JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 Ogos 2012

ISU UMUM : TRANSFORMASI : SUATU PERSEPSI


Rencana ini ditulis oleh :
TAN SRI SYED HAMID ALBAR,
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)


Persepsi adalah satu proses yang mana penerimaan naluri kita diterjemah dan digabungkan menjadi satu pandangan yang menyeluruh terhadap persekitaran kita. Walaupun semestinya berdasarkan kepada infomasi yang tidak lengkap dan tidak sahih, persepsi sering disamakan dengan realiti dan mewakili perangai kita. Hari ini kita lihat politik di serata dunia menjadi lebih bercelaru. Kita berdepan dengan persoalan tentang kebebasan serta pertembungan antara hak individu dan kepentingan masyarakat dalam konteks demokrasi dan hak asasi. Dalam order baru dunia, kuasa besar Barat berjaya membentuk hegemoni, politik dan ekonomi, tanpa adanya dunia multipolar. Serentak dengan itu, situasi ekonomi dunia terus tidak menentu; dan mengikut ramalan Bank Dunia, ekonomi dunia akan terus bergerak perlahan. Pengerusi Federal Reserve Amerika Syarikat pula meramalkan ekonomi negara itu tidak akan bertambah baik, malahan akan terus meruncing.

Berlatar belakang kedudukan ekonomi dunia yang tidak memberangsangkan, bidang politik juga menyaksikan perubahan kerajaan sama ada melalui proses pilihan raya bebas atau melalui pemberontakan seperti mana yang telah tercetus khususnya di Asia Barat. 'Sumpitan' daripada kuasa dalaman kerajaan, kuasa luar akhirnya mengakibatkan kerajaan berkenaan digulingkan dengan pertumpahan darah dan kehilangan nyawa di kalangan mereka yang terlibat dan tidak terlibat. Maka nyata bahawa persepsi ekonomi-politik hari ini sememangnya bercelaru. Soalnya adakah persepsi ini terancang agar akhirnya keadaan bercelaru ini menjemput campur tangan asing secara terang-terangan melalui ketetapan atau resolusi Majlis Keselamatan PBB sebagai pengendorsnya untuk menghalalkan campur tangan dan perubahan.

Jelas sekali campur tangan ke atas negara-negara Islam adalah amat ketara berbanding yang diberikan perhatian kepada negara-negara lain yang berkonflik contohnya di Amerika Latin. Namun apa yang dipanggil penyelesaian itu tidak menjamin keamanan dan keselamatan. Kuasa-kuasa besar Barat terus menggunakan kekuatan ketenteraan dan PBB dibawa bersama bagi mencorakkan order baru dunia di atas asas persepsi bahawa campur tangan kemanusiaan dan mahu mendemokratikkan negara-negara tersebut adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Walaupun perubahan yang mereka bawa tidak semestinya menjadi jawapan ataupun jalan penyelesaian kepada konflik dalaman sesebuah negara, ia tidak pula menjadi persoalan. Justeru masalah keselamatan, keamanan, ekonomi dan politik terus menekan dan membawa penderitaan kepada rakyat di negara-negara yang kononnya telah diselamatkan. Tapi apa yang jelas ia berjaya melahirkan negara-negara yang pro Barat dengan agenda demokrasi dan kebebasan. Persoalannya, sama ada hegemoni dan sistem ekonomi kapitalis yang dieksport Barat dapat menangani segala kemelut termasuk ekonomi dan politik di Eropah belum lagi terserlah.

Apa yang nyata ialah tersebarnya satu persepsi bahawa perlunya transformasi melalui sistem kapitalis, demokrasi dan globalisasi di negara-negara yang tidak mengenalnya sebelum ini. Tetapi realitinya masih lagi sangsi. Pendekatan sebegitu dianggap sebagai penjajahan cara baru yang bertukar hanya bentuknya. Tambahan lagi, banyak pendapat yang mengatakan sistem kapitalis, demokrasi dan globalisasi bukanlah satu penyelesaian muktamad untuk semua keadaan yang dihadapi oleh dunia. Tidak dapat dinafikan yang umat manusia berada di atas satu pentas yang telah didekatkan serta saling kebergantungan akibat dari kemajuan teknologi maklumat dan internet. Dalam tamadun sains dan teknologi ini jelas sekali kuasa terkuat yang muncul hari ini adalah pihak media. Mereka berupaya bercanang, mereka-reka, dan membina persepsi yang tidak berlandaskan realiti semasa. Pengaruh media menjadi dominan dan berjaya serta berkesan membentuk persepsi dalam semua persoalan.

Persepsi boleh membentuk pemikiran, pegangan dan keputusan sama ada semasa berdepan dengan krisis ataupun di luar krisis. Masyarakat setempat dan antarabangsa tidak dapat lari daripada hakikat ini. Media alternatif telah menyentuh dan menentukan hala tuju dalam pelbagai bidang termasuk politik domestik dan antarabangsa. Justeru, kebebasan demokratik seharusnya diteraskan kepada wasatiyyah atau kesederhanaan bagi mencapai keseimbangan dalam melaksanakan tanggungjawab di antara hak individu dan masyarakat. Komunikasi dan penyampaian maklumat yang bergerak begitu pantas dengan insiden dan kejadian semasa memerlukan kerajaan berada di hadapan. Pada hari ini, Malaysia sedang melalui proses transformasi yang amat hebat dalam sejarah politik dan ekonomi negara. Ia dilaksanakan untuk menaikkan taraf hidup, melahirkan peluang perkerjaan dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi serta terhubung di antara satu wilayah dengan wilayah yang lain atau dari satu tempat ke tempat yang lain. Pemimpin dan mereka yang berada di persekitaran pemimpin perlu dapat menguasai setiap nadi dan pergerakan dasar, sama ada tersurat ataupun tersirat.

Mereka harus mengerti dan memahami niat dan tujuan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), ProgramTransformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan ( GTP) yang luhur dan murni itu dapat dirasai dan dikecapi oleh rakyat. Dalam konteks ini amalan dan implementasi akan diyakini oleh golongan yang hendak dimanfaatkan. Jika program-program dapat dilaksanakan dengan telus dan sempurna maka akan terbitlah keyakinan terhadap pemimpin dan kerajaan dan kredibiliti pemerintah akan dapat ditingkatkan. Bila dapat diajukan dasar, sasarannya dan maklumat dengan telus dan tepat maka susah untuk dimanipulasikan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan untuk memenuhi agenda mereka bagi melahirkan persepsi negatif terhadap kerajaan. Persepsi negatif hanya boleh dikalahkan dengan kebenaran. Tetapi jika kebenaran tersembunyi, akhirnya pembohongan yang diulang-ulangkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab akan diterima sebagai kebenaran.

Justeru, kejayaan dan kegagalan kerajaan pada dewasa ini bergantung banyak kepada bagaimana pemimpin dan jentera dianggap cekap dan autoratif dalam menengahkan kebenaran sebagai realiti. Sekali gus pihak yang lain tidak dapat membentuk persepsi negatif terhadap setiap dasar atau tindakan kerajaan. Kerajaan tidak boleh hanya respons setelah sesuatu terjadi dan persepsi negatif telah diatur bentuk oleh 'Dr. Spin' pihak lawan. Apabila itu berlaku mereka akan mewarnakan kebenaran melalui persepsi mereka. Begitu juga kerajaan tidak boleh membiar atau mengizinkan manipulasi fakta oleh pihak lain dan kemudiannya kelam-kabut menyediakan jawapan. Dasar pemerintah sebenarnya hendaklah diterjemah dan diimplimentasi agar dapat dilihat sendiri manfaatnya oleh rakyat dan bukan sesuatu yang dilaung-laungkan oleh kerajaan. Dalam hal ini kerajaan tidak boleh bersikap defensif dan apologetik. Sudah banyak sentuhan yang dihulurkan melalui program dan tindakan sama ada untuk jangka masa pendek ataupun panjang.

Media arus perdana dan alternatif harus digunakan untuk melaporkan pencapaian sebenar program dan tindakan tersebut, bukan hanya setakat untuk melaungkan persepsi transformasi. Pemimpin pula perlu perihatin membicara menggunakan bahasa dan memahami kecenderungan setiap peringkat masyarakat . Jika tidak, jurang realiti dan persepsi akan dibentuk oleh orang lain dan akan merugikan pemerintah. Sekiranya ingin berjaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, kerajaan perlu menangani pertarungan persepsi ini dengan cara yang bijak dan berkesan. Persepsi yang pemimpin kerajaan atau politik tidak bersih atau sombong atau hidup mewah atau susah untuk ditemui perlu dapat diatasi melalui pendekatan yang sungguh mesra rakyat dan terbuka dengan cara bertawaduk seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri. Pada masa yang sama dari sekarang hingga PRU-13, insya-Allah masyarakat tidak didedahkan dengan cerita-cerita skandal, salah laku sama ada bersifat jenayah ataupun tidak, yang membangkitkan kemarahan dan keraguan rakyat atau menyinggung sensitiviti mereka sehingga boleh menjejaskan sokongan dan minat kepada kerajaan dalam PRU-13.

