JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Januari 2012

ISU UMUM : BUDAYA MAKAN IKAN HIDUP-HIDUP


Ikan itu menggelupur semasa dikeluarkan dari akuarium sebuah restoran di Beijing, China. Seorang tukang masak kemudian membalut kepala ikan itu dengan sehelai kain basah agar ia boleh bernafas lebih lama. Sambil berborak dengan rakan sekerjanya di dapur, lelaki itu mencelup dua pertiga daripada badan ikan seberat kira-kira 700 gram itu ke dalam minyak panas di dalam kuali. Beberapa minit selepas digoreng, ikan itu masih hidup. Malah mulutnya tercungap-cungap semasa ia diletakkan di atas sebuah pinggan untuk dihidangkan kepada pelanggan restoran yang sudah sedia menanti. Mungkin untuk rasa yang lebih sedap, sos berperisa dituang ke atas badan ikan tersebut.

Nasib ikan-ikan lain yang ada di akuarium restoran berkenaan juga dipercayai bakal berakhir di atas meja hidangan dan dimakan hidup-hidup. Video mengenai hidangan pelik di China itu telah tersebar di laman YouTube pada tahun 2009 dan mencetuskan kritikan hebat masyarakat antarabangsa khususnya aktivis pencinta haiwan. Rakaman itu menunjukkan beberapa orang yang bersedia menikmati ikan itu sedang ketawa sambil melihat ikan itu tercungap-cungap sebelum mereka mencubit isinya menggunakan copstik. "Setiap orang yang waras akan terkejut melihat orang mempersendakan dan mendera seekor ikan yang hendak mati," kata seorang jurucakap kumpulan hak asasi haiwan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, PETA.


Kim Jong-il

Seorang rakyat China di luar negara yang mengeluarkan kenyataan bahawa budaya pemakanan secara ekstrem seperti itu menjadi pendorong kepada kepada kezaliman ke atas haiwan telah dikutuk oleh kedutaannya sendiri. "Kami mempunyai budaya sendiri. Adalah tidak adil untuk menuduh budaya orang lain mempunyai unsur negatif. Tradisi tetap tradisi," kata seorang jurucakap sebuah kedutaan China. Budaya memakan ikan segar seperti itu bukan baru bagi masyarakat Asia Timur. Malah, bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il merupakan penggemar hidangan ikan hidup seperti itu. Menurut bekas tukang masaknya, Kenji Fujimoto, Jong-il suka menikmati ikan yang masih bergerak itu bersama wain biarpun dia sedang sakit. Jong-il sering makan ikan segar. Ikan itu masih bernafas dan bergerak walaupun sudah dimasak. Dia akan menikmatinya dengan cukup berselera.

Fujimoto, 59, mendedahkan cerita itu selepas dia melarikan diri ke negara asalnya Jepun kerana tidak tahan melayan selera Jong-il sebelum pemimpin itu meninggal dunia pada 17 Disember lalu akibat serangan jantung. Selain ikan hidup, masyarakat Korea sering mengunjungi restoran yang menyediakan hidangan sotong kurita hidup. Sajian yang dikenali sebagai sannakji oleh warga tempatan itu dimakan bersama sedikit minyak, perasa dan sos. Sotong kurita daripada pelbagai saiz itu dimakan dengan cara badan dan kakinya dililit pada sepasang copstik sebelum dikunyah hidup-hidup. Udang juga menjadi mangsa kepada penggemar makanan laut mentah. Di China, udang itu direndam ke dalam sejenis alkohol yang dikenali sebagai baijiu untuk membuatnya lalai sebelum dimakan secara mentah. Cara sama turut dilakukan oleh warga Jepun yang dikenali sebagai odori. Cuma yang membezakan orang Jepun dan orang China ialah orang Jepun lebih sukakan anak udang.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN KOSMO
9 JANUARI 2012

