JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



31 Ogos 2011

ISU KENEGARAAN : KITA MESTI MENJAGA SENSTIVITI UNTUK MEMASTIKAN MALAYSIA KEKAL MERDEKA

Oleh NURUL ANUAR KARI


Seperti  sambutan Hari Merdeka 2010 yang pertama dalam ingatan generasi muda bertindih dengan puasa bulan Ramadan, ulang tahun kemerdekaan ke-54 tahun ini bertindih pula dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Namun, merdeka tahun ini juga dibelenggu satu perasaan kurang enak dan hilangnya semangat sebahagian rakyat, bukan kerana letih berpuasa atau sibuk beraya tetapi bosan dengan perkembangan semasa dalam negara. Dari isu politik sejak pilihan raya umum 2008 yang melarat kepada isu perkauman, mencabar Perlembagaan dan Raja-Raja Melayu, perundangan, bahasa kebangsaan dan kini agama turut jadi permainan. Yang paling nyata kurang selesa dan semakin hilang sabar dengan perkembangan tersebut ialah orang Melayu dan bumiputera yang makin banyak diasak kebelakangan ini, bukan sahaja oleh sebilangan bukan Melayu malahan kelompok orang Melayu yang menjadi petualang. Maka, apakah ertinya menyambut kemerdekaan negara tahun ini jika rakyatnya sekali lagi berhadapan dengan kemungkinan 'dijajah' semula selepas bumi mereka dijajah orang asing hampir 450 tahun bermula 1511?

Bermula dengan kejutan politik kepada kerajaan dan pembangkang bermula 2008, kuasa politik bumiputera mula dilihat semakin goyah dan membuka peluang kepada segelintir kecil bukan Melayu mencuba nasib memainkan isu sensitif. Ini termasuk mempersoal kandungan Perlembagaan, kuasa Raja-Raja Melayu, hak istimewa serta kuota pegangan orang Melayu dan bumiputera malahan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.Tuntutan hak asasi manusia pula dijadikan alasan segelintir lagi rakyat untuk menghalalkan segala bentuk amalan sosial yang bertentangan dengan norma dan budaya sementara perundangan sivil dan syariah dicabar melalui pelbagai kes. Ini termasuk kes murtad, tukar jantina, seks luar tabii, perkahwinan sejenis, azan, bacaan al-Quran mahupun mempersoal hukuman terhadap kes melibatkan arak, judi, zina dan khalwat umat Islam oleh pihak tidak berkenaan. Menggunakan 'lubang-lubang' sistem perundangan sedia ada, ramai pihak beragenda yang memainkan isu sensitif itu terlepas dengan sekadar alasan 'maaf dan tidak disengajakan' seterusnya mengundang kemarahan rakyat yang menuntut lebih ketegasan.

Walaupun pergolakan dalam pelbagai isu itu, sebenarnya melibatkan sekumpulan kecil manusia, sama ada Melayu mahupun bukan Melayu tetapi bahang dan tempiasnya tetap terpalit kepada semua. Permainan bahaya kumpulan manusia itu mengundang perpecahan antara kaum dan di kalangan bumiputera sendiri yang akhirnya akan menggugat kedaulatan negara dan mengancam keselamatan rakyat. Pihak-pihak berkepentingan yang cuba mengangkat agenda kaum, agama atau ideologi politik peribadi masing-masing seolah lupa sejarah penubuhan kerangka negara ini dan sengaja mengabaikan hakikat rakyat cuma mahukan keamanan, keharmonian dan perpaduan, bukannya permainan isu sensitif demi menarik undi. Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Teo Kok Seong melihat perkembangan semasa sememangnya tidak sihat memandangkan terlalu banyak 'politiking' antara pemerintah dan pembangkang. "Politiking yang keterlaluan boleh menjejaskan hubungan antara kaum, agama dan perpecahan intra etnik (Melayu).

