JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 Mac 2015

TEGAS LAKSANAKAN GST

Dr. Rohaime Shafie
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia.

Utusan Malaysia Online, 29 Mac 2015


Setelah hampir 27 tahun, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) disebut buat pertama kalinya di Malaysia, akhirnya tanggal 1 April ini, iaitu tiga hari lagi men­jadi penentu pelaksanaan sistem percukaian ini. Kerajaan sudah menyatakan bahawa GST tidak akan ditangguhkan. Dalam keadaan banyak lagi rakyat Malaysia yang masih samar-samar atau kurang faham dengan GST, persoalan asas sama ada GST benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara akan hanya ditentukan selepas kerajaan dapat melaksanakan GST dengan jayanya.

Sudah menjadi lumrah di Malaysia, sebarang perubahan yang ingin dibuat pastinya akan mendapat bantahan. Lebih-lebih lagi kalau bantahan itu melibatkan orang politik, maka riuh rendah dibuatnya seolah-olah perubahan yang ingin dibuat tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat. Selepas perubahan itu ber­jaya dilaksanakan, baharulah dapat menutup mulut golongan seperti ini yang tidak pernah sunyi dalam menghangatkan sesuatu isu rakyat. Maka untuk menutup mulut golongan ini daripada terus menghasut majoriti rakyat Malaysia, mahu tidak mahu kerajaan perlu membuktikan bahawa GST benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Pokoknya di sini ketegasan kerajaan dalam melaksanakan perubahan dalam sistem percukaian Malaysia.


Banyak contoh di negara lain yang membuktikan bahawa GST memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Usah pergi jauh, di negara jiran kita, Singapura, GST telah memberi impak positif kepada negara berkenaan. Lebih banyak lebihan wang dan dana boleh digunakan untuk pembangunan negara. Malah, wang berkenaan boleh meringankan mereka yang kurang berkemampuan. Bayangkan sebuah negara yang tidak mem­punyai sumber semu­la jadi yang banyak seperti negara kita pun mampu menjadi sebuah negara yang cukup maju di dunia, maka, tiada alasan untuk negara kita mencapai lebih banyak kejayaan. Cuma bezanya di sana, ketegasan kerajaan dalam melaksanakan sesuatu perkara. Umum mengetahui, salah satu perkara yang sering disebut-sebut oleh rakyat Malaysia ialah kelemahan penguatkuasaan yang menyebabkan banyak kerugian kepada rakyat dan negara. Misalnya, ketirisan melibatkan penyeludupan minyak di negara jiran adalah berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan.

Akhirnya, untuk mengatasinya kerajaan telah menarik subsidi minyak. Tidak kurang juga isu warga asing yang terlibat dalam perniagaan, dengan sewenang-wenangnya mereka membuka kedai. Sampai sekarang pun isu ini tidak selesai, menggambarkan kelemahan penguatkuasaan. Maka, dalam hal GST, kerajaan perlu tegas terutamanya terhadap peniaga-peniaga yang sengaja mengambil kesempatan untuk menggagalkan pelaksanaan GST. Ada antara mereka dengan sengaja menaikkan harga barangan sebelum GST dilaksanakan lagi. Sedangkan kenaikan harga barangan yang dijual tidak berkait langsung dengan GST.

Apa yang berlaku, rakyat diadu domba seolah-olah kenaikan tersebut berpunca daripada GST. Dengan kata lain, GST dikambinghitamkan demi keuntungan sebelah pihak. Akibat kekurangan maklumat atas beberapa faktor seperti maklumat tidak sampai kepada mereka atau mereka sendiri malas untuk mencari maklumat sebenar dengan mempercayai bulat-bulat media sosial, maka segelintir golongan rakyat ini dengan mudahnya dihasut untuk membangkitkan kemarahan terhadap GST. Di Singapura juga tatkala GST ingin dilaksanakan, rakyatnya juga kekurangan pemahaman tentang GST, namun perkara ini dapat diatasi dari hari ke hari sehinggalah rakyat mula nampak kebaikan GST. Kerajaan Singapura telah berusaha bersungguh-sungguh memberi kefahaman tentang GST kepada rakyatnya.

Mendesak

Mengambil contoh, caj perkhidmatan yang dikenakan oleh hotel dan restoran dalam lingkungan 5-15 peratus, isu ini hanya berbangkit dalam kalangan rakyat selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan GST. Jika tidak, berapa ramaikah rakyat Malaysia mengetahui bahawa caj perkhidmatan tersebut bukanlah cukai yang dibayar kepada kerajaan? Apabila ada yang menganggap itu cukai yang dikutip oleh kerajan, jadi tidak semena-mena perasaan marah boleh timbul terhadap kerajaan. Ekoran isu caj perkhidmatan ini timbul, maka terdapat pihak yang mendesak kerajaan untuk menghapuskan caj perkhidmatan. Malangnya, caj perkhidmatan ini dikatakan tidak dikawal oleh kerajaan. Adakah caj perkhidmatan tersebut setimpal dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh peniaga? Di sini, kerajaan perlu tegas untuk membuat keputusan demi kepentingan rakyat.

Lihat sahajalah isu kenaikan harga minyak yang digunakan untuk menaikkan harga barangan dan makanan, walhal apabila harga minyak diturunkan tidak pula harga barangan dan makanan diturunkan. Inilah yang sebenarnya dibimbangi oleh rakyat. Contoh ini pun sudah cukup untuk membuktikan bahawa terdapat peniaga yang sengaja mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Mereka ini jugalah yang memberi seribu satu alasan kononnya pelaksanaan GST menyusahkan mereka dan melibatkan kos pematuhan yang tinggi. Sejak sekian lama, mereka mengaut keuntungan yang cukup tinggi sehingga menjadikan mereka kaya raya, jadi apalah salahnya, mereka menyerap kos ini demi berbakti kepada rakyat. Bagi peniaga yang masih degil menaikkan harga produk mereka dengan keterlaluan, kerajaan sewajibnya tegas menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Apalah gunanya, di atas kertas, terdapat akta yang bagus, namun penguatkuasaan tidak ke mana.

Perlu diingat, selain kos pematuhan yang terpaksa ditanggung oleh mereka, kerajaan juga menanggung kos pentadbiran untuk melaksanakan GST. Sebab itulah, usah memberi seribu satu alasan hanya untuk kepentingan diri sendiri. Kalau 160 negara telah melaksanakan GST termasuklah United Kingdom yang telah berjaya melaksanakan GST, adakah masih tidak cukup bukti GST itu sistem percukaian yang bagus? Kos pentadbiran yang ditanggung oleh kerajaan diperlukan untuk memastikan kelancaran sistem GST bagi merealisasikan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaannya. Melalui kutipan GST yang cekap akan menentukan bahawa dana yang lebih banyak dan pendapatan kerajaan yang lebih stabil boleh dikembalikan semula kepada rakyat terutamanya untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial dengan membantu golongan yang kurang berkemampuan, berpendapatan rendah dan mereka yang sudah pencen. Malah, melalui ketegasan kerajaan jugalah, wang kutipan GST dapat disalurkan kepada rakyat pada tahap kecekapan yang paling optimum. Dengan ini, bakal memperbetulkan reaksi negatif segelintir rakyat, memacu ekonomi dan daya saing negara serta memperkukuhkan lagi kredibiliti kerajaan di mata rakyat.