Pemimpin harus berani membawa perubahan ke arah kebaikan. Itulah gambaran yang saya lihat apabila satu demi satu pembaharuan dalam bidang pendidikan disabdakan oleh Yang Berhormat Puan Fadhlina Sidek sejak beliau menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia pada 3 Disember 2022. Alhamdulillah, akhirnya Malaysia mempunyai seorang menteri yang mampu berfikir ke hadapan terutama dalam hal mengurangkan tekanan dan beban guru. Pada ketika ini, segala tindakan beliau untuk memadanikan warga pendidik dan pelajar di segenap empat penjuru negara amatlah baik. Awalnya, semasa beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan saya melayari Internet untuk mengenali beliau dengan lebih terperinci.
Saya selalu tertarik dengan penggunaan bahasa Melayu beliau yang sungguh hebat. Saya sering berkongsi semua kosa kata yang digunapakai dalam ucapan dan temu bual yang melibatkan beliau. Kemahiran berbahasa Menteri Pendidikan pada kali ini memang antara yang terbaik, apabila beliau berucap dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu, sedap didengar dan mudah difahami. Beliau mampu mengeluarkan pendapat secara spontan dengan mengeluarkan idea yang tersusun. Apabila beliau mengumumkan tujuh perkara yang akan dilaksanakan dalam sesi persekolahan 2023/2024 baru-baru ini saya menarik nafas lega. Inilah Menteri Pendidikan Malaysia yang betul-betul amanah, ikhlas, jujur dan berkarisma dalam menunaikan tanggungjawab kepada nusa dan bangsa.
Bertahun-tahun warga guru bertungkus lumus bersedia pada hari pertama persekolahan kerana sekumpulan pegawai akan datang ke sekolah untuk melihat PdP berlangsung. Oleh sebab itu, masa cuti guru jadi singkat kerana dipanggil datang ke sekolah untuk membuat persediaan. Minggu pertama persekolahan memang sepatutnya minggu bersedia untuk belajar ibarat kita bersenam, aktiviti memanaskan badan harus dilakukan terlebih dahulu. Kalau tidak, muka guru sentiasa moyok dan keletihan kerana terus mengajar, kalau tidak mengajar mereka terpaksa berhadapan dengan teguran. Minggu ini sesi persekolahan amat berbeza, sesi suai kenal antara warga sekolah dan ibu bapa begitu menceriakan suasana. Keadaannya amat manis dan indah.
Guru-guru pula kelihatan amat bersemangat menyediakan diri untuk memulakan sesi PdP pada minggu hadapan. Pelbagai aktiviti diadakan seperti aerobik beramai-ramai, surat khas untuk guru, Tak Kenal Maka Tak Cinta, Berat Sama Dipikul Ringan Sama Dijinjing (Istilah Aktiviti Gotong-royong) dan lain-lain. Suasana menjadi lebih kondusif dan damai. Saya saksikan pelajar dan guru bersatu dan berpadu menceriakan kelas masing-masing seindah yang mereka mampu dan mahu. Kreativiti mereka terserlah. Yang paling utama, ikatan kasih antara mereka terjalin sudah. Jadi, sesi persekolahan pada minggu hadapan akan menjadi lebih bermakna.
Semua Menteri Pendidikan sejak dahulu selalu berjanji meringankan beban guru tetapi yang berlaku sebaliknya. Beban guru kian bertambah, resah dan tekanan guru semakin meningkat. Mereka bukan tidak hebat tetapi mereka mungkin tidak menghayati dengan lebih mendalam. Biarpun terlalu awal untuk memuji Puan Fadhlina Sidek namun saya percaya sedikit sebanyak warga guru mulai mengagumi beliau seperti saya. Warga guru memerlukan menteri yang benar-benar boleh membawa pembaharuan dalam dunia pendidikan negara kerana maju mundur negara pada masa hadapan bergantung kepada generasi yang kita bentuk akal dan mindanya di semua sekolah pada hari ini. Guru seperti saya bukan pembuat dasar, kami merupakan yang sedia berkhidmat walaupun kami tahu dasar itu akan secara tidak langsung menaikkan bacaan darah tinggi kami. Yang Berhormat Puan Fadhlina Sidek, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk puan dan pasukan di Kementerian Pendidikan. Insya-Allah, dalam tempoh lima tahun akan nampaklah hasilnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan