JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 September 2011

ISU SOSIAL : PELBAGAI TAKTIK LICIK SINDIKET JERAT KELEDAI DADAH

Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my


Sekali  terjebak, sukar untuk berpatah balik! Itulah kata-kata mangsa yang dijadikan keldai dadah oleh sindiket untuk membawa dadah ke luar negara apabila setiap kali diajukan dengan persoalan kenapa terlalu mudah terperangkap dengan janji manis, sedangkan mereka sudah tahu risiko dan bahayanya? Kebanyakan mangsa mendakwa hanya menyedari ‘kerja’ yang dijanjikan dengan upah lumayan itu sebenarnya membawa dadah ke beberapa negara selepas tidak berdaya untuk menolak akibat diugut bunuh, tambahan pula mereka sendirian jauh beribu-ribu kilometer di negara orang. Tidak kurang juga yang mengakui tarikan wang dan peluang melancong ke luar negara seperti Amerika Latin, Asia Barat dan Eropah menjadi ‘umpan’ paling mudah, apatah lagi tiket penerbangan termasuk hotel ditaja sepenuhnya menyebabkan ramai tidak berfikir panjang sebelum menerimanya.  Dadah yang dibawa pula bukan semata-mata serbuk putih yang biasa kita lihat di kaca televisyen mahupun di dalam akhbar atau filem tetapi ditukar kepada pelbagai bentuk yang mungkin tidak pernah terfikir oleh sesiapa pun termasuk mangsa.  

Berdasarkan pengalaman yang diceritakan sesama banduan di Penjara Santa Monica, mereka membawa dadah dalam pelbagai bentuk seperti kertas A4, syampu, sabun, baju yang direndam dengan cecair dadah, benang, selimut, dadah yang diletakkan di dalam tali beg galas malah air di dalam botol minuman mineral!  Dewi, 36, rakyat negara ini yang dipenjarakan di Penjara Wanita Santa Monica di Lima, Peru kerana membawa lebih dua kilogram dadah mengakui berasa tidak sedap hati apabila dipaksa oleh ejen sindiket untuk membawa sebuah beg galas yang kosong untuk dihantar ke Amsterdam melalui Lima.  Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chavez, Lima, dia yang cuba memeriksa beg berkenaan berasa lega selepas mendapatinya kosong. Bagaimanapun, kelegaannya tidak lama apabila polis tiba-tiba memotong tali beg selepas tidak menjumpai apa-apa dalam beg berkenaan.  Dewi yang hamil empat bulan terperanjat dan terus pengsan sebaik melihat serbuk putih tersembul dari dalam tali beg yang dipotong polis berkenaan. Sebaik sedar, dia sudah berada dalam lokap.

Walaupun cuba mempertahankan diri dengan mendakwa tidak bersalah, polis tidak mengendahkannya dan Dewi dipenjarakan di Penjara Wanita Santa Monica di Lima.  Lina, 36, yang ditahan di Penjara Santa Monica kerana membawa 2.83 kilogram kokain menceritakan diminta oleh teman lelakinya yang berasal dari Nigeria yang dikenali sejak lapan tahun lalu untuk mengambil ‘sesuatu’ di Peru dengan upah AS$8,000. Dia diterbangkan ke Istanbul dan menunggu lapan hari sebelum ke Lima.  Selama di Lima, dia dibawa oleh seorang lelaki tempatan ke sebuah restoran dan tiba-tiba diminta untuk berjalan seperti model dengan jarak 50 meter di dalam restoran berkenaan.  Tidak dibenarkan banyak bertanya, Lina hanya menurut arahan. Tanpa disedarinya, ada ‘mata’ mengukur tubuhnya dari jauh.  Keesokan harinya, dua lelaki Peru datang membawa korset (bengkung) yang padan dengan saiz badannya. Korset yang dijahit khas itu sudah berisi dua paket dadah di kiri dan kanan dadanya, manakala enam paket lagi di bahagian pinggang. Dia tahu itu dadah tetapi mendakwa terpaksa membawanya demi memenuhi janji dengan teman lelakinya sebelum ini.

