Nama Nawi bin Ismail bukanlah asing bagi semua
guru Bahasa Melayu kerana buku-buku dan artikel tulisan beliau selalu menemani
kita sehingga ke bilik tidur, dalam kereta, dan di mana-mana jua kita berada.
Sebelum mengenali Tuan Haji Nawi bin Ismail secara bersemuka, sebenarnya saya
telahpun mengenali beliau lebih awal kerana saya merupakan pengguna buku-buku
kerja dan buku rujukan yang dihasilkan oleh beliau. Saya amat mengagumi Tuan
Haji Nawi Ismail. Pertemuan pertama saya dengan Tuan Haji Nawi adalah pada 28
Ogos 2009, apabila beliau dijemput khas untuk memberikan ceramah menjawab
Teknik Menjawab Bahasa Melayu STPM dan Pengajian Am di SMK Sacred Heart
(Sekolah tempat saya berkhidmat selama 19 tahun sebelum berpindah ke SMK Sibu
Jaya). Walau bagaimanapun, keterbatasan waktu tidak mengizinkan saya berbual
panjang dengan Tuan Haji Nawi, saya hanya mampu berjabat tangan dan mengucapkan
terima kasih atas kedatangan beliau ke sekolah kami pada ketika itu. Dalam hati
saya berdoa agar Allah memberikan kesempatan untuk saya mengenali Tuan Haji
Nawi dengan lebih dekat kerana bagi saya beliau seorang guru bahasa Melayu yang
berilmu dan hebat. Saya mengajar menggunakan artikel yang ditulis oleh beliau
dalam majalah Pelita Bahasa, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya kenali
beliau sebagai Munsyi Dewan dan saya pernah menanam azam untuk menjadi seperti
beliau. Idea-idea P&P Bahasa Melayu yang diketengahkan oleh beliau mudah
difahami dan dipraktikkan. Semua artikel yang ditulis oleh Tuan Haji Nawi saya
failkan dan saya tunjukkan semasa penyeliaan Nazir sewaktu saya memohon jawatan
Guru Cemerlang Bahasa Melayu pada tahun 2010. Agak lucu juga, sewaktu ditemu
bual saya banyak menyebut nama Tuan Haji Nawi sebagai idola saya untuk memohon
jawatan itu sehingga salah seorang nazir bertanya, pernahkah awak berjumpa
dengan beliau? Jawapan saya, secara jujur saya tidak pernah bersemuka dengan
Tuan Haji Nawi tetapi saya mengenali beliau daripada tulisan-tulisan beliau.
Nazir itu menasihatkan agar saya jumpa dengan Tuan Haji Nawi dan belajar
sebanyak mungkin ilmu bahasa daripada beliau. Itulah cerita awal antara saya
dan Tuan Haji Nawi bin Ismail.
TAHUN 2012, TUHAN MAKBULKAN DOA
Pada penghujung tahun 2011, pengumuman jawatan
Guru Akademik Tingkatan Enam oleh Menteri Pendidikan, Datuk Hishamuddin Tun
Husien telah mencatat sejarah baharu dalam dunia pendidikan di Malaysia.
Seiring dengan pengumuman itu, kurikulum STPM lama pun ditukarkan kepada Sistem
Modular. Pada peringkat awal, saya tidak dilantik sebagai Guru Akademik
Tingkatan Enam kerana dari segi kelayakan tidak mencukupi walaupun saya telah
mengajar Bahasa Melayu Tingkatan Enam hampir 10 tahun. Lebih-lebih lagi, saya
merupakan Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Suatu hari, saya diberikan sepucuk
surat oleh kerani daripada Majlis Peperiksaan Malaysia. Dalam surat itu, saya
dilantik sebagai Jurulatih Utama Bahasa Melayu STPM Modular bersama-sama dengan
Puan Siti Sara binti Ismail (SMK Pending) dan Puan Azlin Binti Alias (SMK
Bintulu). Mesyuarat pertama semua Jurulatih Utama diadakan di Hotel Pearl
International, Jalan Klang Lama pada bulan Januari 2012. Inilah detik pertemuan
saya dengan guru-guru Bahasa Melayu STPM dari segenap empat penjuru negeri di
Malaysia termasuklah dengan Tuan Haji Nawi bin Ismail yang memakai bush jacket
kelabu pada masa itu. Agak lucu juga kerana ramai guru-guru yang selalu membaca
blog saya, iaitu “BAHASAKU GLOBAL BANGSAKU GLOKAL” turut dilantik menjadi
Jurulatih Utama. Walau bagaimanapun, pada pertemuan ini saya tidak banyak
bercakap dengan Tuan Haji Nawi biarpun makan semeja dan duduk bersama kerana
beliau merupakan salah seorang yang berperanan penting dalam majlis tersebut.
