26 Jun 2021


 

CATATAN CIKGU ZUL: TINGKATAN ENAM, PILIHAN BIJAK UNTUK LEPASAN SPM MELANJUTKAN PELAJARAN


Tingkatan Enam merupakan suatu jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kebanyakan pelajar memilih untuk meneruskan pengajian di Tingkatan Enam walaupun terdapat pelbagai saluran yang lain. Walau bagaimanapun, Tingkatan Enam selalu dianggap sebagai pilihan terakhir oleh segelintir pelajar dan ibu bapa yang kurang penelitian dan pemahaman. Tanggapan itu seolah-olah berasas memandangkan pelajar-pelajar Tingkatan Enam masih satu pintu dan berkongsi bangunan serta kemudahan dengan pelajar-pelajaran aliran perdana. Mereka masih meneruskan pengajian di Tingkatan Enam Mod 2 dan Mod 3 masih ditadbir oleh Pengetua yang sama. Perbezaan antara pelajar Tingkatan Enam dengan pelajar aliran perdana hanyalah pada pakaian, pelajar Tingkatan Enam tidak perlu lagi memakai pakaian seragam sekolah. Namun begitu, saya ingin mengarahkan pemikiran dan persepsi kita untuk melihat aspek positif jika pelajar memilih untuk melanjutkan pengajian di Tingkatan Enam.

1. STPM Modular Senang Lulus Cemerlang

 

Ibu bapa dan pelajar selalu beranggapan bahawa risiko gagal dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah tinggi kerana sukar untuk lulus. Pembelajaran di Tingkatan Enam adalah susah dan mereka hanya membuang masa sahaja jika meneruskan pengajian di Tingkatan Enam kerana di penghujungnya tidak seindah yang diharapkan.  Sebenarnya, sejak STPM Modular diperkenalkan pada tahun 2012 bagi kohot 2013, pengajian di Tingkatan Enam sudah berubah. Tingkatan enam dibahagikan kepada tiga semester dan tempoh pengajian di Tingkatan Enam hanyalah 1 tahun setengah sahaja. Setiap semester pelajar akan menduduki peperiksaan Semester 1, Semester 2, dan Semester 3.  Pelajar boleh mengulang subjek-subjek yang keputusannya kurang memberangsangkan dalam Semester 1 dan Semester 2. Keputusan keseluruhan akan diumumkan beberapa minggu selepas keputusan Semester 3 diketahui oleh calon. Semester 3 tiada ulangan. Keputusan keseluruhan ditentukan dengan mengambil gred terkumpul yang paling baik daripada 3 semester. Cara ini adalah sama dengan cara yang digunakan di universiti. Jadi, jika kita lihat daripada aspek ini, tidaklah susah meneruskan pengajian di Tingkatan Enam. Pelajar yang tahu, mereka pasti akan memilih Tingkatan Enam kerana mudah untuk memperoleh CGPA melebihi 3.50 ke atas. Pelajar memang boleh mendapatkan pointer tersebut kerana markah Kerja Kursus juga turut diambil kira dalam menentukan keputusan keseluruhan. Dengan keputusan itu, mereka boleh memohon kursus-kursus yang sesuai di universiti tempatan bagi menyambung pengajian.

 

2. Kos Pengajian di Tingkatan Enam Lebih Murah

 

Pelajar tingkatan enam tidak perlu menggunakan kos yang banyak bagi mendapatkan sijil STPM yang setaraf dengan diploma. Mereka hanya perlu membeli buku rujukan dan alat tulis untuk belajar dan membayar yuran asas seperti yuran PIBG, pembangunan, majalah sekolah dan sebagainya yang tidak melebihi RM200.00. Jadi, mereka tidak perlu meminjam dengan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) malahan ramai pelajar memperoleh Biasiswa sepanjang pengajian di Tingkatan Enam. Walaupun nilai biasiswa itu tidak banyak tetapi mencukupi untuk meneruskan pengajian di Tingkatan Enam. Jika mereka melanjutkan pengajian di institusi lain terutama swasta kos pengajian mungkin akan meningkat berpuluh-puluh kali ganda untuk memperoleh sijil yang sama taraf dengan Sijil STPM. Pelajar yang berkemampuan, kewangan bukan masalah namun bagi mereka yang berasal daripada keluarga yang kurang mampu, beban kewangan mungkin akan memeningkan kepala. Jika diberikan bantuan oleh PTPTN, mereka sudah berhutang sekurang-kurangnya RM10,000 hanya untuk mendapatkan sijil setaraf STPM. Hutang itu mesti dibayar apabila mereka sudah bekerja nanti. Pelajar Tingkatan Enam terlepas daripada semua beban ini.