ISU ALAM SEKITAR : IMPAK RIBUT DAN MATAHARI BUKAN KIAMAT


Banyak ramalan menyebut 2012 merupakan tahun berlakunya kiamat. Teori kemusnahan alam semesta kaum Maya telah dipopularkan menerusi filem 2012 hinggakan filem tahun 2009 itu meraih kutipan global sebanyak AS$769 juta (RM2.3 bilion). Nostradamus, si peramal tersohor Perancis turut menamakan 2012 sebagai tahun kemusnahan planet-planet, manakala para ahli astrologi China dari Dinasti Chang mengatakan akan berlaku bencana besar tahun ini. Oleh kerana itu, apabila saintis menjangkakan fenomena ribut matahari terjadi pada pertengahan 2012 hingga 2013, mitos kiamat yang dicanangkan sebelum ini terasa bagaikan semakin hampir. Dalam ilmu astrologi, matahari merupakan bintang yang terletak paling dekat dengan bumi iaitu sejauh 149 juta kilometer. Ia mempunyai suhu teras 15 juta darjah Celcius dan telah terbentuk lebih 5,000 juta tahun yang lalu. "Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada kadar normal. Suhu panas itu menyebabkan ia mengeluarkan gas yang sebahagiannya akan masuk semula ke dalam matahari.

"Bagaimanapun, sebahagian gas itu berlegar di ruang angkasa dan memasuki atmofera bumi. Fenomena itulah yang digelar ribut matahari," kata seorang pakar astronomi tempatan, Shahrin Ahmad. Namun, beliau berpendapat ribut matahari tidak akan memusnahkan bumi. Malah, kejadian ribut matahari sampai ke bumi jarang berlaku kerana ia dihalang oleh lapisan atmosfera dan medan magnet bumi. "Ribut itu akan termusnah sendiri sebelum sampai ke daratan. Tetapi jika ia menembusi lapisan atmosfera dan medan magnet bumi dengan saiz dua atau tiga kali ganda melebihi saiz bumi, kerosakan besar boleh berlaku. "Apa pun, ia terhad kepada kerosakan peralatan elektrik dan sistem telekomunikasi seperti satelit, sistem penerbangan dan Internet," kata Shahrin. Beliau memberitahu, kesan ribut matahari pernah dirasai di bumi pada tahun 1859. Akibatnya, sistem telegraf di Amerika Syarikat dan negara Eropah lumpuh sama sekali. "Peristiwa itu dinamakan Carrington Event. Begitupun, kejadian itu kini boleh dielakkan dengan dua satelit peninjau matahari bernama Stereo yang dilancarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat. "Kedua-dua satelit itu berperanan mengumpul data untuk memahami dan meramalkan ribut matahari sebagai persediaan awal jika ia berlaku," ujarnya.

Shahrin menambah, memang wujud kebimbangan bahawa ribut matahari kemungkinan menjejaskan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) manusia namun beliau berpendapat perubahan DNA itu lebih disebabkan oleh kesan rumah hijau dan pelepasan gas beracun radioaktif. "Makanan, radioaktif dan bahan kimia yang meresapi tubuh boleh mengganggu sistem tubuh tetapi ia tiada kaitan secara langsung dengan fenomena ribut matahari," tegasnya. NASA sebelum ini meramalkan ribut matahari akan kerap berlaku sepanjang tahun 2012 dan 2013. Ini mengakibatkan saintis Amerika Syarikat (AS) mengandaikan impak kerosakan akibat ribut matahari pada tahun 2012 lebih dahsyat berbanding Taufan Katrina yang melanda AS pada tahun 2005 dan mengorbankan 1,800 orang. "Puncak kerisauan sebenar ialah gangguan ke atas kehidupan sosial yang bergantung pada teknologi seperti GPS dan komunikasi satelit," kata ahli fizik NASA, Lika Guhathakurta.

