JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 November 2011

ISU TENAGA : SISTEM DIDIK GUNA TENAGA DENGAN BIJAK

DATUK RUHAIDINI ABD KADIR
Beijing Language and Culture University, China


PULAU SOCOTRA, YEMEN

Sebenarnya, bukan mudah bagi seseorang warganegara asing mencari sebuah apartmen untuk disewa di tengah-tengah kota raya Beijing, Republik Rakyat China. Ada banyak hal yang perlu dipelajari dan diberi perhatian. Selain perlu 'bijak' mencari khidmat ejen hartanah (yang paling terkenal di China ialah Wo Ai Wo Jia: Saya Cintakan Keluarga Saya), seseorang itu juga perlu 'mahir berunding' soal harga yang ditawarkan ejen dan tuan rumah selepas menemui lokasi sesuai. Pada masa sama, bakal penyewa juga perlu cekap meneliti terma-terma kontrak sewa (dalam dua salinan) untuk penyewa dan tuan rumah sementelah kontrak berkenaan disediakan dalam versi bahasa Cina. Kontrak berkenaan biasanya menetapkan hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak iaitu penyewa dan pemilik rumah, jumlah deposit dan penalti yang boleh dikenakan ke atas penyewa jika anda melanggar syarat-syarat yang ditetapkan. Dalam hal ini, anda mungkin boleh kehilangan deposit dan dikenakan penalti tambahan jika berlaku sebarang kerosakan atau ada barang-barang tuan rumah yang hilang.

Itu antara hal-hal baru yang saya pelajari di Beijing dan antara 'ilmu' dan pengalaman baru yang saya timba dan agak menarik untuk dikongsi ialah sistem kad pintar prabayar di China untuk penggunaan bekalan elektrik, air dan gas yang perlu saya tunaikan sebagai penyewa. Sistem kad pintar prabayar digunakan berjuta-juta pengguna di China yang merupakan negara ekonomi ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan Jepun dengan catatan perdagangan antarabangsa pada tahun 2010 berjumlah RM9.3 trilion. Melalui sistem yang dilaksanakan oleh kerajaan China ini, setiap pengguna perlu mempunyai baki kredit yang sentiasa mencukupi pada ketiga-tiga kad prabayar utiliti itu bagi memastikan bekalan elektrik, air dan gas tidak 'terganggu'. Justeru, saya beberapa kali diingatkan oleh tuan rumah agar mengambil berat hal berkenaan bagi mengelak bekalan 'terputus secara tiba-tiba' terutama bekalan gas untuk kegunaan memasak, alat pemanas dan air panas dalam menghadapi musim sejuk yang kini sudah bermula.

Sebagai 'pengguna baru' di China, pada saya sistem kad pintar prabayar yang mengandungi nilai yang disimpan ini mempunyai keburukan dan kebaikannya. Keburukan pertama, pengguna terpaksa membelanjakan sejumlah wang terlebih dahulu untuk mendapatkan bekalan beberapa unit kilowatt elektrik, meter padu air dan gas. Kedua, sistem ini jelas mengurangkan risiko kewangan kepada pembekal kerana mereka menerima bayaran lebih awal sebelum pengguna menerima bekalan tenaga. Ketiga, ia juga 'menguntungkan' pembekal dari segi kos kertas kerana tiada bil dicetak seperti meter konvensional sebaliknya, pengguna hanya perlu melihat baki semasa yang tertera di meter utiliti mereka. Keempat, urusan pembayaran hanya boleh dilakukan di bank-bank tempatan dan jika kehabisan nilai kredit bermakna bekalan elektrik, air dan gas akan terputus serta-merta. Bayangkan jika hal ini berlaku pada waktu malam di musim sejuk yang suhunya jatuh di bawah paras 0 darjah Celcius. Namun, di sebalik semua alasan yang dilihat menguntungkan pembekal itu, saya sebenarnya dapat menimba ilmu yang sangat berharga yang mampu mendidik saya menjadi pengguna yang bijak dan berhemah.

Seperti jutaan pengguna lain di Beijing, dalam tempoh tiga bulan ini saya belajar mengawal perbelanjaan dengan cara menggunakan ketiga-tiga bekalan utiliti itu secara lebih cekap dan berkesan. Sejak menjadi 'pengguna prabayar', saya tidak akan sewenang-wenangnya menyalakan lampu dan menerangkan semua ruang rumah sebaliknya hanya menyalakannya di tempat di mana saya berada sahaja. Setiap malam, jika tidak perlukan banyak cahaya, saya hanya akan memasang lampu bacaan ketika mengulang kaji dan membuat kerja-kerja sekolah. Meter bekalan gas yang dipasang di dalam rumah akan menunjukkan baki kredit semasa, justeru saya sentiasa memastikan bekalan gas ditutup setiap kali ke kuliah dan pada siang hari bagi mengelak ia 'berputar laju'. Jika saya mengambil pendekatan endah tak endah terhadap hal itu, bermakna 'lajulah juga' duit yang akan keluar dari poket saya. Begitu juga dengan penggunaan air, saya mencuci pakaian menggunakan mesin basuh dua kali seminggu sebagai usaha menjimatkan air dan elektrik. Semua pengalaman ini sebenarnya secara tidak langsung mendidik saya agar lebih bijak merancang penggunaan di samping mengelak pembaziran tenaga elektrik, air dan gas.

Sistem kad pintar prabayar yang dilaksanakan di China ini juga secara tidak langsung merupakan 'penyelesaian' kepada pengguna yang bermasalah mengatur perbelanjaan dan masalah tunggakan bayaran bil elektrik, air dan gas pengguna yang dihadapi pembekal-pembekal utiliti. Sudah tentu juga, dengan sistem ini semua pemilik rumah sewa di China 'lapang dada' kerana tidak ada kejadian penyewa keluar dari rumah mereka dengan tunggakan bil-bil utiliti yang ditinggalkan penyewa. Justeru, sistem kad pintar prabayar yang dilaksanakan kerajaan China ini mendidik pengguna agar bijak menggunakan kuasa tenaga yang dibekalkan bagi mengekalkan daya saing dalam bidang ekonomi Rakyat China sebagai pengguna juga cekap menggunakan bekalan tenaga dalam usaha memastikan sumber asli negara dapat bertahan lama, sekali gus memastikan bekalan mencukupi untuk generasi pada masa depan. Sistem kad pintar prabayar ini juga mendidik rakyat China yang merupakan penghuni planet bumi lebih prihatin dalam melaksanakan tanggungjawab dalam usaha mengurangkan kesan buruk akibat pembaziran tenaga serta pemanasan global.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 NOVEMBER 2011


ISU IPT : UNIVERSITI BERPERANAN LEBIH PROAKTIF, KEUSAHAWANAN MEMENUHI TUNTUTAN MASYARAKAT

Oleh Dr Sharifah Hapsah
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia
bhnews@bharian.com.my


MOERAKI, NEW ZEALAND

Mereka yang menceburi bidang akademik tertarik dengan jaminan kebebasan untuk meneroka dan menyelidik, mengajar dan bersuara di khalayak ramai secara tulus mengikut suara hati yang jujur, tanpa perasaan takut akan dipersalahkan atau kemungkinan kehilangan jawatan. Jaminan sedemikian akan menarik ilmuwan tertinggi yang memiliki pendirian bebas dan utuh ke dalam dunia akademik. Menerusi peranan unggul golongan akademik inilah universiti menjadi asas penting kepada struktur sosial, inovasi dan kemajuan ilmu pengetahuan saintifik yang genting dalam pembinaan tamadun. Ini diakui mesyuarat umum ke-29 Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) pada 1997. Pujian kepada kerajaan kerana memahami bahawa autonomi adalah prasyarat asas yang membolehkan akademik menganjakluaskan sempadan ilmu dan universiti berperanan lebih proaktif dan berkeusahawanan dalam memenuhi tuntutan masyarakat yang berubah-ubah. Penggubalan kod tadbir urus universiti dan prosedur swa-akreditasi adalah beberapa langkah akauntabiliti yang memastikan Lembaga Pengarah Universiti mempunyai autonomi dalam pengurusan sumber dan Senat mempunyai autonomi akademik.

