Oleh
Zulkifli Jali
Ketua Biro Utusan Malaysia Putrajaya
(2008-2011)
Pusat pentadbiran persekutuan yang diasaskan pada 1995 ini. Kita bernasib baik sebenarnya kerana memiliki Putrajaya. Tanpa Putrajaya, Malaysia pasti belum sampai kemuncaknya seperti hari ini. Bayangkan kalau arkitek Putrajaya, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengiakan tohmahan pembangkang bahawa projek membina Putrajaya suatu pembaziran. Katakan, Dr. Mahathir membatalkan rancangannya, kita boleh jangkakan kesudahannya. Jika belanja untuk menyiapkan Putrajaya menelan AS$8.1 bilion pada sekitar 1995, kosnya pasti meningkat mendadak beberapa kali ganda setelah krisis ekonomi 1997/98. Dan tentunya berpuluh-puluh bilion jika dibina waktu ini. Nasib baiklah projek bandar metropolis seluas 37,000 ekar iaitu 3/4 dari bandar Manhattan, New York itu diteruskan. Putrajaya berada dalam segmen kolum ini kerana ia cukup signifikan dalam kancah politik tanah air saat ini. ‘Bandar dalam taman’ ini ibarat satelit politik Malaysia dan cukup diidamkan oleh semua parti politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 (PRU13) yang kian hampir ini. Putrajaya adalah bandar pintar dan merupakan lambang kemegahan pusat pentadbiran negara yang dikagumi negara lain di dunia.
Idea menjadikan Putrajaya satu kenyataan turut menjadi ikutan tetangga kita, Indonesia yang mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah kepadatan penduduk, kesesakan jalan raya dan banjir teruk di Jakarta. Iaitu dengan memindahkan ibu negara Jakarta ini ke lokasi lain. Apatah lagi Jakarta, tidak mempunyai sistem kereta api bawah tanah, mengalami kerugian kira-kira AS$1.4 bilion (RM4.3 bilion) dari segi masa dan bahan api. Selain Malaysia yang memindahkan pusat pentadbirannya, beberapa negara turut memindahkan ibu negara mereka ke tempat lain seperti Brazil, Pakistan dan Myanmar atas pelbagai sebab sama ada faktor politik hingga ekonomi. Tentunya rakyat Malaysia tidak lupa bagaimana semasa pembinaan Putrajaya, ia dikecam hebati pembangkang sebagai satu projek pembaziran wang rakyat. Pas menerusi seorang presidennya pada era 90-an pernah menyuarakan akan melelong Putrajaya sekiranya parti pembangkang dapat menguasai tampuk pemerintahan negara. Tetapi kini, setelah 12 tahun berlalu, penggantinya menjadikan Putrajaya sebagai matlamat dan sasaran.
Tidak ada lagi ungkapan agar Putrajaya yang dianggap satu projek membazir wang rakyat mahu dilelongkan. Penasihat PKR, Anwar Ibrahim juga tidak terkecuali kerana menganggap Dr. Mahathir membina Putrajaya untuk kepentingan bekas mentornya itu. Ternyata semua itu tidak benar kerana sesudah Putrajaya siap, Dr. Mahathir mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri. Berbanding 40 buah keluarga yang berpindah ke Putrajaya pada 1999, kini bancian 2010 menunjukkan populasi Putrajaya adalah seramai 70,000 orang. Kakitangan kerajaan sahaja dianggarkan sekitar 54,000 orang. Populasi pada waktu siang pula dianggarkan dalam lingkungan 150,000 orang. Dan sehingga Jun lepas, jumlah pengundi di situ adalah kira-kira 10,000 orang tidak termasuk hampir 9,000 belum berdaftar. Dari segi pembangunan, sehingga April tahun ini sahaja lebih 2.4 juta meter persegi (mp) ruang lantai pejabat kerajaan telah disiapkan untuk menempatkan 21 Kementerian dan lebih 40 jabatan kerajaan. Keseluruhan perpindahan kementerian ke Putrajaya dijangka pada hujung bulan ini dan memasuki Januari nanti. Sejumlah 26,000 unit kediaman juga dibangunkan dengan kebanyakannya kuarters kerajaan.
Selain itu, pembangunan ruang lantai komersial yang dibina berjumlah 440,000 mp telah disiapkan dan seterusnya pada tahun-tahun akan datang bakal menyaksikan pembangunan aktif di sektor ini. Kepesatan dijangka berterusan untuk tempoh lima tahun akan datang dengan pembangunan pejabat-pejabat swasta. Peralihan kepada pembangunan sektor swasta ini menandakan pembangunan komponen kerajaan di Putrajaya telah hampir ke penghujungnya, kecuali baki unit kediaman dan kemudahan sokongan lain (sekolah, pusat kejiranan dan lain-lain). Putrajaya juga sentiasa bersemangat dengan projek-projek masa depannya. Perbadanan Putrajaya (PPj) yang diketuai Tan Sri Samsudin Osman dalam peringkat penyediaan tempat letak kereta bertingkat sejumlah hampir 1,000 petak di Presint 4 yang menempatkan empat kementerian baru yang mula beroperasi pada tahun ini. Pembangunan bermula pada suku keempat tahun ini. Projek yang sedang dikaji di bawah NKEA Vitalizing Putrajaya bagi memeriahkan Persiaran Perdana dan Pesisir Tasik Putrajaya termasuklah penyediaan kiosk, menambah penganjuran aktiviti bertaraf antarabangsa, penyediaan water taxi, menambahbaik pencahayaan di pesisir tasik dan beberapa aktiviti lain.
Putrajaya Holdings Sdn. Bhd pula akan membangunkan lebih banyak kawasan komersial termasuk di Pesisir Tasik yang terletak bertentangan dengan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, juga sedang berusaha untuk menarik salah sebuah Universiti bertaraf dunia ke Putrajaya. Pada masa sama, membangunkan lebih banyak kediaman dari pelbagai jenis dan pilihan kepada pengguna termasuklah kediaman PR1MA yang baru-baru ini dilancarkan oleh Perdana Menteri. Dan sehingga kini, sebanyak 49 lot daripada jumlah keseluruhan 61 lot kedutaan di Presint Diplomatik Putrajaya, Presint 15 telah dibeli. Setakat ini juga PPj masih giat meneruskan usaha memasarkan dan menjual semua baki lot-lot kedutaan yang masih ada di Kawasan Diplomatik Putrajaya iaitu 12 lot di Presint 15 dan 4 lot di Presint 4. Selain orang tempatan, ramai pemimpin dan warga asing datang mengunjungi Putrajaya. Kebanyakan mereka memuji dan mengakui kecantikan dan keunikan bandar ini. Jika negara seperti Korea dan Jepun terpegun dengan keindahannya, maka ia adalah satu pengiktirafan Putrajaya sebagai model perancangan bandar yang boleh diketengahkan. Melangkaui 2015 nanti, Putrajaya diyakini tertera sebagai sebuah bandar mampan dari segi sosial, ekonomi dan alam persekitarannya. Ini termasuk merealisasikan nya sebagai perintis Bandar Hijau menjelang 2025. Syabas Putrajaya. Teruskan komitmen sebagai contoh bandar terancang yang bukan sahaja domestik malah seluruh dunia.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 DISEMBER 2011