Seorang lagi pegawai NASA, Michael Kaiser menambah, matahari mencetuskan ribut solar sejak berbilion tahun dahulu tetapi hanya pada akhir-akhir ini ramai yang mengambil berat isu tersebut. "Ribut elektromagnet matahari boleh menjejaskan sistem tenaga elektrik selain membahayakan angkasawan. "Pertambahan tenaga magnetik dalam atmosfera dijangka mengeluarkan radiasi yang mampu menyebabkan kuasa janakuasa elektrik meningkat mendadak," katanya. Ujarnya lagi, kali terakhir pancaran matahari meletus adalah pada tahun 1859 hingga menyebabkan dua pertiga daripada ruang angkasa bumi bertukar menjadi warna merah. Dijangkakan, peristiwa itu dapat dilihat sekali lagi dengan beberapa bandar utama seperti London, Paris dan New York mengalami ribut awan pada 2012 atau 2013. Pakar astronomi dari Indonesia, Hakim L Malasan pula berpendapat, fenomena ribut matahari tidak berhubung kait dengan kiamat. Seorang lagi pakar, Thomas Djamaluddin, mengatakan kiamat mungkin berlaku lima juta tahun lagi. "Matahari akan menjadi bintang raksasa merah dan menelan planet terdekat, Utarid, Zuhrah dan mungkin bumi," jelasnya.

Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman berpendapat, bidang astrofizik tidak dapat menentukan hari kiamat selagi tiada perubahan pada matahari. "Ahli fizik memang percaya bahawa alam semesta akan berakhir tetapi sama ada pada 2012 atau 10 juta tahun dari sekarang mahupun 10 bilion tahun lagi, ia terpulang kepada teori yang kita ada. "Dari segi fizik, jika matahari sudah kehabisan hidrogen, ia akan berkembang menjadi bintang lain. Ketika itu kehidupan di bumi akan mengalami perubahan dan kejadian tersebut boleh dikatakan sebagai tanda kiamat. "Ini kerana apabila matahari tiada lagi tenaga, manusia tidak boleh hidup dan akan berlaku banyak kejadian alam yang boleh mencetuskan pengakhiran dunia," katanya. Menurut Pegawai Sains, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd. Zamri Shah Mastor, bumi juga boleh hancur menerusi hentaman objek yang terapung di angkasa lepas seperti komet atau asteroid. "Tetapi kita bernasib baik disebabkan bumi memiliki lapisan atmosfera. Lapisan itu menyebabkan komet dan asteroid yang cuba menerjah atmosfera bumi akan termusnah terlebih dahulu. "Sebenarnya terdapat 1,077 asteroid yang dikenal pasti berpotensi menghentam bumi," katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN KOSMO
9 JANUARI 2012

ISU UMUM : KEPERLUAN TERHADAP GERAKAN KESEDERHANAAN GLOBAL (GMM)

TAN SRI RAZALI ISMAIL
Penasihat Gerakan Kesederhanaan Global 2012.


Ekstremisme sering dilihat sebagai ketersasaran politik atau agama yang hanya boleh berpunca daripada golongan terpinggir; atau serpihan. Golongan berhaluan kiri mahupun kanan seringkali dianggap cenderung ke arah ekstremisme berbanding mereka yang berada di pertengahan spektrum ideologi. Ternyata tanggapan itu silap! Seymour Martin Lipset, seorang saintis politik yang mengabdikan hidupnya kepada ilmu demokrasi, mengakui secara tepat bahawa ekstremisme juga boleh lahir daripada "tengah"- tatkala polisi dan keputusan-keputusan dibuat atas kemudaratan ramai. Sewaktu pemerintahan Nazi di Germany, sebagai contoh, banyak tindakan keterlaluan dicetuskan secara langsung daripada dan oleh kerajaan yang berada di tengah. Tidak juga fenomena ini dipunyai oleh Barat. Malahan sebuah tamadun tua seperti China - yang didakwa menjunjung kesederhanaan dan hikmah menderitainya. Kemaraan Raksasa (1959-1961) dan Revolusi Budaya (1966-1976) adalah dua peristiwa yang menjadi isyarat meletakkan China dalam bahaya kacau-bilau dan kemunduran.

