JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



28 Oktober 2010

ISU KELUARGA : MENANGANI MASALAH PERCERAIAN DAN MENGURANGI WK


Kita sering mendengar saranan-saranan tentang bagaimana untuk mengelakkan perceraian. Kita juga sudah biasa dengan ceramah-ceramah tentang prosedur-prosedur untuk menuntut cerai. Tetapi jarang sekali orang memperkatakan bagaimana untuk menangani perceraian sekiranya ia berlaku. Jika Islam membenarkan perceraian, ini bererti dalam masyarakat Islam akan ada suami-isteri yang bercerai dan mereka perlu dibantu untuk berhadapan dengan realiti baru itu. Topik ini menjadi lebih penting lagi kerana perceraian memberi kesan negatif kepada anak-anak. Jadi, suami-isteri yang bercerai perlu tahu peranan masing-masing supaya kesan negatif ini dapat dikurangkan.

Perceraian bertujuan untuk menyelesaikan tekanan perkahwinan dan mengurangkan penderitaan akibat perbalahan yang berterusan antara kedua suami-isteri. Keputusan untuk bercerai biasanya dibuat berasaskan kepada jangkaan bahawa keadaan akan menjadi lebih baik untuk kedua suami-isteri itu sekiranya mereka tidak lagi hidup bersama. Dalam konteks ini, kesan perceraian itu kepada anak-anak seringkali tidak difikirkan, sedangkan tidak ada anak yang mahukan ibubapanya bercerai. Itulah sebabnya ada yang berpendapat bahawa perceraian adalah akibat yang terpaksa dihadapi oleh anak-anak apabila ibubapanya tidak dapat hidup bersama.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa ada anak-anak yang ibubapanya bercerai, berkembang menjadi individu yang stabil dan berjaya. Namun, bilangan mereka ini lebih kecil berbanding bilangan anak-anak yang terjejas akibat perceraian kedua ibubapanya. Oleh itu, menangani perceraian dengan baik sekiranya ia berlaku adalah penting agar kesan negatifnya dapat dikurangkan demi masa depan anak-anak yang terlibat.

Beberapa orang pengkaji Barat yang cuba melihat faktor-faktor yang menyebabkan perceraian begitu negatif untuk anak-anak telah mengenalpasti lima (5) faktor utama. Faktor pertama berkait dengan hakikat ketiadaan ibu atau bapa. Sebagaimana yang kita tahu, persekitaran terbaik untuk perkembangan anak-anak yang optima ialah kehadiran kedua-dua ibu dan bapa. Dalam kes perceraian salah seorangnya ibu atau bapa telah tiada. Maka keluarga itu bukanlah lagi satu persekitaran yang terbaik untuk anak itu membesar. Akibat dari ketiadaan seorang ibu atau bapa ini, katakanlah bapa, dan ibu pula keluar bekerja, kebanyakan anak-anak dari keluarga yang bercerai mendapat kurang perhatian dan penyeliaan berbanding dengan anak-anak dari keluarga yang tidak bercerai.

Ada kemungkinan, kemahiran sosial anak-anak terjejas akibat tiadanya role model bapa atau ibu di rumah itu. Didapati pula, anak-anak yang bapanya mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri dan anak-anak, tidak begitu terkesan dengan perceraian ini. Dalam kata-kata lain, kalau ibubapa masih mengekalkan hubungan yang baik maka anak-anak tidak begitu terkesan dengan perceraian. Oleh itu, untuk meminimakan kesan negatif perceraian, pasangan itu hendaklah mengekalkan hubungan baik selepas perceraian.

Faktor kedua berkait dengan penyesuaian penjaga (ibu atau bapa). Selepas bercerai, anak-anak berada di tangan ibu atau bapa yang mendapat hak penjagaan. Jika ibu atau bapa tadi dapat menyesuaikan diri dengan perceraian itu dengan baik, maka anak-anak juga dapat menyesuaikan diri mereka. Jika penyesuaian ini berlaku, maka perceraian tidak akan membawa kesan yang begitu negatif. Jadi, ibu atau bapa yang mendapat hak jagaan perlu menyesuaikan diri dengan cepat dengan keadaan baru agar ia akan memberi kesan positif kepada anak-anak.

Faktor ketiga berkait dengan kedudukan ekonomi. Biasanya, selepas perceraian taraf hidup keluarga itu menurun terutamanya bila si bapa meninggalkan anak-anaknya. Anak-anak yang kini di bawah jagaan ibu, mungkin perlu berpindah ke rumah yang lebih kecil atau anak-anak itu terpaksa melepaskan kemewahan-kemewahan tertentu yang mereka nikmati sebelum ini. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak tidak akan begitu terjejas akibat perceraian sekiranya tiada kejatuhan dari segi taraf hidup. Dalam kata-kata lain, jika perceraian berlaku tetapi taraf hidup anak-anak tidak berubah, yakni masih tinggal di rumah yang sama, masih menikmati kemewahan yang sama, maka mereka tidak akan begitu terkesan oleh perceraian tersebut. Oleh yang demikian, bapa sebagai orang yang bertanggungjawab memberi nafkah perlu memastikan bahawa taraf hidup anak-anak tidak begitu berubah selepas perceraian jika mereka mahu anak-anak mereka berkembang normal seperti anak-anak yang lain.

Faktor keempat berkait dengan konflik keluarga. Dikatakan bahawa yang menjejaskan kesejahteraan anak-anak bukanlah perubahan struktur dalam keluarga (tidak ada ibu atau bapa) tetapi yang menjejaskannya ialah perselisihan atau pergaduhan yang datang dengan perubahan struktur itu. Oleh itu, kalau nak berceraipun, bercerailah dengan cara yang baik dan kekalkan hubungan baik selepas perceraian itu berlaku. Ini kerana hubungan buruk selepas perceraian akan memberi kesan negatif kepada anak-anak.

Faktor kelima berkait dengan perubahan-perubahan hidup yang memberi tekanan. Kajian menunjukkan bahawa lebih banyak tekanan yang dihadapi, lebih sukar untuk anak-anak menyesuaikan diri. Oleh itu, setelah berlaku perceraian, cuba kurangkan perubahan-perubahan dalam hidup agar anak-anak tidak begitu tertekan bila terpaksa berhadapan dengan perkara baru. Oleh itu, jangan tergesa-gesa berpindah rumah atau sekolah. Ibu atau bapa pula jangan cepat-cepat berkahwin lagi dan seumpama. Ini kerana perubahan-perubahan baru memberi tekanan kepada anak-anak dan ini menyukarkan mereka menyesuaikan diri dengan perceraian yang berlaku. Itulah tadi lima (5) faktor yang mempengaruhi kesan perceraian kepada anak-anak dan bagaimana kita boleh mengawalnya supaya kesan negatifnya kepada anak-anak dapat diminimakan.

Dari kajian yang dibuat, didapati bahawa anak-anak yang ibubapa mereka bercerai mengalami berbagai perasaan. Ada di antara mereka yang bimbangkan tentang masa depan mereka. Ada yang bimbang diketepikan oleh ibu atau bapa yang menjaganya. Ada yang merasa marah terhadap ibu atau bapa yang dirasakan bertanggungjawab terhadap perpisahan itu. Ada yang merasa tertekan. Ada yang rasa tidak dapat buat apa-apa (helplessness). Ada yang rasa kesepian. Ada juga yang rasa bersalah kerana beranggapan merekalah yang menjadi punca penceraian tersebut. Misalnya, mereka merasakan oleh kerana mereka jahat atau nakal, bapanya pergi meninggalkannya. Ramai juga yang percaya atau beranggapan bahawa bapa atau ibunya pergi kerana ibu atau bapa itu tidak lagi mempedulikan hal mereka.

