Rencana ini ditulis
oleh:
Oleh Ruhaiza Rusmin
Hidup pada zaman
moden ini tidak dapat lari daripada penggunaan teknologi, apatah lagi impaknya
terhadap keperluan semasa, menjadikan ia antara keperluan terpenting dalam
kehidupan. Malangnya, sedang rancak masyarakat disogok dengan keindahannya,
tanpa disedari ia seperti menyemarakkan masalah sosial sedia ada terutama
generasi muda yang sedang belajar. Ada beranggapan ia banyak membantu, namun
ada pula sebaliknya. Persoalannya, mengapa mesti timbul tanggapan itu sedangkan
peranannya sangat besar dalam melestarikan kehidupan golongan itu yang lahir
pada zaman alaf baru ini? Ketua Jabatan Media Sains dan Grafik Management and
Science University, Suhaila Khalid berkata, sikap keterlaluan kerana taksub
dengan kepelbagaian fungsi diperkenalkan menyebabkan mereka hilang pertimbangan
hingga sanggup mengambil risiko luar biasa.
Beliau berkata,
generasi muda terutama yang masih belajar perlu menggunakan kemudahan teknologi
dengan bijak selari dengan kepentingan semasa.“Malangnya keadaan itu tidak
berlaku sebaliknya teknologi dianggap alat yang membinasakan tamadun, akhlak
serta perjalanan kehidupan manusia. Biarpun tanggapan itu kedengaran
keterlaluan, ‘sumbangan’ teknologi dalam pelbagai gejala sosial yang
memusnahkan rantaian normal hari ini seperti membenarkannya. Ini sekali gus
memberi persepsi berbeza kepada mereka yang melihat bagaimana fungsi teknologi
berkenaan digunakan terutama kesannya kepada golongan muda,” katanya.
Perkembangan dunia
teknologi terutama komunikasi dan maklumat (ICT) tanpa sepadan yang cukup
pantas memaksa masyarakat bekerja keras mencari alternatif sesuai mengimbangi
kesan negatif itu. Biarpun ramai menganggap teknologi sebagai pemangkin
terhadap proses modenisasi serta globalisasi, penyalahgunaannya dikhuatiri
mampu memberi impak jangka panjang yang tidak terjangka. Paling membimbangkan,
menukar serta mempengaruhi kehidupan sosial generasi muda yang diselubungi
sikap ingin tahu tanpa memikirkan risiko kepada diri sendiri.
Beliau berkata,
menegah mereka daripada mengikuti perkembangan itu tidak bersesuaian, apatah
lagi mereka lahir sebagai anak moden. “Ada yang berkata, sekat atau halang
mereka (untuk mengikuti perkembangan teknologi). Pendapat saya, itu mustahil
kerana mereka lahir seiring perkembangan teknologi. Bagaimanapun, ini bukan
bermakna kita tidak boleh mengawal keadaan, cuma caranya perlu betul. Biar
apapun tanggapan buruk mengenai teknologi, ia boleh diselarikan dengan tindakan
waras. Kita tidak boleh menyekat atau ‘membunuh’ perkembangan teknologi kerana
mereka tetap mencarinya,” katanya.
Menurutnya, bukan
saja golongan terbabit suka pada teknologi, malah golongan dewasa juga ada yang
tersungkur. “Cuma impak negatif lebih ketara pada golongan itu hingga
menimbulkan kebimbangan masyarakat, apatah lagi jika mereka masih ada
tanggungjawab kepada pelajaran. Pengaruh luar biasa teknologi ini hingga mampu
menukar watak serta diri seseorang antara sebab ramai pihak tidak senang jika
golongan ini taksub pada kecanggihan teknologi kini,” katanya.
Generasi muda juga
katanya, perlu mengambil sikap terbuka terhadap luahan kebimbangan masyarakat
dan jangan menganggapnya sebagai kongkongan. “Apabila masyarakat bersuara,
mereka perlu menerima pandangan secara terbuka, bukannya ia menjaga tepi kain
orang lain. Mereka perlu tahu membezakan antara suka dan tidak suka. Malangnya,
ramai beranggapan mereka sudah dewasa, tahu segalanya, tetapi akhirnya terjebak
hingga meranapkan masa depan," katanya juga berpendapat konsep pendidikan
bermaklumat perlu sentiasa diadakan bagi mewujudkan kesedaran. Bercakap dengan
generasi muda hari ini bukan boleh dilakukan secara sembarangan, tapi perlu ada
bukti kukuh supaya mereka faham. Berikan mereka pendidikan bermaklumat secara
formal dan tidak formal supaya tahu tindakan diambil. Saya percaya apa jua
jenis teknologi diperkenalkan, jika kena gayanya memang membawa kebaikan.
Kemusnahan hanya disebabkan kesalahan mereka yang menyalahgunakannya,” katanya.
Mahasiswa ijazah
sarjana muda Visual Communication and Design, MSU, Wan Ahmad Faris Wan Abd
Hamid, 20, mengakui kehidupan generasi muda memang tidak boleh dipisahkan
dengan penggunaan teknologi dan menganggapnya sebagai satu keperluan asas. “Golongan
muda memang taksub dengan teknologi, namun menyalahkannya sebagai punca
perubahan ke arah kejahatan tidak wajar. Mungkin segelintir menggunakan medium
itu untuk tujuan tidak sihat, namun sebahagian besar kami tahu memanfaatkannya.
Saya akur, cabaran kami sebagai generasi muda sangat besar untuk menangkis
pengaruh negatif sebab itu bimbingan masyarakat perlu,” katanya.
Bagaimanapun, dia
berharap masyarakat tahu bagaimana mahu memberi bimbingan menggunakan
pendekatan lebih mesra. "Selalunya masyarakat hanya tahu menyalahkan atau
nampak yang buruk saja, malah pendekatan dibuat kadang kala tidak sesuai. Golongan
muda seperti kami memerlukan bimbingan bukan ditempelak,” katanya. Rakannya,
Habibah Mat Yaakob, 20, berkata sebagai generasi muda mereka melihat keperluan
teknologi sebagai satu persaingan hidup “Dengan kata lain, siapa tidak tahu
atau mengikuti (perkembangan teknologi) dianggap ketinggalan zaman. Apatah lagi
sebagai pelajar, penggunaan teknologi membantu memudahkan urusan pembelajaran. Pendapat saya, terpulang kepada individu
bagaimana mahu mencorakkan kepentingan teknologi ini. Jika baik mendapat
manfaat, jika tidak sebaliknya,” katanya.
Sumber :
Harian Metro
3 September 2012