Lina berkata, kakinya menggeletar sebaik melihat pemeriksaan ketat polis ke atas semua penumpang sehingga timbul rasa untuk membuang baju yang dipakainya tetapi apabila mengingatkan ugutan maut sindiket, dia terpaksa menyudahkan tugasan itu. Malah, ejen sindiket yang menghubunginya meyakinkannya tidak akan ditangkap kerana mereka sudah merasuah semua polis di situ. Sebaik melepasi dua polis dan pintu imbasan, Lina lega kerana tidak ditahan. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila tiba-tiba paket dadah yang di bahagian dadanya tersembul keluar di depan seorang polis wanita menyebabkan dia ditahan dan dikenakan hukuman penjara enam tahun lapan bulan di Penjara Wanita Santa Monica. Sindiket dadah turut bijak memilih mangsa yang kebanyakan mempunyai latar belakang keluarga berpecah-belah, ibu tunggal yang kesempitan hidup, wanita yang mengalami krisis rumah tangga dan sesetengahnya mengalami trauma yang secara tidak langsung menyebabkan jati diri begitu rapuh dan mudah dipengaruhi. Tidak hairan jika mereka berani berdepan sebarang risiko atau melakukan sesuatu yang membahayakan diri.

Penulis sempat berjumpa seorang ibu mangsa yang menceritakan trauma dialami mangsa sejak kecil. Mangsa termasuk enam adik beradik bersama ibu dihalau ayah kandungnya sehelai sepinggang sehingga terpaksa hidup merempat. Mangsa turut diberhentikan sekolah sejak Tahun Enam walaupun dia pelajar pintar di sekolah. Ibunya berkata, mangsa turut menjadi tempat ayahnya melepaskan marah dengan memukul dan menendang mangsa setiap hari. Pernah sekali ayahnya membawa mangsa menaiki motosikal ke tempat lapang dan tanpa sebab membelasahnya sebelum membawanya balik ke rumah dalam keadaan lembik. Memang mudah untuk melemparkan seribu tuduhan berbanding mendalami apa yang dilalui golongan ini. Hakikatnya, tekanan dan trauma dialami sejak kecil menyebabkan golongan ini seakan-akan tidak takut dengan risiko malah tidak dapat membuat keputusan waras sehingga sanggup melakukan apa saja untuk mengubah nasib mereka.

SUMBER
BERITA HARIAN
3 SEPTEMBER 2011

ISU PENDIDIKAN : BELAJAR DI UNIVERSITI MAMPU MEMBUKA MINDA LEBIH TERBUKA DAN KRITIS

Oleh Mohd Azizuddin Mohd Sani


Bulan September  ini bukan saja menyaksikan seluruh umat Islam menyambut Aidilfitri dan rakyat Malaysia umumnya menyambut Hari Malaysia, malah ia juga hari penting kepada pelajar baru untuk mendaftar di universiti masing-masing. Buat kali pertamanya di Malaysia, pendaftaran kemasukan pelajar dimulakan pada September, berbanding pada Jun atau Julai seperti sebelumnya. Kementerian Pengajian Tinggi berhasrat menyamatarakan pendaftaran pelajar di Malaysia dengan sesi kemasukan di negara lain seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Yang pasti, pelajar yang mula mendaftar akan menempuh cabaran baru dalam kehidupan kampus, terutama menimba pelbagai cabang ilmu. Sebagai pelajar baru, saat memasuki universiti adalah yang ditunggu-tunggu. Di universitilah tempat transformasi atau anjakan paradigma bagi pelajar berlaku kerana mereka akan terdedah dengan suasana pembelajaran dan ilmu pengetahuan tinggi yang belum pernah mereka rasai sebelum ini seperti ketika di bangku sekolah.  Oleh itu, persediaan awal adalah penting bagi setiap pelajar baru bagi menghadapi cabaran ilmu dan kehidupan ketika di alam universiti kelak.

