JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 November 2010

ISU TENAGA : PERSEDIAAN HADAPI KRISIS TENAGA


"Negara mungkin akan berhadapan dengan krisis tenaga dalam tempoh kurang 10 tahun lagi." Kenyataan tersebut bukanlah suatu omongan kosong. Tetapi, ia merupakan hakikat yang mungkin bakal kita hadapi jika terus bergantung sepenuhnya kepada sumber bahan api fosil seperti arang batu, gas dan petroleum bagi menjana tenaga elektrik tanpa berusaha meneroka dan membangunkan alternatif lain sebagai penimbal kepada sumber tenaga berkenaan. Sehubungan itu, sudah tiba masanya kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga dengan meneroka sumber-sumber tenaga lain yang lebih mesra alam bagi menggantikan sumber tenaga yang sedia ada. Kita seharusnya realistik bahawa penerokaan alternatif lain bagi menjana elektrik bukan lagi suatu pilihan, sebaliknya ia merupakan satu keperluan memandangkan sumber tenaga utama kita pada hari ini semakin menyusut. Bukan itu sahaja, bahkan bekalannya yang tidak menentu dan tertakluk kepada permintaan serta spekulasi pasaran akan menyebabkan tarif elektrik sentiasa berubah-ubah dan tidak stabil.

Selain itu, desakan untuk membangunkan sumber tenaga alternatif dengan kadar segera juga adalah rentetan daripada kesedaran bahawa sumber tenaga sedia ada telah banyak memberi dampak negatif terhadap alam sekitar. Antaranya, ia merupakan penyumbang terbesar kepada masalah pencemaran melalui pembebasan gas karbon dioksida dan monoksida yang seterusnya membawa kepada kecelaruan iklim dan pemanasan global pada hari ini. Lebih buruk lagi apabila situasi iklim yang tidak stabil memungkinkan berlakunya lebih banyak bencana alam di serata dunia yang akhirnya akan turut menggugat tahap keselamatan seluruh makhluk yang menghuninya. Jika negara masih terus bergantung kepada bahan api fosil semata-mata tanpa sebarang tindakan dilakukan daripada sekarang, kita pastinya sedang mengorak langkah untuk berhadapan dengan krisis tenaga bagi tempoh beberapa tahun akan datang. Ini memandangkan, pada hari ini didapati 100 peratus daripada bekalan arang batu untuk kegunaan Semenanjung Malaysia adalah diimport dari beberapa negara seperti Indonesia, Australia dan negara lain. 

Manakala, sebanyak 25 peratus bekalan gas pula adalah diperolehi dari Thailand dan Indonesia. Kebergantungan kepada negara lain untuk memperolehi sumber-sumber berkenaan sudah jelas memberi gambaran bahawa kita sedang menuju ambang kepupusan sumber fosil bagi penjanaan elektrik. Sampai bilakah kita ingin bergantung kepada negara-negara terbabit bagi mendapatkan sumber-sumber tersebut? Ini memandangkan, lama-kelamaan sumber berkenaan di negara terbabit juga akan kehabisan. Adakah kita hanya mahu menunggu dan melihat sahaja tanpa mengambil sebarang inisiatif dengan mempergiatkan lagi usaha ke arah meneroka sumber tenaga alternatif lain bagi menggantikan sumber berkenaan? Oleh yang demikian, persediaan bagi menghadapi krisis tenaga perlu dilaksanakan secara bersepadu agar satu keputusan dapat dicapai bagi mempelbagaikan sumber tenaga. Dari segi jenis tenaga apa yang praktikal untuk dibangunkan di Malaysia, ia memerlukan kajian yang lebih mendalam serta menyeluruh dan perlu diperhalusi sehingga ke akar umbi agar tenaga yang dibangunkan kelak tidak mengundang sebarang implikasi negatif di kemudian hari baik terhadap risiko keselamatan rakyat mahupun terhadap alam sekitar seluruhnya. 

Atau dengan lain perkataan, pertimbangan sewajarnya perlu diambil kira agar tenaga yang bakal dibangunkan dapat memberi impak paling minimum ke atas alam sekitar, risiko keselamatan yang rendah kepada rakyat dan kos yang harus ditanggung oleh setiap isi rumah juga adalah minimum. Misalnya, kerajaan sebelum ini ada mengumumkan akan membangunkan loji jana kuasa nuklear pertama negara pada tahun 2021. Pembangunan teknologi nuklear tersebut dijangka dapat menampung keperluan tenaga yang mencukupi bagi menjana pertumbuhan ekonomi dan negara pada masa akan datang. Namun demikian, pengendalian rektor nuklear yang begitu kompleks agak menggusarkan kita terutamanya dari segi risiko keselamatan rakyat. Ini memandangkan, banyak tragedi yang melibatkan kemalangan di loji nuklear telah berlaku sebelum ini.