Namun begitu, saya berasa amat bersyukur kerana Allah memberikan peluang dan
kesempatan untuk saya mengenali beliau, Puan Raminah binti Sabran, Tuan Haji
Mohd. Zaini bin Othman, Tuan Haji Mohd Khir, dan sebagainya.
Pertemuan itu telah melakarkan pertemuan-pertemuan
yang seterusnya dengan Tuan Haji Nawi sehinggalah kami menjadi rapat bagaikan
bersaudara. Kami sering dipanggil bersama untuk melaksanakan beberapa tugas
penting oleh pihak atasan dalam pertemuan yang tidak terhitung jumlahnya
bermula dari tahun 2012 hingga kini. Mereka selalu mengatakan kekerapan saya
naik kapal terbang dari Sibu ke Kuala Lumpur bagaikan naik bas kerana setiap
minggu wajah saya akan muncul di Lapangan Terbang Kuala Lumpur dan hotel-hotel
terkemuka di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat. Pada pertemuan itu, saya
selalu dipertemukan dengan Tuan Haji Nawi bin Ismail, guru yang saya hormati
dan kagumi. Saya amat menghormati Tuan Haji Nawi dan tidak pernah membantah
kata-kata beliau kerana bagi saya setiap kata yang diucapkan oleh beliau adalah
ilmu baharu untuk saya pelajari, amalkan dan praktikkan. Saya suka dengan cara
beliau memberikan pendapat dan cadangan kerana semua yang disuarakan memang
berasas dan diterangkan dengan amat terperinci. Semuanya akan saya catat dan taip
apabila balik ke Sibu untuk digunakan dalam P&P dengan pelajar-pelajar
saya. Saya suka duduk dengan Tuan Haji Nawi kerana beliau akan bercerita
tentang pengalaman serta perkara-perkara yang berkaitan dengan guru Bahasa
Melayu sahaja. Masa bagaikan terlalu cemburu apabila duduk semeja dengan beliau
disebabkan celoteh beliau dalam dialek Terengganu ada ketikanya mencuit hati
(saya tidak memahami) tetapi bererti (dia membincangkan isu serius). Itulah
Tuan Haji Nawi bin Ismail.
TUAN HAJI NAWI, SATU DALAM SEJUTA
Setelah kami rapat, Tuan Haji Nawi selalu
mengusik saya terutama dalam soal jodoh dan mencari pasangan. Dalam setiap
pertemuan, itulah perkara yang selalu ditagih oleh beliau. Akan tetapi, saya
hanya menjawab dengan senyuman, sesungguhnya jodoh dan pertemuan takdir Yang
Maha Esa. Satu perkara yang amat menarik tentang Tuan Haji Nawi ialah sewaktu
kami sibuk berbincang tentang sesuatu perkara dalam mesyuarat, semasa kami
bertegang leher sehingga bergaduh disebabkan berbeza pendapat tentang sesuatu konsep
atau ketetapan mesyuarat, beliau tidur dalam waktu yang lama. Kemudian,
tiba-tiba beliau bangun dan menyampuk! Perkara yang beliau utarakan itu pula
tidak lari daripada pokok perbincangan kami. Yang amat mengagumkan, beliau
memberikan jalan penyelesaian sehingga perbincangan itu tamat. Itulah Tuan Haji
Nawi, dalam tidur beliau mendengar, dalam tidur beliau berfikir, dalam tidur
beliau bekerja. Kitaran itu tidak pernah berhenti untuk makhluk Tuhan seperti
Tuan Haji Nawi bin Ismail. Tuan Haji Nawi tidak pernah menyuarakan keletihan
beliau walaupun kami sama-sama tahu banyak masa beliau yang diperuntukkan untuk
bekerja. Semasa bertemu di mana-mana, beliau sentiasa dilihat memeriksa
karangan pelajar dan menulis artikel untuk dihantar ke akhbar atau majalah.
Sifat beliau yang sebegitu, amat saya kagumi dan sedang saya pelajari,
insyallah dapat saya ikuti tetapi saya tidak mungkin mampu sehebat Tuan Haji
Nawi yang amat dikenali dan disanjungi.