Sebagai persediaan, suka dijelaskan di sini bahawa di universiti pelajar akan didedahkan dan juga terdedah kepada beberapa perkara.  Pertama, matlamat pelajar memasuki universiti perlu jelas. Ada ramai pelajar baru yang kecewa kerana tidak mendapat kursus diingini dan dihasratkan oleh ibu bapa dan keluarga. Matlamat universiti bukan hanya membentuk graduan yang berkemahiran di dalam sesuatu ilmu pengetahuan yang seterusnya boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara. Malah universiti juga bermatlamat melahirkan pelajar dan graduan yang berminda terbuka dan kritis. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pernah menjelaskan bahawa kualiti pelajar dan graduan yang ingin dibentuk ialah berdasarkan ukuran 4C iaitu Critical Thinking and Problem Solving (Pemikiran Kritis dan Penyelesaian Masalah), Effective Communication (Komunikasi yang efektif), Collaboration and Team Building (Kolaborasi dan Gerak Kerja Berkumpulan) dan Creativity and Innovation (Kreativiti dan Inovasi). Belajar ilmu fizik tidak semestinya menjadi seseorang itu ahli fizik.

Begitu juga belajar ilmu politik, tidak semestinya seseorang itu menjadi ahli politik. Jadi pelajar yang tidak mendapat kursus diingini tidaklah perlu risau dan kecewa kerana kecemerlangan di universiti akan dapat menjadikan mereka matang dan terbuka serta dapat bersedia memasuki alam pekerjaan pilihan mereka nanti.  Kedua, pelajar harus berniat untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dan tiada tempat yang terbaik untuk melakukannya selain di universiti. Di sekolah, sistem persekolahan tidak menyediakan ruang untuk murid menyoal ilmu yang dipelajari daripada buku teks dan guru yang dipertanggungjawab menyampaikan ilmu berkenaan. Ini menjadikan pelajar lebih mengejar gred dan berorientasikan peperiksaan. Di universiti, pelajar akan didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan malah tiada buku teks yang dikhususkan pada sesuatu kursus.  Sistem pembelajaran di universiti banyak dilaksanakan di dalam bahasa Inggeris dan kehadiran ramai pensyarah dan pelajar asing dari serata dunia akan membantu pelajar kita terdedah kepada interaksi serta pembelajaran dan pengajaran yang global sifatnya.

Malah menerusi interaksi itu juga, bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dapat dipelajari secara meluas oleh warga kampus khususnya oleh pensyarah dan pelajar asing tadi.  Ketiga, pelajar baru juga perlulah berazam dan beriltizam untuk aktif dan beridealisme. Melalui Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2008, kerajaan juga lebih terbuka dan menyediakan platform kepada pelajar untuk bergiat secara aktif di dalam bukan saja pembelajaran malah melalui kegiatan berpersatuan. Khaled menjelaskan bahawa pelajar dibenarkan bersuara dalam hal berkaitan akademik dan dibenarkan memberi pendapat dalam seminar dan simposium dengan syarat majlis tidak dianjurkan atau diberi peruntukan kewangan oleh parti politik, pertubuhan menyalahi undang-undang serta pertubuhan, badan atau kumpulan yang dikenal pasti oleh menteri sebagai tidak sesuai.  Universiti Sains Malaysia membuka jalan dengan memperkenalkan projek rintis Parlimen Pelajar dan universiti awam yang lain juga digalakkan supaya mengikuti jejak langkah yang sama. Ia bersesuaian dengan matlamat kerajaan bagi melahirkan modal insan atau graduan yang berkualiti.  

Akhir sekali, pelajar juga perlu mengambil kesempatan dalam mewujudkan budaya keintelektualan di universiti. Budaya keintelektualan tidak akan dapat dibentuk tanpa kehadiran dan pembabitan pelajar yang merencanakannya. Wacana ilmu perlulah dimanfaatkan pelajar. Malah mereka juga boleh menjadi juara kepada wacana ilmu ini.  Pemikiran yang analitikal dan kritis amat diperlukan untuk menjadikan universiti tempatan setanding universiti ternama dunia. Oleh itu, peranan pelajar sangat penting dalam merencanakan kelangsungan budaya keintelektualan dan kecemerlangan universiti.

Penulis ialah Karyawan Tamu Kementerian Pengajian Tinggi

SUMBER
BERITA HARIAN
3 SEPTEMBER 2011

ISU KELUARGA : DIDIKAN AWAL MAMPU BAHAGIAKAN KEHIDUPAN HARI TUA IBU BAPA


Antara iklan Aidilfitri tahun ini yang amat menyayat hati ialah milik Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Iklan mengisahkan sepasang suami isteri yang sudah tua di kampung menunggu kepulangan anak lelaki mereka pada pagi raya. Ibu terbabit mengalirkan air mata, hampa anaknya belum lagi kelihatan, walaupun pagi Syawal sudah tiba. Ketika sedang dipujuk suaminya, tiba-tiba anak kesayangan muncul di muka pintu. Berpelukanlah anak dan ibu dengan wanita tua itu sambil mengesat air mata kesyukuran.  Iklan menusuk kalbu itu membawa mesej betapa besarnya kasih ibu bapa kepada anak. Kasih sayang yang tiada tolok bandingnya ini tidak mengharapkan balasan, tetapi hanyalah agar anak apabila besar kelak tidak lupa untuk mengenang jasa dicurahkan ibu bapa masing-masing. Mesej ini dikuatkan lagi dalam iklan itu dengan dialog si ibu mengingatkan anaknya yang ketika itu masih kecil ‘apabila sudah berjaya, setinggi mana pun pergi, jangan lupa mak dan ayah.’ Begitulah cerita iklan raya ini. Bagi kebanyakan kita, mesej kasih sayang ibu ini sudah tertanam dalam hati sanubari kita melalui cerita lama seperti Si Tanggang, mahupun dengan ingatan bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu.

Tidak ramai daripada kita tergamak membiarkan ibu atau bapa hidup keseorangan di kampung. Jika terpaksa sekali pun hidup berseorangan, kemungkinan kebanyakan kita akan kerap pulang bagi mengubat hati rindu orang tua itu. Inilah nilai dipegang kebanyakan kita. Namun, berdasarkan laporan muka depan akhbar ini semalam, jelas terbukti nilai murni ini semakin terhakis. Laporan eksklusif akhbar ini, semalam melaporkan kira-kira 500,000 ibu bapa yang terdiri daripada warga tua di Malaysia tidak pernah menerima bantuan kewangan daripada anak masing-masing bagi meneruskan kehidupan masa tua mereka. Mengapakah nilai anak sekarang sudah berubah? Mungkin pakar demografi memberi penjelasan fenomena ini adalah kesan jangka hayat yang lebih panjang sekarang. Apabila usia semakin panjang menjangkau 80-an, si anak pun turut tua dan tidak lagi mampu menjaga ibu bapa mereka, selain mereka sendiri perlu dijaga. Alasan ini mungkin ada kebenarannya, tetapi apakah si cucu tidak berasa bertanggungjawab menjaga kedua-duanya. Sebenarnya punca terhakisnya nilai mengenang jasa ibu bapa ini bermula daripada kita sendiri. Apabila kita sebagai ibu bapa tidak menunjukkan contoh baik mengenang jasa ibu bapa kita sendiri, tidak mungkin anak kita akan berbuat demikian kelak.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
3 SEPTEMBER 2011

ISU POLITIK : TRANSFORMASI DALAM PEMILIHAN MENTERI

Saranan Salleh


Kita  sering mendengar diperkatakan yang arahan masa kini adalah bakat dan merit. Kita juga sedang melalui transformasi pelbagai jenis ekonomi dan politik. Kalau dinilaikan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) hari ini tidak lagi boleh disamakan dengan masa dulu yang mana integriti dan amanah adalah sifat-sifat yang boleh diharapkan oleh rakyat daripada pegawai PTD. Mungkin dari segi kelayakan kita boleh bandingkan dengan pegawai-pegawai hari ini yang memiliki sehingga sarjana dan kedoktoran. Oleh itu, suatu transformasi dalam perkhidmatan kerajaan juga patut dilakukan. Transformasi yang patut dilakukan ini meletakkan bakat dan otak terbaik untuk setiap jawatan penting dalam kerajaan daripada Ketua Setiausaha Negara ke bawah. Tiada siapa berhak mendapatkan sesuatu jawatan hanya disebabkan sudah lama dalam perkhidmatan. Rekod pencapaian seseorang pegawai itu wajar dinilai dahulu sebelum dilantik atau dinaikkan pangkat dan bukan semata-mata giliran seseorang pegawai itu. Bagi jawatan-jawatan penting orang luar juga yang bukan pegawai PTD wajar dilihat sekiranya mempunyai kemahiran, pengalaman dan kelayakan.

Ertinya, kita mendapatkan the best talent untuk jawatan-jawatan penting dalam kerajaan, tidak kira bangsa. Mereka patut diberi gaji dan kemudahan yang setanding dengan apa diperolehi oleh ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan. Begitu juga hakim-hakim kita. Patut diberi gaji yang tinggi dan kemudahan yang membanggakan seperti kereta Mercedes atau BMW berkuasa tinggi. Barulah mereka tidak terpengaruh dengan rasuah. Kita sedar bahawa rasuah sudah menular sehingga ke jawatan-jawatan tinggi kerajaan dan kalau ia tidak dibanteras negara ini akan hancur. Seorang rakan saya, pengimport barang- barang misalnya menceritakan bagaimana apabila syarikatnya tidak mahu lagi membayar RM800 untuk setiap kontena didatangi oleh pegawai penguat kuasa yang mengenakan denda atas kesalahan yang bukan-bukan. Bayaran yang diminta mula-mula RM200 setiap satu kontena, kemudian naik RM300 sehinggalah ke RM800 satu kontena. Begitu juga mereka yang bertanggungjawab atas pemeriksaan kenderaan seperti bas, lori dan trak. Mudah saja untuk dibuktikan.

Bawa bas yang patut diperiksa dan diberi kebenaran ke tempat pemeriksaan dan usah berikan duit suapan. Bas itu boleh berlapuk di situ berhari-hari. Rasuah ini macam pelacuran. Semua orang tahu berleluasa tetapi tiada siapa yang hendak bercakap tentangnya. Kita dipenuhi dengan perempuan dari macam-macam negara. Sebut saja negara mana, Eropah tengah, China, Asia dan negara-negara yang kita tidak biasa dengar. Kita hairan bagaimana misalnya kita mempunyai penduduk asing begitu ramai dalam negara ini. Ramai juga yang dikatakan belajar tetapi buat kerja lain dan keadaannya kita lihat seperti tidak terkawal lagi. Kita dengar orang dari Iran misalnya ditangkap kerana mengedar dadah bukan sekali tetapi berkali-kali. Kita juga dengar mereka dari negara Afrika melakukan pelbagai jenayah dan gangguan kepada masyarakat tetapi mereka masih ada lagi dalam negara ini. Macam-macam serbuan dilakukan tetapi pelacuran masih menjadi-jadi. Kita juga wajar memikirkan transformasi kepada pelantikan ahli-ahli Kabinet. Menteri sepatutnya terdiri daripada mereka yang terbaik dalam bidang yang perlukan.  Latar belakang mereka mestilah sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan. Begitu juga kemahiran, pengalaman dan kelayakan mereka.

Ertinya bagi setiap kementerian, menteri kita terdiri yang terpilih daripada “creme de la creme” terbaik bakatnya dalam negara ini. Mereka tidak sepatutnya terdiri daripada ahli politik, jadi tidaklah lagi ada perebutan jawatan atau kompromi yang tidak diingini dalam mana-mana parti pemerintah. Peruntukan berdasarkan parti masih boleh lagi dilaksanakan berdasarkan kemenangan di pilihan raya. Kalau UMNO menang banyak, ia berhak memilih sejumlah menteri, begitu juga lain-lain parti komponen. Menteri kita juga patut dibayar gaji dan kemudahan setimpal dengan mereka di sektor swasta dan tidak campur dengan hal-hal politik supaya dia boleh memberikan tumpuan kepada bidang kementeriannya. Sekali setahun, dibenarkan melancong keluar negara bersama keluarga atas perbelanjaan kerajaan. Sesiapa yang hendak dipilih perlu disaring oleh suatu jawatankuasa yang akan meneliti latar belakang setiap calon untuk sesuatu jawatan dari segi pencapaian, kelayakan, pengalaman, kemahiran dan karektor.  Mereka yang tidak begitu bersih dari segi kelakuan dan latarbelakang tidak patut dipertimbangkan langsung. Ahli-ahli jawatankuasa ini terdiri daripada bekas hakim atau mereka yang mempunyai kedudukan dan reputasi yang tidak tercemar.