 

3. Sijil STPM Setaraf A-Level Cambridge

 

Sijil STPM mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang membolehkan pelajar-pelajar bekerja dalam perkhidmatan awam. Dengan sijil STPM juga, pelajat-pelajar boleh menyambung pengajian peringkat ijazah baik di institusi awam mahupun swasta malahan berdasarkan Cambridge Assessment UK, mereka boleh menyambung pengajian di IPT luar negara baik sama ada di negara Komenwell dan bukan Komenwell. Saya sendiri merupakan lulusan STPM tahun 1990-an. Berdasarkan pengalaman saya, laluan kerjaya dan menyambung pengajian amatlah mudah jika kita memperoleh keputusan yang bertaraf kepujian dan cemerlang (Gred C hingga A+ dalam subjek yang diambil) di peringkat STPM. Tanggapan susah belajar di Tingkatan Enam mesti dihapus. Semua peringkat pembelajaran adalah sudah. Yang penting kita mesti berusaha bak kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika kita hanya berbulan madu semasa belajar jangan mengimpikan kejayaan kerana yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Insiatif kendiri amat penting untuk mencapai kejayaan dalam hidup.

 

4. Guru Tingkatan Enam sangat Komited

 

Pelajar tingkatan enam tidak perlu terkejar-kejar mencari guru kerana guru-guru mereka sentiasa bersama mereka. Proses pengajaran dan pembelajaran berlaku setiap hari mengikut jadual. Guru akan menyampaikan pelajaran, membimbing mereka menyiapkan kerja kursus, memberikan motivasi dan dorongan dan melakukan banyak lagi usaha untuk memastikan mereka lulus dengan cemerlang dalam STPM. Mereka sentiasa ada ruang dan peluang untuk bertanya tentang perkara-perkara yang tidak difahami baik di dalam kelas mahupun di luar kelas. Guru-guru tingkatan enam sentiasa berkolaboratif menggunakan saluran media sosial bagi berkongsi pengalaman, bahan pengajaran, dan kepakaran demi anak-anak didik mereka. Dengan ini, pelajar sentiasa mendapat input-input berguna untuk melakukan persediaan bagi menduduki peperiksaan STPM di penghujung Semester 1, 2, dan 3. Insya-Allah, jika mereka berdedikasi dan tekun dalam pengajian, mereka tidak akan gagal. Pengalaman saya mengajar Tingkatan Enam, hubungan dengan pelajar amat rapat ibarat ayah dengan anak kerana mereka sudah matang dan boleh berkomunikasi dengan baik. Saya sanggup menghabiskan masa untuk memberikan kelas tambahan dan melayan soal jawab bersama pelajar di WhatsApp dan Telegram agar mereka menguasai isi pelajaran yang diajar.

 

5. Masuk Universiti dengan Lebih Mudah

 

Pengalaman saya sendiri apabila meneliti kursus-kursus yang pelajar-pelajar saya dapat selepas keputusan STPM diumumkan membuktikan pelajar tingkatan enam yang mempunyai pointer melebihi 3.50 amat mudah mendapat tempat di universiti tempatan dengan ditawarkan kursus-kursus yang mempunyai peluang pekerjaan. Pelajar Tingkatan Enam hanya perlu mengambil 4 subjek sahaja ikut pakej yang ditawarkan di sekolah tempat mereka belajar dan MUET. Dengan subjek itu mereka boleh memohon pelbagai kursus yang relevan apatah lagi kalau mereka mendapat 4A, pilihan kursus amatlah banyak. Contohnya, ada pelajar saya yang mendapat 4A dalam Pengajian Am, Bahasa Melayu, Ekonomi, dan Geografi ditawarkan tempat mengikut kursus undang-undang di Universiti Malaysia. Majoriti pelajar saya memilih laluan untuk mengikuti kursus-kursus dalam bidang pendidikan, mereka kebanyakannya berjaya mendapat tempat di UPSI. Kebanyakan pelajar lepasan STPM yang memperoleh sijil STPM mempunyai pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan mereka bagi yang tidak menyambung pengajian ke IPTA atau IPTS. Walau bagaimanapun, lulusan martrikulasi, diploma, dan kemahiran juga ada peluang yang sama jika mereka memperoleh keputusan yang baik dalam pengajian masing-masing. Peluang akan tertutup kalau kita malas belajar biarpun hakikat kejayaan dalam hidup itu tidak dapat diukur dengan keputusan peperiksaan, perkara ini hanya relevan hanya untuk orang tertentu sahaja. Hakikatnya, 70% kelansungan hidup yang sukses masih ditentukan oleh taraf pendidikan individu.


Konklusinya, arah tuju kita selepas SPM perlu ditentukan dengan berhati-hati. Saya ingin mengingatkan pelajar-pelajar supaya melangkahlah dengan bijak ke hadapan. Anda telah memperoleh keputusan yang cemerlang, amatlah sayang kalau tersalah pilih jalan. Peribahasa Melayu yang berbunyi, “ukur baju di badan sendiri’ wajar dijadikan indikator sebelum kita melangkah. Jika ibu bapa kita kurang berkemampuan, tangguhkanlah niat untuk ikut kawan melanjutkan pengajian di instituti yang memerlukan biaya yang tinggi. Memanglah kita rasa percuma sebab ada pinjaman PTPTN tetapi fikirkan pula hutang itu perlu dibayar juga nanti. Jadi, tiada salah memilih untuk meneruskan pengajian di Tingkatan Enam, fokus betul-betul, insya-Allah anda mampu mencapai keputusan yang cemerlang dalam STPM dan mudah mendapat tempat di universiti tempatan. Percayalah, tindakan anda memilih untuk meneruskan pengajian di Tingkatan Enam adalah bijak. Jangan terpengaruh dengan kata-kata orang sekeliling. Masa depan kita, kebijaksanaan kitalah yang mencorakkannya.

 

Pandangan Peribadi

Cikgu Zulkarnain Farihin

Anak Sarawak


CATATAN CIKGU ZUL: KELAS PdPR, SIAPAKAH SEBENARNYA YANG RISAU, KECEWA DAN TERLUKA?


Sejak virus Covid-19 melanda dunia, kelas PdPR menjadi suatu istilah yang amat popular bukan sahaja dalam kalangan pendidik malahan dalam kalangan masyarakat. Jika ditelusuri, pelaksanaan kelas PdPR sudah menjangkau usia lebih daripada setahun sejak Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 dijalankan mulai 17 Mac 2020. Sejak itu, negara kita terus bergelut dengan jangkitan Virus Covid-19 yang semakin lama semakin meningkat sehingga persekolahan bersemuka sentiasa ditangguhkan kerana mengambil kira keselamatan nyawa para pelajar dan guru-guru. Sudah terang lagi bersuluh, jika sekolah dibenarkan menjalankan PdP secara bersemuka, alamat semakin bermaharajalelalah Covid-19 membaham mangsanya. Musuh yang tidak dilihat ini menyerang tidak mengenal mangsa. Ekoran itu, kelas PdPR terpaksa dilangsungkan dengan beberapa penambahbaikan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pelaksanaan PdPR ini memerlukan komitmen yang tinggi daripada ibu bapa atau penjaga, pelajar-pelajar dan guru-guru. Saya masih ingat, pada mula-mula PdPR ini dilaksanakan keadaan agak kelam kabut dengan pelbagai masalah namun semakin lama semakin baik apabila golongan pendidik dan ibu bapa serta pelajar sendiri mulai memahami konsep dan cara pelaksanaannya. Namun begitu, kita masih mendengar keluhan daripada ibu bapa tentang cara pengendalian kelas PdPR oleh guru. Keluhan-keluhan itu disampaikan di ruang media sosial baik secara berkias mahupun secara marah-marah kerana tertekan dengan norma baharu ini. Kita faham, selama ini ramai ibu bapa yang menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik anak kepada guru-guru di sekolah. Apabila berlangsungnya PdPR mereka rasa kekok dan terganggu dengan perangai dan jadual waktu PdPR anak-anak mereka. Pada masa yang sama mereka mulai terbeban dengan tuntutan untuk menyediakan peranti dan biaya Internet bagi membolehkan anak-anak mereka menjalani kelas PdPR dengan selesa.

