JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



19 Mei 2023

Kisah Pelajar Universiti Dari Keluarga B40 Terpaksa Catu Makanan Tetapi Dicuri Pula Oleh Rakan Serumah

 


Saya membaca sebuah artikel dalam akhbar Berita Harian yang memaparkan kisah seorang pelajar yang datang daripada keluarga B40. Kisahnya terlalu dekat dengan diri saya. Oleh sebab terlalu menghayati kisah pelajar itu yang terpaksa mencatu makanan selain bergantung penuh pada wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) bagi menampung yuran pengajian dan kos lain seperti sewa rumah menyebabkan air mata saya menitis. Cerita anak orang miskin yang mengikat perut dan merantai nafsu di universiti telah berlaku sejak dahulu lagi. Saya sendiri datang daripada keluarga yang saya klasifikasikan “KELUARGA B80” semasa belajar dahulu pernah merasai seksanya hidup di universiti demi mendapatkan segulung ijazah untuk mendapatkan pekerjaan dan membahagiakan keluarga. Apabila membaca cerita pelajar ini yang duduk di rumah sewa dan stok makanannya ada kalanya dicuri rakan serumah saya amat bersimpati dan memahami.

Saya doakan agar pelajar-pelajar daripada golongan B40 ini terus cekal dan tabah belajar. Jangan berhenti. Teguhkan hati untuk terus menamatkan pengajian. Saya dan rakan-rakan dahulu hanya makan mi maggi setiap hari untuk mengalas perut. Bezanya dahulu dan sekarang hanyalah nilai wang. Jika dahulu harga sebungkus mi maggie (dalam ada lima) hanyalah RM2.50 sahaja, sekarang harganya meningkat ke RM4.00 ke atas mengikut jenis. Kami hanya masak mi maggi dalam baldi kecil dengan air sejuk dan makan berkongsi. Allah memberkati hidup kami, walaupun makan sebegitu kami tetap sihat dan aktif untuk hadir kuliah sehingga menamatkan pengajian. Kini, walaupun kami bukanlah sesiapa, alhamdulillah kami mempunyai pekerjaan dan mampu membahagiakan diri dan keluarga.

Kemiskinan banyak mengajar kita untuk cekal dan tabah mara ke hadapan. Walau bagaimanapun, jangan sesekali jauhkan diri daripada kepercayaan kepada Tuhan. Segala masalah yang datang akan menjadi lebih mudah andai kita selalu bersyukur dan menikmati hidup seadanya. Pelajar yang miskin jika sentiasa melihat cermin untuk refleksi diri, insya-Allah urusannya akan dipermudah. Jangan sesekali bersikap hipokrit dan berbelanja melebihi yang kita ada. Jika kita mengenali diri kita, saya yakin kita dapat merancang perbelanjaan dengan lebih mudah. Pada masa yang sama, kita haruslah pandai menyesuaikan diri supaya mempunyai ramai kawan dan kenalan. Saya yakin, pelajar yang tahu membawa diri mesti akan berjumpa dengan kawan yang berkemampuan dan pemurah. Insya-Allah.

Saya akui, kemiskinan kadang kala menguji kita tanpa batas. Kita didesak untuk membeli keperluan belajar yang bukan sedikit seperti laptop ataupun komputer. Ya Allah, saya amat memahami masalah sebegini. Ketika kita terlalu fokus untuk mencapai kejayaan dan memburu cita-cita, kita diuji dengan masalah keluarga satu persatu. Adik beradik kita pula ramai. Kita rasa amat terhimpit dan mengambil keputusan untuk menamatkan pengajian. Inilah yang selalu berlaku terhadap ribuan pelajar yang datang daripada keluarga B40. Saya selalu berfikir supaya kerajaan melebihkan bayaran PTPTN untuk golongan ini sahaja. Saya amat memahami situasi sebegini kerana saya pernah mengalaminya.

Saya doakan agar semua pelajar yang datang daripada keluarga B40 yang sedang berjuang di kolej dan universiti untuk mendapatkan sijil, diploma, ijazah, ijazah sarjana dan Doktor Falsafah akan berjaya dalam pengajian mereka. Jika boleh, jangan berhenti. Kemiskinan itu memang memeritkan tetapi kemiskinan itu jugalah yang menjadi pembangkit semangat untuk kita terus berjuang hingga mampu mengapai kejayaan. Nikmatnya berjaya bagi golongan seperti kita tidak ternilai harganya dengan intan permata kerana perjuangan kita diperoleh setelah puas berendam air mata dan kemiskinan yang seolah-olah tidak mahu melepaskan kita. Kemiskinan ini menyebabkan kita tersisih tetapi jangan patah hati untuk terus berjuang kerana  sinar pasti ada di penghujung perjalanan orang yang selalu cekal dan sabar.

Tiada ulasan: