JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 November 2017

CATATAN CIKGU ZUL : PENGUNA BAYAR BEG PLASTIK RM0.20, DUIT ITU UNTUK SIAPA? BERKESANKAH STRATEGI INI?


Sewaktu saya pergi beli-belah di sebuah pasar raya di Sibu, saya bawa sebuah troli yang penuh dengan barangan yang dibeli. Semasa tiba di kaunter bayaran, tanpa bertanya juruwang terus ambil beg plastik dan scan harga beg plastik itu sebanyak RM0.20 sen. Saya tak kisah kerana bagi saya nilai itu mampu saya bayar dan saya memang maklum akan perkara itu. Kemudian, dia ambil lagi satu beg plastik dan scan lagi sebanyak RM0.20, maknanya harga untuk beg plastik meningkat jadi RM0.40. Apabila dia hendak scan lagi satu beg plastik maka saya pun bertanya awak kenakan caj untuk semua beg plastik ini ke, dik? Dia pun jawab, ya abang. Otak saya mula menjana keuntungan pasar raya itu daripada beg plastik sahaja dalam sejari. Jika ada 1000 beg plastik dikenakan bayaran dalam sehari maka keuntungan mereka adalah sebanyak RM200.00. Dalam tempoh sebulan keuntungan daripada beg plastik sahaja ialah RM6000.00. Jumlah ini cukup untuk mengaji 6 orang pekerja yang bergaji RM900.00 sebulan. Pasar raya ini mengenakan caj untuk beg plastik sebanyak 3 hari iaitu Sabtu, Ahad, dan Isnin. Ini bermakna purata keuntungan daripada beg plastik sahaja ialah RM600.00 untuk 3 hari. Bayangkan jumlah yang diperoleh dalam sebulan.

Jika tujuan kenakan caj RM0.20 untuk sehelai beg plastik bukan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar moleklah kiranya dibatalkan tindakan ini. Lebih baik wajibkan pembeli membeli beg kitar semula.

Saya pernah juga beli-belah di pusat beli belah terkemuka di Kuala Lumpur yang turut mengenakan caj untuk beg plastik tetapi mereka cuma caj sekali sahaja sebanyak RM0.20. Pasar raya ini mengenakan caj RM0.20 untuk setiap beg plastik. Apakah ini dasar baharu? Jika dasar baharu, apakah caj yang diterima daripada beg plastik ini juga dikira sebagai pendapatan pasar raya itu atau jumlah itu dilenyapkan daripada kutipan cukai? Saya risau tahun depan pula beg plastik akan dikenakan caj GST sebanyak 6%. Saya amat kurang jelas dengan perkara ini. Apakah tujuan dan matlamat mengenakan denda sebegini. Jika semua pasar raya berbuat demikian saya cuma beranggapan tindakan ini bukan untuk mendidik pengguna tetapi lebih kepada keuntungan. Saya tidak kisah jika keuntungan yang diperoleh daripada caj beg plastik itu digunakan untuk membiayai program-program alam sekitar di kawasan setempat.

Membebankan Pengguna

Bagi orang berada dan mereka yang kaya raya, caj untuk beg plastik itu mungkin sedikit sahaja. Akan tetapi, bayangkan kalau orang yang berpendapatan rendah dan sederhana. Jika mereka membeli belah sebanyak 4 kali seminggu dan dikenakan caj sebanyak 10 kali maka mereka kena mengeluarkan sejumlah wang sebanyak RM2.00 untuk beg plastik sahaja. Jika seorang kita mungkin nampak sedikit. Jika 1000 orang, jumlahnya mencecah RM2000.00. Niat ini mungkin nampak baik pada asalnya tetapi tujuan dan matlamat kutipan itu mesti jelas. Jangan sampai menyusahkan pengguna yang dah sedia nazak. Pihak pengusaha kompleks beli-belah harus menjelaskan kepada juruwang tujuan duit itu dikumpul dan ke manakah duit itu disalurkan. Jika masuk ke poket sendiri, saya rasa hentikanlah program ini sebab tiada manfaatnya kepada pengguna dan alam sekitar! Lebih baik wajibkan pengguna beli beg kitar semula.