Di sebalik pengajaran tersebut, ekstremisme memiliki keupayaan aneh untuk muncul kembali dalam pelbagai rupa. Tidak ada satu sistem politik yang kebal darinya. Di Amerika Syarikat, lantaran keperluan bertindakbalas terhadap serangan pengganas 911, Presiden George Bush telah melancarkan bukan satu, tetapi dua perang, masing-masing di Afghanistan dan Iraq. Dalam kes di Iraq, bukti-bukti palsu diterimapakai untuk menjustifikasi kempen ketenteraan di Iraq. Kiri, kanan, mahupun tengah, ekstremisme bukanlah untuk menjaga segelintir yang gila atau sebaliknya. Ekstremisme, dalam erti kata lain, adalah ketara, dan di mana-mana; malahan dalam sistem politik yang mempunyai "check and balance". Pun begitu, bertentangan dengan amaran "kuasa itu merosakkan, dan kuasa mutlak itu merosakkan secara mutlak", ekstremisme tidak hanya disebabkan secara tunggalnya oleh kuasa yang tidak terhalang. Akan tetapi, seperti semua perkara, ekstremisme berpunca daripada keterujaan melampau mempromosi pandangan seseorang, pendekatan seseorang dan pemikiran seseorang yang menidakkan yang lain.

Lama sebelum ekstremisme boleh menjelma dalam bentuk kumpulan pengganas, negara-negara kasar dan organisasi sosial ultra-ganas, setiap satu badan tersebut telah memiliki satu kepercayaan lapuk yang menghalang apa jua bentuk penentangan intelektual, atau, kebangkitan. Malahan, ekstremisme juga boleh muncul tanpa keganasan - sebagaimana keengganannya berubah mengikut templet dan keperluan semasa. Kita pernah mendengar tentang Luddites, kumpulan yang enggan menerima penggunaan sebarang teknologi dan mesin. Pada akhirnya, masalah utama pada ekstremisme dalam situasi-situasi konflik berlarutan adalah kurang mudarat aktiviti-aktivitinya (walaupun keganasan, trauma, dan peningkatan adalah pertimbangan nyata), sebaliknya lebih kepada ketidakterbukaan, kejumudan, dan sifat tidak toleran ekstremis, dan ketegaran untuk berubah. Pada tahap ekstremisme itu statik, ia meletakkan dirinya langsung berhadapan dengan mereka yang mahu berubah, bagaimanapun. Di sinilah pertembungan boleh berlaku apabila dua atau lebih pihak menekan satu sama lain sama ada untuk berubah, atau, kekal seperti biasa.

Pendekatan sebegitu terhadap hubungan antarabangsa, atau, isu-isu politik dan agama adalah benar-benar merosakkan diri sendiri. Apabila pandangan disampaikan dalam bentuk diametrik, ia membawa kepada perbalahan dua penjuru. Segalanya menjadi "zero-sum" atau, kegagalan dalam mencapai situasi menang-menang. Maka, kunci kepada semuanya adalah mencari titik tengah di mana jarak persamaan yang mirip dapat ditemui, supaya membenarkan semua pihak untuk mencapai penyelesaian yang dipersetujui. Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) mewakili percubaan yang penting untuk mencapai median dalam politik, agama, ekonomi, dan hubungan sosial—bukan dengan mencapai pengakhiran, tergesa-gesa untuk menambah. Tetapi, dengan mencari perkara dan solusi yang berupaya, dan sebagai pulangannya, keamanan, dan bersih daripada elemen luar yang negatif yang boleh mencetuskan suasana persekitaran yang menekan. Sesungguhnya, ketidaktaksuban kepada resipi seseorang adalah petanda kesederhanaan. Meskipun kekuatan perniagaan pasaran Amerika, sebagai contoh, keterlampauan kewangan yang disaksikan pada 2007-2008, yang mengakibatkan krisis kewangan global, telah menonjolkan kekurangannya.