Kita sering terdengar betapa kita ingin beralih kepada merit dan rekod pencapaian. Inilah masanya kita memikirkan transformasi tersebut patut berlaku dalam pemilihan menteri juga. Walaupun kita kerap terdengar betapa politik wang patut dibanteras tetapi hakikatnya politik wang sudah menjadi darah daging dalam parti. Lihat saja semasa musim pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian. Ada yang tidak segan-silu menceritakan betapa banyak yang diperlukan untuk memenangi sesuatu jawatan dalam parti. Kalau menteri tidak ada kaitan dengan politik, tidak payah risau tentang hendak menjaga atau bela orang-orangnya. Serahkan politik kepada orang politik. Apa yang kita lihat hari ini adalah setiap isu yang penting kepada negara dipolitikkan, jadi masalah sebenar menjadi kabur dalam membuat keputusan kerana kena ambil kira politik. Ahli politik Malaysia telah membawa politik ke suatu dimensi yang belum pernah dilihat di masa-masa dulu. Jarang sekali sesuatu isu tidak dipolitikkan. Lagi pun kita menyaksikan menteri kita terlalu sibuk menangani soal-soal politik kerana sentiasa memikirkan soal tidak mahu menyisih hati pengundi. Mekanisme perubahan ini perlu diteliti sebaik-baiknya tetapi banyak baiknya daripada buruknya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 SEPTEMBER 2011

ISU ALAM SEKITAR : BUANG SAMPAH IKUT KATEGORI

Oleh Mohd. Hazli Hassan


Tidak diketahui sama ada kita sedar atau tidak mengenai penguatkuasaan sistem pengasingan sampah mengikut jenis dan kategori bahan buangan yang dilakukan kerajaan bermula 1 September lepas. Bermula Khamis lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menguatkuasakan sistem pengasingan sampah ini di semua premis kediaman selepas Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 diluluskan. Sistem pengasingan ini bertujuan memastikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam diurus dengan teratur, bersepadu dan sistematik. Buat permulaan, sistem ini akan dijalankan secara berperingkat-peringkat dalam masa dua tahun supaya orang ramai boleh membiasakan diri. Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung, selepas dua tahun, denda akan dikenakan kepada mereka yang tidak mengasingkan buangan mengikut kategori. Saya menyanjung tinggi usaha kerajaan ini dalam membolehkan orang ramai mengamalkan sikap kitar semula. Memang sepatutnya ia bermula dari rumah namun tempat-tempat awam juga perlu dilengkapi dengan tong-tong sampah yang berbeza mengikut kategori.

Ini membolehkan orang ramai membiasakan diri sama ada di kediaman mahupun di tempat awam dalam mengamalkan konsep kitar semula. Jepun merupakan antara negara yang mengamalkan konsep ini di mana-mana. Dan ia berjaya diterapkan kepada rakyat mereka dan kini menjadi amalan. Malah, saya pernah melihat seorang rakyat negara matahari terbit itu menyimpan cawan minuman kertas di dalam poket ketika di dalam komuter dan setibanya di destinasi, dia terus mencari tong sampah yang dikhususkan untuk kertas. Ini merupakan perkara yang baru di Malaysia dan saya percaya dua tahun merupakan masa yang amat cukup untuk mendidik masyarakat. Namun tanpa promosi dan pemberitahuan sepanjang masa, saya pasti ia akan tetap gagal sama seperti kempen kitar semula oleh kerajaan yang dilaungkan sejak bertahun-tahun lalu. Alasannya mudah, segelintir rakyat negara ini masih lagi mempunyai minda dunia ketiga. Ini, bukan saya yang cakap, tetapi pemimpin kita yang menyuarakan kegelisahan tersebut.

(Jom sertai FB Impak Alam di www. facebook.com/impakalam)

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 SEPTEMBER 2011