JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 November 2011

ISU UMUM : MALAYSIA TIDAK PERLU SERTAI INISIATIF KESELAMATAN PENULARAN SENJATA

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara


SEPILOK ORANGUTAN SANCTUARY

Sememangnya usaha Washington untuk memujuk Kuala Lumpur menyertai Inisiatif Keselamatan Penularan Senjata (PSI) tidak pernah padam kerana berbagai usaha telah dilakukan dengan harapan Malaysia walaupun negara kuasa kecil dan tidak mempunyai kemampuan senjata nuklear menyertai gagasan yang diasaskan oleh Amerika Syarikat (AS) itu. Setiap pemimpin tertinggi AS yang melawat Malaysia sudah pasti tidak akan melepaskan peluang berbincang serta memujuk supaya Kuala Lumpur mengubah fikiran. Ketika Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton melawat Malaysia pada November tahun lepas, sudah pasti isu PSI mungkin merupakan agenda perbincangan. Begitu juga Robert Gates pada ketika itu adalah Setiausaha Pertahanan AS yang membuat lawatan selepas Hillary sudah pasti menggunakan peluang untuk menimbulkan isu yang serupa. Tetapi apa yang pasti adalah apabila Penasihat Khas AS Mengenai Penularan Senjata Nuklear Robert Einhorn yang melakukan lawatan ke Malaysia pada Februari lepas, isu PSI adalah antara agenda utama beliau.

Paling terkini usaha memujuk dilakukan sendiri oleh Presiden Barack Obama ketika mesyuarat dua hala Malaysia-AS sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 yang diadakan di Nusa Dua, Bali beberapa hari lepas. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa walaupun Malaysia bukan sebahagian daripada PSI tetapi sama sekali tidak akan membenarkan pihak lain menjadikan Malaysia sebagai pusat transit barangan terlarang senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Tambah Najib, Malaysia mempunyai perundangan yang agak mantap untuk menangani isu penularan WMD terutama sekali yang melibatkan isu dwi-penggunaan, iaitu teknologinya boleh digunakan sama ada untuk membangunkan WMD atau tujuan komersial. Undang-undang Perdagangan Strategik yang diluluskan oleh Parlimen pada April 2010 adalah bukti jelas hasrat Kuala Lumpur selari dengan matlamat PSI. Tetapi amat menarik apabila Najib berkata: "Obama meminta kemungkinan Malaysia menyertai Proliferation Security Initiative (PSI) dan Malaysia menegaskan sedang mengkaji implikasinya".

Hal ini menarik perhatian kerana ada sebabnya mengapa Kuala Lumpur sehingga hari ini masih tidak menyertai PSI setelah diperkenalkan oleh Presiden George W. Bush pada tahun 2003. Pada ketika ia mula diperkenalkan hanya 11 negara menyertai PSI yang kesemuanya adalah sekutu kuat AS. Tetapi hari ini terdapat 97 negara menyertai gagasan ini kerana pada asasnya hasrat menyekat penularan WMD yang menjadi matlamat PSI sepatutnya disokong. Negara ASEAN seperti Singapura, Brunei dan Filipina menyertai PSI tetapi Thailand dan Indonesia adalah bersama-sama dengan Malaysia berada di luar gagasan tersebut. Isu utama mengapa Kuala Lumpur berat hati adalah kerana PSI tidak berada dalam naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Walaupun prinsip asas PSI menekankan bahawa aktiviti hanya dilaksanakan jika ia tidak bertentangan dengan undang-undang negara masing-masing, tetapi wujud beberapa perkara yang bertentangan dengan peruntukan sedia ada PBB.