"Dalam berpolitik mengejar kuasa, janganlah kita ganggu gugat apa yang telah susah payah dibina selama ini dan harus membezakan institusi kenegaraan agar boleh mengelak ia dipermainkan," tegasnya. Beliau berpegang kepada pendapat bahawa majoriti rakyat hanya mahukan keharmonian, perpaduan serta keamanan sosial dan tidak mahu mengikut rentak segelintir kecil yang memainkan isu sensitif termasuk mempertikaikan kandungan Perlembagaan negara demi agenda peribadi. "Fikirlah demi kesejahteraan negara dan semua pihak dalam bertindak kerana jika berterusan begini, hanya akan merugikan kedua belah pihak, yang kalah jadi abu yang menang jadi arang," katanya. Untuk itu, beliau berharap pihak berkuasa lebih bertegas terhadap pihak yang menimbulkan isu sensitif dan perkara yang tidak sepatutnya mereka bertolak ansur. "Tindakan polis mencegah perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) baru-baru ini bagus kerana pihak berkuasa perlu mempunyai ketegasan sedemikian walaupun tidak mahu kelihatan terlalu kasar dalam keadaan mahu meraih undi.

"Kini isu sensitif perkahwinan paderi gay pula timbul dan pihak berkuasa perlu tonjolkan ketegasan negara menolak amalan yang bertentangan dengan budaya kita itu melalui sistem perundangan sedia ada," ujarnya. Bagi Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak, perkara sensitif tidak sepatutnya dibincangkan secara terbuka bagi mengelakkan pihak lain terguris dan bertindak balas berdasarkan emosi. "Isu sensitif termasuk pertikaian terjemahan kandungan Perlembagaan dan pelaksanaan dasar-dasar negara sebenarnya boleh dibahaskan di Parlimen. "Parlimen merupakan platform yang memberi ruang wakil rakyat berbahas mengenai semua perkara berbangkit secara rasional tetapi mengikut tahap sensitiviti tertentu," jelasnya. Menurut beliau, sesuatu isu tidak boleh dibincang secara terbuka kecuali diyakini boleh diterima baik semua rakyat secara rasional demi mengelakkan mereka yang tidak memahami isu tersebut turut mendebatkannya secara beremosi. 


"Kita kena ingat, ada sesetengah isu masih sensitif di negara ini dan demi mengelakkan ketegangan, lebih baik isu sensitif dibincangkan melalui platform perbahasan tertutup yang diwakili semua pihak berkaitan. "Wakil-wakil boleh membahaskan isu tersebut secara rasional dan intelektual seterusnya menambahbaik apa yang boleh selepas mendapat persetujuan bersama, tanpa mengganggu sentimen pihak tertentu dan menyelamatkan negara daripada perpecahan," katanya. Sempena ulang tahun kemerdekaan negara tahun ini, Mohamed Mustafa turut menegaskan pentingnya penyatuan semua rakyat dan pemimpin tanpa mengira ideologi dan politik kepartian. "Sejarah adalah sejarah dan perlu diterima semua pihak kerana ia tidak boleh diubah atau dinafikan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat dan ideologi antara kita, sambutan merdeka tidak sepatutnya dicampur aduk dengan perkara lain. "Oleh itu, semua pihak perlu bersatu dan turut serta menyambutnya kerana perihal negara sebegini perlu diutamakan dengan mengambil kira perspektif lebih luas melangkaui politik kepartian," tegasnya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 OGOS 2011