Memahami perasaan anak-anak inilah, maka para pengkaji menasihatkan ibubapa yang bercerai supaya menerangkan kepada anak-anak bahawa perceraian itu tiada kena mengena dengan mereka. Ia bukan disebabkan oleh hakikat anak-anak itu jahat dan bukan juga disebabkan ibubapa itu tidak mempedulikan mereka. Perceraian itu berpunca dari ibubapa sendiri yang tidak lagi boleh hidup bersama. Pengkaji juga menasihatkan ibubapa supaya memberitahu anak-anak secara bersama-sama. Ini bertujuan untuk menyakinkan anak-anak itu bahawa mereka akan terus mengambil berat tentang anak-anak walaupun selepas perceraian. Dari segi ini, amat penting ibubapa untuk bercerai secara baik. Jika tidak, bagaimana mungkin mereka dapat menerangkan hal ini kepada anak-anak secara bersama.

Mungkin ada yang bertanya mengapa keadaan anak-anak yang ibubapanya bercerai lebih buruk dari keadaan anak-anak yatim sedangkan dalam kedua-dua kes, struktur keluarga mereka telah berubah. Namun kita perhatikan seringkali anak-anak yatim ini membesar menjadi individu yang lebih stabil manakala anak-anak dari ibubapa yang bercerai pula kerap menjadi individu yang bermasalah.

Ini sebenarnya ada kaitan dengan anggapan anak-anak itu tentang perceraian kedua ibubapanya. Seorang pengkaji, Dr. Martin Richards dalam menjelaskan keadaan ini menyebut bahawa ia berpunca dari anggapan anak itu bahawa ibubapanya memilih untuk bercerai (kematian tidak dilihat sebagai satu pilihan). Bila ibubapa memilih untuk bercerai ini bererti bagi kebanyakan anak-anak ibu atau bapa yang pergi itu memilih untuk meninggalkan mereka. Rasa ditinggalkan ini membuatkan mereka memiliki self-esteem yang rendah yang menjadi punca kepada masalah-masalah lain yang mereka alami.

Jadi, sekali lagi kita dapati bahawa amat penting untuk kedua ibubapa menerangkan kepada anak-anak mengapa perceraian itu berlaku. Mereka perlu difahamkan bahawa ia bukan berpunca dari hakikat bahawa ibubapa tidak sayang mereka. Di masa yang sama, hubungan yang erat dengan anak perlu dikekalkan selepas bercerai supaya kata-kata tadi tidak hanya merupakan kata-kata manis semata-mata. Dengan cara ini, anak-anak itu tidak akan ada anggapan-anggapan negatif yang boleh merosakkan self esteem mereka.

Jadi, apakah peranan kedua suami-isteri yang bercerai tadi bagi memastikan bahawa kesan perceraian terhadap anak-anak adalah pada tahap yang minima? Lazimnya, kalau kita ingin membantu orang lain menyelesaikan masalah mereka, kita perlu menyelesaikan masalah kita dahulu. Begitu juga dengan pasangan suami-isteri yang bercerai. Mereka perlu selesaikan masalah peribadi mereka sebelum dapat membantu anak-anak berhadapan dengan realiti baru itu.

Seperti yang disebutkan tadi, kajian menunjukkan bahawa kesan perceraian terhadap anak-anak bergantung kepada penyesuaian yang dilalui oleh penjaganya. Jika cepat penjaganya menyesuaikan diri, maka anak-anak juga akan cepat menyesuaikan diri. Jadi, ibu atau bapa, terutamanya yang mendapat hak penjagaan, perlu segera menyesuaikan diri dengan hakikat bahawa mereka telah bercerai. Sebagai orang Islam, ianya lebih mudah kerana kita percaya kepada qada dan qadar Allah. Kalau kita terima dan redha bahawa perceraian itu adalah kehendak Allah, maka tiada apa yang hendak dikesalkan. Kalau ada perkara yang telah melukakan hati, maka memaafkan itu adalah lebih baik. Sepotong kata-kata hikmah menyebut, "Sesiapa yang memaafkan, menamatkan persengketaan". Maka maafkan bekas pasangan kita agar kita dapat berhubung dengan baik dengan mereka, demi anak-anak.

