JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 Jun 2011

ISU WANITA : KUOTA 30 PERATUS BUKTI TENAGA KERJA WANITA PENTING


Sumbangan wanita dalam pembangunan negara tidak boleh dinafikan. Peranan mereka amat penting, malah dapat dianggap sebagai tulang belakang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara. Wanita yang berkelayakan dan berpendidikan tinggi sudah membuktikan bahawa fungsi mereka relevan dan mampu menyumbang tenaga kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara. Pada 2008, tenaga kerja wanita membabitkan 25.7 peratus berbanding lelaki 79 peratus. Walaupun jumlah tenaga kerja wanita menunjukkan peningkatan, dalam bidang tertentu bilangan mereka masih jauh lebih rendah berbanding lelaki. Hingga kini kita masih lagi berusaha keras mencapai tahap 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan. Persoalannya, sejauh mana sumbangan wanita kepada negara dalam pelbagai bidang terutama sektor awam dan swasta mendapat pengiktirafan. Justeru, pengumuman Datuk Seri Najib Razak, kelmarin bahawa mulai sekarang sektor korporat dan institusi berkanun perlu memiliki sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam peringkat pembuat keputusan dilihat sebagai wajar dan tidak sepatutnya menjadi isu kontroversi.

Perdana Menteri menjelaskan dasar baru itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet, Jumaat lalu yang memberi tempoh peralihan selama lima tahun sehingga 2016 kepada sektor berkenaan meningkatkan bilangan wanita sebagai ahli lembaga pengarah dan memegang jawatan tertinggi di syarikat masing-masing. Kita percaya langkah itu dapat meningkatkan peranan dan semangat wanita untuk terus menyumbang tenaga mereka kepada pembangunan negara. Jika sebelum ini, kebanyakan jawatan tertinggi dalam sektor korporat dimonopoli lelaki, kita percaya keputusan itu mampu menjadi pemangkin kepada langkah mencapai kesaksamaan gender dalam sektor terbabit. Kita yakin usaha itu dapat dicapai seperti yang dilakukan pada sektor awam. Peratusan wanita menyandang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) meningkat kepada 32.3 peratus tahun lalu berbanding 18.8 peratus pada 2004. Walaupun mungkin ada pihak mempersoalkan kenapa hanya 30 peratus dan tidak lebih daripada itu, sekurang-kurangnya ia menjadi langkah permulaan ke arah meningkatkan lagi peratusan itu pada masa depan.
Apapun, kita percaya lelaki dilantik menerajui sesebuah syarikat korporat kerana kemampuan dan pengalaman mereka dan bukan kerana mereka lelaki. Kita percaya wanita yang dilantik menduduki jawatan tertinggi atau peringkat membuat keputusan juga bukan kerana mereka wanita atau hanya mencukupkan kuota.  Justeru, kita mahu wanita yang dilantik termasuk menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), juga kerana keupayaan, kemampuan dan pengalaman yang mereka miliki. Kita melihat ramai wanita sudah membuktikan kemampuan dan kejayaan mereka dalam sektor korporat. Dasar ini menjadi peluang terbaik lebih ramai wanita memainkan peranan lebih penting dalam syarikat gergasi atau yang tersenarai di Bursa Malaysia. Kita percaya apa yang diperlukan sekarang ialah memberi kepercayaan kepada wanita berada pada peringkat membuat keputusan. Dasar ini secara tidak langsung memberi pengiktirafan terhadap peranan wanita di negara ini dalam pelbagai bidang. Pada masa sama, kita yakin segala usaha dan dasar kerajaan akan turut mendapat sokongan dan pengiktirafan wanita di negara ini
SUMBER
BERITA HARIAN

29 JUN 2011

ISU NEGARA SERANTAU : SERIUSKAN SINGAPURA MAHU BERBAIK-BAIK DENGAN MALAYSIA?

Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org

Nampaknya  Singapura berterusan saja melakukan hal yang tidak menunjukkan ia mahu berbaik dengan kita sebagai jiran terdekatnya. Dalam tempoh seminggu dua ini timbul lagi masalah yang berterusan dilakukan jiran kiasu ini yang menggugat kita. Pertama tanpa sedikit pun rasa bersalah jet pejuangnya terus saja menceroboh ruang udara kita hingga mengganggu penduduk kampung di selatan Johor dengan sengaja terbang rendah di ruang udara kita. Sungguh mengaibkan apabila Menteri Pertahanan mendedahkan sejak 2008 hingga Mei lalu, pesawat pejuang republik itu telah menceroboh ruang udara kita sebanyak 2,508 kali iaitu pada puratanya dua kali pencerobohan setiap hari. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya boleh menyatakan kita telah pun membuat bantahan diplomatik ke republik itu. Menakjubkan sungguh kerana pencerobohan berterusan saja berlaku walaupun bantahan telah dibuat.

Bagaimanapun, Zahid tidak pula menjelaskan apakah bantahan dibuat setiap kali pencerobohan dilakukan atau hanya sekali saja dalam dua, tiga tahun. Apa kesimpulan yang boleh kita buat daripada sikap Singapura itu? Kita saja yang bertoleransi tetapi republik itu tidak sedikit pun mahu menghormati kita dan kita pula memberi isyarat seolah-olah tidak bermaya untuk bertindak.  Oleh itu, republik itu tidak sedikit pun menghiraukan bantahan atau mahu menghormati kita. Mungkin mereka berpendapat bantahlah sebanyak mana pun, kami akan terus menceroboh ruang udara kamu. Apakah kita tidak boleh melepaskan tembakan amaran apabila mereka menceroboh? Ini akan menunjukkan kita serius mahu pertahankan kedaulatan kita.  Sebaliknya, jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menceroboh masuk ruang udara mereka, apakah republik itu akan berdiam diri? Inilah gambaran yang boleh disimpulkan daripada perlakuan ini.

Persoalannya, apa kita tidak boleh lakukan lebih daripada membuat bantahan diplomatik saja? Kita bukannya mahu berperang dengan mereka tetapi apakah republik itu akan berdiam diri saja kiranya pesawat kita memasuki sedikit saja ruang udaranya? Apa agaknya tindakan yang akan ia lakukan kiranya kita berbuat demikian?  Tentunya mereka akan kerahkan pesawat pejuangnya untuk ‘scramble’ menemui pesawat kita. Kenapa kita tidak boleh berbuat demikian? Bukankah kita juga mempunyai jet pejuang yang canggih walaupun tidak secanggih apa yang mereka ada, berkat sokongan padu kepada pulau itu oleh Amerika Syarikat.  Berikutan bantahan diplomatik kita, apakah republik itu pernah mahu mengadakan perbincangan dengan kita mengenainya? Zahid dalam penjelasannya kepada Parlimen tidak pula memberitahu hal ini.  Jelas republik itu mahu berterusan tidak mempedulikan bantahan kita dan terus saja melakukan provokasi terhadap kita.
Kita seharusnya meneliti kenapa mereka berbuat demikian. Diketahui, republik itu tidak melakukan sesuatu tanpa sebab.  Isu kedua ialah mengenai penyeludupan pasir ke republik itu yang berlaku seolah-olah ia mendapat restu puak tertentu di Johor. Sebuah akhbar Inggeris minggu lalu mendedahkan bagaimana kegiatan ini berulang kembali setelah dibongkar tahun lalu yang mana tindakan telah diambil ke atas pelakunya oleh pihak berkuasa, itu pun setelah pendedahan mengenainya dimuatkan oleh akhbar itu. Tetapi apakah pihak berkuasa kita akan bertindak hanya apabila berlaku pendedahan di akhbar? Apakah mereka tidak boleh melakukan pemantauan secara berterusan supaya penyeludupan itu tidak berterusan. Apa gunanya diadakan peraturan mengharamkan penjualan pasir negara ini ke republik itu kalau perlombongan pasir dan penghantarannya ke Singapura berterusan? 
Dikatakan penyeludupan kali ini dilakukan oleh syarikat yang diberikan lesen untuk melombong pasir di Sungai Johor hanya untuk kegunaan tempatan bukannya untuk dieksport keluar kerana eksport pasir masih diharamkan.  Oleh sebab syarikat yang diberi permit melombong pasir di Sungai Johor jelas melanggar peraturan, apakah pihak yang mengeluarkan permit tidak boleh membatalkannya serta menyenaraihitamkan syarikat serta keseluruhan pengarah dan pegawai kanan syarikat tidak patriotik ini.  Dikatakan syarikat itu hanya dibenarkan melombong pasir di Sungai Johor pada siang hari. Tetapi syarikat itu melakukan kegiatan haramnya pada malam hari untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Pasir yang dihantar ke Singapura adalah dengan ‘barge’ yang ditarik tongkang dan menyusuri perlahan ke Pulau Punggol Timur republik itu.  Apakah semua pihak berkuasa termasuk kastam, pihak berkuasa tempatan, polis dan agensi maritim tidak boleh bekerjasama menahan dan menutup terus operasi syarikat itu dan membawa semua mereka ke pengadilan termasuk merampas tongkang dan barge yang dikatakan didaftar di republik itu berserta malim dan awak-awaknya?