ISU BAHASA : JIWA MERDEKA DENGAN BAHASA MELAYU

Oleh ARIF ATAN


Kita lazim mendengar keluh-kesah kononnya kemerdekaan tanah air sudah tidak membekas dalam kalangan generasi hari ini. Benarkah mereka bersikap sedemikian tanpa disedari bahawa langkah atau tindakan kita selama inilah punca lunturnya nilai patriotisme mereka? Pendek kata, di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Begitulah juga erti kemerdekaan bagi golongan remaja yang merupakan cerminan daripada sikap golongan dewasa terhadap makna kemerdekaan itu sendiri. Akibat sebahagian golongan dewasa yang menjadi pimpinan badan-badan penting di negara ini tidak patriotik melalui dasar atau tindakan yang diambil maka tidak hairanlah majoriti generasi muda menjadi 'buta' nilai kemerdekaan apatah lagi perjuangan. Lihatlah dalam kebanyakan keputusan atau dasar yang dilakukan. Kerap kali kepentingan nasional tidak didahulukan. Paling ketara adalah soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bermaruah di Malaysia. Semua orang tahu di mana letak duduk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara yang telah 54 tahun merdeka ini tidak ubah bagai Quran buruk. Dibuang tidak boleh, digunakan segan pula.  Semuanya menjadi serba-salah bagi mereka yang belum benar- benar merdeka jiwanya.

Bahasa Melayu telah diupayakan sejak kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak namun selepas 30 tahun tiba-tiba bahasa Melayu yang telah berjasa melahirkan golongan profesional daripada pelbagai kaum bahasa Melayu dilihat kolot lantaran kononnya tidak mampu bersaing di pentas global. Tambah memburukkan keadaan apabila ada pertubuhan bukan kerajaan yang sering mendesak supaya bahasa Inggeris diberi keutamaan. Desakan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) misalnya supaya bahasa Inggeris dikembalikan untuk pengajaran Sains dan Matematik di sekolah amatlah keterlaluan. Hal ini kerana kerajaan telah pun berjanji untuk memansuhkan dasar itu menjelang tahun 2012 sebagai reaksi terhadap permintaan Gerakan Mansuhkan PPSMI yang berarak pada 7 Mac 2009 lalu. Jadi, bagaimana penghargaan generasi muda terhadap erti kemerdekaan tidak subur jika apa yang dilihat dan didengarnya adalah suara-suara yang galak mahu kembali ke dasar yang menyanjung bahasa milik bangsa lain sebaliknya bahasa sendiri didakwa 'hodoh' dan ketinggalan zaman? Rentetan daripada sanjungan minda terjajah kepada bahasa Inggeris seterusnya mempengaruhi pertimbangan dalam sesuatu keputusan apabila kerap kali faktor orang asing serta pengiktirafan dari luar didahulukan melampaui agenda kepentingan nasional dan rakyat sendiri.

Tindakan Naib Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon misalnya yang membawa masuk begitu ramai ahli akademik dan pelajar asing khususnya dari negara dunia ketiga bagi memenuhi kriteria penarafan antarabangsa berpunca daripada minda yang masih terjajah. Apakah erti kemerdekaan jika kedudukan anak watan seolah-olah dianaktirikan sebagai ahli akademik dan pelajar di tanah air sendiri semakin terhad? Lebih penting lagi, bagaimana falsafah pendidikan negara serta pembentukan negara bangsa akan terlaksana sepenuhnya jika tanggungjawab mendidik anak bangsa di tanah airnya sendiri diserahkan kepada orang asing? Dalam masa sama, nilai kemerdekaan negara ini juga pasti lebih dihargai oleh generasi muda hari ini andainya para pemimpin kita dapat melontarkan pendapat atau reaksi kepada media massa dalam bahasa kebangsaan. Tindakan sebahagian pemimpin yang lebih selesa berbicara dalam bahasa Inggeris dalam khalayak rakyat sebenarnya secara tidak langsung satu bentuk 'asuhan' kepada generasi hari ini untuk meninggalkan bahasa Melayu. Oleh itu, golongan muda tidak harus terus dijadikan kambing hitam dalam mendakwa mereka tidak patriotik atau gagal menghayati erti kemerdekaan. Jiwa yang merdeka bukan terletak pada sejauhmana kita bersemangat mengibar bendera sebaliknya terletak pada sejauhmana golongan dewasa dan berpengaruh memberi tauladan yang baik dalam soal pembudayaan bahasa kebangsaan kepada generasi muda sebagai ciri utama bangsa yang merdeka.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 OGOS 2011

ISU ALAM SEKITAR : BELAJAR URUS SISA PEPEJAL

Temubual Wartawan Utusan Malaysia, MD. AZRIN ROSLY dengan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA, DATUK ZAINI MD. NOR


Tanggal  1 September 2011 menandakan bermulanya penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang akan membawa suatu transformasi kepada pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negara demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) merupakan agensi ditubuhkan untuk memberikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang efisien, bersepadu di samping memberikan kepuasan yang lebih baik kepada pengguna. Penubuhannya melalui Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pembersihan Awam (Akta 673) dan melalui Akta 672 memberi kuasa eksekutif kepada PPSPPA untuk mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan. Pihak PPSPPA akan berperanan sebagai pihak berwajib yang berkuasa melaksanakan dasar dan strategi dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam secara bersepadu dan efektif serta penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan persekitaran bersih dan sihat.

Bagaimanakah aktiviti pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dilakukan di Malaysia?

ZAINI: Selama ini, PBT di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merupakan badan yang bertanggungjawab menguruskan sisa pepejal. Terdapat 149 pihak berkuasa tempatan di Malaysia dengan pelbagai tahap keupayaan dalam menyediakan perkhidmatan perbandaran kepada orang awam. Daripada peruntukan yang diterima setiap tahun, PBT membelanjakan antara 40 sehingga 70 peratus untuk menguruskan sisa pepejal perbandaran bergantung kepada keluasan kawasannya. Pada 6 September 1995, Kabinet bersetuju menswastakan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kepada syarikat konsesi Alam Flora Sdn. Bhd., Environment Idaman Sdn. Bhd., dan SWM Sdn. Bhd. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penswastaan ini dilakukan dan antara faktor utama adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan membantu PBT. Sebelum penswastaan dilakukan sepenuhnya, proses interim dilaksanakan di zon tengah dan selatan pada 1998 manakala bagi zon utara pula, proses interim dilakukan pada 2009. Pembangunan dan pelaksanaan sistem pengurusan sisa pepejal perlu melibatkan gabungan teknologi yang bersesuaian dan undang-undang tempatan. Akhirnya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam telah diwujudkan dan pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang akan berkuat kuasa pada 1 September 2011. Penguatkuasaan Akta 672 sekali gus akan membawa suatu transformasi kepada pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negara demi menjadikan Malaysia sebuah negara bersih, indah dan sejahtera.

Apakah objektif dan kenapa Perbadanan diwujudkan?

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan secara rasminya pada 1 Jun 2008. Perbadanan diwujudkan melalui Akta 673 bagi mengendalikan sisa pepejal dan pembersihan awam. Apabila kita membicarakan tentang sisa, lazimnya ia berkaitan sampah. Sistem pelupusan sampah perlu mempunyai perancangan strategik di seluruh negara. Pengurusan sampah bukan sekadar melupuskan, bahkan ia perlu melalui sistem integrasi bermula dari aktiviti kutipan, pindahan sehingga ia dilupuskan. Peranan Perbadanan adalah merancang dan melaksanakan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negara ini secara menyeluruh bagi memberikan perkhidmatan yang seimbang dan terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia. Kita lihat sebelum ini, bahawa PBT adalah pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan sisa pepejal dan ini mengakibatkan tahap perkhidmatan yang tidak seragam di seluruh negara. Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan dengan mewujudkan Perbadanan bagi mengawal selia, menguruskan sisa pepejal dari ia dikutip, diangkat sehingga ia dilupuskan dengan tahap perkhidmatan yang lebih seragam dan bersepadu.

Bagaimanakah pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang bakal dilaksanakan oleh Perbadanan?