Tuan Haji Nawi bin Ismail sentiasa bercakap
menggunakan dialek Terengganu beliau. Yang melucukan, kami tidak faham apa yang
beliau tuturkan disebabkan terlalu laju dan pekat dialek Terengganunya, tetapi
kami akan cuba juga ketawa seolah-oleh memahami pokok bicara. (Maaf Tuan Haji
Nawi). Tuan Haji Nawi selalu membawa saya berjalan-jalan dan makan-makan di
sekitar kompleks beli-belah SOGO. Kami akan berhenti makan Mihun Tomyam (Menu
wajib kami) di salah sebuah gerai berdekatan dengan Hotel Quality Kuala Lumpur.
Perkara yang akan saya rindu tentang Tuan Haji Nawi, apabila kami jalan-jalan
shopping di SOGO, beliau akan bertanya
tentang baju-baju yang sesuai sebelum membeli dengan saya. Yang pasti, beliau
sentiasa membawa saya sahaja. Selepas ini, mungkin saya akan bersendirian
kerana Tuan Haji Nawi telah bersara. Hubungan di media sosial mungkin terputus
tetapi hubungan di meja mesyuarat mungkin amat jarang berlaku selepas ini
dengan Tuan Haji Nawi. Biarpun begitu, saya tidak menganggap Tuan Haji Nawi
hilang dalam mendidik, membimbing, dan memberikan pendapat kerana saya tahu
beliau akan menjawab apabila saya bertanya dan memerlukan khidmat nasihat.
Keikhlasan Tuan Haji Nawi dalam membantu kami yang muda-muda ini amat dikagumi.
Beliau sentiasa bersabar dengan karenah kami yang pelbagai. Kadang-kadang
beliau marah tetapi marah itu disampaikan dalam tawa tetapi berbisa. Macam mana
tu? Hanya Tuan Haji Nawi yang mampu membuatnya. Satu lagi tabiat Tuan Haji Nawi
yang mencuit hati ialah kami akan bersama-sama makan maggie sambil lepak-lepak
di kedai makan. Setiap kali makan, beliaulah yang bayar. Terima kasih Tuan Haji
Nawi!
Mulai tahun 2013, saya bepeluang menulis
beberapa buah buku rujukan dan buku kerja Bahasa Melayu Tingkatan Enam
bersama-sama dengan Tuan Haji Nawi, Puan Raminah Haji Sabran, Tuan Haji Mohd
Zaini bin Othman, Puan Wahida binti Wahid, dan Tuan Haji Mohd Sis Mohd Yatim.
Kami telah mengadakan banyak pertemuan untuk kerja-kerja panel buku dan
sebagainya. Walaupun saya masih muda dan baharu dalam kumpulan kami, Tuan Haji
Nawi dan semuanya amat menghormati kehadiran saya bersama-sama dengan mereka.
Saya mendapat banyak ilmu hasil daripada perbincangan kami pada setiap siri
mesyuarat. Mereka tidak pernah menidakkan kehadiran insan kerdil yang serba
kekurangan seperti diri saya. Tuan Haji Nawi sentiasa menjadi mentor yang amat
baik bersama-sama dengan Puan Raminah Sabran dalam kumpulan kami. Walaupun ilmu
mereka setinggi gunung tetapi mereka sentiasa merendahkan diri serendah karang
di dasar laut. Mereka sentiasa menerima pendapat dan memberikan buah fikiran
yang mengagumkan. Ya Allah, kau peliharalah hubungan silaturrahim antara saya
dengan mereka kerana masih banyak yang saya perlu pelajari daripada mereka.
Perjalanan saya masih jauh dalam bidang ini dan saya mahu menjadi sehebat
mereka yang saya kenali. Insyallah.
GURU CEMERLANG BAHASA MELAYU, GRED KHAS C
Jawatan Tuan Haji Nawi bin Ismail sebelum
bersara bukannya calang-calang guru boleh menerimanya. Jika orang lain
berbangga dan mendabik dada tetapi Tuan Haji Nawi sebaliknya. Beliau tidak
pernah menagih pengiktirafan daripada kami semua. Kami hanya memangil beliau
dengan panggilan Haji Nawi atau Tuan Haji. Haji Nawi boleh duduk semeja dengan
semua orang tanpa mengira kedudukan dan beliau tidak mahu diberikan
keistimewaan. Beliau selalu mengatakan beliau masih belajar dengan semua orang
tentang banyak perkara. Yang amat membezakan beliau dengan orang lain ialah
beliau tidak pernah bercerita tentang pangkat dan kedudukan, beliau cuma
bercerita tentang masalah yang berkaitan dengan Bahasa Melayu dan dunia
pendidikan di Malaysia. Jika orang yang baharu mengenali Tuan Haji Nawi, orang
mungkin beranggapan beliau hanyalah insan biasa kerana cara pemakaian dan
penampilan beliau yang bersahaja. Bagi orang yang pernah bekerja bersama-sama
dengan beliau dan mengenali beliau, Tuan Haji Nawi umpama nakhoda dan
penyelamat yang amat hebat serta sukar ditandingi. Lantaran itu, bagi saya
dengan bersaranya Tuan Haji Nawi, kami ibarat seekor jentayu yang patah sayap,
masih boleh bertongkat paruh tetapi paruh itu tidak semestinya teguh kerana kehilangan
Tuan Haji Nawi selalu meminjamkan hati beliau untuk kami semua.
Tuan Haji Nawi bin Ismail sentiasa teguh dengan
pendirian beliau untuk mengajar di dalam kelas sehingga bersara. Jika orang
lain ghairah memegang jawatan penting di jabatan pendidikan daerah, negeri, dan
kebangsaan, Tuan Haji Nawi tetap unggul menjadi guru bahasa Melayu sehingga
mencecah usia 60 tahun. Beliau memulakan kerja sebagai guru biasa di dalam
bilik darjah dan mengakhirinya sebagai seorang jusa di dalam bilik darjah juga.
Yang berbeza mungkin tahun dan pangkat beliau. Bukan semua guru berjiwa seperti
Tuan Haji Nawi. Saya akui, bagi rakan-rakan sekerja dan anak-anak didik yang
mengenali beliau, mereka akan menangisi persaraan Tuan Haji Nawi kerana mereka
lebih terkesan dengan ketiadaan beliau. Jika saya yang berjumpa sekali sekala
dengan Tuan Haji Nawi terasa, mereka apatah lagi. Tuan Haji Nawi merupakan
seorang guru yang amat ikhlas dalam mendidik. Terlalu ikhlas. Mungkin kerana
itulah Allah selalu permudahkan perjalanan kerjaya beliau. Saya berharap dalam
kalangan pendidik pada masa ini, akan lahir ramai guru seperti Tuan Haji Nawi
agar sistem pendidikan di Malaysia dapat dimartabatkan ke tahap dan landasan
yang sepatutnya. Saya percaya disebalik kekuatan Tuan Haji Nawi itu dibelakang
beliau hadir seorang wanita jelita yang bernama isteri.
Walaupun saya tidak mengenali isteri beliau
dengan rapat cuma sesekali melihat dari jauh sewaktu beliau membawa mereka
datang mesyuarat, saya tahu kasih sayang dan ikatan silaturrahim beliau dengan
isteri dan anak-anak menjadikan beliau tiada masalah untuk fokus dengan kerja
yang berlambak. Apabila mendengar cerita beliau tentang anak-anak dan keluarga,
saya dapat mentafsir kesejahteraan dan kebahagiaan yang beliau nikmati di
rumah, menjadi sumber kekuatan kepada beliau baik di tempat kerja mahupun di
bilik mesyuarat. Tuan Haji Nawi pernah mengungkapkan walaupun makanan di hotel
banyak dan terhidang cantik serta berseni, beliau tetap juga makan sedikit.
Akan tetapi, apabila di rumah, walau dihidangkan nasi dan berlaukkan ikan
kering serta sup telur sahaja, beliau berselera kerana yang masak itu isteri
beliau. Air tangan isteri lebih sedap daripada air tangan chef terkemuka di
hotel lima bintang. Itulah Tuan Haji Nawi yang saya kenali. Semoga beliau terus
kekal bahagia di samping isteri, anak-anak, dan cucu-cucu beliau setelah
bersara.