Contoh paling ketara adalah aktiviti utama PSI iaitu memberi mandat kepada negara ahli untuk menahan kapal yang disyaki membawa bahan WMD di perairan antarabangsa adalah bertentangan dengan Konvensyen PBB Mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) yang memberi jaminan laluan selamat dan bebas kepada semua pihak. Masalah mengenai penahanan kapal yang disyaki timbul kerana maklumat perisikan lazimnya disalurkan oleh AS dan timbul tuduhan bahawa Washington mengambil pendekatan berat sebelah dengan hanya menyasarkan negara tertentu sahaja. Jika diteliti sejarah penahanan kapal oleh negara PSI tuduhan berat sebelah tidak jauh lari daripada kebenarannya. Begitu juga dengan isu dwi-penggunaan akan timbul kerana sukar untuk membuktikan peralatan atau bahan yang dibawa akan digunakan untuk membangunkan WMD. Ini adalah kerana peralatan atau bahan untuk membuat WMD banyak digunakan oleh industri minyak dan gas. Penahanan oleh negara ahli PSI sudah pasti akan menimbulkan masalah kerana melanggar kehendak UNCLOS.

Malaysia adalah sebahagian dan penyokong kuat konvensyen PBB tersebut manakala AS menolak kewujudan UNCLOS. Agak aneh juga apabila Washington memberi jaminan bahawa Laut China Selatan akan dijadikan laluan selamat dan bebas sebagai amaran tersirat kepada pengaruh China tetapi tidak pula menyertai UNCLOS. Begitu jelas sekali tindakan Najib mengenai PSI adalah manifestasi kepada pendirian Kuala Lumpur yang tidak akan menggadaikan prinsip serta pendirian yang dipegang selama ini meskipun terdapat usaha untuk meningkatkan hubungan yang lebih rapat dengan AS di era pentadbiran beliau. Jika diungkit kembali, pendirian Kuala Lumpur yang berani menongkah kehendak Washington telah banyak kali berlaku demi peruntukan undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara. Pada 2004 umpamanya AS mahu memperkenalkan Inisiatif Serantau Keselamatan Maritim (RMSI) yang antara lain membenarkan penggunaan tentera Marin AS sebagai usaha untuk menghapuskan kegiatan lanun di Selat Melaka. Inisiatif tersebut gagal dilaksanakan ekoran bantahan dari negara pesisir iaitu Malaysia dan Indonesia walaupun disokong kuat oleh Singapura. 


Begitu jelas pendirian Kuala Lumpur bahawa perkara yang melibatkan kedaulatan negara sama sekali tidak akan dikompromi. Maka tuduhan bahawa Malaysia sanggup berbuat apa sahaja semata-mata untuk berbaik dengan AS adalah tidak benar sama sekali dan isu PSI adalah manifestasi terkini. Tetapi Kuala Lumpur akur hubungan baik ini boleh digunakan untuk mempengaruhi Washington supaya lebih bersikap adil dan telus lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan dunia Islam.


SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 NOVEMBER 2011



ISU PENDIDIKAN : 1MURID 1SUKAN BUKAN ALASAN LEMAH UPSR

Oleh Fadzlena Jafar
bhnews@bharian.com.my


TAMAN NEGARA ENDAU ROMPIN

Keputusan  Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, Khamis lalu secara keseluruhan mencatatkan pencapaian memberangsangkan, dengan menyaksikan Terengganu terus unggul melakar sejarah sebagai negeri terbaik. Pencapaian 497,691 calon di seluruh negara yang mengambil ujian itu meningkat mengikut Gred Purata Nasional (GPN), iaitu 2.30 berbanding 2.31 pada 2010. Pencapaian GPN dinilai berdasarkan pengiraan purata gred murid dan lebih rendah jumlah yang dicapai adalah lebih baik. Keputusan itu dikatakan pencapaian terbaik sejak 2008 jika mengikut GPN, namun berdasarkan jumlah calon memperoleh semua Gred A, berlaku penurunan 0.534 peratus (2,315 calon) apabila 46,012 calon atau 9.48 peratus mendapat 5A berbanding tahun lalu 48,327 (10.02 peratus) dan 48,171 (9.51 peratus) pada 2009. Beberapa pihak menganggap penurunan peratusan jumlah pelajar yang mendapat 5A berpunca daripada tumpuan khusus kepada kegiatan kokurikulum seperti dasar 1Murid 1Sukan yang kini menjadi antara agenda utama sekolah dan juga ibu bapa.

Apatah lagi pembabitan aktif pelajar dalam kegiatan itu turut diambil kira dalam pengambilan ke sekolah berasrama penuh. Apapun pembabitan murid dalam kegiatan kokurikulum tidak sepatutnya dijadikan alasan penurunan pelajar cemerlang kerana setiap sekolah sepatutnya mempunyai jadual yang sistematik supaya proses pembelajaran tidak terganggu dengan kegiatan kokurikulum, termasuk kegiatan sukan 1Murid 1Sukan.  Seperti dikatakan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, pembabitan murid dalam kegiatan kokurikulum dalam menggalakkan murid menjadi lebih kreatif dan inovatif.  “Saya tidak berpendapat sebegitu. Pembabitan murid dalam pelbagai kegiatan dapat menggalakkan murid untuk menjadi lebih kreatif dalam pemikiran dan ini selaras dengan Dasar Transformasi Negara yang memberi keutamaan kepada kreativiti serta inovasi di kalangan pelajar bagi membantu meningkatkan pembangunan negara,” katanya pada majlis penutupan program Berita Harian-Dutch Lady @ Sekolah 2011 baru-baru ini, menafikan faktor berkenaan.

Beliau berkata, masyarakat khususnya ibu bapa perlu melihat keputusan UPSR 2011 dari sudut positif apabila jumlah calon mendapat pencapaian terbaik iaitu minimum Gred C (tidak termasuk semua A) meningkat 55.45 peratus berbanding 54.38 peratus tahun lalu dan 53.52 peratus pada 2009. Prestasi pencapaian murid dalam mata pelajaran pula khususnya Bahasa Melayu, mencatatkan peningkatan pada Gred A bagi Bahasa Melayu – Pemahaman di Sekolah Kebangsaan (SK) dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 1.9 peratus, manakala peratusan calon yang melepasi tahap penguasaan minimum (Gred ABC) juga meningkat 1.1 peratus.  Meskipun prestasi Bahasa Melayu – Penulisan di SK bagi Gred A menurun 0.6 peratus, tetapi bagi Gred ABC meningkat 2.9 peratus dan pencapaian itu boleh disimpulkan bertambah baik berdasarkan prestasi calon yang menguasai tahap minimum. Prestasi gred purata Bahasa Inggeris di SK pula dilihat stabil dengan GPMP kekal 2.74 pada 2010 dan 2011, namun peratusan calon mendapat Gred A menurun 0.5 peratus.

Begitu pun, peratusan calon mendapat Gred ABC meningkat 0.4 peratus. Penurunan prestasi calon mendapat A turut dicatatkan bagi subjek Matematik yang turun 0.3 peratus daripada tahun sebelum, namun peratusan calon mendapat Gred ABC meningkat 0.9 peratus.  Bagi mata pelajaran Sains, prestasi keseluruhan menurun dengan nilai GPMP sebanyak 0.03 peratus berbanding 2010 calon yang mendapat Gred A turun dua peratus dan Gred ABC sebanyak 0.8 peratus.  Kita yakin jika semua sekolah memberi tumpuan sama rata kepada setiap mata pelajaran, pencapaian akan menjadi lebih memuaskan. Begitu juga perhatian sepatutnya diberikan kepada calon yang sederhana pencapaiannya tetapi berpotensi mencapai keputusan cemerlang, bukan hanya kepada calon cemerlang. Langkah itu mungkin dapat meningkatkan murid cemerlang yang memperoleh semua A. Terengganu yang kekal terbaik berdasarkan pencapaian jumlah calon mendapat 5A mampu berbangga apabila 3,548 atau 15.6 peratus daripada 22,801 calon memperoleh 5A tahun ini berbanding hanya 15.4 peratus daripada 23,147 calon pada 2010. Begitu pun, Pengarah Pelajaran Terengganu, Razali Daud yang gembira dengan pencapaian itu mengakui masih ada ruang memperbaiki pencapaian, lebih-lebih lagi apabila Kelantan yang dianggap pesaing terdekat dengan pelajar yang mendapat 5A, 15.4 peratus turut mencatatkan keputusan GPN lebih baik dengan 2.09 berbanding Terengganu 2.14 pada tahun ini.

SUMBER
BERITA HARIAN
24 NOVEMBER 2011