Sejumlah 24,000 tan sampah dihasilkan sehari di Malaysia dan jumlah ini dijangka akan meningkat kepada 30,000 tan pada 2020. Setiap sampah yang dihasilkan ini perlu diuruskan secara efisien oleh syarikat konsesi di mana pihak konsesi perlu mematuhi setiap petunjuk prestasi utama (KPI) kutipan dan pembersihan awam yang ditetapkan. Kutipan sampah di rumah-rumah pula akan dipastikan mengikut jadual ditetapkan dan mereka perlu menghantar jadual operasi setiap bulan kepada Perbadanan bagi tujuan pemantauan oleh anggota penguatkuasa Perbadanan. Perbadanan menetapkan sejumlah 24 KPI bagi kutipan dan 51 KPI bagi pembersihan awam yang perlu dipatuhi oleh syarikat konsesi iaitu SWM Environment Sdn. Bhd., Alam Flora Sdn. Bhd. dan Environment Idaman Sdn. Bhd.

Bagaimana Perbadanan dapat mendidik masyarakat untuk mengitar semula?

Kita yakin bahawa tahap kesedaran masyarakat terhadap amalan kitar semula adalah agak tinggi, namun amalannya masih lagi rendah. Menurut kajian yang dijalankan oleh Perbadanan, didapati bahawa 80 peratus masyarakat Malaysia sedar akan kepentingan kitar semula, namun hanya 60 peratus yang mengamalkannya. Melalui amalan kitar semula, kita dapat melanjutkan tempoh jangka hayat tapak pelupusan sedia ada di samping memulihara alam sekitar. Sekiranya bahan buangan dapat dikitar semula sebanyak 50 peratus, maka jumlah yang sama juga akan dapat dijimatkan bagi pengurusan di tapak pelupusan. Salah satu tujuan utama Perbadanan diwujudkan adalah meningkatkan amalan kitar semula masyarakat Malaysia. Hasil penemuan kajian mendapati bahawa kebanyakan tong sampah kitar semula yang disediakan diletakkan di kawasan yang agak terpencil dan tidak membantu masyarakat mengamalkan budaya kitar semula. Hari ini kita mendapati bahawa semua sampah yang diangkat tidak diasingkan dan terus dibuang. Setahun selepas akta dilaksanakan, Perbadanan akan melaksanakan kutipan sehari dalam seminggu untuk sampah dan barangan yang boleh dikitar semula di rumah. Bagaimanapun, hanya 30 peratus daripada kawasan PBT akan terlibat dengan pelaksanaan ini. Hasilnya, pengguna akan mengasingkan sendiri sisa di rumah dan amalan kitar semula dan pengasingan sisa dapat dijadikan budaya masyarakat Malaysia.

Bagaimana Perbadanan dapat menyeragamkan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Malaysia?

Akta 672 meletakkan tanggungjawab kepada Perbadanan untuk mengambil alih pengurusan perkhidmatan daripada PBT di Semenanjung Malaysia yang merangkumi kepentingan kira-kira empat juta kediaman kecuali di Selangor, Perak dan Pulau Pinang yang menangguhkan pelaksanaannya buat masa ini. Dari sudut ini, kita mendapati bahawa Kerajaan Persekutuan bertujuan membantu kerajaan negeri dan PBT bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. Sekiranya kita melihat mutu perkhidmatan sedia ada, kita mendapati penggunaan lori sampah agak uzur, berbahaya dan tidak sempurna. Maka dengan penguatkuasaan akta ini pada 1 September 2011, Perbadanan akan memastikan bahawa mutu perkhidmatan dapat dipertingkatkan secara berperingkat melalui KPI yang seragam dan perlu dipatuhi oleh syarikat konsesi dalam melaksanakan kerja-kerja kutipan dan pembersihan awam. Setiap syarikat konsesi ini akan menggantikan lori kompaktor dan tong sampah sedia ada dengan yang baru secara berperingkat manakala kompaktor yang digunakan pula akan dilengkapi dengan sistem pengangkut sampah atau bin lifter dan mempunyai sistem tangki kawalan air resapan sampah atau leachate yang mampu mengawal masalah tumpahan air resapan sampah.

