JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



11 Mei 2011

ISU KESIHATAN : SERAMAI 6.2 JUTA PENDUDUK MALAYSIA MENGHIDAP DUA PENYAKIT TIDAK BERJANGKIT


Seramai 6.2 juta penduduk negara ini berusia 30 tahun ke atas menghidap dua penyakit tidak berjangkit (NCD) utama, iaitu diabetes dan darah tinggi yang menjadi penyebab utama kematian pramatang. Mengikut Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS) 2006, seramai 1.4 juta penduduk Malaysia dianggarkan menghidap diabetes dan selebihnya 4.8 juta darah tinggi atau hipertensi. Malah, rekod NHMS menunjukkan kes diabetes di kalangan penduduk Malaysia dewasa berusia 30 tahun ke atas meningkat 79 peratus, iaitu daripada 8.3 peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006.  Kes darah tinggi turut mencatat meningkat kepada 42.6 peratus pada 2006, berbanding hanya 32.9 peratus yang direkodkan 10 tahun sebelum itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai.  Angka itu adalah sekadar anggaran dan kami menjangka jumlah sebenar sekarang jauh lebih tinggi memandangkan rekod terkini hanya berdasarkan tinjauan pada 2006.

Justeru, bagi tempoh empat tahun akan datang, Kementerian Kesihatan akan memberikan tumpuan khusus kepada usaha menangani NCD yang turut mengisi kedudukan teratas senarai 10 penyebab utama kemasukan dan kematian di hospital kerajaan. Sementara itu, Liow berkata, dalam usaha memastikan rekod yang lebih terkini, Kementerian Kesihatan memutuskan untuk menjalankan NHMS secara lebih kerap, iaitu empat tahun sekali, berbanding 10 tahun sekali seperti sekarang.  Jika NHMS dilakukan lebih kerap, kita berupaya mengenal pasti perkembangan serta trend penyakit dengan lebih cepat, sekali gus memudahkan tindakan diambil untuk mengatasinya. Mengenai denggi, Liow berkata, sejak Januari lalu 7,362 kes dikesan di seluruh negara dengan 12 kematian.  Jumlah itu, walaupun menurun berbanding 17,296 kes dengan 56 kematian yang direkod tempoh sama tahun lalu, masih dianggap membimbangkan.

BERITA HARIAN
11 MEI 2011

ISU UMUM : PENGANTI PTK IALAH KONSEP 360 DARJAH, PENILAIAN BARU PRESTASI KAKITANGAN AWAM DI MALAYSIA


Menilai prestasi penjawat awam bukanlah tugas mudah. Ada kalanya ia begitu kompleks. Beberapa sistem penilaian yang diperkenalkan sebelum ini sering menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai peringkat penjawat awam. Antara sistem penilaian yang pernah diguna pakai termasuk Sistem Saraan Baru (SSB), Sistem Saraan Malaysia (2003) dan terakhir Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Bagaimanapun, PTK yang diperkenalkan sejak 2003 turut mendapat rungutan dan akhirnya dimansuhkan pada 1 Januari lalu. Kita percaya dalam kalangan kira-kira 1.2 juta penjawat awam adalah mustahil untuk memuaskan hati semua pihak. Dalam pada itu, kita mengharapkan kaedah menyeluruh bagi mengukur prestasi penjawat awam yang mampu mencapai tahap optimum. Mengambil kira pelbagai rungutan, kerajaan akhirnya memutuskan akan mengguna pakai kaedah penilaian tahap kecekapan berkonsepkan 360 darjah yang akan mula dilaksanakan 1 Julai depan. Pelaksanaannya dibuat selepas mengambil kira pelbagai kekurangan serta kelemahan dalam sistem sebelumnya, terutama PTK. Menerusi konsep 360 darjah ini, semua penjawat awam mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menilai prestasi setiap kakitangan dalam sesebuah jabatan dan organisasi.

Justeru, kita melihat kaedah penilaian mengikut konsep 360 darjah ini lebih menyeluruh dalam mengukur prestasi setiap penjawat awam. Penilaian bukan saja membabitkan seorang ketua kepada kakitangan bawahan, malah penilaian juga dibuat antara rakan sejawatan dan kakitangan bawahan terhadap ketua mereka. Kita percaya kejayaan sesebuah jabatan atau organisasi adalah atas kerja berpasukan dan bukan prestasi individu semata-mata. Jika seseorang ketua itu lemah, prestasi kakitangan bawahannya akan turut terjejas. Ia memberi kesan kepada keseluruhan pencapaian jabatan atau organisasi. Pada masa sama, kita tentunya tidak mahu prestasi penjawat awam hanya diukur di atas kertas peperiksaan sehingga menafikan pengalaman dan kecekapan sebenar individu menjalankan tugas. Walaupun sistem penilaian baru itu belum diberi nama khusus, kita yakin ia dapat menilai kakitangan berdasarkan tugas hakiki, ciri kepemimpinan dan kesan kepada suasana tempat kerja. Kemampuan menilai prestasi penjawat awam dengan lebih tepat tanpa rasa dipinggirkan atau pilih kasih akan dapat mewujudkan suasana kerja yang lebih kondusif. Aspek lain yang sepatutnya diambil kira dalam penilaian baru ini ialah kecekapan, wawasan, hubungan dengan kakitangan, tunjuk ajar serta sikap keterbukaan dalam menyumbang kepada prestasi cemerlang jabatan masing-masing.

UTUSAN MALAYSIA
11 MEI 2011