Autonomi akademik merujuk kepada kebebasan universiti menentukan siapa yang mengajar, apa yang diajar, bagaimana ia diajar, pelajar baru yang dipilih, ijazah yang diiktiraf atau dianugerah, bidang, skop, tujuan dan kaedah penyelidikan. Kuasa di beri kepada Senat universiti dalam Fasal 17 (2) Jadual Pertama Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Melaksanakan kebebasan akademik – apa yang dianugerahkan kepada ahli akademik dan pelajar – sangat mencabar kerana ia tertakluk kepada statut, peraturan dan garis panduan, yang juga dinyatakan dalam surat pelantikan, buku panduan fakulti, budaya akademik dan kod etika perilaku. Wujud pendapat berbeza-beza sama ada kebebasan akademik adalah hak secara perundangan dalam perlembagaan Amerika Syarikat. Pada 2008, mahkamah persekutuan di Virginia menetapkan profesor tidak mempunyai kebebasan akademik. Segala kebebasan akademik terletak di pihak universiti dan tiada hak dari segi perlembagaan untuk menghalang pengurusan kanan universiti daripada menukar markah yang diberikan seseorang profesor kepada pelajarnya. Senat universiti awam Malaysia juga mempunyai kuasa budi bicara yang sama dalam hal ehwal akademik.

Contohnya, seorang ahli fakulti boleh menentukan apa yang diajar dalam bilik kuliah, tetapi tertakluk kepada kurikulum yang diluluskan oleh Senat. Kebebasan bersuara di luar universiti lebih kompleks dan kadangkala mengundang kontroversi. Peringatan bahawa ia bukan mutlak dilihat daripada pendekatan yang diguna oleh Persatuan Profesor Universiti (AAUP) dan Persatuan Kolej dan Universiti Amerika Syarikat (AACU) dalam Deklarasi Prinsip Kebebasan dan Perkhidmatan Akademik 1915. Apabila berucap atau menulis secara terbuka, ahli akademik bebas mengemukakan pandangan tanpa perlu bimbang kepada tapisan dan tindakan disiplin institusi masing-masing, tetapi mereka harus berhati-hati dan tidak bercakap bagi pihak institusi. Kebebasan bersuara yang ditentukan di bawah Artikel 19 Deklarasi Sejagat mengenai Hak Asasi Manusia 1948 dan Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Awam dan Politik (ICCPR) 1966, juga tidak bebas daripada sekatan seperti terhadap tohmahan, fitnah, unsur lucah dan hasutan sehingga membawa kepada jenayah.  Artikel 19 ICCPR selanjutnya menyatakan pelaksanaan segala hak berkenaan merangkumi ‘tugas khusus dan tanggungjawab.’ Oleh itu, ia ‘tertakluk kepada kawalan tertentu’ seperti ‘yang diperuntukkan oleh undang-undang dan perlu bagi (a) menghormati hak dan reputasi orang lain; (b) melindungi keselamatan negara atau ketenteraman awam, atau kesihatan atau akhlak awam.’

Dalam abad kebelakangan, secara beransur-ansur, ciri keprofesionalan telah meresapi kebebasan akademik. Seperti yang diungkapkan Neil Hamilton, profesor Undang-undang di St Thomas University, Minnesota dalam penerbitan AACU pada 2006, kecekapan profesional dan tingkah laku etika yang disertai penilaian keserakanan adalah tonggak kebebasan akademik di Amerika Syarikat. Tingkah laku beretika dalam melaksanakan kebebasan akademik membawa bersamanya kebijaksanaan dan integriti, terutama dari segi cara penyampaian. Apa yang disuarakan mestilah hasil kajian profesor itu sendiri atau rakan-rakannya. Tiada individu yang rasional akan mencurigai bahawa kenyataan tersebut dibentuk atau dibendung oleh pemikiran pihak bukan pakar dan mungkin mempunyai kepentingan yang datang dari luar kalangan akademia. Dalam memberi sumbangan untuk menyelesaikan masalah sekarang atau masa depan, kaedah mengkaji dan rumusan yang dibuat mestilah tidak menimbul sebarang syak wasangka. Ahli akademik harus melaksana tanggungjawab tanpa perasaan takut atau memihak ke mana-mana.

SUMBER
BERITA HARIAN
3 NOVEMBER 2011


ISU BAHASA : USAHA DAULAT BAHASA MELAYU MESTI DIDUKUNG

Oleh Rejal Arbee
Felo Kanan UKM
rejal@mcoba.org


PULAU TINGGI DI JOHOR

Sungguh  menghairankan walaupun negara sudah merdeka lebih setengah abad dan Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini, kita masih berdepan dengan rakyat yang tidak langsung mahu menghormati bahasa negara mereka sendiri. Maka itulah hujung minggu lalu rakyat yang terus berasa tercabar oleh puak ini masih perlu berseminar dan berbincang bagaimana hendak memperkasa dan memartabatkannya bukan saja sebagai bahasa perpaduan tetapi juga sebagai bahasa ilmu. Tentunya seorang asing yang amat bangga mendukung bahasa negara mereka seperti orang Perancis, Jepun, Korea atau Jerman akan berasa pelik kenapa kita berterusan menghadapi masalah ini dan bagaimana pihak pemerintah kita sendiri boleh pula membiarkan puak yang tidak mahu mendukungnya terus berleluasa. Maka itu hingga kini pun masih ada sebilangan agak besar rakyat negara ini yang bukan saja tidak boleh bertutur bahasa negara mereka, malah tidak pun boleh memahaminya selain daripada wujudnya rakyat negara ini yang berterusan mendewakan bahasa asing dan memperlekehkan bahasa negara sendiri tanpa mahu menggunakannya langsung.

Agak malang walaupun ada dalam kalangan kita bermati-matian bangga menjadi warga Malaysia tetapi sedikit pun tidak mempunyai perasaan cintakan bahasa negara sendiri. Maka tidak hairanlah kenapa mereka yang berada di bandar lebih mementingkan bahasa Inggeris dan kelompok Cina lebih-lebih lagi yang tinggal di perkampungan Cina jangan harap mahu bertutur bahasa Melayu kerana ramai antara mereka bukan saja tidak boleh menuturnya tetapi juga tidak memahaminya, malah tidak mahu berusaha sedikit pun mempelajarinya.  Tentu sekali ramai bangsa lain dalam dunia ini akan berasa hairan bagaimana masih ada rakyat begini. Apakah rakyat kita itu tidak berasa malu kerana masih tidak boleh memahami bahasa negara sendiri walau pun sudah merdeka lebih dari 54 tahun?  Lebih mencurigakan ialah terdapat pula golongan yang lebih bangga menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Mandarin dengan mengabaikan bahasa Melayu. Apakah mereka ini menganggap mereka tidak berada di bumi Malaysia?  

Maka itu agak pelik mendengar kenyataan wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada hari pertama Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke VIII, Jumaat lalu mengakui kementerian hanya boleh menyediakan garis panduan mengenai penggunaan bahasa Melayu yang dipaparkan dalam iklan dan papan tanda serta nama-nama bangunan dan perumahan di seluruh negara. Tetapi ia tidak pula mempunyai kuasa untuk mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggung jawab terhadapnya daripada mematuhi garis panduan yang ditetapkan itu. Kononnya kini wujud PBT di bawah kuasa pakatan pembangkang tetapi apakah sekali pun ada empat negeri dikuasai mereka, kerajaannya itu tidak mahu mendu kung agenda nasional untuk memartabat dan menghormati bahasa negara sendiri?  Oleh kerana begitu lesunya sesetengah PBT, misalnya di Shah Alam yang mana walaupun majoriti penduduknya orang Melayu tetapi ada pula kedai kopi yang terang-terangan tidak menghormati langsung bahasa negara ini dengan menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin saja baik di premisnya mahu pun dalam menunya. Apakah syarikat ini berfikir ia beroperasi di Hong Kong atau Cina?

Demikian juga mengikut tinjauan pendapat umum yang dilakukan di Subang Jaya beberapa bulan lalu didapati lebih daripada 20 peratus rakyat negara ini yang ditemui tidak fahamkan bahasa Melayu.  Maka itu, mahkamah hingga sekarang masih perlu menyediakan penterjemah Mandarin dan Tamil untuk tertuduh berketurunan Cina dan Tamil. Apakah mahkamah tidak boleh membuat ketetapan bahawa dalam tempoh lima tahun ini misalnya, ia tidak lagi akan menyediakan penterjemah kepada warga negara ini yang sudah sepatutnya boleh memahami bahasa Melayu. Usaha sepatutnya sudah dilakukan untuk mengetahui jumlah sebenar rakyat negara ini yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu dan yang tidak memahaminya supaya usaha lebih berkesan dapat dilakukan untuk menentukan semua rakyat negara ini berbangga dengan bahasa mereka. Amat malang juga sehingga sekarang berterusan saja kempen puak tertentu yang mahu kerajaan membenarkan sekolah memilih untuk mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris walaupun Kementerian Pelajaran sudah memutuskan sebaliknya.

