JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



20 Ogos 2012

JADIKAN MOTIVASI : DARI BAU KE KOTA LONDON


Rencana ini ditulis oleh :
ZAAIN ZIN

Hampir separuh pendapatan saya sebagai buruh kasar digunakan semata-mata untuk membeli baju renang mereka 
- Pamg Joheng


Perjalanan menaiki kapal terbang dari tanah air ke Kota London dianggarkan mengambil masa kira-kira 13 jam. Berkurung lebih separuh hari di dalam pesawat yang terbang pada ketinggian mencecah 10,000 meter di udara, sesiapa pun pasti berasa letih, lesu dan lenguh-lenguh sendi di seluruh badan. Bayangkan pula ‘perjalanan’ selama bertahun-tahun yang perlu ditempuhi seorang anak Bidayuh kelahiran Bau, Sarawak seawal usia lapan tahun untuk menjadi ratu terjun yang kita kenal hari ini - Pandelela Rinong Pamg. Kecewa, marah, gembira, sakit, gementar, penat, jemu serta segala macam jerih-perih perlu diharungi sewaktu menjalani latihan keras lapan jam sehari. Itu bayaran yang membolehkan beliau menjejakkan kaki ke Kota London. Bukan calang-calang orang yang mampu melepasi ranjau sebegitu satu-persatu untuk muncul sebagai atlet terjun tersohor serta memiliki reputasi tersendiri.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika bertandang ke Kuching, mengakui kagum dengan Pandelela yang disifatkan bersemangat waja dan kecemerlangan itu perlu diteladani sesiapa sahaja. Kita tengok dalam televisyen, penampilannya hanya sekejap, dalam beberapa saat sahaja dia terjun. Tetapi untuk sampai ke tahap kecekapan itu memerlukan kita bekerja kuat," katanya. Dibesarkan di Bau, sebuah daerah kecil yang langsung tidak memiliki kolam renang awam, ibu bapanya sendiri tidak menyangka anak gadis mereka yang diberi nama Pandelela Rinong itu akan menjadi seorang jaguh sukan terjun. Mengikut loghat orang Sarawak, ‘pande’ berasal daripada perkataan ‘pandey’ iaitu pandai, manakala ‘rinong’ dalam bahasa Bidayuh bermaksud tenang," ujar ibunya, Hartini Lamim ketika menerima kunjungan Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Hartini, 44, berkata, nama itu diilhamkan kerana proses melahirkan Pandelela cukup mudah. Anak keduanya itu pandai merancang bila hendak ‘keluar. Pendek kata, semua berlaku dalam keadaan tenang tanpa sebarang masalah. Ketika menamakan anaknya itu pula, kata Hartini, dia tidak meramal apa yang akan berlaku pada masa depan. Namun nama itu secara kebetulan menggambarkan ciri-ciri seorang juara dalam diri Pandelela iaitu pandai dan tenang. Bakat Pandelela dikesan oleh Wang Jin Lan, jurulatih skuad terjun Sarawak sekitar 2001, iaitu ketika dia berusia lapan tahun. Hartini dan suami, Pamg Joheng, 46, tidak teragak-agak memberi keizinan walaupun mereka sendiri tidak pasti sejauh mana Pandelela boleh pergi. Turut dipilih mengikuti latihan bersama skuad terjun negeri ialah anak sulung mereka, Pardika Indoma yang ketika itu berusia sembilan tahun.

Jurulatih meminta kami menyediakan baju renang untuk mereka. Jadi kami terus ke bandar. Saya terkejut melihat harganya yang sangat mahal, lebih kurang RM200. Hampir separuh pendapatan saya sebagai buruh kasar digunakan semata-mata untuk membeli baju renang mereka," kata Pamg yang dibayar upah kira-kira RM600 sebulan oleh majikannya. Tambah Pamg, dia meminta anak-anaknya menjaga baju renang masing-masing sebaik mungkin dan menggunakannya sehingga benar-benar lusuh sebelum digantikan dengan yang baharu. Pengakuan ikhlas Pamg menggambarkan betapa sederhana hidup mereka sekeluarga. Kesederhanaan itu jugalah yang mengajar Pandelela supaya bersungguh-sungguh dalam bidang diceburinya.