Seharusnyalah parti pemerintah dapat mengatasi pihak pembangkang dengan memaparkan keupayaan, keikhlasan dan ketelusan kerajaan. Sebenarnya pemerintahlah penterjemah dan pelaksana kepada pembinaan satu negara bangsa berteraskan 1Malaysia untuk semua rakyat mengecapi kemajuan dan kesejahteraan.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Isnin, 13 Ogos 2012

ISU SOSIAL : KESAN BESAR SIKAP PEMANDU


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor,
Universiti Sains Malaysia


Terdapat banyak kejadian yang dianggap kecil tetapi apabila dilakukan atau tidak diambil peduli kerapkali mengundang masalah, malah boleh membawa padah yang membuatkan kita menyesal sepanjang hayat. Dalam kesibukan kita menjalani kehidupan ini, kerjaya mahu pun perjuangan yang tertentu, kita kerap abaikan perkara-perkara yang dianggap remeh, namun berpotensi untuk menjadi besar. Apabila memandu kereta baru, berjenama hebat sesetengah orang cuba mengujinya di jalan raya dengan kelajuan tinggi. Kita jangka kita cekap dan mampu mengawalnya apatah lagi kereta baru yang canggih teknologinya dan mampu mengelak kerosakan, tetapi apabila terbabas, kereta dan diri kita mungkin selamat, tetapi pengguna jalan raya lain mungkin mendapat kesan dan akibatnya. Jalan raya akan sesak teruk dan padahnya dirasai sama oleh orang lain.

Pada musim perayaan ini, kita memandu dan tergesa-gesa untuk cepat sampai destinasi. Kita cuba mengambil jalan mudah dengan teknik pemanduan yang kita sangka cekap dan hebat. Kita memotong di sana sini tanpa mengira selekoh bahaya atau kesesakan, malah juga menggunakan laluan kecemasan. Siapa tahu, yang akan tiba di destinasi kita hanyalah jenazah yang terbujur kaku, tangisan sanak saudara pada pagi yang sepatutnya disambut gembira dan bahagia dan juga menyebabkan kesesakan lebuh raya atau jalan raya yang di luar jangkaan. Kita tidak pernah serik dengan pelbagai berita dan foto ngeri kemalangan jalan raya, kecacatan dan pelbagai kerosakan kerana kita ambil mudah. Betul, malang tidak berbau, tetapi jika kita yang mengundangnya, kita hanya menyusahkan diri dan keluarga serta mereka yang menyayangi kita, tetapi juga orang lain. Memandu dalam keadaan mengantuk, tidak sabar, berlumba, laju yang keterlaluan, mengambil mudah dan mementingkan diri dan banyak lagi yang kita lakukan yang sebenarnya mengundang padah buat diri sendiri dan orang lain.

Kita berlumba-lumba di jalan raya, mengharungi segala susah payah dan tekanan perasaan untuk balik kampung bertemu ibu bapa dan sanak saudara. Malangnya apabila tiba di kampung halaman anak-anak, malah kita sendiri pun memberi lebih banyak masa melayan telefon bimbit dengan pelbagai urusan dan media sosial, terperuk melayan pelbagai tayangan menarik di televisyen dan pelbagai lagi, daripada benar-benar mengambil masa dari kesempatan yang ada untuk mengukuhkan silaturrahim, berkenalan dengan sanak saudara yang tidak pernah ditemui atau melayan karenah ibu bapa yang telah tua dan ingin sedikit perhatian kita. Kita kata, kita adalah masyarakat yang bersopan santun dan berbudi bahasa. Tetapi hari ini anak-anak muda kita yang masih belajar di kolej dihukum mahkamah kerana memaki hamun pihak berkuasa. Kita sendiri pun mencarut di mana sahaja termasuk di dalam kereta yang terperangkap dalam kesesakan. Anak-anak memerhatikan kita dan kitalah cerminannya.

Ramadan dan Syawal yang akan datang dianggap bulan seribu sujud dan penuh kemuliaan, namun sikap dan kasih sayang kita kepada orang lain jarang kita nilaikan. Kita terus memandang kecil hal-hal yang merosakkan masa hadapan masyarakat dan negara. Kita tidak perduli nasib jiran tetangga dan mereka yang memerlukan. Kita jarang melihat nasib mereka dalam kalangan keluarga sendiri yang memerlukan bantuan dan sokongan. Kita lupa saudara-saudara kita yang menghidap penyakit berbahaya termasuk HIV AIDS, penagihan najis dadah dan lain-lainnya yang tersisih. Kita hina kesilapan mereka dan keluarga mereka yang dilanda musibah jadi bahan umpatan dan sesetengahnya jenazah pun enggan diuruskan. Lalu apabila orang lain yang datang hulurkan bantuan dan sokongan, terutamanya dari kumpulan agama lain, kita marah dan lihat dengan prasangka. Kita bercerita pula tentang hal-hal yang boleh menggugat keselamatan negara dan keharmonian sesama rakyat yang ada. Kita adu domba dan menyalahkan sesiapa sahaja termasuk kerajaan dan pihak berkuasa. Kita lupa melihat tanggungjawab dan amanah yang dipikul bersama, yang harus bermula dari diri sendiri malah juga institusi agama kita.