Begitu berleluasanya kempen puak ini hinggakan sudah wujud gambaran ada pertelagahan antara Melayu dan bukan Melayu, dengan satu pihak mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan dan yang bukan Melayu pula amat mendewakan bahasa Inggeris hingga sanggup memperlekehkan bahasa negara mereka sendiri. Sistem pelajaran dalam negara ini sudah pun cukup bercelaru tanpa perlu sekolah kebangsaan hendak dipelbagaikan pula dengan ada yang menggunakan bahasa Melayu dan ada pula di sekolah dua mata pelajaran itu berterusan diajar dalam bahasa Inggeris. Usaha untuk membolehkan pelajar kita dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik bukannya menerusi pelajaran dalam dua mata pelajaran itu tetapi dengan mengadakan kaedah pembelajaran yang lebih baik untuk mata pelajaran bahasa Inggeris dan sastera Inggeris dengan menyediakan guru yang cukup mahir dalam bahasa itu. Inilah yang sepatutnya diperjuangkan. Kini Kementerian Pelajaran sudah menetapkan dalam usahanya untuk memartabat dan mendaulatkan bahasa Melayu ia juga mahu memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid sekolah. Inilah yang sepatutnya dan semua rakyat yang mencintai bahasa Melayu harus mendukungnya.

SUMBER
BERITA HARIAN
3 NOVEMBER 2011


ISU SOSIAL : HANYA KERANA NILA SETITIK

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia


LATA ISKANDAR, CAMERON HIGHLAND

Jaminan yang diberikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bahawa kerajaan memandang serius isu pembantu rumah dan akan meneliti hal kebajikan dan perlindungan mereka merupakan langkah wajar. Ia sepatutnya diselesaikan segera sama ada melalui pembentukan pusat sehenti atau lain-lain pendekatan bagi menangani isu berkaitan pembantu rumah. Isu ini menyebabkan rakyat Malaysia yang amat memerlukan khidmat pembantu rumah merasa sangat kecewa dan putus asa, lebih-lebih lagi memandang kepada pendirian terbaru kerajaan Kemboja untuk mengharamkan rakyat wanitanya bekerja sebagai pembantu rumah di sini sewaktu ketidaktentuan berhubung kemasukan pembantu rumah Indonesia ke Malaysia. Lebih memburukkan keadaan, kerajaan Filipina juga lebih berminat menghantar pekerjanya yang mahir dan separuh mahir ke Malaysia berbanding sebagai pembantu rumah.

Perjanjian yang telah dicapai antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono untuk membenarkan semula pembantu rumah Indonesia kembali bekerja di negara ini selepas 1 Disember akan melegakan rakyat Malaysia yang memerlukan khidmat pembantu rumah. Namun masih menjadi tanda tanya sama ada ia benar-benar akan menjadi kenyataan dan bagaimana ia boleh dilaksanakan dengan lancar. Suka atau tidak, realitinya di Malaysia kini ramai keluarga yang terpaksa bergantung kepada khidmat pembantu rumah asing bagi membantu kerja-kerja rumah. Tapi apa yang lebih malang terdapat segelintir majikan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan memberi layanan buruk terhadap pembantu rumah mereka. Isu ini dipandang serius oleh kerajaan berkenaan dengan melarang pembantu rumah mereka bekerja di Malaysia. Sekali gus menyebabkan kesukaran kepada majikan-majikan lain. Situasi ini sama seperti pepatah Melayu "kerana nila setitik rosak susu sebelanga".

Saya tidak bersetuju dengan penderaan dan layanan buruk terhadap pembantu rumah oleh majikan yang kejam tetapi pada masa sama saya tidak bersetuju tentang sebarang bentuk penganiayaan terhadap majikan dan anak-anak di bawah jagaan pembantu rumah. Terdapat kes-kes seperti ini berlaku sebelum ini walaupun tidak dilaporkan secara meluas. Bagi mengatasi isu ini pihak majikan dan pekerja hendaklah sentiasa bersabar, saling memahami, hormat-menghormati dan mewujudkan suasana kerja yang mesra. Kenyataan Subramaniam bahawa kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang sepenuhnya bagi menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk pembantu rumah asing adalah betul bagi mengelakkan sebarang bentuk penyalahgunaan yang boleh menjejaskan nama baik Malaysia. Oleh itu, ia hanya akan menjadi kenyataan jika kementerian dan agensi berkaitan bekerjasama memastikan kebajikan pembantu rumah. Sebarang kes penganiayaan pembantu rumah asing patut didedahkan dan mereka yang bertanggungjawab bagi perbuatan yang memalukan itu perlu dibawa ke muka pengadilan dan hukuman yang berat dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 NOVEMBER 2011