Cetusan Idea Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin

Sibu Sarawak

CATATAN CIKGU ZUL : GURU KELAHIRAN SARAWAK KURANG BERKUALITI? LAMANYA KITA TERTIDUR


Saya tidak melatah apabila membaca kenyataan daripada seorang Menteri kelahiran Sarawak Bumi Kenyalang yang diviralkan di pelbagai saluran media sosial baru-baru ini. Saya berasa amat bersyukur. Saya bersyukur kerana setelah puluhan tahun isu ini menjadi isu barulah ada orang yang menyedarinya. Walau bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan pernyataan yang saya klasifikasikan sebagai tuduhan melulu apabila kita mengatakan “Guru Kelahiran Sarawak Kurang Berkualiti”. Sebelum mengeluarkan kenyataan sebegini, alangkah moleknya jika pihak tersebut turun ke lapangan dengan melakukan pemantauan dan pemerhatian di segenap ceruk negeri Sarawak untuk melihat budaya kerja guru yang dikatakan tidak berkualiti. Cuba-cubalah pergi ke sekolah-sekolah di pedalaman yang serba serbi kekurangan dan ketiadaan namun guru tetap gigih mendidik dan menyampaikan ilmu tanpa mengira penat dan jemu. Apakah ini yang dikatakan guru tidak berkualiti? Tepuk dada tanya selera. Tindakan membuat kesimpulan tanpa merasai perit dan pedih bekerja tanpa kemudahan dan kedaifan amatlah tidak adil dan tidak berperikemanusiaan.

TINGKATKAN KUALITI FASALITI

Apabila kita berbicara mengenai kualiti guru kita harus melihat persekitaran tempat kerja guru tersebut. Alangkah kecewanya kita apabila menyaksikan para guru masih lagi berkhidmat di sekolah yang tiada bekalan air bersih, elektrik 24 jam, dan kemudahan jalan raya. Setelah menginjak usia 60 tahun merdeka, kebanyakan sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak masih daif dan tidak diperbaharui. Saya sendiri mendapat pendidikan di SRK Nanga Engkuah pada tahun 1981, tempoh masa itu terlalu lama bagi saya. Akan tetapi, setiap kali balik ke kampung halaman, saya masih melihat keadaan di sekolah itu tidak berubah. Asramanya makin usang, bangunan kelasnya tetap begitu juga malahan tempat tinggal guru Pi Mai Pi Mai Tang Tu juga. Bagaimanakah kita mahu menyelar guru di situ tidak berkualiti? Mereka mengajar saban hari seperti guru-guru di Semenanjung Malaysia akan tetapi keadaan persekitaran pelajar yang daif memang tidak membantu dalam melahirkan pelajar yang cemerlang.

Saya sendiri merupakan anak pedalaman yang pernah merasakan peritnya bersaing setelah keluar dari kepompong kedaifan bersekolah di pedalaman. Di sekolah, saya merupakan pelajar cemerlang yang sentiasa membolot hadiah tempat pertama keseluruhan dan merangkul beberapa anugerah subjek terbaik. Saya dilantik menjadi pengawas sekolah. Guru-guru yang mendidik saya memang komited dan bersungguh-sungguh. Mereka mahu kami berjaya. Walau bagaimanapun, usaha guru-guru kami tidak berkesan kerana tiada sokongan daripada ibu bapa kami yang masih belum sedar tentang kepentingan pendidikan. Ibu bapa kami tidak pernah ambil tahu tentang prestasi kami. Kami tidak pernah menghadiri kelas tuisyen. Yang kami tahu, selepas habis waktu sekolah kami bermain di sungai Katibas sehingga Guru Besar kami membawa rotan dan merotan kami barulah kami balik ke asrama. Kami memang tiada minat untuk belajar kerana kami tidak tahu tujuan kami datang ke sekolah. Walau bagaimanapun, apabila bersaing dengan budak-budak yang bersekolah di bandar saya agak ketinggalan dalam banyak perkara terutamanya dari segi pengalaman dan kebolehan berbahasa Inggeris. Saya tidak mengatakan guru Bahasa Inggeris saya tidak berkualiti. Beliau mengajar kami salibus yang sama dengan budak-budak di bandar tetapi persekitaran di kawasan pedalaman itulah penghalang utama yang menyebabkan saya tidak mahu belajar Bahasa Inggeris!

Saya selalu memikirkan hal ini kerana selagi kemudahan sekolah-sekolah di pedalaman tidak dinaiktaraf setanding dengan sekolah-sekolah di bandar terutamanya di Semenanjung Malaysia, agak sukar untuk melahirkan ramai pelajar cemerlang. Jika diimport guru dari pelbagai ceruk dunia inipun belum tentu kualiti yang ada pada mereka mampu mengubah segalanya. Saya kagum dengan pengorbanan rakan-rakan guru yang mengajar di pedalaman terutamanya mereka yang sudah bekeluarga. Anak-anak ditinggalkan bersama isteri atau penjaga di bandar manakala mereka sendiri sanggup melawan arus sungai Rejang yang deras dan meredah hutan belantara demi melunaskan tanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anak kita. Oleh itu, saya berpendapat amatlah keterlaluan jika kita mengatakan guru kelahiran Sarawak tidak berkualiti hanya dengan satu alasan yang berpaksikan kesimpulan singkat, kita tidak mampu merealisasikan dasar 90:10.

GURU SARAWAK PUN CEMERLANG

Saya tidak nampak perbezaan antara anak Sarawak dengan orang lain dalam bidang perguruan. Kita belajar di maktab, Institut perguruan, dan universiti yang sama dalam bidang kepakaran masing-masing termasuklah guru-guru baru yang mengikuti Program Intrem. Dasar-dasar kerajaan dan program-program yang diarahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia adalah menyeluruh. Jika kita mengatakan kualiti guru-guru di Sarawak itu kerana kekurangan guru-guru yang mengajar Bahasa Inggeris dan subjek-subjek sains maka binalah usaha yang padu dan jitu ke arah itu. Mengapakah kita tidak bersungguh-sungguh melatih anak tempatan Sarawak yang sedang menganggur untuk mengisi kekosongan yang ada? Kualiti itu hanya akan lahir jika semua pihak yang merangka dasar dan melaksanakan dasar juga berkualiti. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan satu pihak sahaja. Jika kualiti itu diukur daripada jumlah guru cemerlang, saya rasa bilangan guru cemerlang di Sarawak pun banyak seperti di Semenanjung Malaysia. Kita harus sedar, mengukur kualiti tidak semudah mengukur kuantiti sebab kualiti ini mencakupi pelbagai aspek.

Jika kita pergi ke sekolah dan melihat rutin harian para guru, kita akan menggelengkan kepala kerana kita tidak menyangka kehidupan yang mereka lalui tidak seindah yang dibayangkan oleh masyarakat bukan guru. Seawal 5:00 pagi (ada yang lebih awal daripada itu) mereka bangun untuk menyiapkan keperluan diri dan anak-anak. Pada ketika ini, kakitangan awam dan swasta di jabatan lain masih lena dibuai mimpi indah. Kemudian, mereka akan ke sekolah seawal jam 6:00 pagi. Sebaik sahaja tiba di sekolah maka bermulalah kerja mengajar dan menguruskan disipin pelajar. Bagi sekolah-sekolah yang besar pula, sesetengah guru tidak sempat sarapan pagi disebabkan pelbagai perkara yang perlu disiapkan dengan kadar segera. Selepas habis sesi persekolahan, para guru ini pula kena melatih pelajar bagi menyediakan mereka mewakili sekolah dalam kejohanan sukan dan aktiviti sokongan kurikulum. Bukannya senang untuk melatih pelajar. Contohnya, bagi mewujudkan sebuah pasukan tarian yang mantap dan hebat, latihan mesti dilakukan sekurang-kurangnya 2 hingga 4 jam sehari. Sekumpulan guru lain pula mengadakan kelas bimbingan bagi pelajar-pelajar yang lemah. Jadi, guru-guru ini akan balik ke rumah pada pukul 5:00 petang (Paling awal). Selepas melakukan senaman dan makan malam, mereka akan siapkan pelbagai tugas pengisian data secara online atau menyemak buku latihan pelajar. Semua guru melakukan rutin harian ini baik di Sarawak mahupun di Semenanjung Malaysia. Jadi, amat tidak adil kalau kita katakan guru kelahiran Sarawak tidak berkualiti.

DASAR 90:10 PERLUKAN MASA

Saya akui untuk menjayakan dasar ini dalam masa yang singkat bukannya mudah kerana kita tidak boleh tangkap muat. Bukan semua yang memohon itu berjiwa guru dan menyintai kerjaya perguruan dengan penuh ikhlas. Jika ada yang melaksanakan tugas ibarat melepaskan batok di tangga, janganlah diterima kerana saya sendiri sebagai guru dan ibu bapa memang tidak mahu guru yang tidak berkualiti mengajar anak saya. Walau bagaimanapun, tidak mustahil juga dasar ini dapat dicapai jika kita benar-benar mencari dan terus mencari anak-anak Sarawak yang berpotensi bagi mengisi kekosongan ini. Setiap dasar perlu dilengkapi dengan perancangan yang rapi kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Semua pihak harus memahami dasar ini dengan penuh ikhlas demi masa depan anak-anak Sarawak. Bagi saya, dasar ini baik namun saya masih ragu-ragu, apakah dengan terlaksananya dasar ini nanti mutu pendidikan di Sarawak dapat dipacu ke tahap yang tertinggi? Jika nanti kita masih tercorot dan ketinggalan apakah dasar ini akan dikebumikan begitu sahaja.