Demikian juga apabila kita melihat hal-hal yang tidak bermoral yang berlaku di sekitar kita. Orang yang menari separuh bogel di tiang. Orang menganjur pesta arak dan separuh bogel di tepi kolam renang hotel. Mereka yang mengadakan pelbagai perkara yang amat menjengkelkan. Jenayah yang melibatkan anak-anak yang tidak tahu apa-apa. Kita anggap itu hanyalah tanggungjawab kerajaan dan pemimpin tertentu. Kita tuding jari dan riuh-rendahkan pelbagai perkara dengan tujuan untuk mengatakan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan apa-apa. Kita salahkan polis dan pihak berkuasa. Kita seolah-olah tidak ada tanggungjawab. Seolah-olah tugas kita hanya pandai mengkritik. Tanggungjawab kita hanya menuding jari. Ini termasuklah dalam kalangan orang yang mahir agama yang sepatutnya turut memimpin dan membawa jalan penyelesaian terbaik. Menyatu padukan ummah dan mengajak untuk melakukan kebaikan secara realistik, bukan hanya berceramah atas pentas dan berkempen untuk tujuan tertentu.

Apabila soal-soal kebajikan dan kesejahteraan masyarakat pun dijadikan bahan untuk menuding jari, maka tidak hairanlah apabila orang menghina hukum dan perkara-perkara agama pun kita boleh kita bertoleransi. Kita kata pula yang hukum agama boleh berubah mengikut masa. Kita tafsir mengikut keperluan yang ada, kononnya untuk kemashalatan yang lebih besar. Kemashlahatan siapa? Kemashlahatan masyarakat atau pihak dan individu tertentu? Kita banyak bercakap tentang moral, etika dan agama. Kita marah kerana ada pemimpin tertentu yang diangkat sebagai tokoh dan pemimpin, yang dituduh dan dicari segala alasan dan bukti untuk mengatakan tidak bermoral, korupsi dan pelbagai keburukan lagi. Tetapi bila pihak kita dituduh menjulang pemimpin tidak bermoral, kita bela mati-matian. Jika sekali atau dua kali bolehlah agaknya dianggap fitnah dan sengaja diada-adakan, tetapi jika berkali-kali, kita masih lagi menganggap bersih dan hebat, walau pun sanggup menjual nama baik agama, bangsa dan tanah air sendiri di luar negara.

Malah jika orang yang kita anggap 'baik' dan 'bermoral' melakukan tindakan bertentangan dengan nilai dan norma yang ada, kita anggap itu fitnah dan sengaja direka. Jika orang lain yang buat dan dianggap bukan dalam kem sendiri, cepat sahaja melenting dan diminta ambil tindakan segera, tubuh suruhanjaya siasatan dan pelbagai lagi. Banyak lagi hal-hal lain yang kita bersikap talam dua muka dan double-standard. Kita anggap remeh dan kecil, walau pun yang menyentuh akidah dan kepercayaan agama kita sendiri. Contoh terdekat ialah apabila dikatakan hukum agama boleh berubah mengikut keadaan. Siapa yang menentukan keadaan itu? Atau pun kita pejam mata sebelah apabila terang-terang 'sahabat' kita menentang hukum Islam dan negara Islam yang kita canangkan. Apatah lagi apabila ada individu tidak bermoral yang memperjuangkan kebebasan yang selari dengan apa yang kita percayai, terus sahaja menerimanya sebagai pemimpin besar, apatah lagi apabila diiktiraf pula oleh negara tertentu yang mempunyai agenda yang sama dan selalu tidak senang melihat pencapaian dan kemajuan negara. Mereka ini walau pun terang-terang perjuangkan sesuatu yang bertentangan dengan agama, tetap disokong, digenggam erat tanggannya malah kalau boleh dipeluk, asalkan dapat jatuhkan orang lain yang dianggap lawan.

Demikian, banyaknya hal-hal kecil dan remeh tetapi beri kesan besar terhadap kedaulatan, keselamatan masyarakat dan keharmonian negara yang kita sayangi. Perkara-perkara kecil yang boleh bersemarak sehingga merosakkan tamadun umat, kematian dan kesusahan bukan sahaja kepada individu malah juga kepada masyarakat seluruhnya. Pada Ramadan ini, sambutan Hari Raya Aidilfitri dan nantinya Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-55, wajar kita membuat muhasabah, senaraikan lagi, betapa banyaknya perkara kecil yang sewajarnya diambil tindakan awal kerana ia seperti barah dan penyakit kronik yang jika tidak ditangani awal, akan menyebabkan kesusahan dan kehancuran.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Isnin, 13 Ogos 2012