi memastikan rumah dibina sesuai dan selayaknya dengan pendapatan bagi sesebuah keluarga. Dicadangkan untuk kerajaan mengambil alih kawasan-kawasan emas yang hendak dibangunkan untuk dijayakan sebagai perumahan rakyat agar berlaku keseimbangan pembangunan dan kependudukan secara keseluruhan dalam kawasan tersebut. Selain itu, kaedah pembinaan rumah secara tradisional oleh kontraktor berlesen juga perlu diberi nafas baru. Menjual dahulu rumah yang belum dibina tidak sesuai lagi digunapakai sementelah banyaknya masalah yang timbul daripada kaedah ini yang mana turut merugikan kerajaan kerana terpaksa mengambil alih projek perumahan yang bermasalah. Kaedah-kaedah lain perlu dipertimbangkan sama ada menggunakan kaedah bina dahulu, kemudian jual atau pembinaan dan pembayaran secara berperingkat ataupun menubuhkan satu tabung khas kepada para kontraktor untuk memulakan pembinaan bagi menggantikan kaedah mengambil deposit daripada pembeli.

Sekali gus ini akan mengubah corak pembiayaan perumahan yang akan ditawarkan oleh bank-bank. Aktiviti membolot perumahan baru perlu dihentikan. Memang tidak dinafikan bahawa kita sukakan keuntungan yang maksimum yang pantas, namun dalam masa sama keuntungan yang dinikmati itu tidak harus memudaratkan orang lain. Kegiatan membolot menghampiri kepada perbuatan ihtikar yang mana dilarang oleh Islam. Ihtikar yakni penguasaan (monopoli) atau menyimpan bagi tujuan menaikkan harga lazimnya berlaku dalam jual beli makanan namun dalam hal ini matlamatnya adalah sama iaitu menguasai dan menahan rumah untuk diniagakan bagi tujuan menaikkan harganya. Kemudaratan yang berlaku terhadap individu yang tidak memiliki rumah adalah besar. Ini kerana rumah bukan hanya tempat tinggal bagi sesebuah keluarga, tetapi juga tempat perlindungan, berkasih sayang, tempat menyemai ilmu dan nilai kepada anak-anak kecil.

Adalah menjadi harapan agar isu harga rumah ini diberi pertimbangan sewajarnya dalam merangka pelan belanjawan kerana pembangunan sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi tahun 2020 harus diseimbangi dengan pembangunan masyarakatnya. Kita harus menginsafi bahawa kekayaan dalam kehidupan tidak hanya dimiliki oleh golongan tertentu sahaja sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hashr. Ketidaksamaan kekayaan adalah kepelbagaian dalam kehidupan dan sebagai manusia, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan setiap individu dapat memenuhi keperluan asasinya termasuklah tempat tinggal yang baik dan selesa tanpa mengira taraf ekonominya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
27 Ogos 2012