Rencana ini ditulis
oleh :
AKMAL JAMAL
Baru-baru ini ada dua
berita yang membuatkan kita menggeleng kepala. Kita tertanya-tanya sampai bila
masalah 'sakit akhlak' seperti itu akan kedengaran lagi pada masa akan datang. Pertama,
berita tentang penemuan seorang bayi yang mati di Pangsapuri Desa Mentari,
Jalan Klang Lama. Dipercayai ibu zalim kepada bayi malang itu seorang wanita
berusia 23 tahun telah pun ditangkap polis untuk tujuan siasatan selanjutnya. Kedua,
tentang penangkapan seorang bomoh lelaki 'celup' di Negeri Sembilan yang
mengamalkan nikah batin sebagai helah untuk melakukan seks dengan pesakitnya. Sungguhpun
pelaku kepada dua kes tersebut terdiri daripada jantina dan kategori jenayah
yang berbeza tetapi persamaannya masih ada. Paling ketara, kedua-duanya adalah
Melayu beragama Islam. Buktinya dapat dilihat daripada cara berpakaian dan
modus operandi kegiatan.
Suspek wanita yang
bekerja kilang itu dilaporkan bertudung dan berkain batik ketika hadir ke
Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 17 September lalu. Bomoh palsu yang sudah
berkeluarga itu pula menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dengan tujuan meyakini
pesakitnya untuk melakukan hubungan seks. Hakikatnya lagi, kedua-duanya
berkongsi taraf yang sama iaitu menjadi 'mangsa' kepada kehendak nafsu liar
masing-masing yang kemudiannya menjerumuskan mereka sebagai pemangsa dan
penjenayah. Pada ketika sistem kehidupan kita pada hari ini semakin rapat
dengan nilai-nilai dan amalan hidup Islam berbeza dengan latar sosio-budaya
masyarakat Melayu kita pada dekad-dekad 1960 dan 1970-an lalu, kes jenayah
berkaitan nafsu tidak terbendung masih menghantui masyarakat Melayu Islam hari
ini. Ketika akses kepada maklumat membendung jenayah mudah didapati serta
hebahan berita sebelum ini yang banyak membangkitkan isu buang bayi serta
rawatan perubatan palsu, tetap ada orang Melayu yang terus mengulang kebejatan
akhlak yang sama.
Sungguhpun, kerajaan
sudah mengambil inisiatif mewujudkan tempat khas perlindungan bayi (baby hatch)
namun masih ada juga ibu yang tergamak bukan sahaja membuang malah membunuh
bayi hasil hubungan terlarang yang dikandungnya selama ini.
Dua kes 'sakit akhlak'
tersebut walaupun bukan baru kita dengar tetapi sifat konsisten berulangnya
kes-kes yang sama seperti itu memberi isyarat akan lemahnya ketahanan jiwa
kita. Tambahan pula, apabila membandingkannya dengan rakan-rakan dari kaum
lain. Jarang kita dengar kedua-dua kes tersebut dilakukan oleh mereka. Hal ini
menunjukkan perkara paling asas yang ditekankan oleh agama Islam iaitu
perikemanusiaan dan berfikir panjang masih gagal 'mendarah daging' dalam setiap
diri masyarakat Melayu Islam kita. Benar kita manusia yang tidak dapat lari
daripada melakukan kesilapan sehingga ada yang menjadi mangsa nafsu seks diri
sendiri. Namun, tindakan sehingga sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa itu
sudah melampaui sifat binatang yang bukan mudah boleh diampunkan begitu sahaja
oleh insan yang waras dan ada pegangan agama.
Segala perlakuan
'sakit akhlak' seperti kedua-dua kes tersebut juga adalah contoh masih ramai
Melayu Islam hari ini tidak rasional dan hanya mahu memuaskan gejolak nafsu
tanpa memikirkan kesudahannya nanti. Bomoh palsu itu memang sudah terang tidak
fikir apa melainkan sudah berajakan nafsu tetapi hairannya bagaimana ada wanita
begitu mudah menyerahkan tubuh masing-masing atas alasan mahu mendapatkan
rawatan? Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di tanah air ini, orang
Melayu Islam mesti mengelak daripada terus menelanjangkan diri mereka sendiri.
Tingkatkan rasa
perikemanusiaan dan berfikir panjanglah jika benar kita mahu bangsa dan agama
kita dihormati oleh orang lain.
SUMBER
Utusan Malaysia
20 September 2012