ISU UMUM : GERAKAN KESEDERHANAAN GLOBAL (GMM) PERLU STRATEGI PINTAR

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara


TAMAN NEGARA 
LOAGAN BUNUT, SARAWAK

Mungkin ramai rakyat Malaysia yang masih tertanya-tanya mengenai Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang buat pertama kali diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada September tahun lepas. Memang benar sudah begitu banyak pergerakan, pertubuhan atau institusi diwujudkan untuk memperjuangkan berbagai agenda tetapi tidak keterlaluan jika diandaikan GMM adalah unik kerana falsafah perjuangannya agak berbeza dan mungkin menongkah arus senario geopolitik semasa. Menjadi lebih menarik, GMM disarankan oleh negara bukan kuasa besar iaitu Malaysia. Konsep asas GMM terkandung pada ungkapan kesederhanaan kerana setiap agenda yang akan diperjuangkan GMM sama ada mencakupi hal ehwal agama, budaya, ekonomi, sosial, politik atau strategik, konsep kesederhanaan akan digunakan sebagai teras utama. Sebab itu, GMM begitu unik dan mungkin menongkah arus semasa kerana dunia pada masa kini dikuasai oleh kumpulan yang berpandangan begitu ekstrem untuk mempertahankan agenda masing-masing.

Terdapat kumpulan yang sanggup mengunakan agama sebagai alasan melakukan aktiviti ekstrem sehingga timbul persepsi salah mengenai agama tersebut. Terdapat juga negara yang begitu ekstrem pengamalan tindakan ketenteraan mereka kerana kononnya memperjuangkan demokrasi negara lain. Ada juga negara kuasa besar yang begitu ekstrem sokongan terhadap negara sekutu sehinggakan keputusan majoriti dunia boleh diketepikan. Tindakan kumpulan atau negara yang berpendirian ekstrem ini sebenarnya telah memporak-peranda keamanan dunia dan GMM jika diamalkan secara bijak dan efektif bakal memperbaiki keadaan yang agak songsang. Manakan tidak, tindakan ekstrem satu individu paderi Florida membakar senaskhah al-Quran mendapat perhatian dunia sehingga memberi gambaran negatif bahawa sebahagian besar rakyat Amerika anti-Islam. Tindakan ekstrem seorang ini sebenarnya telah mengaburi sikap toleransi berjuta rakyat Amerika lain. Saranan Malaysia mengenai GMM sebenarnya diterima oleh masyarakat antarabangsa berdasarkan reaksi ahli UNGA pada tahun lepas.

Malah dalam beberapa siri promosi GMM seperti ketika Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) dan Sidang Kemuncak ASEAN yang diadakan pada Jun lepas, kesemua negara peserta telah menyuarakan sokongan masing-masing. Beberapa hari lepas GMM menerima mandat terbaru dan mungkin terkuat apabila Persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) yang diadakan di Perth, Australia mengeluarkan pernyataan bersama bersetuju menerima usaha Malaysia mempromosikan GMM bagi menentang fahaman pelampau dan menjadi penghubung antara dunia Islam dan Barat. Pernyataan itu ditafsirkan sebagai pengiktirafan terkuat kerana sekretariat CHOGM perlu mendokong segala usaha yang bakal dilaksanakan oleh GMM. GMM telah mencapai sasaran pertama dan paling penting iaitu bergerak melalui landasan antarabangsa, dalam hal ini menggunakan CHOGM. Tugas yang lebih berat menanti GMM adalah bagaimana menzahirkan perjuangan dalam bentuk pelaksanaan program dan pelan tindakan. Malaysia perlu mencontohi strategi Sepanyol dan Turki yang menggunakan landasan PBB untuk melaksanakan agenda Perikatan Tamadun (UNAOC) yang ditubuhkan pada 2005.