Dasar ini harus menyimpang daripada elemen kenegerian dan dijauhi daripada campurtangan orang lain yang bukan mahir dalam selok belok dunia pendidikan di Sarawak. Kita tidak boleh membiarkan diri kita dirantai oleh pemikiran emosional kerana dasar ini diwujudkan demi memacu pendidikan di Sarawak agar setanding dengan orang lain. Lihatlah kemenjadian diri kita sendiri, siapakah guru-guru kita dahulu? Bagaimanakah mereka mengajar kita? Dari manakah mereka berasal? Apakah asal usul guru itu yang menentukan kualiti pendidikan di sesebuah negeri? Kemajuan dan pencapaian kita sebenarnya banyak bergantung kepada kualiti diri kita sendiri. Guru hanya mendidik dan menyampaikan ilmu. Yang menggunakan ilmu itu ialah anak didik. Sejauh manakah ilmu itu berkesan kepada mereka, penentunya ialah usaha dan komitmen mereka terhadap pelajaran. Jika kita asyik bermain, tidur, dan makan sepanjang hari, kualiti guru tidak dapat membantu kita menjana kejayaan kerana kualiti itu bukan keajaiban yang ditonton dalam cerita Doremon.

UBAH CARA MELIHAT DAN BERFIKIR

Jika kita mahu maju ke hadapan bukan sahaja mentaliti guru yang perlu diubah tetapi mentaliti semua pihak yakni segenap lapisan masyarakat yang bermaustautin di segenap empat penjuru negeri Sarawak. Perubahan mentaliti akan melahirkan ramai cendikiawan yang mampu bersaing di persada dunia. Usaha mengubah mentaliti ini harus bermula dengan memperkasakan minda dengan satu pertanyaan, iaitu apakah tujuan saya datang ke sekolah? (Pelajar), Apakah tujuan saya menghantar anak ke sekolah? (Ibu bapa), Apakah yang perlu saya lakukan bagi meningkatkan kualiti pendidikan di Sarawak (pentadbir). Guru dan sekolah akan jadi hebat jika disokong oleh pelbagai pihak. Jika harapan demi harapan, sindiran demi sindirian, cemuhan demi cemuhan dilontarkan kepada golongan guru, saya percaya 1000 tahun lagipun kita tidak mampu mencapai hasrat untuk memajukan bidang pendidikan di Sarawak. Turunlah ke lapangan dan lihatlah keadaan sebenar di sekolah-sekolah terutama sekolah pedalaman. Bangkitkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang kepentingan pendidikan. Jangan terlalu bergantung harap kepada guru untuk melahirkan anak-anakyang berjaya sedangkan pihak bukan guru ambil langkah mudah menunding jari kepada golongan guru apabila kita gagal. Ingatlah, satu jari yang kita tunding kepada orang lain dibalas dengan empat jari yang ditunding ke arah diri kita sendiri.

Semua warga guru di seluruh dunia ini mempunyai jiwa yang sama. Tugas menyampaikan ilmu merupakan tugas utama mereka. Semuanya berkualiti dan mempunyai visi kudsi yang jelas dan terarah. Guru yang tidak berkualiti terdapat di mana-mana sahaja bukan sahaja dalam kalangan anak-anak Sarawak. Jika wujud golongan ini pun mereka tidak harus dipersalahkan kerana mereka ditapis dan dinilai semasa temuduga dan ujian kelayakan. Yang menemuduga dan menguji mereka bukannya guru anak Sarawak!. Guru-guru yang berasal dari Sarawak semuanya anak-anak Sarawak yang gigih berusaha mendidik, mengasuh, dan mengajar. Mereka juga mempunyai cita-cita, impian, dan wawasan. Mereka juga memiliki keinginan dan kemahuan. Akan tetapi, mereka selalu terhimpit dengan kedaifan dan kekurangan. Orang yang tidak merasai keperitan itu pasti akan menyelar tetapi bagi yang memahami mereka akan bersimpati. Sekarang, siapakah sebenarnya yang tidak berkualiti? Biarlah hanya hati yang menjawab.

Catatan Bestari Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
Sibu Sarawak