Pengkaji yang saya sebutkan tadi juga menyebut bahawa ibubapa yang bercerai yang mengekalkan hubungan yang baik akan menyebabkan anak-anak kurang terjejas akibat perceraian. Jadi, ini perlu menjadi keutamaan bagi ibubapa yang bercerai. Kalau kita tidak dapat menyelamatkan perkahwinan demi anak-anak, maka selepas bercerai, kekalkanlah hubungan baik, demi anak-anak.

Satu perkara lagi berkaitan dengan penyesuaian ialah jangan buat terlalu banyak perubahan dalam hidup. Hadapi perubahan satu demi satu dan bukannya banyak perubahan dalam satu masa. Misalnya, kalau hendak berpindah ke tempat baru, tunggu dulu sehingga rasa kita sudah dapat menerima hakikat perceraian, baru berpindah. Kalau tidak, kita terpaksa berhadapan dengan tekanan baru dan ini menyukarkan kita menyesuaikan diri. Kalau pun kita rasa kita boleh berhadapan dengan tekanan-tekanan itu, ingatlah tentang anak-anak. Apakah mereka boleh menangani perubahan-perubahan itu? Sudahlah ibubapa baru bercerai, kena pula berpindah rumah. Mereka mungkin sayang untuk meninggalkan rumah itu. Itu belum kira hakikat mereka perlu berpisah dengan kawan-kawan, perlu bertukar sekolah, perlu mengenali guru dan kawan baru. Ini sudah tentu memberi tekanan kepada mereka dan menyukarkan mereka membuat penyesuaian.

Faktor-faktor yang saya sebutkan tadi juga menyebut bahawa anak-anak akan kurang terkesan akibat perceraian sekiranya mereka tidak berhadapan dengan perubahan-perubahan yang memberi tekanan. Jadi, ibu atau bapa yang mendapat hak jagaan, perlu ingat hakikat ini. Selepas ibubapa menyelesaikan masalah mereka, ingatlah tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Walaupun sudah tidak lagi menjadi suami-isteri, mereka masih menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak itu. Jadi, tunaikanlah tanggungjawab sebagai ibu dan bapa ini seperti biasa. Sebagai bapa, ingatlah tanggungjawab anda untuk memberi nafkah kepada anak-anak. Ini adalah perintah Allah, bukan sekadar perintah mahkamah. Oleh itu, walaupun mahkamah belum menetapkan jumlahnya, berilah nafkah tersebut. Ingatlah, mengengkari perintah Allah adalah berdosa.

Berkaitan dengan nafkah ini, berilah dengan sikap pemurah. Biar lebih, jangan kurang. Ingatlah, apa-apa yang dibelanjakan untuk keluarga adalah sedekah yang akan dibalas dengan berlipatkali ganda. Jadi, janganlah kedekut, berilah secukupnya. Ingatlah, satu daripada faktor yang akan memberi kesan kepada anak-anak ialah taraf hidup yang lebih rendah dari sebelumnya. Jadi untuk mengelakkan perkara ini, berilah nafkah sepertimana sebelumnya. Kalau boleh, saya ingin menyarankan kepada para bapa khususnya, janganlah menyuruh anak-anak dan isteri keluar dari rumah yang biasa mereka tinggal supaya taraf hidup mereka tidak menurun dan supaya tiada banyak perubahan berlaku dan anak-anak tidak tertekan dengan perubahan-perubahan itu.

Begitu juga dengan perhatian dan kasih sayang. Ibu dan bapa telah bercerai masih bertanggungjawab dalam hal ini. Bagi ibu atau bapa yang pergi (meninggalkan rumah), ingatlah anda masih bertanggungjawab dalam hal memberi perhatian dan kasih sayang. Untuk itu, jengoklah mereka misalnya seminggu sekali dan telefonlah mereka dengan lebih kerap untuk bertanya khabar. Dengan cara ini, anak-anak tahu bahawa mereka masih disayangi dan ibu atau bapa itu bukannya pergi terus yang mana ini akan memberi kesan negatif kepada self-esteem anak-anak itu.

