Jalan hidup yang kita lalui penuh
dengan ranjau yang beronak dan berduri. Kita seringkali tertipu dengan tuntutan
hawa nafsu sehingga mengabaikan kasih sayang dan menyeksa jiwa raga orang yang
sentiasa ambil berat tentang diri kita. Kita mudah hanyut dengan pujian dan
sanjungan yang menaikkan rasa bongkak dan riak sehingga kita berlaku kejam
kerana sudah tabu dalam membezakan baik dan buruk perbuatan yang dilakukan.
Kita jadikan dosa itu menu santapan harian walaupun rasanya tawar dan payau kerana
syaitan telah beraja di hati kita. Kita hanyut dan terus hanyut dibawa dek arus
durjana yang menelanjangi keperibadian mulia kita sehingga maruah kita bersepah
di lantai-lantai keji. Kita bunuh persaudaraan dan rejam persahabatan dengan
semua insan yang pernah hadir dalam hidup kita kerana dangkal mendengar nasihat
dan amanat manfaat yang terkeluar dari mulut kasih sayang mereka. Sampai hati
kita membiarkan yang menyayangi menangis akibat dikasari kerana hati kita telah
lama mati untuk menyayangi dan mengasihi mereka yang selama ini berada di sisi
kita.
LUPAKAN ISTERI DAN ANAK-ANAK
Akibat hasrat yang cacat untuk hidup
bebas kerana hak yang nazak kita lupakan rasa kemanusiaan dan humbankan kebahagiaan dan kesenangan
hidup berkeluarga. Kita jadi hero yang riang berlaku curang sehingga
menduatigakan kasih dan sayang. Alasannya kita mampu tetapi kita lupa bahawa senario
hidup di dunia setiap kecurangan tidak pernah berakhir dengan kebahagiaan.
Setiap titisan air mata isteri yang kita khianati pasti akan berbalas jua suatu
hari nanti dan ketika itu kita tidak mampu untuk menagih maaf dan memaafi.
Tuhan sentiasa melihat dan Tuhan tahu setakat mana kemampuan kita untuk
meneruskan perjalanan di dunia. Mengapa harus menyanggah ketentuan itu hanya
kerana nafsu? Mengapa mahu menabur benih melata wahal kita tahu ada yang
menyayangi dan mengasihi kita? Tidak cukupkah kasih sayang pemaisuri hati dan
alunan manja suara anak-anak yang ceria untuk dijadikan pelaburan berharga
untuk mengecapi nikmat indah dunia. Mengapa harus menyidai badan di pelabuhan
lain yang belum pasti menjanjikan masa depan? Mengapa perlu menggalas lagi
beban wahal kita bukanlah raja yang segagah mana?
Selagi bernadi, kasihi isteri
sayangi anak-anak. Jangan sakiti
hati dan seksa jiwa mereka.
Tuhan telah amanahkan mereka
untuk dijaga, pimpin dan bimbinglah
mereka hingga ke syurga.
Kadang-kadang kerana hasutan
rakan-rakan dan teman-teman sekeliling otak kita jadi pusing sehingga amat
mudah berpaling kepada yang lain. Kita anggap dunia ini padang permainan yang
tidak boleh ditinggalkan kerana rasa tidak sedar diri yang membatuapi dihati
untuk kita mengkhianati hidup diri sendiri. Kita tidak nampak, di belakang
kita, orang yang merenjis embun hasutan dosa sedang tertawa melihat mahligai
bahagia kita roboh dan ranap menyembah bumi. Kita tidak sedar, orang sentiasa
mencari peluang dan ruang untuk mengazabkan hidup kita lalu mereka membawa kita
hanyut dan hanyut sehingga suatu ketika kita tak punya apa-apa dan siapa-siapa.
Ketika itu, menangis sehingga keluar air mata darah pun kita tidak akan dapat
kembali semua yang kita hilangkan ketika ini. Sujudlah berjuta-juta kali, Tuhan
pasti ampunkan tetapi yang hilang tidak akan tumbuh lagi. Jalan yang lurus
apabila dibengkokkan bukan senang untuk meluruskannya semula kerana struktur
tanah tidak selamanya teguh dan kukuh seperti masa mula-mula kita menerokanya
dahulu.
LUPAKAN IBU BAPA
Segala yang kita miliki pada hari ini
merupakan hasil didikan dan asuhan ibu bapa yang banyak berjasa kepada kita.
Jika tiada mereka, maka tiadalah kita. Merekalah yang melahirkan kita ke dunia
ini. Mereka sediakan kehidupan yang sebaik mungkin untuk kita mengikut
kemampuan kudrat yang mereka ada. Mereka hantar kita ke sekolah untuk menerima
pendidikan. Akan tetapi, kita selalu menganggu mimpi-mimpi indah mereka dengan
pelbagai angkara yang merentap hati dan meninggi denyut jantung mereka. Kita cipta
pelbagai masalah yang menaik darah kasih sayang mereka. Kita langsung tidak
menghargai titisan peluh dan pengorbanan mereka selama ini. Kita anggap mereka
sebagai orang yang menyusahkan setelah kita berjaya, berpangkat, dan berharta.
Kita anggap kehadiran mereka ibarat melukut ditepian gantang, wujud tidak
menambah, pergi tidak mengurang. Sampai begitu sekali kita menghina kehadiran
mereka disisi kita. Akibat hasutan dengki isteri kita abaikan insan yang kita
sayangi hanya kerana cinta yang belum pasti kita kecapi hingga ke hujung nyawa.
Setitis air mata ibu
dosanya kita tanggung hingga
ke akhir hayat kita. Basah pipi
ayah, hidup kita tidak akan
bahagia selama-lamanya.