Kecemerlangan


Kejayaannya yang sulung adalah sewaktu merangkul dua pingat emas untuk kontinjen Sarawak dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Kedah pada 2006. Setahun kemudian, beliau meraih emas di Sukan SEA XXIV Korat. Pandelela mula dikenali ramai selepas memenangi pingat emas dalam acara terjun di Sukan Komanwel Delhi dan pingat perak di Sukan Asia XVI Guangzhou yang masing-masing berlangsung pada 2010. Kejayaan demi kejayaan itu menjadi pemangkin kepada deretan kecemerlangan yang lain. Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Pada temasya Olimpik tahun ini, Pandelela tiba di Kota London dengan reputasi sebagai antara penerjun terbaik Asia di samping menjadi atlet harapan yang disebut-sebut mampu meraih pingat untuk negara. Selepas atlet harapan lain, terutama gandingan beregu badminton Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong dan jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang gagal meraih sebarang pingat, semua mata rakyat Malaysia tertumpu kepada Pandelela.

Menggalas harapan negara untuk memenangi sekurang-kurangnya pingat gangsa pada Olimpik - tekanan yang hadir bukan sedikit. Percubaan awal menerusi acara 3 meter papan anjal bergandingan dengan Cheong Jun Hoong serta acara 10 meter terjun seirama bersama Leong Mun Yee gagal. Mereka menduduki tangga tercorot dan kedua tercorot. Pandelela yang tingginya cuma 159 sentimeter bagaimanapun bangkit membuktikan kejaguhan apabila muncul sebagai penerjun ketiga terbaik dunia dalam acara 10 meter platform individu pada awal pagi Jumaat lalu. Kejayaan itu, walaupun sekadar melayakkannya meraih gangsa, amat menggembirakan seluruh rakyat Malaysia. Masakan tidak, negara ini belum pernah memenangi pingat dalam acara lain kecuali badminton sejak menyertai Olimpik buat pertama kali pada 1956.


Insan paling gembira sudah pasti ibu bapanya. Malah, lensa kamera jurugambar sempat merakam aksi spontan Pamg mencium wajah anaknya di kaca televisyen ketika RTM menyiarkan secara langsung upacara penyampaian hadiah. Bagi Pamg, dialah bapa yang paling gembira di dunia kerana doanya untuk melihat Pandelela naik ke atas podium sebagai pemenang pingat dimakbulkan tuhan. Apa pun alasannya, Pamg dan isteri berhak untuk berasa gembira. Mereka mengambil risiko mengizinkan Pandelela aktif sebagai atlet ketika ramai ibu bapa lain menghalang anak-anak berbuat perkara sama kerana berpendapat bidang sukan tidak menjamin masa depan. Mereka berkorban wang, masa dan tenaga. Di kala muncul suara sumbang mempertikaikan kemampuan Pandelela, mereka tetap berdiri teguh di belakangnya. Mereka sentiasa berdoa di samping menyokong dan percaya kepada potensi anak kedua daripada empat beradik itu.

Perjalanan Pandelela ke Olimpik London boleh kita simpulkan berakhir dengan kejayaan luar biasa. Beliau melakar sejarah menjadi atlet wanita negara pertama memenangi pingat di Olimpik. Empat tahun dari sekarang, gadis itu bakal merintis jalan ke Rio De Jeneiro untuk mengintai emas pertama negara pula. Tuah ayam nampak di kaki, tuah Pandelela siapa yang tahu? Apa yang pasti kini, Pendelela mempunyai sebab yang kukuh untuk meninggalkan Kota London dan kembali ke Bau dengan penuh bergaya!

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
19 Ogos 2012

ISU GLOBAL : HENTIKAN KESENGSARAAN UMAT ISLAM ROHINGYA DI MYANMAR


Rencana ini ditulis oleh :
SHAHBUDIN EMBUN
Penulis buku - Najib Peneraju Transformasi


Bayangkan di kala takbir Syawal sedang bergema di seluruh dunia, menyambut kemenangan berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan, umat Islam di Rohingya terus dihimpit, dikeji, dinafikan hak sebagai manusia, dizalimi, diseksa, dirogol dan dibunuh. Itu sebabnya dalam isu ini, dengan jelas kita semua perlu bersuara dengan kuat dan lantang! Ya, tidak ada kompromi. Sudah sampai masanya kekejaman penghapusan etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar perlu diberhentikan serta-merta. Bukan itu sahaja, bahkan mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan di mahkamah antarabangsa dan dikenakan hukuman yang sewajarnya. Penulis amat bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan untuk meneruskan tekanan politik serta mendapatkan penglibatan pertubuhan hak asasi manusia bagi memainkan peranan yang lebih bermakna dan penting.

Baru-baru ini penulis berkesempatan mengikuti satu persidangan yang dihadiri oleh 62 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara ASEAN membincangkan isu 800,000 penduduk Rohingya di Burma. Dan yang lebih menyedihkan, penduduk Rohingya ini dianggap sebagai orang luar atau pendatang tanpa izin. Bukankah sejarah telah membuktikan dengan jelas bahawa kaum Rohingya adalah kaum pribumi di wilayah Rakhine. Untuk makluman, umat Islam Rohingya kebanyakannya tinggal di sebelah barat Myanmar di negeri Arakan yang bersempadan dengan Bangladesh. Dalam hal ini ternyata sekali kerajaan Myanmar tidak mematuhi langsung protokol ASEAN Human Rights Body, yang dipersetujui negara itu pada 15 Disember 2008. Itu sebabnya umat Islam Rohingya masih terus menderita akibat pencabulan dan pembunuhan secara terang-terangan yang bakal mengancam kewujudan kaum Rohingya di negara itu sekiranya kekejaman ini terus dibiarkan.

Kita perlu tahu bahawa penghapusan etnik ini bukannya berlaku sejak setahun dua ini. Ia telah lama dilancarkan sejak 1982 lagi, iaitu kira-kira 30 tahun lalu! Dan kita masih lagi tidak dapat membantu umat Islam di Rohingya yang terus dibunuh dengan kejam oleh rejim tentera Myanmar. Daripada laporan akhbar, pada tahun itu sahaja seramai 100,000 umat Islam disiksa dan dibunuh dengan kejam, seolah-olah nyawa mereka tidak ada nilainya. Dan kini difahamkan juga terdapat 400,000 pelarian Rohingya berada di kem pelarian di Bangladesh, 60,000 berlindung di Thailand, 150,000 di Pakistan, dan 40,000 di Malaysia. Sebahagian daripada mereka yang bernasib baik terdampar di Malaysia, Indonesia dan Australia tetapi ramai juga di kalangan mereka yang menemui ajal di tengah samudera yang mengganas, iaitu akibat mati lemas atau kebuluran di tengah laut.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah negara tumpahnya darah menganggap mereka ini sebagai kaum pendatang, ada juga negara-negara yang mendakwa sebagai negara Islam juga tidak mahu para pendatang ini menjadi pelarian di tempat mereka. Jika hendak disebutkan satu persatu kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam Rohingya, ia terlalu banyak untuk dinyatakan. Bayangkanlah, jika pembunuhan boleh berlaku dengan sewenang-wenangnya, maka kekejaman seperti pencabulan hak asasi, rogol, penyiksaan, tiada pengiktirafan sebagai rakyat adalah antara kekejaman yang dilakukan oleh pihak junta tentera Myanmar. Masyarakat etnik Rohingya juga disiksa tanpa bicara dan terdapat kes yang mana berlakunya pemaksaan keluar daripada Islam dan dipaksa menganut Buddha.

Penulis yakin, Najib yang begitu prihatin dengan keadaan di Myanmar akan terus memberi tekanan dan menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menangani isu ini. OIC merupakan organisasi antara kerajaan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Keanggotaan OIC terdiri daripada 57 negara dari empat benua dengan penduduk melebihi 1.5 bilion. OIC merupakan pertubuhan yang besar dan seharusnya dapat memainkan peranan yang lebih bermakna memastikan tidak ada lagi penganiayaan dan pembunuhan dilakukan terhadap umat Islam Rohingya. OIC juga perlu mengeluarkan kenyataan secara kolektif menggesa Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Perkara 35 untuk campur tangan dengan serta-merta. Tiada kompromi dan usaha ini mesti dilakukan dengan secepat mungkin. Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa masalah di Rohingya perlu ditangani segera. Dan satu dunia bukan sahaja perlu mengutuk kerajaan Myanmar yang membiarkan masalah ini berterusan, namun perlu bertindak dengan lebih aktif.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
18 Ogos 2012

ISU UMUM : RAYA WARGA ASING DI KUALA LUMPUR


Rencana ini ditulis oleh :
NIZAM YATIM
pengarang@utusan.com.my


Ketika kebanyakan umat Islam berkumpul bersama keluarga di kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri esok, terdapat juga yang menyambutnya dengan cara tersendiri di sekitar ibu kota. Mereka ialah warga asing, antaranya dari Indonesia, Bangladesh dan Vietnam yang sudah menjadi tradisi ketika cuti perayaan, mereka akan bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur bagi memenuhi masa terluang. Kebanyakan mereka tidak pulang ke kampung walaupun diberikan cuti umum selama dua hari dengan pelbagai alasan termasuk ingin berjimat-cermat atau disebabkan tidak mampu membayar kos pengangkutan pulang ke tanah air yang mahal. Keadaan jalan raya dan stesen pengangkutan awam yang lengang berbanding hari biasa memudahkan mereka untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain di sekitar kota metropolitan itu dengan pantas, tanpa perlu menempuh kesesakan.