Oleh kerana GMM bertentangan dengan segala bentuk perseorangan, tidak juga ia menuntut kepada pluralisme total dari segi bentuk, kepercayaan. Yang kemudian itu adalah keistimewaan dimiliki oleh individu. Tidak ada pergerakan yang harus menuntut pluralisme atas dasar pluralisme semata-mata. GMM memperakukan bahawa penyelesaian yang boleh dilaksanakan harus diukur atas dasar bagaimana ia memperbaiki taraf hidup masyarakat. Pelaksanaan harus dicapai, tanpa melakukan kerosakan serius kepada pembangunan lestari. Dalam konteks ini, GMM selari dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengguna pakai amalan terbaik dan prinsip yang digariskan oleh PBB. Indeks Pembangunan Manusia PBB, UN Global Compact, Deklarasi Sejagat Hak Asasi manusia, dan perjanjian-perjanjian yang dicapai dalam memelihara alam sekitar, adalah penting dalam perjuangan GMM. Hingga peringkat ini, GMM tidak menuntut hakmilik eksklusif terhadap idea kesederhanaan; selain daripada penekanan terhadap usahasama. Malaysia tidak harus mendakwa ia adalah perintis; yang lain seperti Turki, China telah menzahirkan idea yang serupa. Kita semua harus bersama bertindak.

Meskipun sekretariat GMM mungkin sementara waktu beroperasi di Malaysia, ia menyasarkan untuk bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan dan NGO yang mempunyai aspirasi yang sama untuk mencapai kesederhanaan. Oleh kerana Malaysia dan Indonesia secara umumnya dilihat sebagai negara Muslim yang sederhana, kedua-duanya harus cuba mempromosikan nilai-nilai kesederhanaan di ASEAN. Tetapi ini tidaklah menidakkan kewajaran bekerjasama dengan negara-negara seperti Jepun, Finland, Norway, New Zealand dan Australia yang memilih pendekatan kesederhanaan dalam politik antarabangsa. Bali Concord III baru-baru ini, sebagai contoh, mempunyai petanda kesederhanaan. Konsisten dengan Perjanjian Persahabatan dan kerjasama Asia Tenggara (TAC) untuk tidak memilih jalan ketenteraan untuk menyelesaikan konflik antarabangsa, Bali Concord III menyeru ke arah penyatuan dasar luar negara ahli di institusi antarabangsa seperti UN, G-20 dan lainnya. Usaha ini semua memerlukan politik kesederhanaan. Melihat secara lebih empirikal, kesederhanaan adalah berteraskan pencarian tindakan kolektif, untuk mengelak tragedi lazim. Apabila semua pihak mengejar kepentingan peribadi tanpa mempertimbangkan secara wajar kepentingan dan pandangan yang lain, maka pendekatan tersebut boleh membawa kepada lembah kehinaan. Kesederhanaan mampu dibuktikan sebagai satu keharusan yang strategik. Tiada siapa di dunia ini yang menang secara mutlak.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 JANUARI 2012

ISU SOSIAL : ILMU BERPAKSIKAN KEROHANIAN PERANGI RASUAH

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB),
Universiti Utara Malaysia.


Penulis bersyukur di kelilingi ilmuan-ilmuan yang hebat-hebat belaka di institusi menara gading, di tempat penulis bekerja. Yang sentiasa memberi pandangan berguna bukan sahaja untuk urusan kerja sebagai ahli akademik tetapi untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Mendekati orang yang berilmu membuatkan kita berasa betapa banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari. Majlis-majlis ilmu sentiasa diadakan di sini menandakan menara gading ini tidak pernah sunyi daripada budaya percambahan ilmu pengetahuan. Baru-baru ini, penulis menghadiri majlis ilmu iaitu, Syarahan Pengukuhan Profesor yang disampaikan oleh "sifu" atau "tok guru" bidang perakaunan, Profesor Dr. Zakaria Abas. Bertemakan Memperakaunkan Ilmu Dalam Organisasi: Meluaskan Horizon banyak yang boleh dicungkil dalam syarahan beliau. Sebagai seorang yang berpengalaman dalam dunia pendidikan dan industri, pemikiran tajam beliau mengenai isu-isu semasa menampakkan dengan jelas kelompangan kehidupan masyarakat sekarang.