Biarpun sikap kita sebegitu ibu dan
ayah tetap menganggap kita darah daging mereka. Mereka tidak pernah memaksa kita
untuk melimpahkan kemewahan dan kesenangan. Mereka sanggup memandang seorang
anak yang berdosa dari kejauhan sambil tersenyum dan berdoa agar kita
diampunkan Tuhan. Kita yang tidak sedar diri terus melayari bahtera hidup tanpa
mereka disisi sehinggalah suatu hari apabila mereka tiada lagi di dunia ini,
kita terpaku dan terduduk pilu. Barulah kita teringat, ibu dan ayah hanya satu
dan tiada penganti. Dengan adik beradik pun kita bersikap berbasa basi. Yang
kaya, berpendidikan, berpangkat, dan berharta selalu kita dampingi manakala yang
miskin dan hidup melarat selalu kita jauhi. Sehinggalah pada suatu hari apabila
kita terlantar nazak menahan sakit yang tidak tertahan barulah jiwa kita sedar,
yang kita jauhi itu sentiasa mendekati dan memberikan kata-kata semangat untuk
kita teruskan hidup ini. Mereka memang miskin harta tetapi mereka kaya dengan
sifat-sifat mulia yang sepatutnya dimiliki oleh semua manusia.
LUPA ASAL USUL
Sewaktu kita susah dahulu kita ada
teman-teman seangkatan yang sehaluan dengan kita mengecapi nikmat suka duka
dunia. Mereka menjadi tempat kita bermanja. Mereka menjadi tempat kita
bercerita. Mengapa selepas kita berjaya kita rasa amat sukar untuk menoleh ke
arah mereka? Sewaktu berjalan, sehingga berselisih bahu, kita pura-pura tidak
tahu dan tidak mengenali, itulah sahabat kita suatu masa lalu. Kita tidak
terima kehadirannya disisi kita kerana tidak setaraf dan sedarjat dengan kita.
Siapakah yang hina sebenarnya? Kita atau dia. Kita hukum dia dengan mengabaikan
lunas-lunas didikan agama kerana kita telah jauh tersasar dijalan-Nya. Kita
gunakan pangkat dan kedudukan untuk mengkhianati kawan sehingga mereka
menjauhkan diri dan membenci kita. Kita tidak pedulikan lagi ikatan
persaudaraan lantaran alpa asal usul kita yang sebenarnya.
Kita selalu ketawa melihat
kekurangan orang lain sehingga kita lupa
seorang demi seorang mereka berlalu
meninggalkan kita. Kita zalimi mereka
tanpa rasa bersalah dengan kuasa
yang kita ada tanpa kita tahu mereka
selalu mendoakan sesuatu
yang tidak baik buat kita.
Setelah kita berpangkat dan menjadi
ketua di sesebuah jabatan, kita gunakan kuasa untuk mengherdik, memaki, dan
menghina orang bawahan sehingga mereka terpaksa makan hati berulam jantung
dengan perangai dan tindakan kita. Kita paksa mereka tunduk kepada kuasa kita
sehingga menjadikan mereka seperti hamba abdi kerana anggap kitalah raja yang
paling berkuasa di dunia ini. Kita tidak tahu bahawa nikmat itu hanya
sementara. Kita mahu orang menghormati dan takut kepada kita. Akan tetapi, pada
suatu hari apabila pangkat dan kuasa itu ditarik balik, kita akan hidup
bersendirian dan kesunyian. Orang yang pada suatu ketika dahulu memanggil kita ‘tuan’
langsung tidak mahu bertanya khabar berita. Barulah kita tahu bahawa pangkat
kita lebih hina daripada pangkat mereka. Namun begitu, masa lalu yang kita isi
dengan rasa sombong dan bongkak tidak akan berulang kembali. Kita mungkin lupa
apa yang telah kita lakukan tetapi mereka akan sentiasa ingat setiap tindakan
yang telah kita kenakan kepada mereka. Walaupun kita telah berubah, jiwa mereka
tetap berdendam sehingga ke hujung nyawa.
LANGIT TIDAK SELAMANYA CERAH
Dunia ini hanya pinjaman. Suatu masa
semuanya akan ditarik balik oleh Tuhan Yang Maha Esa. Kuasa, pangkat, dan harta
tidak akan kekal selama-lamanya. Sanjungan, pujian, dan anugerah yang kita
peroleh bukanlah hak milik kekal kita. Yang akan kekal ialah kasih sayang sesama
insan. Yang baik akan didampingi, disayangi, dan dikasihi. Yang baik akan
disanjungi dan dihormati. Yang baik akan dikunjungi dan didekati. Kita mungkin
menang jika menabur harta dan kasih sayang tetapi semua itu akan hilang dengan
sekelip mata setelah kita tidak memiliki apa-apa lagi yang mereka inginkan.
Oleh itu, hindari sifat tamak haloba yang selalu beraja di hati waras kita.
Setiap kali mahu melakukan sesuatu kita mesti memikirkan impaknya kepada diri
kita kini dan selamanya. Hati yang telah mati akibat didustai, dikhianati, dan
diracuni tidak akan hidup kembali kerana sakit yang dideritai tiada penawarnya.
Ingatlah, hidup di dunia ini ibarat pusingan roda, ada ketikanya kita di atas,
ada ketikanya kita di bawah. Kita boleh kehilangan pangkat dan harta tetapi
jangan sesekali hilang kasih sayang kerana tanpa kasih sayang daripada orang
sekeliling kita merupakan orang yang paling hina di dunia ini.
Berkawan jangan memilih rupa dan harta
Ada ketikanya, yang tiada rupa dan harta
itulah yang kita cari kerana mereka ada
apa yang kita tiada. Lapar macam mana
sekalipun, jangan sesekali makan kawan
kerana kawan bukan hidangan
yang lazat untuk dinikmati.
Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak