JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 Julai 2012

ISU SOSIAL : KEUNIKAN, IDENTITI BANGSA DALAM SEJARAH


Rencana ini ditulis oleh :
Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Lambakan maklumat di alam maya boleh menimbulkan masalah apabila kita disogokkan dengan bahan yang tidak ilmiah atau yang salah fakta. Karya asal atau tulisan tulen dalam bentuk jurnal, ensaiklopedia, majalah, dokumen atau buku teks banyak tersimpan di perpustakaan awam atau di institusi pengajian tinggi kadang kala sukar untuk diperolehi jika dibandingkan dengan penggunaan komputer. Keadaan akan menjadi tidak terkawal apabila terdapat penulis yang tidak beretika menulis sejarah menggunakan fakta dan pendekatan yang salah. Demikian kerisauan yang diluahkan oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Tan Sri Omar Hashim dalam ucapan alu-aluannya semasa berlangsung Seminar Sejarah Malaysia yang diadakan di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 20 Jun lalu.

Seminar yang bertemakan ‘Sejarah, Etnisiti dan Identiti’ dihadiri lebih 200 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli PSM termasuk penggiat, peminat dan pelajar sejarah. Objektif seminar adalah untuk mengetengah dan membincangkan isu-isu kontroversi di sekitar sejarah tanah air. Ia turut meneliti permasalahan keetnikan dan cabaran pembinaan identiti bangsa dalam konteks sejarah nasional. Ada pendapat menyatakan bahawa penulisan sejarah boleh berubah mengikut perspektif dan pendekatan yang dikehendaki oleh penulis dan persekitarannya. Sebagai contoh semasa saya belajar di sekolah menengah lewat l960-an dalam mata pelajaran Sejarah, JWW Birch Residen Perak yang pertama dianggap sebagai wira kerana dibunuh di Pasir Salak ketika menjalankan tugas. Beliau dianggap berjasa kerana bertugas atas restu Ratu Inggeris dan sedang berusaha melakukan transformasi terhadap pentadbiran kerajaan negeri Perak terutama menyusun kembali penguasaan kutipan cukai.

Namun demikian apabila kita melihat sejarah melalui kaca mata kita sendiri maka wira sebenarnya ialah mereka yang merancang dan membunuh petualang negara itu. Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan rakan- rakannya dianggap sebagai pejuang ulung yang menentang kemasukkan penjajah ketika itu. Langkah lebih berkesan telah diambil oleh pihak penguasa tempatan apabila menukar semua nama jalan bernama Birch kepada Maharajalela. Dalam konteks masyarakat majmuk penulisan sejarah mempunyai kaitan yang rapat dengan etnik, kumpulan status, gender dan warga generasi. Prof. Dr. Kamaruddin M Said dalam kertas yang bertajuk Kesedaran Sosial dan Pentafsiran Sejarah menyatakan sebahagian besar penulisan sejarah Malaysia dibina oleh nasionalisme Melayu khususnya pada pertengahan pertama abad ke- 20. Dengan kejayaan UMNO menjadi pendukung utama kepada kemerdekaan tanah air maka pentafsiran sejarah dari kaca mata nasionalis Melayu telah diterima pakai dalam penulisan teks sejarah.

Namun demikian akhir-akhir ini pentafsiran sejarah telah menerima saingan daripada pihak lain secara lebih berani. Misalnya Chin Peng tokoh utama Parti Komunis Malaya (PKM) telah menerbitkan memoirnya yang bertajuk My Side of History (Chin Peng 2003). Pentafsiran Chin Peng terhadap sejarah kolonialisme dan kemerdekaan Malaysia adalah antitesis kepada pentafsiran yang dibuat oleh nasionalis Melayu. Demikian juga buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh penting PKM seperti Abdullah CD, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Chik menafsirkan sejarah ‘gerakan kiri’ dan PKM daripada sudut pandangan peribadi masing-masing.

Demikian juga buku yang berkisar peristiwa hitam 13 Mei 1969 selain buku yang dihasilkan oleh Tunku Abdul Rahman bertajuk 13 Mei: Sebelum dan Selepas (Tunku 1969) dan buku Tragedi 13 Mei: Suatu Laporan Majlis Gerakan Negara (Mageran 1969) yang merupakan laporan rasmi kerajaan, terdapat juga buku lain yang melihat peristiwa itu daripada perspektif yang berbeza. Antaranya buku yang ditulis oleh Kua Kia Soong bertajuk May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 yang merujuk banyak dokumen Pejabat Rekod Awam, London. Sementara itu buku yang bertajuk Patriots and Pretenders: The Malaysan People‘s Independence Struggle (Kua Kia Soong 2011) mengetengahkan peranan yang dimainkan oleh ‘golongan kiri’ dalam sejarah perjuangan kemerdekaan.

Sementara itu bagi Abd Ghapa Harun yang membentangkan kertas bertajuk Memahami Permasalahan Etnisiti dan Identiti dan Pengaruhnya ke atas Historiografi Negara Berbagai Kaum, Malaysia menyatakan dalam mengidentifikasi permasalahan negara maka peranan historiografi dan pendidikan sejarah adalah penting. Menurutnya diagnosis ke atas historiografi akan dapat meneliti pengaruh dan kesannya ke atas isu etnik dan identiti. Dalam abad ke-21, akibat proses globalisasi di kebanyakan negara, isu kepelbagaian etnik dan perbezaan identiti semakin ketara. Akibatnya isu keetnikan dan identiti semakin mendominasi arena politik. Ia menyemarak apabila pelbagai kelompok masyarakat khususnya etnik minoriti semakin kerap menuntut proses demokrasi dilaksanakan secara terbuka dan memperjuangkan politik multikulturalisme. Memuncaknya isu tersebut mendorong para peneliti sains sosial dan sains politik memberi perhatian mendalam terhadap implikasi kepelbagaian tersebut ke atas proses pembinaan negara. Pelbagai saranan telah dimajukan bagi menangani isu tersebut melalui penulisan, perbincangan dan seminar.

Bagi negara kita dengan pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan telah dapat mengurangkan isu keetnikan dan identiti tersebut. Pendidikan menekankan konsep perpaduan di kalangan pelbagai etnik dan membina jati diri serta mengumpulkan kanak-kanak belajar di bawah satu bumbung. Malah mata pelajaran Sejarah digunakan untuk membentuk pemikiran pelajar dan menjadi alat penting bagi pembinaan negara bangsa. Atas kesedaran tersebut Menteri Pelajaran menjadikan mata pelajaran itu wajib dipelajari oleh semua pelajar. Sejarah bukan sahaja untuk mengenal asal usul tetapi dapat dijadikan alat mengukuhkan jati diri bagi mengukuhkan perpaduan pelbagai etnik yang menghuni negara ini.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
02 Julai 2012

ISU SOSIAL : CABARAN PUSAT KESIHATAN MENTAL KOMUNITI


Pandangan IKIM
PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


Sesuatu  yang menggembirakan apabila baru-baru ini kerajaan mengumumkan akan menubuhkan pusat kesihatan mental komuniti bagi setiap negeri. Ini sememangnya langkah bijak dan proaktif bagi meningkatkan tahap penjagaan kesihatan mental masyarakat di negara ini. Semua anggota masyarakat berasa sungguh bertuah kerana aspek penjagaan kesihatan mental kini mula mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya. Bagi pesakit dan keluarga mereka khususnya, hak mereka untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya dan bebas daripada stigma buruk dan negatif menjadi semakin cerah. Jika ditinjau dari segi sejarah perkembangan kesihatan mental di negara ini, pada peringkat awal (akhir kurun ke-18) ia lebih tertumpu kepada merawat pesakit mental dalam persekitaran yang amat terhad dan hanya melibatkan sekelompok pakar perubatan dan kesihatan mental.

Dalam fasa pertama ini, perkhidmatan hanya terdapat di hospital-hospital mental sahaja. Pesakit pula akan ditempatkan di hospital berkenaan dalam tempoh yang amat panjang dan berjauhan dengan keluarga. Secara tidak langsung, mereka akan tersisih daripada masyarakat awam. Keadaan ini tidak membantu proses untuk pulih yang menyeluruh. Di samping menyisihkan pesakit dari dunia luar, keluarga mereka dan masyarakat awam, ia juga meningkatkan stigma negatif dan pandangan buruk masyarakat terhadap golongan pesakit mental. Malahan, ia turut meningkatkan beban penjagaan dan kos rawatan para pesakit dan kewangan negara. Kaum keluarga dan masyarakat pula semakin menjauhi dan menganggap pesakit sebagai makhluk yang pelik dan ganjil. Ini kerana pada ketika ini, pesakit mental dilihat sebagai mangsa kerasukan makhluk halus dan roh jahat dan lain-lain pengaruh berkaitan alam ghaib. Hanya pada sekitar pertengahan kurun ke-19, gerakan reformasi dalam sistem perkhidmatan kesihatan mental bergerak aktif dalam usaha untuk memberi harapan baru kepada para pesakit dan keluarga mereka, memperbaiki kaedah rawatan dan mengiktiraf peranan penting masyarakat dalam membantu proses pemulihan.

Fasa kedua ini menyaksikan kesan dalam pemodenan sistem perkhidmatan kesihatan dan peningkatan mutu kajian serta kewujudan penemuan-penemuan baru dalam bidang sains perubatan yang akhirnya mengubah persepsi dunia terhadap bidang kesihatan mental. Jika di peringkat fasa pertama masalah berkaitan gangguan mental dilihat berpunca daripada pengaruh makhluk halus dan roh jahat, pada fasa kedua ini, masalah itu dilihat berpunca akibat ketidakseimbangan hormon tertentu dalam badan pesakit yang menjejaskan tahap kesihatannya. Seterusnya pada awal dan menjelang pertengahan kurun ke-20, perkhidmatan kesihatan mental memasuki fasa ketiga di mana ia menjadi semakin berkembang dan maju. Di antara beberapa petanda kemuncak dalam perkhidmatan ini pada peringkat ini adalah kewujudan pusat-pusat kesihatan mental komuniti dan masyarakat. Di antara peranan perkhidmatan pusat-pusat kesihatan mental seperti ini adalah mewujudkan proses pemulihan itu berlaku di peringkat komuniti.

Ia juga merupakan pendekatan untuk mengintegrasikan peranan setiap anggota keluarga dan masyarakat dalam proses pemulihan dan penjagaan kesihatan mental yang lebih bersepadu. Di samping itu, pendekatan ini juga membentuk dan mendidik masyarakat supaya lebih bersikap terbuka dan positif terhadap kesihatan mental dan memahami apakah penyakit mental serta lebih menerima pesakit dan keluarga pesakit tersebut. Ia akhirnya diharapkan dapat menghilangkan pandangan buruk anggota masyarakat terhadap perkara ini dan seterusnya menghapuskan sebarang stigma berkaitan penyakit mental. Walaupun pendekatan seperti ini lama diamalkan oleh negara maju, namun ia baru dilaksanakan di negara ini. Memang ini merupakan satu langkah yang baik, namun terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan bagi mencapai matlamat penubuhannya dan untuk memastikan usaha murni bagi memperbaiki taraf kesihatan mental ke tahap yang lebih baik lagi untuk kebaikan masyarakat dan negara dapat dicapai.

Beberapa langkah dan aktiviti tertentu ke arah usaha dan matlamat ini perlu dilakukan seperti menyediakan kemudahan mencukupi, khususnya dari segi sumber tenaga manusia. Pendekatan ini merupakan satu usaha untuk memasyarakatkan sistem perkhidmatan kesihatan mental kepada orang ramai. Oleh kerana ia lebih tertumpu kepada masyarakat, sudah pasti ia tidak lagi tertumpu di hospital besar, dan sudah pasti juga jumlah tenaga pakar perubatan dan kesihatan akan menjadi lebih terhad. Masalah ini perlu di atasi segera seperti menempatkan pusat-pusat tersebut berhampiran hospital besar bagi tujuan rujukan dan kecemasan bagi kemudahan berkaitan dan jika berlaku perkara tidak diingini. Begitu juga, peranan anggota masyarakat yang terbabit untuk membantu usaha murni ini perlu diperbanyakkan lagi dan diberi latihan khusus. Perlu ada perancangan kerajaan bagi tujuan ini. Adakah wajar dengan menempatkan pakar berkaitan, atau beberapa pakar kesihatan mental yang lain?

Di negara yang lebih maju, lebih ramai anggota masyarakat yang pakar dan diiktiraf dalam perkhidmatan kesihatan mental terlibat seperti pakar psikiatri komuniti, pakar psikologi klinikal, pekerja sosial, dan kaunselor profesional. Adakah negara kita mempunyai orang seperti ini dengan jumlah yang mencukupi, diiktiraf dan telah menerima latihan yang kukuh dan bersesuaian? Ini kerana sekadar melantik dan melatih sesiapa sahaja yang berminat bukan satu langkah bijak, malah mereka gagal untuk berperanan secara aktif dalam menyumbang ke arah mencapai matlamat yang murni itu, lantas menggagalkan matlamat penubuhan pusat kesihatan mental masyarakat seperti yang dicadangkan.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
02 Julai 2012

ISU UMUM : SETIAP ORANG MESTI MEMAINKAN PERANAN MENYELAMAT MAS


Rencana ini ditulis oleh 
Amir Tan


Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) kini berada di persimpangan jalan. Masa depannya tergantung kepada dana yang diperoleh untuk membiayai kos operasinya masa kini dan seterusnya 'menyelamat' MAS daripada terus tenggelam dalam industri penerbangan komersil serantau dan global seandainya semua usaha yang dirancang menemui jalan buntu atau gagal. Inilah realiti yang dihadapi MAS sekarang. Untuk menyelamat atau memulihkan kedudukan MAS, ia dilaporkan memerlukan dana berjumlah RM9 bilion yang mungkin diperoleh daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau sumber-sumber lain yang belum pasti. Seandainya GLC dan GLIC bersedia membiayainya, maka pelan 'menyelamat' menjadi mudah dan melegakan para pelabur yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan MAS.

Angka RM9 bilion adalah sangat besar bagi sesuatu pelaburan. Namun, pelaburan itu mungkin menjadi wajar untuk menggiatkan operasi sebuah syarikat multinasional seperti MAS. MAS menjadi lambang penerbangan negara yang telah menebarkan sayapnya di ruang angkasa serantau dan antarabangsa selama lebih empat dekad lamanya. Dengan dipertaruhkan dana sebanyak itu ia mungkin berbaloi untuk 'menyelamat' dan seterusnya memastikan syarikat penerbangan nasional ini kekal beroperasi. Dalam dunia perniagaan tanpa mengambil kira apa jua bidangnya, untung dan rugi menjadi pertaruhan yang tidak dapat dielakkan. Banyak faktor yang menyumbang kepada kedua-dua senario itu. Antaranya ialah aspek pengurusan dan sumber tenaga manusia.

Selain daripada menerap sistem pentadbiran yang telus dan ikhlas, ia mesti didokong oleh sejumlah dana untuk membiayai kos operasi berskala besar, seperti yang dikehendaki MAS sekarang. MAS kini bukan sahaja terpaksa bersaing dalam penerbangan domestik dan antarabangsa. Syarikat-syarikat penerbangan multinasional antrabangsa seperti JAL, Qantas, KLM, Air France, Cathay Pacific, British Airways dan lain-lain tidak dapat tidak menjalankan 'perang harga' yang mungkin menjejaskan MAS kerana masalah modal yang dihadapinya sekarang. MAS juga tidak mampu mengatur usaha sama strategik akibat kelemahan itu. Mana mungkin syarikat yang untung mahu membantu yang rugi? Oleh kerana itu, MAS dilihat seperti bersendirian untuk keluar daripada permasalahannya. Mahu tidak mahu, MAS perlu mewujudkan pelan tindakannya sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak yang bersikap seperti seteru kepada MAS.

Wang adalah bukan segalanya walaupun sangat diperlukan oleh sesebuah syarikat. Ia juga sangat memerlukan sumber manusia yang jujur, ikhlas serta bersatu hati untuk membangun syarikat yang menjadi tempat mereka bernaung. Dalam hal ini, MAS mungkin beruntung kerana nilai-nilai ini telah diterapkan sejak MAS mula beroperasi. Lantaran itu, anggota Kesatuan Pekerja MAS (MASEU) yang mewakili 20,000 orang pekerja tidak banyak mencetuskan kerenah meskipun MAS berada dalam keadaan gawat. Ini adalah aset yang sangat berharga kepada MAS. Salah satu sebab tekanan terhadap operasi MAS ialah kenaikan harga bahan api yang semakin meningkat. Ditokok dengan kos pengurusan yang tinggi telah menyebabkan pendapatan MAS menyusut. MAS mengalami kerugian dari tahun ke tahun.

Di sebalik kesulitan ini, kewujudan MAS terus dipertahan oleh pasukan pengurusan yang berintegriti dan disertai dengan iltizam politik yang tinggi oleh pihak kerajaan. Namun, penghujung jalannya belum lagi cerah dan jelas sehingga kini. MAS mungkin akan menerima satu pasukan peneraju yang baru apabila RM9 bilion diperoleh. Pasukan ini pastinya memiliki iltizam yang lebih tinggi untuk melihat MAS kekal di persada syarikat penerbangan komersil antarabangsa. Selain itu, pasukan ini juga dipercayai akan membelanjakan dana yang diperoleh dengan cermat dan bijaksana. Dengan demikian, dana itu akan menjadi lebih berharga dan bermakna dari jumlah yang sebenarnya.

Dalam pelan 'menyelamat' ini pengurusan sekarang atau yang baru seharusnya memikirkan bagaimana harga tambang MAS lebih kompetitif tanpa mengorbankan keselesaan para penumpang. Pihak pengurusan MAS mungkin terlepas pandang, harga tambang domestik amat tinggi dan telah menyebabkan pelanggan lari dan membuat pilihan yang lain. MAS sewajarnya mengkaji tambang jarak dekat, seperti KL-Kota Bharu, KL-Pulau Pinang, KL-Kuantan, KL-Senai, KL-Alor Setar dan KL-Kuala Terengganu. MAS boleh menyediakan perkhidmatan yang asas sahaja tanpa menyediakan minuman sepanjang perjalanan ke destinasi-destinasi tersebut. Pengurusan MAS juga wajar memperkenalkan tambang murah dengan kadar berpatutan kepada 50 penumpang yang pertama (first 50 customers) bagi menggalakkan mereka menaiki pesawat MAS. Penumpang selebihnya perlu membayar tambang biasa, tetapi kompetitif harganya.

Untuk menjimatkan kos, MAS wajar menswastakan executive lounge di semua lapangan terbang domestik dan antarabangsa sebagai langkah berjimat cermat. Kos yang dibelanjakan untuk ruang itu mungkin boleh digunakan dan diserapkan ke dalam tambang domestik. Dengan langkah ini, MAS mungkin dapat memancing semula para pelanggan yang kian menjauhkan diri daripada penerbangan MAS semata-mata kerana harga tambang yang tinggi. Pihak pengurusan tidak boleh terlepas pandang bahawa budaya pengembara masa kini ialah memilih perkhidmatan yang murah dan baik. Dengan mengorbankan sedikit apa yang dikatakan keselesaan atau comfort, tambang MAS mungkin menjadi lebih kompetitif pada masa hadapan. Tidak mustahil mereka yang menjauhkan diri akan kembali menikmati perkhidmatan MAS secara lebih wajar dan adil.

Walau apa sahaja langkah atau tindakan 'menyelamat' MAS diatur dan dilaksanakan, MAS mesti dihindar daripada terjebak dengan isu kontroversi yang boleh melemahkan semangat mereka yang dipertanggungjawabkan. Semua pihak mesti memberi peluang kepada mereka menyusun strategi yang tepat dan selamat untuk membangun semula MAS sebagai syarikat penerbangan terunggul di rantau ini dan global. Rakyat sudah pastinya sayang dan cintakan MAS kerana ia telah berjaya memenuhi tanggungjawab sosialnya sejak mula diperbadankan. Rakyat sewajarnya memberi sokongan supaya MAS boleh meraih keuntungan dengan pelan-pelan terbarunya. Setiap orang mesti memainkan peranan 'menyelamat' MAS sebagai satu komitmen yang tidak boleh diabaikan. Nescaya dengan semangat ini, MAS akan kembali cemerlang dan unggul sepanjang zaman. Bagaimanapun, semua perkara itu tidak seharusnya mendorong peneraju syarikat mengambil mudah apabila diamanah mentadbir dan mengurus syarikat itu. Ia mesti dilakukan sejujur mungkin melalui strategi perniagaan iaitu pengurusan yang bersih.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
01 Julai 2012