Bagi ibu atau bapa yang mendapat hak jagaan pula, jangan hasut anak-anak untuk membenci ibu atau bapa mereka. Itu masih masih ibu dan bapa mereka dan mereka perlu diajar untuk menyayangi dan menghormati ibu atau bapa mereka itu, bukan untuk membencinya. Jadi, ingatlah, jangan tanamkan rasa benci kerana ia juga boleh merosakkan pemikiran anak-anak. Adalah lebih baik untuk membantu anak-anak itu berhadapan dengan realiti baru. Berbuallah dengan mereka, tanya tentang perasaan mereka, pandangan mereka dan ini dapat mengurangkan apa-apa salah faham atau salah anggapan yang wujud dalam diri mereka.

Sebagai kesimpulannya, walaupun perceraian tidak diminta, ia perlu ditangani dengan baik jika ia berlaku, demi masa depan anak-anak yang tidak berdosa.


OLEH :
Siti Fatimah Binti Abdul Rahman

Fellow Kanan

KARANGAN STPM: BANTUAN YANG PATUT DIBERIKAN KEPADA MANGSA BENCANA ALAM


Bencana alam seperti banjir, letusan gunung berapi, dan ribut taufan ialah satu fenomena alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau. Bencana alam ini berlaku atas kehendak Tuhan Maha Pencipta. Bencana alam berlaku tanpa mengira tempat dan waktu. Walaupun teknologi semakin berkembang pesat bagai belut diketil ekor, kemajuan sains dan teknologi tidak dapat menghalang bencana alam daripada berlaku. Hakikatnya, bencana alam akan menyebabkan berlakunya kerosakan, kemusnahan, kerugian, dan kehilangan nyawa. Oleh sebab itu, kita sebagai masyarakat yang prihatin hendaklah memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam. Perkara ini akan ditelusuri dalam perbincangan ini.

Kita boleh mengadakan kutipan derma menggunakan saluran yang betul untuk membantu mangsa bencana alam. Derma yang dikutip hendaklah disalurkan kepada mangsa-mangsa bencana alam yang memang memerlukan bantuan. Bantuan yang disumbangkan tidaklah hanya berfokuskan wang ringgit, tetapi bantuan lain seperti ubat-ubatan, pakaian dan makanan juga diperlukan. Setelah bencana berlaku, pastinya mangsa bencana tidak memiliki kelengkapan yang sempurna untuk hidup kerana semua harta mereka telah dimusnahkan oleh bencana alam yang di luar jangka ini. Pada masa ini, pelbagai peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh pihak berwajib sama ada pihak swasta ataupun pihak kerajaan yang berasa bertanggungjawab untuk membantu sesama manusia. Contohnya dapat dilihat apabila pihak TV3 telah mengadakan Karnival Jom Heboh untuk membantu mangsa-mangsa tragedi yang menyayat hati di seluruh negara ini. Jelaslah di sini bahawa kita tidak harus lokek dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga agar mangsa dapat hidup sempurna seperti kita.

Kita boleh menganggotai pasukan penyelamat dan pencari dalam membantu dan mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan atau mencari mangsa yang hilang selepas kejadian bencana alam. Muktahir ini, banyak pasukan penyelamat Malaysia diterbangkan ke negara-negara jiran yang mengalami bencana alam untuk memberikan bantuan semampu yang boleh. Pasukan yang terdiri daripada Pasukan Gerak Cepat dan Pasukan SMART di samping pasukan bomba sentiasa dihantar sebagai kumpulan awal untuk turut sama dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa. Mereka membantu bukan untuk balasan atau ganjaran, namun membantu atas dasar kemanusiaan demi menginsafi diri bahawa mereka perlu bersyukur dengan segala keselesaan dan telah terselamat daripada bencana alam ini. Jelaslah bahawa tindakan kita menyumbangkan tenaga boleh menjadi satu platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni ini lantaran kita berpegang pada kata pepatah, hari tidak selamanya panas.