Antara yang menarik diketengahkan adalah dalam keadaan kehidupan serba maju, modal insan adalah aset tidak ketara yang berakauntabiliti untuk memakmurkan masyarakat dan negara. Namun, mengapakah sejak kebelakangan ini banyak kes penipuan, rasuah dan penyelewengan berlaku di kalangan golongan berilmu? Apakah penyebab utama masyarakat kita dibelenggu dengan masalah ini? Merenung kembali apa yang disampaikan beliau, terdapat kepincangan ilmu yang menyebabkan dunia kini berpaksikan ilmu sekular dan meminggirkan apa yang dikatakan ilmu wahyu yang wajar menduduki tempat teratas berbanding aliran empirisme dan aliran rasionalisme yang didukung oleh epistemologi sekular. Islam tidak menolak aliran empirisme dan aliran rasionalisme, namun ilmu wahyu menjadi jambatan utama epistemologi Islam.Mungkinkah kita terlalu mendukung ilmu barat sehingga apa yang dikatakan oleh barat diterima bulat-bulat tanpa diselidiki kebenarannya? Apabila ilmu wahyu yang diturunkan oleh Allah ditolak dan sistem sekular diamalkan, maka lahirlah ramai golongan yang berilmu tetapi tidak mampu memakmurkan masyarakat dan negara. Segala-gala kebenaran dilanggar, nafsu tamak haloba dan materialistik menjadi perkara pokok.

Sikap sebegini menjadikan masyarakat individualistik yang pentingkan diri semata-mata. Apa yang berlaku kepada orang lain tidak perlu difikirkan, yang penting kekayaan dikaut untuk kebahagiaan diri semata-mata. Bala petaka krisis ekonomi yang sedang berlaku di barat dan Amerika Syarikat adalah contoh terbaik bagaimana sistem sekular telah meranapkan institusi masyarakat. Apabila tamak, materialistik dan individualistik bersarang dalam masyarakat, maka, penipuan, penyelewengan, pecah amanah dan rasuah berleluasa. Hanya dengan ilmu berpaksikan kerohanian dan diamalkan dengan keikhlasan akan dapat memerangi kepincangan ini. Namun, perkara ini tidak berlaku di Barat. Mereka masih mempertahankan sistem sedia ada yang sekarang ini menampakkan kepincangan mereka. Demonstrasi yang diadakan o bagi membantah golongan yang bertuhankan sistem sekular dan kapitalis yang rakus mengaut kekayaan berprinsipkan matlamat menghalalkan cara, dengan jelas menunjukkan majoriti masyarakat mereka sendiri tidak boleh lagi bergantung harap pada kedua-dua sistem ini.

Tiada siapa yang boleh mendabik dada mendahului Allah dalam segala urusan. Tiada siapa boleh mengatakan akulah yang paling hebat ilmunya. Kesombongan menjadikan manusia lupa diri dan sukar ditegur. Ia menjadikan manusia berasa apa yang dilakukannya serba betul. Apabila ini berlaku, maka pincanglah kehidupan dengan pelbagai jenayah ekonomi dilakukan oleh golongan yang diiktiraf berilmu pada kaca mata sekular tetapi kosong jiwanya dengan ilmu wahyu. Inilah dikatakan sebagai berakauntabiliti dalam mengamalkan ilmu pengetahuan dengan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran duniawi semata-mata. Yang demikian itu, segala kepincangan melibatkan penipuan, pecah amanah, penyelewengan dan rasuah dapat segera ditangani, yang akhirnya memakmurkan negara dalam erti kata yang sebenar.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 JANUARI 2012