Tragedi terakhir ialah letupan rektor nuklear yang berlaku pada tahun 1986 di Chernobyl, Soviet Union. Tragedi tersebut telah menyebabkan kehidupan 9 juta penduduk terjejas teruk. Justeru, kita seharusnya mengambil iktibar daripada tragedi-tragedi yang pernah berlaku sebelum ini agar satu keputusan yang tepat diambil bagi mengelakkan kemungkinan tragedi seumpama itu berulang. Memang tidak dinafikan bahawa keselamatan rektor nuklear boleh dipertingkatkan lagi tahap kecekapannya sehingga boleh mencapai 100 peratus. Bahkan, penyelidikan dari masa ke semasa telah dilakukan bagi mengurangkan risiko kemalangan di loji nuklear. Namun, kita harus akui bahawa kecekapan pengendalian peralatan oleh manusia tidak akan mampu mencapai 100 peratus. Oleh yang demikian, risiko berlakunya letupan atau kemalangan tetap ada walaupun kecil.

Justeru, dalam melaksanakannya ia perlu mengambil kira pertimbangan daripada semua aspek agar keputusan yang dibuat kelak tidak mengundang musibah kepada kita di kemudian hari. Sedangkan, langkah mempelbagaikan sumber tenaga tidak hanya terhad kepada opsyen nuklear sahaja. Sebaliknya masih banyak lagi kaedah-kaedah lain yang boleh dimajukan untuk menjana tenaga elektrik terutamanya tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) seperti tenaga solar, angin, kuasa hidro elektrik, bio-fuel, geo-terma, ombak dan sebagainya. Dalam situasi di Malaysia, tenaga solar juga dilihat mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan bagi menjamin keselamatan tenaga. Selain daripada selamat, sumber tenaga berkenaan juga bersih, banyak, berkekalan dan tidak dipengaruhi oleh politik antarabangsa. Oleh yang demikian, hasrat kerajaan untuk melaksanakan penggunaan sistem tenaga solar sebagai sumber tenaga alternatif untuk tempoh tujuh atau lapan tahun daripada sekarang merupakan usaha yang wajar diperhalusi dan difikirkan secara serius.

Walaupun pada masa ini kos membeli tenaga solar masih lagi tinggi, namun usaha ke arah itu masih boleh dipertimbangkan. Kajian dan penyelidikan secara terperinci terutamanya dari segi usaha mengurangkan kos pelaksanaannya perlu difikirkan. Ini bagi memastikan matlamat kerajaan untuk merealisasikan pembangunan tenaga berkenaan mampu dilaksanakan untuk tempoh tersebut tanpa mengabaikan kepentingan rakyat terutamanya dari segi kos yang harus dipikul oleh mereka. Ini penting kerana dalam membangunkan sumber tenaga alternatif, semua aspek perlu diteliti agar kemajuan yang dikecapi kelak turut mengambil kira kepentingan semua pihak, baik kepentingan rakyat, ekonomi mahupun alam sekitar. Pilihan sama ada baik ataupun sebaliknya adalah terletak di tangan kita. Justeru, 'tepuk dada, tanya selera'.

Utusan Malaysia
26 Disember 2010

ISU WANITA : PERSEKITARAN LINDUNGI WANITA


Keganasan terhadap wanita merupakan satu bentuk pencabulan ke atas hak asasi manusia. Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, seorang daripada setiap tiga orang wanita pernah mengalami atau berhadapan dengan apa-apa bentuk keganasan sepanjang hidupnya. Di Malaysia, kerajaan menguatkuasakan undang-undang bagi melindungi hak dan kepentingan wanita. Antara akta-akta yang digubal bagi menangani keganasan terhadap wanita adalah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, Kanun Keseksaan dan Akta Antipemerdagangan Orang 2007. Pelbagai program dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu ini. Sejak tahun 2004 sehingga kini JPW sudah melaksanakan lebih 1,000 program menangani keganasan yang melibatkan lebih kurang 150,000 peserta.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 25 November setiap tahun sebagai Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita. Setiap tahun apabila tiba tarikh berkenaan, pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan bagi membuktikan komitmen kerajaan dalam menghentikan keganasan terhadap wanita. Pada tahun ini, program sempena Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita berlangsung selama tiga hari bermula dengan aktiviti pengedaran 1,000 risalah kempen menangani keganasan terhadap wanita di Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Jalan Duta. Risalah yang diedarkan mengandungi informasi mengenai langkah-langkah pencegahan keganasan terhadap wanita seperti kaedah mempertahankan diri dan peranan serta perkara yang perlu diingati jika berada di rumah, luar rumah, memandu dan menggunakan tandas awam.

Satu lagi risalah yang diedarkan ialah risalah mengenai Keganasan Rumahtangga mengikut Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521) yang memberikan penjelasan terperinci mengenai apa itu keganasan rumah tangga, adakah ia melindungi pasangan yang bersekedudukan dan tindakan yang perlu diambil mangsa sekiranya keganasan rumah tangga berlaku. Objektif penyebaran risalah berkenaan adalah untuk menyampaikan maklumat mengenai keganasan terhadap wanita kepada masyarakat umum. Sejumlah 10 gerai pameran dan informasi mengenai isu keganasan terhadap wanita dibuka Aras Dua, KL Sentral, Kuala Lumpur mulai 25 November hingga 27 November. Gerai ini melibatkan penyertaan agensi kerajaan dan NGO. Orang ramai boleh berinteraksi dengan pegawai bertugas bagi mendapatkan maklumat yang berkaitan.