Diharapkan apabila dikemukakan ke mahkamah, pengadil akan kenakan hukuman seberat mungkin dengan pengarah serta semua yang terbabit dipenjarakan. Sekiranya tiada peruntukan untuk menghukum penjara mereka itu, ia perlu dipinda bagi membolehkan hukuman demikian dijatuhkan ke atas mereka yang tidak patriotik dengan harapan tidak akan berlaku lagi kegiatan haram ini.

Penulis ialah Felo Kanan UKM

SUMBER
BERITA HARIAN, 30 JUN 2011

ISU SOSIAL : PROGRAM TV PERLU INFORMASI, PERTAHAN WARISAN BUDAYA

Oleh Shafezah Abdul Wahab

Televisyen ialah cabang media yang berpengaruh untuk mengekal dan membentuk budaya dalam masyarakat. Bagaimanapun, kehadiran televisyen tidak memberi kesan tanpa pengisian berinformasi melalui rancangan dipaparkan. Rancangan disiarkan di televisyen ialah pembentuk budaya. Oleh itu, kewujudan sesuatu budaya dalam masyarakat, khususnya remaja kebanyakannya dipengaruhi televisyen yang secara tidak langsung mencorak kehidupan dan nilai budaya dalam kehidupan seharian. Rancangan di televisyen adalah bentuk persekitaran yang merangsang penonton membentuk budaya dalam diri mereka. Paparan dari aspek psikologi budaya seperti nilai, kepercayaan dan konsep kendiri dalam rancangan televisyen boleh mengubah pandangan penonton terhadap budaya yang dipegang. Perubahan pandangan inilah yang membawa kepada perubahan pola hidup mereka.
Oleh itu, rancangan televisyen wajar memaparkan elemen budaya tempatan berdasarkan warisan budaya Malaysia. Ia perlu mempertahankan nilai masyarakat berbilang kaum, agama Islam sebagai agama rasmi negara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kebudayaan Melayu sebagai teras budaya negara. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan pengisian rancangan televisyen di Malaysia terlalu fokus kepada skop hiburan dan komersial melebihi keperluan maklumat warisan budaya serumpun. Masih ramai masyarakat, malah karyawan tempatan beranggapan rancangan di televisyen mesti memenuhi selera penonton. Ini tanggapan dari perspektif Barat dengan televisyen adalah hak mutlak rakyat yang disediakan kerajaan bagi memuaskan selera mereka yang bebas tanpa sempadan.  Perspektif sebegini menjadi pencabar utama kepada teras kebudayaan bangsa, sekali gus hilang nilai budaya Timur dan moral dengan pengisian rancangan memaparkan gejala sosial seperti merempit, bohsia dan seks bebas yang kian berleluasa.
Selain itu stesen televisyen juga cenderung dengan paparan tahyul yang makin memomokkan fikiran masyarakat Melayu, khususnya sehingga terpengaruh elemen khurafat yang memesongkan akidah. Di manakah peranan media, khususnya televisyen dalam memberi tumpuan kepada sebaran karya atau rancangan berinformasi yang dapat mempertahankan warisan budaya kita? Perlukah stesen televisyen cenderung mengaut keuntungan dengan sajian program hiburan semata-mata dan membelakangkan nilai maklumat yang sepatutnya menjadi tonggak utama sebaran media?  Terkilan menyaksikan rancangan realiti komedi yang mana seorang pelawak terkenal memperlekehkan isu kad perakam waktu dalam jenakanya sehingga menampakkan betapa tidak berilmu pelawak itu serta rancangan itu sendiri.  Pelawak terbabit mempersoal dan mempersendakan isu ‘punch card’ yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad pada 1981.
Ini jelas menunjukkan rancangan televisyen kini cenderung kepada hiburan dan cetek ilmu menyampaikan mesej berinformasi dan intelektual.  Dalam isu rancangan yang disiarkan, bahasa yang dituturkan perlu dititikberatkan. Ia adalah lambang budaya yang kita miliki. Budaya itu simbol falsafah dan pemikiran sesuatu masyarakat. Pengisian bahasa rojak kian berleluasa dalam sajian rancangan yang kononnya selaras dengan cara hidup moden masyarakat sekarang.  ‘Kemewahan’ menggunakan bahasa rojak moden ini sebagai trend mempengaruhi individu dalam komunikasi seharian. Oleh itu, stesen televisyen tidak harus bersikap terlalu liberal, demokratik, atau terlalu fleksibel dalam menyiarkan rancangan di televisyen, semata-mata mahu memenuhi kehendak masyarakat.  Fenomena ini menunjukkan stesen televisyen di negara kita kurang memberi tumpuan kepada usaha kesinambungan budaya. Justeru, perlu dikurangkan rancangan luar negara yang menampilkan unsur budaya yang bercanggah dengan budaya tempatan.  Diharapkan stesen televisyen tempatan perlu mewarnai kaca televisyen dengan paparan seni warisan dan tradisi masyarakat Malaysia mengenai tatasusila, peradaban dan cara berkomunikasi yang menjadi aset dalam rancangan televisyen dalam usaha mempromosikan budaya kepada semua penontonnya.
Penulis ialah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka

SUMBER
BERITA HARIAN
30 JUN 2011

ISU PENDIDIKAN : LUBUK HASILKAN PENDIDIK TERBAIK

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar feroz@bharian.com.my


Malayan Teachers Training College, Kirkby sebagai maktab perguruan mungkin nama asing kepada penduduk negara ini kerana pelajar jarang bertanya tempat latihan guru mereka. Namun, sebahagian masyarakat di Malaysia sebenarnya dilatih oleh guru keluaran Maktab Kirkby, terutama guru bahasa Inggeris. Maktab itu penting dalam susur-galur latihan guru atau sejarah pendidikan negara kerana menjadi institusi yang ditubuhkan di England untuk melatih sumber manusia di Persekutuan Tanah Melayu. Maktab Kirkby hanya beroperasi selama 11 tahun, iaitu antara 1951 hingga 1962 di Liverpool dan berjaya melahirkan 1,500 pendidik.  Kebanyakan mereka daripada kumpulan terakhir sudah pun menamatkan perkhidmatan lebih 20 tahun lalu dan tidak hairanlah ramai yang tidak mengetahui kewujudan maktab berkenaan. Pelajar yang dilatih oleh guru Maktab Kirkby kini memegang jawatan penting sama ada dalama sektor awam mahupun swasta.
Antara alumni Maktab Kirkby ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun (Kumpulan 1952-1954) yang juga Penaung Diraja, Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia (PAMKM). Baginda kekal sebagai guru selama 22 tahun dan mendidik ribuan pelajar di Kuala Lumpur, Seremban, Raub, Taiping dan Kuantan.  Bahkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenalan dengan Tuanku Bainun di England pada 1952 ketika menyambut kumpulan kedua 150 pelajar dari Tanah Melayu yang akan meneruskan latihan di Maktab Kirkby. Kedua-dua baginda aktif dalam sukan hoki. Kegigihan dan iltizam guru keluaran maktab itu terbukti dengan empat Tokoh Guru Kebangsaan ialah lulusan Maktab Kirkby, iaitu Harith Liki (1988), Idris Tain (1990), Lau Hut Yee (1992) dan Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim (1998).  Selain dedikasi dalam pendidikan, guru keluaran maktab itu sebenarnya serba boleh dan menceburi bidang lain selepas berbakti dalam perkhidmatan pendidikan.
Sebahagian guru keluaran Maktab Kirkby melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan kemudian bertugas dalam kerjaya seperti doktor perubatan, peguam, akauntan, ahli politik dan pensyarah serta diplomat.  Kini, walaupun sudah lama pencen, kebanyakan pesara Maktab Kirkby masih aktif sama ada dalam perniagaan, kerja kebajikan atau menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mengajar di universiti atau kolej swasta serta menulis.  Antaranya, Timbalan Presiden PAMKM yang juga bekas pensyarah, Dr Shaari Isa yang sudah menghasilkan kira-kira 40 buku fiksyen dan ilmiah, termasuk novel Kirkby; The Life and the Loves.  Sekadar menyatakan beberapa nama lagi, alumni Maktab Kirkby ialah Datuk Baharuddin Marji yang terbabit dalam penganjuran musabaqah al-Quran sejak 1971, Sasterawan Negara dan budayawan dalam bidang teater, Datuk Noordin Hassan dan pengasas Sri Murugan Centre, iaitu NGO yang memberi tuisyen percuma kepada lebih 13,000 pelajar keturunan India yang miskin, Datuk Dr M Thambirajah.