Kita boleh menjadi sukarelawan yang boleh berkhidmat apabila bencana alam berlaku di sesuatu tempat. Tugas sukarelawan bukanlah mudah kerana kita akan meninggalkan keluarga yang tersayang dalam tempoh yang agak lama. Seseorang sukarelawan biasanya diperlukan untuk memberikan rawatan, membina rumah mangsa yang telah musnah semula dan mententeramkan emosi mangsa. Para sukarelawan ini kebanyakannya dianggotai oleh golongan doktor yang boleh merawat mangsa yang mengalami kecederaan sekali gus menyelamatkan nyawa mangsa. Kini, Mercy Malaysia yang dipimpin oleh Dato Dr. Jamilah semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat setempat kerana perkhidmatan cemerlang mereka. Ketika mengadakan operasi menyelamat mangsa dalam tragedi gempa bumi di Pakistan, Mercy Malaysia telah menerima pujian hasil kepakaran dan disiplin yang tinggi para pengamal perubatan dari Malaysia. Konklusinya, kemurnian hati para sukarelawan ini amat bernilai dan bererti kepada mangsa untuk mereka terus menjalani kehidupan seperti manusia lain.

Kita juga boleh mendoakan mangsa-mangsa kejadian bencana alam ini. Doa yang dipohonkan agar mereka tabah menghadapi dugaan daripada Tuhan Yang Maha Mengetahui. Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama boleh mendoakan kesejahteraan hidup mangsa bencana yang masih hidup atau yang telah terkorban mengikut kepercayaan agama masing-masing. Sebagai contohnya, penduduk di negara kita selalu mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin secara besar-besaran apabila bencana alam berlaku baik di dalam negara mahupun di luar negara. Doa merupakan pengakhiran bantuan yang diberikan lantaran kita sedar bahawa apa-apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. Tuntasnya, doa dapat kita hadiahkan kepada mangsa kerana Tuhan itu Maha Adil lagi Maha Mengasihi. Doa ini juga secara tidak langsung boleh melahirkan rasa simpati dan insaf supaya kita sekali tersengat selalu beringat.

Pihak kerajaan akan meneruskan bantuan pascabencana. Antara bantuan yang diberikan seperti sumbangan modal dan kepakaran untuk membangunkan kawasan yang telah tejejas teruk semula. Sebagai negara berjiran yang dapat merasakan rintihan dan suara hati saudara serantau, Malaysia telah membantu kerajaan Indonesia dalam usaha membangunkan semula sistem pendidikan di wilayah Acheh dan Yogyakarta di Indonesia yang terjejas teruk dalam peristiwa gempa bumi dan Tsunami. Dengan sokongan yang diberikan itu telah dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa. Anak-anak dapat meneruskan semula pelajaran, sementara hidup baru dapat dimulakan sedikit demi sedikit. Sokongan dan bantuan kepakaran yang dihulurkan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di samping dapat memberikan sinar kehidupan yang baharu kepada mereka selepas diuji dengan musibah yang tidak diduga itu.

Intihanya, semua orang seharusnya melupakan batasan geografi dalam menghulurkan bantuan dan tidak menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Walau di mana-mana jua kita berada, kita harus sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan kehidupan yang sempurna. Amat wajar membudayakan sikap saling membantu selagi kita termampu lantaran buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat, malah buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali.


HASIL KARYA PELAJAR

 
RASUL IMAN RAMZANY
Tingkatan Enam Atas 2
SMK Sacred Heart
Sibu, Sarawak.