Warga guru merupakan kelompok yang paling terkesan dengan pelaksanaan PdPR. Mereka bukan sahaja terbeban dengan tugas mengajar malahan mereka terpaksa melayan arahan daripada pihak atasan untuk menyediakan laporan dan mengikuti kursus, taklimat, dan mesyuarat atas talian. Pihak atasan pula bagaikan tidak memahami keadaan guru-guru semasa waktu pejabat. Ada ketikanya, guru terpaksa menjalankan tugas tiga dalam satu, iaitu mengajar, mendengar taklimat, dan menyediakan laporan yang diminta oleh pihak atasan baik PPD, JPN, mahupun KPM serta Ketua Jabatan sendiri. Tekanan golongan guru ini bermula pada awal jam 7:00 pagi. Apabila kelas bermula pada pukul 7:00 pagi, pelajar pula masih tidur. Kelas sunyi dan sepi. Jumlah pelajar seramai 30 orang, yang hadir  shanyalah seorang atau tidak ada langsung. Walau bagaimanapun, guru tersebut akan menunggu dan terus menunggu kerana sepanjang tempoh itu dia tidak boleh pergi ke mana-mana.

Alangkah kecewa dan hampanya Si Guru yang menyediakan bahan-bahan pembelajaran hingga lewat malam apabila pelajar-pelajarnya tidak ambil peduli. Apabila ditanya, mereka memberikan pelbagai alasan, ibu bapa belum beli kouta Internet, tiada laptop atau komputer, dan sebagainya wahal sejak awal pagi mereka sentiasa update status di Facebook dan Tik Tok. Para guru letih memikirkan pelbagai kaedah untuk membantu pelajar terutamanya mereka yang mengajar kelas peperiksaan yakni pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM. Dalam Kumpulan Media Sosial WhatsApp dan Telegram Guru, ramai yang meluahkan kekecewaan hingga terpaksa ditenangkan oleh rakan-rakan yang lain. Keluhan dan kekecewaan warga guru ini hanya mereka yang tahu dan merasai. Mereka tidak akan berkongsi dengan masyarakat kerana masyarakat yang bergelar netizen tidak akan memahami, silap-silap keluhan itu akan menjadi senjata untuk mereka memaki, menghina, mencaci, dan mengeji guru dan kerjaya perguruan.

Kita masih belum dapat mengenal pasti tarikh tamat pelaksanaan kelas PdPR ini. Jika kelas bersemuka dilaksanakan pun ramai ibu bapa yang berkeras tidak mahu menghantar anak ke sekolah kerana risau akan keselamatan anak mereka. Jika PdPR terus dilaksanakan guru akan terus dijadikan tempat untuk melepaskan geram dan kemarahan. Semua cara yang guru lakukan untuk melaksanakan PdPR adalah salah pada mereka yang tidak mengerti atau sengaja tidak mengerti. Selagi kelas PdPR terus terlaksana semua pihak perlu bersikap positif dan elakkan daripada terlalu sensitif sehingga semuanya menjadi sulit. Kita mesti matang berhadapan dengan situasi ini. Golongan guru bukannya supermen atau superwomen yang boleh memuaskan hati semua ibu bapa pelajar-pelajar mereka. Seorang guru yang mengajar 3 hingga 4 kelas terpaksa menjaga jumlah pelajar lebih daripada 100 orang. Ada guru yang mengabaikan anak sendiri kerana lebih mementingkan kerja dan amanah kepada negara ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Pandangan Peribadi

Cikgu Zulkarnain Farihin

Anak Sarawak


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...