Antara agensi kerajaan yang mengambil bahagian adalah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, Yayasan Pencegahan Jenayah dan Biro Bantuan Guaman. Pada 27 November, satu sesi perkongsian maklumat mengenai keganasan terhadap wanita akan diadakan di Aras Dua, KL Sentral. Isu yang akan dibincangkan termasuk punca berlaku keganasan, perlindungan terhadap wanita mengikut peruntukan undang-undang, kesan psikologi dan fizikal terhadap mangsa keganasan dan tindakan bagi membantu mangsa keganasan. Pada hari yang sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan melancarkan kempen Say No - Unite to end violence against women (Katakan tidak - bersatu untuk hentikan keganasan ke atas wanita). Pelancaran kempen tersebut dijangka dihadiri oleh 1,000 orang.

Ketua Pengarah JPW, Wan Hasmah Wan Mohd. dalam satu wawancara sempena program berkenaan berkata, pada tahun ini fokus JPW adalah untuk menggembleng komitmen semua pihak iaitu golongan wanita dan lelaki, sektor awam dan swasta serta NGO bagi menyediakan persekitaran yang selamat untuk wanita. ''Walaupun sudah banyak usaha dilakukan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu keganasan terhadap wanita, masih ramai yang beranggapan bahawa mereka tidak terlibat dan tidak mempunyai sebarang peranan dalam memerangi isu ini. ''Isu keganasan terhadap wanita perlu dibincangkan secara terbuka dan bukannya terhad di kalangan aktivis wanita sahaja. Justeru, kempen Say No - Unite to End Violence Against Women dilancarkan bagi mendapatkan sokongan padu serta menyatukan semua pihak dalam usaha menghapuskan keganasan terhadap wanita," katanya. 

Jelas Wan Hasmah, mesej yang disampaikan melalui program yang diatur sepanjang tiga hari itu bertujuan mengingatkan masyarakat bahawa usaha menghapuskan keganasan terhadap wanita merupakan tanggungjawab semua. ''Setiap daripada kita tidak kira keturunan, latar belakang, taraf ekonomi atau tempat tinggal perlu berganding bahu dan bersatu demi mewujudkan persekitaran yang selamat, harmoni dan bebas daripada sebarang bentuk diskriminasi dan penganiayaan," katanya.

ISU INOVASI : GUNA INOVASI LONJAK KEMAJUAN NEGARA


Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru seluruh rakyat Malaysia menggunakan inovasi untuk melonjak kekayaan negara bagi memastikan hasrat memacu perubahan dan transformasi besar negara dapat dicapai menjelang 2020. Perdana Menteri berkata, ia kerana inovasi merupakan dimensi ketiga untuk menjana kekayaan selain pelaburan domestik atau asing dan memenuhi permintaan dalam negara yang tinggi. Beliau berkata, berdasarkan faktor itu kerajaan mengambil inisiatif mengadakan program Malaysia Inovatif 2010 bagi membudayakan inovasi memandangkan potensinya yang tidak terbatas. Dimensi ini (inovasi) tiada had, ia bergantung kepada kemampuan kita. Kalau kita mampu menjana kekayaan melalui daya inovasi maka kita akan melonjakkan kekayaan negara ke tahap yang jauh lebih tinggi.

Sebab itu tahun ini kita jadikan tahun inovasi, malam ini kita sambut Malaysia Inovatif 2010 tetapi kita tak boleh kata tutup tirai 2010, tahun 2011 tidak perlu lagi berinovasi. Sebaliknya 2010 dianggap sebagai tahun kebangkitan nilai dan budaya inovatif supaya ia mekar di kalangan masyarakat.  Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri mengingatkan bahawa budaya inovasi tidak boleh dihadkan kepada para saintis dan individu yang terbabit dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) semata-mata. Sebaliknya, kata beliau, ia perlu menjadi amalan seluruh lapisan masyarakat sama ada di kalangan guru, pelajar, pentadbir, pengusaha atau pemimpin. Untuk itu katanya, inovasi mesti diolah menjadi faktor pencabar diri untuk berfikir di luar kotak dan rakyat pula mesti teruja untuk melakukannya.

Bagaimanapun Perdana Menteri menjelaskan, sesuatu penemuan hanya layak dikategorikan sebagai inovasi sekiranya ia berjaya memasuki pasaran terbuka untuk digunakan masyarakat. Katanya, jika penemuan itu hanya terpendam dalam fail atau komputer ia tidak akan menambah kekayaan negara sebagaimana nasib banyak penemuan di negara ini. Kalau sesuatu itu kita rancang tapi tidak menjadi produk, ia belum menjadi bahan inovasi tetapi kalau kita buat pelan pemasaran yang baik dan produk itu sampai ke pasaran, pada masa itulah kita layak ditakrifkan berjaya membudayakan inovasi.