ISU ICT : KADAR PENEMBUSAN JALUR LEBAR DISASARKAN 75% PADA TAHUN 2015


Menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kadar penembusan jalur lebar mengikut isi rumah disasarkan sebanyak 75 peratus menjelang 2015. Pada masa ini, sehingga pertengahan Oktober 2010,  kadar penembusan jalur lebar telah melepasi 53 peratus, melebihi 50 peratus daripada sasaran yang ditetapkan menjelang akhir tahun 2010. Pencapaian ini adalah hasil kerjasama dan usaha pihak swasta dan kerajaan termasuk pucuk pimpinan yang menitikberatkan penembusan jalur lebar untuk semua golongan rakyat. Setakat ini, pelanggan telefon selular telah melebihi 31 juta atau 108 peratus dari segi kadar penembusan.

ISU DADAH : BERSIHKAN IMEJ MALAYSIA DARIPADA AKTIVITI PENGEDARAN DADAH


Dalam  usaha kerajaan merawat dan memulihkan penagih dadah dalam negara, kita dikejutkan pula dengan kelicikan pengedar dadah antarabangsa. Sindiket antarabangsa kian galak menjadikan Malaysia sebagai pusat pengedaran atau transit dadah dunia.  Biarpun banyak yang ditumpaskan tetapi bilangan yang datang sedikit pun belum menampakkan berkurangan. Ini menunjukkan seolah-olah pasaran dadah di negara kita cukup hebat. Faktor yang mendorong kegiatan ini aktif di negara kita mungkin habuannya melibatkan nilai yang mencecah jutaan ringgit. Sebab itu mereka bertindak nekad walaupun mencabar undang-undang Malaysia.

Mereka sedikit pun tidak takut dengan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan. Benar kata pepatah Melayu, 'sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.' Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kita membaca laporan mengenai pihak polis dan jabatan kastam telah berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan dan menahan beberapa anggota sindiket dadah antarabangsa. Kegiatan dadah antarabangsa sama ada yang diseludup masuk atau dibawa ke luar negara nampaknya akan terus aktif. Jadi kita tidak boleh leka dengan kejayaan yang dicapai setakat ini.

Kita perlu ingat, akibat percubaan mereka menyeludup masuk dadah ke negara kita melalui bagasi seringkali gagal, maka ada yang beralih taktik menggunakan sabun mandi, merendam tuala dalam cairan dadah, guna ketuhar gelombang mikro, sorok dalam bengkung, bingkai gambar dan sebagainya. Mungkin pada masa akan datang, taktiknya mungkin lebih sukar untuk dikesan.  Walaupun begitu, kita tabik terhadap keupayaan penguat kuasa dalam membanteras dan mengekang penyeludupan dadah terutama melibatkan warganegara asing. Ia terbukti berkesan. Jika ada andaian Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mudah bolos untuk kegiatan transit dadah, pihak terbabit perlu diberi mesej jelas dan berberfikir beribu kali. KLIA mesti dibersihkan daripada imej pintu masuk penyeludupan dadah.

Apa pun kita mesti sentiasa berwaspada dengan kemasukan warga asing di pintu masuk negara ini. Banyak kes salah laku warga asing. Dalam senyuman kita menyambut kedatangan warga asing, kita juga perlu bertegas terhadap mereka yang berusaha membawa musibah. Oleh itu kita wajar memohon kerjasama semua pihak agar membersihkan imej Malaysia daripada label pusat pengedaran dadah antarabangsa. Hal ini bagaikan benar apabila kita membaca laporan media, hampir setiap minggu ada sahaja tangkapan ke atas penyeludupan dadah.

Merenung dengan mendalam perkembangan ini, kita juga bimbang - adakah pengguna dadah di negara kita semakin meningkat? Hari ini, pelbagai pelakuan dahsyat timbul akibat daripada penyalahgunaan dadah. Seseorang penagih sanggup mati, mencuri, merompak, meragut, mencedera bahkan membunuh orang lain. Jadi ada baiknya kerajaan segera membuat kempen membersihkan imej Malaysia daripada aktiviti pengedaran dadah.


SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 OKTOBER 2010