Agenda UNAOC adalah untuk memperbaiki kefahaman dan hubungan kerjasama di antara negara dan penduduk berbilang budaya dan agama supaya masyarakat antarabangsa tidak berpecah belah akibat perbezaan tersebut. Pada awal ketika UNAOC dizahirkan, PBB menubuhkan kumpulan pakar antarabangsa untuk meneliti dan mengkaji punca polarisasi antara masyarakat dan hasilnya dijadikan sebagai asas program dan pelan tindakan UNAOC pada peringkat awal kewujudannya. Pada 2007 bekas Presiden Sepanyol Jorge Sampaio dilantik sebagai wakil khas UNAOC oleh Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon untuk melaksanakan pelan tindakan susulan. UNAOC yang mempunyai pejabat sekretariat di New York mudah dan berjaya melaksanakan program mereka kerana kerjasama diberikan bukan sahaja oleh negara ahli PBB tetapi mencakupi sokongan akar umbi seperti pertubuhan antarabangsa, kumpulan hak asasi dan masyarakat setempat kerana setiap aktiviti disokong oleh PBB. Pada ketika ini, GMM hanyalah dianggap sebagai cadangan kerana masih berada dalam peringkat promosi untuk meraih sokongan antarabangsa.

Mandat yang diberikan oleh CHOGM sebenarnya adalah isyarat untuk GMM berada pada tahap yang lebih tinggi menjangkaui proses promosi. Saranan Najib supaya sebuah institusi diwujudkan untuk menjalankan aktiviti penyelidikan mengenai kesederhanaan sepatutnya dilaksanakan segera. Sebaik mungkin institusi tersebut ditubuhkan menggunakan konsep organisasi pemikir (think tank) yang bebas melaksanakan operasi harian mereka. Organisasi pemikir sedia ada seperti Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) atau Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) adalah contoh terbaik bagaimana GMM boleh bergerak secara bebas. Ketika Presiden Barack Obama menyampaikan ucapan bersejarah di Kaherah pada Jun 2009, beliau menamakan Kuala Lumpur sebagai sebuah negara Islam yang patut dicontohi kerana berfahaman sederhana tetapi mampu maju seperti negara lain. Begitu juga ketika Persidangan Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington pada April 2010, Najib adalah satu-satunya pemimpin rantau Asia Tenggara yang berpeluang melakukan pertemuan dua hala dengan Obama walaupun Malaysia hanyalah sebuah negara kecil dan tidak mempunyai kemampuan nuklear. Tidak syak lagi Malaysia dan ungkapan kesederhanaan adalah sinonim dan bukan perwatakan yang asing. Jika dilaksanakan dengan pintar maka GMM mampu menjadi gerakan berpengaruh dan diterima masyarakat antarabangsa.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 NOVEMBER 2011


ISU IPT : LIHAT SUDUT POSITIF AUKU

Oleh MOHD. MAHYUDDIN MOHD. SAIFUDDIN
PENULIS ialah pelajar Universiti Malaya


TAMAN BURUNG KUALA LUMPUR

Negara dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang memutuskan bahawa Seksyen 15 dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia. Keputusan pihak hakim secara majoriti 2-1 telah memihak kepada rayuan empat orang bekas pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendakwa hak kebebasan berpolitik dan bersuara adalah kebebasan rakyat Malaysia. Keputusan bersejarah itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini. Ada yang melihat dan bersuara bahawa Seksyen 15 AUKU adalah suatu seksyen yang begitu menekan dan mengongkong para pelajar di IPT untuk terlibat dalam politik di luar kampus. Ya, mungkin ada kebenarannya di situ. Tetapi adakah ramai yang cuba menyingkap kenapa AUKU menghalang para pelajar di IPT untuk terlibat dalam politik kepartian di luar kampus? Adakah ramai yang mengetahui bahawa para pelajar ini sebenarnya boleh menyertai ceramah-ceramah dan aktiviti-aktiviti ilmuwan yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik sebagai suatu usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan keilmuan mereka?