Dari sudut operasi, adakah Perbadanan akan mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dari PBT?

Kita sebenarnya melihat bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih tanggungjawab untuk menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam melalui penubuhan Perbadanan dan penguatkuasaan Akta 672. Di samping itu, PBT juga akan terus membantu Perbadanan dari semasa ke semasa bagi memastikan jika terdapat sebarang halangan yang dihadapi oleh Perbadanan yang memerlukan tindakan dalam bidang kuasa PBT. PBT juga boleh menumpukan perhatian yang lebih kepada aktiviti perancangan dan pembangunan, pemberian lesen perniagaan, kutipan hasil pintu dan penguatkuasaan. Melalui pendekatan ini, PBT mempunyai lebih banyak masa untuk memberi perhatian kepada perkhidmatan mereka yang lain.

Adakah sebarang lesen diperlukan bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam? Apakah aktiviti penguatkuasaan Perbadanan yang akan dijalankan?

Perbadanan memainkan peranan yang amat penting dalam menguatkuasakan Akta 672. Perbadanan kini mempunyai 504 anggota penguatkuasa yang terlatih bagi menjalankan aktiviti pemantauan dan kawal selia serta penguatkuasaan. Penguatkuasa Perbadanan akan mengurus dan mengawal selia kualiti perkhidmatan yang dibekalkan oleh syarikat konsesi serta menyiasat setiap aduan yang diterima. Selain itu, Perbadanan akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta 672.

Adakah pengguna akan dikenakan sebarang caj tambahan perkhidmatan selepas Akta ini dikuatkuasakan?

Buat masa ini, tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan dan semua kos lebihan perkhidmatan ditanggung oleh PBT dan Kerajaan Persekutuan. Apa yang penting di sini adalah pengguna dapat menikmati perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang lebih baik dan teratur di samping dapat menjaga alam sekitar.

Apakah perubahan yang bakal dinikmati hasil daripada pengambilalihan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam?

Tong sampah bersaiz 120 liter akan dibekalkan secara percuma dan berperingkat kepada pemilik premis oleh syarikat konsesi untuk penambahbaikan sistem kutipan sisa pepejal di negara ini. Selain membekalkan tong sampah, kita akan memastikan agar syarikat konsesi mematuhi KPI seperti jadual dan frekuensi kutipan, menghantar sisa ke lokasi pelupusan ditetapkan, tidak berlakunya keciciran kutipan, memastikan sisa di dalam atau luar tong dikutip, memastikan tiada tumpahan leachate dan menggunakan lori kompaktor yang mempunyai kelengkapan bin-lift. Sekiranya syarikat konsesi ini tidak mematuhi KPI yang telah ditetapkan, maka denda dan penolakan mata demerit akan dikenakan dan akhirnya boleh membawa kepada pembatalan Perjanjian Konsesi.

Bagaimanakah masyarakat dapat menyalurkan aduan berkaitan dengan permasalahan sampah?

Perbadanan sentiasa memastikan bahawa setiap aduan yang diterima akan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak konsesi supaya dapat memberikan kepuasan kepada pengadu. Selaras menyahut saranan kerajaan supaya memperkemaskan mutu penyampaian perkhidmatan, Perbadanan telah menyediakan talian bebas Tol: 1-800-88-7472 yang boleh digunakan untuk seluruh Semenanjung Malaysia. Perbadanan membangunkan sistem E-Aduan untuk menguruskan aduan awam yang lebih berkesan. Sistem ini merupakan pengintegrasian antara tiga syarikat konsesi iaitu Alam Flora Sdn. Bhd., Environment Idaman Sdn. Bhd. dan SWM Sdn. Bhd. dengan Perbadanan.

Apakah harapan Datuk selepas penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dilaksanakan?