PUISI UNTUK TUAN HAJI NAWI
Tuan yang
dihormati
Sekian lama kita
bersahabat
Tuan nampak selalu
sihat dan kuat
Tidak pernah patah
semangat
Jarang sekali tuan
kata tak dapat
Hujah tersusun
teramat hebat
Pelerai kekusutan
kami kekurangan
Penyuap ilmu kami
yang bertatih
Mengikut jejak
langkah tuan
Tuan yang dikasihi
Antara tuan dengan
kami
Jaraknya ibarat
langit dan bumi
Tetap hati kami
selalu tersentuh
Tuan tidak pernah
menjauh diri
Kami makan maggie
tuan makan maggie
Kami jalan kaki
tuan jalan kaki
Gaya tuan tidak
terlebih- lebih
Tuanlah teladan
Tuanlah tunjang
kekuatan
Tuan yang
disayangi
Kadang-kadang kami
tertanya
Dari mana punca
tenaga yang ada
Tuan manusia kami
juga manusia
Bezanya cuma ilmu
tuan penuh didada
Sampai kelibat
tuan sentiasa didamba
Tiada tuan
dicari-cari
Hilang tuan
ditangisi
Tuan sumber
inspirasi kami
Tuan yang
dimuliakan
Perjuangan tuan
tidak pernah selesai
Kerja tuan tidak
pernah langsai
Tuan tidak pernah
berhenti berfikir
Untuk memajukan
anak bangsa
Meningkatkan
darjat kerjaya kita
Nama tuan
mengharum sentiasa
Lelaki kecil
berkaca mata
Dialek Terengganu
tidak dilupa
Tuan Jusa harapan
nusa
Tuan Jusa yang
bijaksana
Biar bersara obor
guru biar menyala
Jangan dipadamkan
bahangnya
Kami mahu terus
berpadu bakti
Dengan tuan jusa
yang dikasihi
Terus sihat dan
dirahmati
Dilimpahi berkat
ditambah rezeki
Bahagia sentiasa
diriba isteri
Sejahtera selalu
dipangkuan anak cucu
Tuan akan selalu
kami rindu
Dalam mimpi pasti
bertemu
Nukilan
Zul Liverpool
Pasar
Seni - OldTown White Coffee
22
April 2017
SELAMAT
BERSARA TUAN
“Saya
amat gembira bekerja dan berjumpa dengan rakan-rakan semua. Saya tahu tidak
semua guru yang mampu melakukan tugas
seperti yang kita lakukan ini. Alhamdulillah. Saya berharap kita pertahankan
rahsia apabila kita terlibat dengan perkara yang SULIT demi kebaikan anak
bangsa dan maruah diri kita sebagai pendidik yang dipercayai dan sentiasa
berpegang teguh kepada amanah. Ingatlah, tiada suatu cara yang betul untuk
melakukan perkara yang salah”.
Tuan Haji Nawi bin
Ismail, 4 Jun 2017.
Selamat
bersara Tuan Haji Nawi bin Ismail. Yang saya harapkan bukannya patah tumbuh
hilang tidak berganti tetapi patah tumbuh muncul ribuan guru sehebat Tuan Haji
Nawi untuk bersatu mengangkat dan memartabatkan sistem pendidikan di Malaysia.
Kita mahu munculnya guru yang gigih mengajar, tidak mengeluh, mahir
menyelesaikan, kreatif dan inovatif dalam membantu pelajar, dikenali kerana
kesungguhannya mengajar dan berkongsi ilmu, seperti Tuan Haji Nawi. Kita
mahukan munculnya guru yang sentiasa merendah diri, tidak terlalu berkira dalam
soal pangkat dan kedudukan, tidak mendewa-dewakan ganjaran dan pengiktirafan
tetapi ikhlas, amanah, dan bertanggungjawab seperti Tuan Haji Nawi. Bagi saya,
Tuan Haji Nawi bin Ismail cukup sempurna untuk dijadikan idola. Saya tahu semua
manusia ada kelemahan dan kepincangan kerana tiada yang sempurna melainkan
Allah tetapi Tuan Haji Nawi bin Ismail amat sempurna dari segi khidmat dan
pengorbanan untuk diangkat sebagai pendidik unggul dan pejuang Bahasa Melayu
yang tidak boleh dikesampingkan. Terima kasih Tuan Haji Nawi. Terima kasih atas
segala ilmu dan perkongsian. Terima kasih atas rasa hormat tuan terhadap
golongan muda seperti saya. Semoga Allah akan terus mempermudahkan urusan tuan
baik di dunia mahupun di akhirat. Semoga Allah akan terus melimpahkan
kebahagiaan, kesejahteraan, kesihatan yag berpanjangan, dan kesempurnaan hidup
untuk tuan dan keluarga. Kami tidak menangisi majlis persaraan Tuan Haji Nawi
kerana kami tahu hubungan kami dengan Tuan Haji tidak akan bernoktah pada 29
Julai 2017 tetapi bertahan selama-lamanya.
Cetusan
Pendidik Bangsa
Zulkarnain
Farihin
Jurulatih
Utama
Bahasa
Melayu STPM, Malaysia.