Mereka hanya tidak dibenarkan untuk menunjuk simpati dan memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik. Antara sebab mungkin mengapa Seksyen 15 dan keseluruhan AUKU itu dibentuk khusus kepada para pelajar IPT dan kakitangannya di kampus adalah untuk membela dan menjaga nasib para warga kampus terutama pelajar. Sebagai contoh mudah, sekiranya pelajar diberi kebebasan menyertai parti politik secara langsung, dan mereka terlibat dalam mana-mana tindakan disiplin parti yang memerlukan denda wang ringgit, maka siapa yang harus membela mereka sedangkan pelajar ini masih belum mempunyai pendapatan sendiri? Malah kebanyakan daripada mereka pula hanya bergantung kepada pinjaman PTPTN untuk belajar di IPT untuk tempoh masa tiga hingga lima tahun. AUKU juga berperanan sebagai suatu 'punca kuasa' untuk menggalakkan para pelajar bergiat aktif dalam kampus berbanding sibuk aktif dengan aktiviti-aktiviti parti politik di luar. Sekiranya para pelajar ini diberi peluang untuk menyertai politik kepartian, maka sudah pasti masa, wang dan tenaganya akan terpaksa dihabiskan untuk parti politik yang disertainya di luar kampus.

Kesibukan menyertai dan memegang jawatan dalam parti politik ini akhirnya menyebabkan masa belajar mereka akan digunakan untuk kepentingan parti, duit kocek yang ada dalam simpanan juga terpaksa dibelanjakan untuk survival politiknya dalam parti dan pastinya tenaga serta keringat harus dibahagikan antara tumpuan untuk belajar, komitmen dalam kampus dan penglibatan dengan parti politik. Seksyen 15 AUKU juga berperanan secara halus untuk membantu dan memastikan para pelajar agar lebih peka dan memberi tumpuan terhadap pengajaran dan pembelajarannya di IPT. Sekiranya para pelajar ini asyik sibuk siang dan malam dengan aktiviti parti politik tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, maka ruang waktu yang ada pada dirinya semakin terhad. Ini tidak mustahil akan menyebabkan para pelajar itu ponteng kelas dan tidak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Ditambah dengan tekanan yang dihadapi dalam organisasi parti politik, maka pelajar tersebut sudah pasti akan hilang tumpuannya terhadap pengajian.

Akhir sekali yang menjadi mangsa dalam perkara ini ialah pelajar itu sendiri, mana mungkin kepimpinan parti politik itu akan membantu pelajar untuk lulus cemerlang dalam pelajarannya. Kita tidak bercakap lagi soal perpecahan di dalam kampus sekiranya para pelajar dan kakitangan IPT diberi kebebasan untuk menyertai secara aktif mana-mana parti politik. Cuba bayangkan sekiranya setiap pentadbiran, dan ahli akademik dibolehkan bergiat aktif dalam parti politik, sudah pasti mereka akan mengambil peluang yang ada untuk menguatkan parti dan pengaruhnya. Sekiranya seorang pensyarah itu seorang ketua bahagian atau ranting sebuah parti, adakah beliau tidak mempunyai perasaan was-was dan dendam terhadap pelajarnya yang mempunyai jawatan yang sama tetapi dari parti lawan? Siapa yang boleh beri jaminan bahawa pensyarah itu tidak akan menggunakan kuasa dan kedudukan yang beliau ada untuk menggagalkan atau memberi tekanan terhadap pelajarnya yang 'setaraf' dengannya dalam dunia politik kepartian?

Adakah seorang Naib Canselor mampu duduk selesa sekiranya Timbalan Naib Canselor dan pegawai di bawahnya ialah seorang ketua parti lawan? Itu tidak termasuk lagi pengetua kolej-kolej kediaman, dekan-dekan fakulti dan pengarah-pengarah pusat, institut dan jabatan. Pendek kata yang boleh ditekankan di sini adalah AUKU itu sudah pasti ada cacat celanya kerana ia merupakan sebuah akta atau undang-undang yang diciptakan oleh manusia, tetapi tujuan dan keseluruhannya adalah untuk kebaikan warga di IPT juga. Janganlah kerana seekor nyamuk yang dimarahi tetapi seluruh kelambu dibakarnya. Para pelajar dan warga IPT akan mengalami pelbagai kesulitan sekiranya AUKU ini terus dibakulsampahkan begitu sahaja. Oleh itu, pihak pemerintah perlu meneliti dengan mendalam sebelum mengambil sebarang keputusan. Pihak pembangkang pula perlu matang dalam memberi hujah agar negara dan masa depan rakyat tidak akan dijual kepada pihak lain.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 NOVEMBER 2011