Antara tempat yang menjadi tumpuan warga asing adalah kawasan sekitar Menara Berkembar Petronas yang lebih dikenali sebagai Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Rata-rata warga asing menganggap KLCC adalah tempat yang wajib dikunjungi ketika cuti kerana ia lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti stesen transit aliran ringan (LRT), pusat beli-belah, masjid dan taman rekreasi. Keunikan seni bina menara berkenaan yang mempunyai pengaruh Islam juga menarik minat warga asing untuk bergambar sebagai tanda kenang-kenangan. Cuti umum memberi peluang kepada mereka untuk datang ke KLCC bersama rakan-rakan untuk melihat menara itu secara lebih dekat. Terdapat juga warga asing terutama golongan profesional yang keluar bersiar-siar bersama keluarga dengan membawa anak-anak bermain di taman permainan kanak-kanak dan kolam mandi yang disediakan.

Ada juga warga asing menjadikan kawasan Taman KLCC sebagai tempat berkelah dengan menikmati makanan dan minuman secara berkumpulan. Sambil menikmati keindahan bangunan pencakar langit dan air pancut yang terdapat di sekitar kawasan itu, mereka juga meluangkan masa untuk berehat dan berbual kosong dengan rakan-rakan senegara. Bagi sesetengah warga asing, pusat beli-belah di KLCC adalah tempat untuk mereka menjamu mata dengan barangan berjenama walaupun tidak mampu membelinya kerana harga yang mahal. Dalam pada itu, bagi warga asing yang gemar membeli-belah, kawasan tumpuan adalah sekitar bangunan Kota Raya dan Sinar Kota yang menawarkan pelbagai barangan pada harga berpatutan. Di situ, terdapat banyak barangan tiruan dengan jenama terkenal dijual bagi membolehkan warga asing bergaya walaupun bukan asli.

Deretan kedai yang disewa warga asing di Jalan Silang yang menjual barangan dari negara asal masing-masing turut menjadi tumpuan untuk mereka berkumpul sehingga kawasan tersebut digelar sebagai 'Mini Dhaka'. Tujuan sebenar mereka berkumpul beramai-ramai adalah untuk menghilangkan kerinduan kepada kampung halaman masing-masing, selain mahu bertanyakan khabar rakan-rakan yang mungkin bekerja di negeri lain di negara ini. Hari raya juga adalah waktu yang membolehkan mereka mengambil kesempatan untuk berniaga secara haram di kaki lima jalan kerana menyedari anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang bercuti. Adegan tawar-menawar barangan jualan di kalangan mereka seperti buah-buahan, makanan dan barang kemas turut mencetuskan suasana hiruk-pikuk di kawasan terbabit.

Kehadiran ramai warga asing itu menyebabkan anak jati Kuala Lumpur yang beraya di ibu kota menjadi kumpulan minoriti sehingga mungkin disalah anggap sebagai golongan pendatang. Turut terasa dengan kebanjiran warga asing itu adalah pemandu pengangkutan awam rakyat tempatan yang terpaksa bekerja pada hari raya. Mereka terpaksa melayan pelbagai ragam warga asing berkenaan. Antara laluan yang paling ramai dipenuhi kelibat warga asing adalah pengangkutan bas dari Rawang ke tengah ibu kota dan tren komuter dari Pelabuhan Klang. Turut menjadi tumpuan adalah restoran mamak di sekitar Pasar Seni yang tetap dibuka walaupun Hari Raya yang dipenuhi warga asing untuk menjamu selera. Terdapat juga warga asing yang mengambil kesempatan cuti Hari Raya dengan menonton wayang.

Sementara itu, kebanjiran warga asing ke ibu kota pada Hari Raya Aidilfitri turut memberikan kesan buruk apabila rata-rata mereka dilihat masih membawa tabiat dari negara asal iaitu membuang sampah di merata-rata. Mereka juga berebut-rebut untuk menaiki bas dan LRT sehingga menyebabkan Kuala Lumpur berubah wajah menjadi seperti bandar-bandar di negara dunia ketiga. Di Taman KLCC pula, terdapat warga asing dewasa yang menggunakan peralatan permainan yang dikhususkan untuk kanak-kanak. Untuk mengelak fenomena ini berulang setiap kali musim perayaan, sudah sampai masanya pihak pengurus taman berkenaan menempatkan lebih ramai pengawal keselamatan bagi memantau kerenah warga asing terbabit. Pekerja untuk mengutip sampah juga perlu ditambah. Ingatlah setiap kali tibanya Aidilfitri, bukan bermakna semua orang harus bercuti.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
18 Ogos 2012