Rencana ini ditulis
oleh :
DAYANA BAHAZELAN
Fakulti Komunikasi
dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi
Mara (UiTM) Shah Alam
Sejak akhir-akhir ini
kita dapat melihat gaya wanita bertudung kepala ibarat sudah menjadi satu trend
di Malaysia. Ini memberi petanda yang baik kepada negara kita yang merupakan
sebuah negara majoriti penduduknya orang Melayu yang beragama Islam. Seperti
kita sedia maklum pemakaian tudung serta menutup aurat adalah satu kewajipan
yang harus dipatuhi sebagai seorang Muslim. Tetapi ada segelintir wanita
seolah-olah mempersendakan agama dengan cara pemakaian tudung mereka. Soalnya,
mengapa bertudung tetapi masih memakai pakaian seolah-olah bertelanjang? "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu,
anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan
pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang
demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka
dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah maha pengampun
lagi maha mengasihani." (Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab: Ayat 59)
Ambil iktibar
berdasarkan petikan surah ini yang menyeru kita sebagai kaum hawa harus
mengetahui bahawa menutup aurat itu wajib dan aurat harus dipelihara agar
martabat wanita Islam sentiasa dipandang tinggi. Amat jelas sekali, Islam
menjaga maruah wanitanya supaya tidak mudah dijadikan sebagai objek pemuas
nafsu dan sasaran pandangan jahat lelaki di dunia, dengan cara Islam menetapkan
adab berpakaian memelihara aurat bagi mereka. Tetapi malang sekali ramai yang
tidak menyedari akan hal ini dan masih ramai gagal memelihara aurat seperti
yang termaktub di dalam al-Quran.
Evolusi tudung di
Malaysia semakin pesat berkembang sejak akhir-akhir ini dengan pelbagai jenis
tudung dijual di pasaran. Pelbagai corak, warna dan bentuk dapat lihat di
mana-mana premis perniagaan. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di
dalamnya, dihias pula dengan kerongsang yang menarik. Labuci berwarna-warni
dijahit pula di atasnya serta berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam
majalah dan surat khabar fesyen untuk wanita yang bertudung. Rekaan itu semua
bukannya untuk mengelakkan fitnah tetapi menambahkan fitnah ke atas wanita
tersebut. Tudung tidak lengkap dipakai, ada segelintir wanita Islam bertudung
tetapi masih menampakkan leher dan dada. Ada pula yang memakai tudung tetapi
pada masa sama memakai kain belah atau berseluar ketat dan sebagainya. Walhal
sepatutnya pakaian bagi seorang wanita Islam itu adalah bukan sahaja menutup
auratnya malah menutup maruahnya sebagai seorang wanita.
Bila wanita bertudung
tetapi masih lagi berhias secara berlebihan, maka terjadilah seperti pakaian
wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan rasa
sombong, riak dan bangga dalam diri. Mereka merasakan pemakaian tudung
merekalah yang paling bergaya, mengikut trend dan mempunyai kelas tersendiri. Nilai
pemakaian tudung itu sendiri dicemari oleh golongan seperti ini. Bagi wanita
Islam lain yang ingin mengikut jejak langkah wanita bertudung ini, niatnya
tersekat melihatkan sikap mereka yang mencemari hukum Islam. Bukan itu sahaja,
bagi golongan bukan Islam pula mereka terasa tawar hati untuk mengenali Islam
kerana melihat sikap segelintir umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan
hukum-hukum Islam. Walaupun mereka bertudung tetapi tingkah laku mereka tidak
melambangkan ciri-ciri seorang wanita Islam dan tingkah laku mereka adalah sama
sahaja dengan orang bukan beragama Islam.
Perlu diingatkan
bahawa, jika seseorang menutup aurat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia
akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang
diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya atau dalam kata
lain, tatkala itu dia hanya berdosa sekali iaitu kerana tidak melaksanakannya
secara ikhlas, tetapi dia terhindar daripada dosa tidak mengerjakan yang wajib
ke atasnya secara zahir. Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, atas
faktor tidak ikhlas, tidak mahu hipokrit dan sebagainya, tindakannya itu
menjadikannya berdosa di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau
dalam kata lainnya, dia berdosa dua kali. Dosa di peringkat pertama dan kedua
sekali gus, malah lebih musnah apabila dosa peringkat pertama itu sangat mudah
bercambah jika ia berjangkit kepada orang lain. Contohnya apabila sahaja mata
lelaki bukan mahram melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi
sebanyak mata lelaki yang melihatnya.
Adapun bagi mereka
yang tidak ikhlas, dia sudah terselamat daripada cambahan dosa mata lelaki. Kalau
kita menutup aurat tetapi tidak cuba memperbaiki diri, kitalah punca kegagalan
bagi menyampaikan matlamat agama Islam itu sendiri secara menyeluruh. Jangan
mengikut atau melihat orang lain. Jika kita ingin berubah ia harus bermula
daripada hati kita sendiri. Hal ini tidak juga bermakna jika seseorang itu
bertudung secara langsung akhlaknya juga boleh menjadi baik. Aurat memang wajib
ditutup dan cubalah untuk memperbaiki diri sedikit demi sedikit. Bertudung dan
menjaga aurat di luar bermakna hati kita hendaklah bersih dan menghindari diri
daripada melakukan perkara yang mencemarkan status orang yang bertudung serta
menutup aurat. Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak
dengan didikan agama yang sempurna.
Ajarlah mereka dari
awal tentang apa yang wajib dipatuhi sebagai umat Islam dan nasihati anak-anak
terutamanya yang perempuan agar memakai tudung dan menutup aurat dan tidak
mencemarkan pemakaian tudung dengan memakai pakaian yang singkat, sendat,
menampakkan susuk tubuh dan sebagainya. Selain itu, para peniaga tudung
haruslah berfikir secara rasional sebelum menjual atau mengeluarkan rekaan
tudung. Rekalah tudung yang mengikut ciri-ciri keislaman dan janganlah hanya
memikirkan keuntungan sehingga menggadai maruah agama dengan menjual tudung
yang singkat dan tidak melambangkan nilai dan ciri Islam. Jika kita sudah
berjaya menutup aurat secara keseluruhannya jangan pula kita abaikan tingkah
laku atau tanggungjawab kita sebagai seorang Islam. Akhlak kita juga harus
dipelihara seiring dengan cara pemakaian kita. Jangan hanya menutup aurat,
tetapi tingkah laku masih lagi tidak mencerminkan diri kita sebagai Muslim
sejati.
Akhirnya hayatilah
sebuah hadis Rasulullah ketika baginda dalam Israk dan Mikraj yang berbunyi: "Aku menjenguk
ke dalam neraka, maka ku lihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, yang
demikian disebabkan oleh kerana kurang taat kepada Allah dan Rasulullah dan
suami mereka dan kerana banyak bertabarruj dedah aurat dan berhias-hias".
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber
Utusan Malaysia
Utusan Malaysia
4 Jun 2012