Ketika ditemui di Petaling Jaya, baru-baru ini, tokoh pendidikan, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim yang juga Presiden PAMKM secara berseloroh menggelar rakan-rakannya yang masih bergiat dalam pelbagai arena itu sebagai ulamak, singkatan kepada ‘usia lanjut masih aktif’.  Yahaya sendiri pada usia 82 tahun dan bersara dari Jemaah Nazir, Kementerian Pelajaran kira-kira 25 tahun lalu masih menyumbang tenaga dan buah fikiran menerusi beberapa institusi pendidikan tinggi swasta.  Jabatan Filem Negara Malaysia berjaya menerbitkan dokumentari mengenai pengalaman anak muda berusia 19 hingga 21 tahun dari Tanah Melayu ketika itu menjalani latihan di Maktab Kirkby.  Filem kira-kira 40 minit antara lain merekodkan kumpulan pertama seramai 148 pelajar pada 1951 menaiki kapal SS Chusan dalam perjalanan 21 hari menuju Liverpool.  Sebaik tiba, mereka terkejut kerana ‘Kirkby College’ bukannya kolej dengan bangunan tinggi dan berprestij seperti institusi pendidikan lain di England, tetapi binaan kayu setingkat, iaitu bekas kemudahan tentera British yang digunakan sepanjang Perang Dunia Kedua.
Namun, mereka tetap tabah untuk menuntut ilmu dan berazam pulang untuk membantu membangunkan tanah kelahiran.  Pelatih datang dari seluruh Tanah Melayu dan dipilih daripada kalangan keluarga berada dan miskin dari luar bandar sama ada Melayu, Cina, India dan Serani. Kepelbagaian budaya dan status masyarakat serta kemesraan penduduk Tanah Melayu yang terhimpun di Maktab Kirkby menjadikan pelatih menggelarkan kolej mereka sebagai Kampung Kirkby. Latihan selama dua tahun dilaksana sekumpulan pensyarah berpengalaman dalam pelbagai subjek seperti Bahasa Inggeris, muzik dan seni tampak serta diikuti praktikal mengajar di sekolah sekitar Liverpool.  Dengan England yang baru tamat daripada perang dan pelajar sekitar Liverpool yang datang daripada keluarga miskin serta tidak berpendidikan tinggi, latihan di Maktab Kirkby menghasilkan guru yang kental selepas pulang dan ditempatkan di pedalaman tanah air.

Fakta tidak patut dilupakan ialah pengumuman pertama mengenai persetujuan kerajaan Inggeris memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu atau Malaya dalam bahasa Inggeris dibuat di Maktab Kirkby. Pengumuman berkenaan dibuat pada Februari 1956 oleh Ketua Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman ketika lawatan bersama Menteri Pelajaran, Datuk Abdul Razak ke Maktab Kirkby, sehari selepas tamat rundingan kemerdekaan.  Tunku dan rombongan bersusah payah mengambil perjalanan sejauh 340 kilometer dari London ke Liverpool untuk bertemu penduduk Malaya di maktab itu dan kemudian bersama-sama melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali.

SUMBER :
BERITA HARIAN
30 JUN 2011