Harapan saya agar Perbadanan dapat mewujudkan satu transformasi di dalam sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. Perbadanan akan berusaha menjadikan perkhidmatan sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang seragam, kos efektif, mesra alam dan diterima oleh masyarakat. Adalah diingatkan bahawa pengurusan sampah yang lebih efisien, teratur dan berkesan dapat mewujudkan kehidupan yang lebih selesa.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 OGOS 2011

ISU SOSIAL : BANTUAN KE SOMALIA, DEMI KEPRIHATINAN BUKAN MENCARI POPULARITI

Oleh Metra Syahril Mohamed


Tatkala kita di tanah air sedang enak dialun lagu-lagu Aidilfitri dengan juadah yang ada kalanya kita membazirkan ia lantaran ketamakan nafsu, mereka di sini hanya berteman bunyian ‘sekawan’ lalat yang menghurung dengan rezeki yang bukan lagi seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Itulah Somalia. Bumi kering kontang dengan penduduknya diancam kebuluran yang sangat mengerikan ekoran kemarau terburuk dalam tempoh 60 tahun. Sangat mengerikan. Tidak menerima hujan sejak tiga tahun, keadaan itu menyebabkan sumber air kering manakala tanaman musnah yang mencetuskan krisis kebuluran. Kaum wanita dan kanak-kanak antara yang terjejas teruk lantaran kekurangan makanan berzat. Menurut laporan media antarabangsa, seramai 3.7 juta rakyat negara itu diselubungi krisis kebuluran dan 2.8 juta lagi berisiko menghadapi maut jika tidak memperolehi bekalan makanan. Malah, kelemahan kerajaan pusat Somalia dan kewujudan kumpulan-kumpulan bersenjata seperti al-Shabab yang mengawal sebahagian besar selatan negara itu dan menyekat kemasukan bantuan makanan oleh agensi kemanusiaan menjadi penambah ‘asam garam’ kesengsaraan umat manusia di Somalia.

Apa yang dilalui mereka amat menyedihkan. Inilah masalahnya jika tidak ada penyatuan dalam sesebuah negara. Inilah bahananya jika sesama kita berperang. Inilah azabnya jika kita tidak bersatu dalam menghadapi apa jua cabaran mendatang. Sesungguhnya, kita di Malaysia harus bersyukur dengan rahmat kurniaan Allah. Tanah air kita maju dan buminya subur. Apa yang kita kecapi inilah yang harus kita pertahankan bersama. Berbalik kepada Somalia, prihatin dengan nasib yang menimpa, sekumpulan sukarelawan yang bernaung di bawah Kelab Putera 1Malaysia diketuai Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim muncul menghulurkan apa sahaja kudrat yang ada demi rakyat negara itu. Berlepas ke bumi Somalia pada 28 Ogos (Sabtu) lalu menerusi pesawat Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sukarelawan termasuk pasukan doktor dan media meninggalkan segala enak Aidilfitri bagi melihat sendiri penderitaan yang dihadapi jutaan umat Somalia. Membawa sekali bekalan perubatan, inilah sumbangan rakyat Malaysia yang turut akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-54 hari ini.

Apa yang penting, sumbangan ini membawa mesej kepada dunia agar tidak melupakan Somalia yang terjejas teruk ekoran kemarau panjang. Menurut Abdul Azeez, misi kali ini sudah pasti dilihat beliau sebagai misi paling membahayakan. Bukan sahaja faktor kemarau, jelasnya, berhadapan dengan ancaman konflik dan pergolakan di negara itu ibarat igauan ngeri kepada sebahagian besar yang terlibat dalam misi berkenaan. Atas dasar itu, adalah dipohon kepada rakyat di tanah air agar mendoakan misi ini yang bukan bertujuan mencari populariti tetapi demi keprihatinan sesama manusia. Kebuluran di Somalia diisytiharkan secara rasmi buat pertama kali oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 20 Julai lalu iaitu dan terburuk dalam tempoh 30 tahun. Sungguhpun begitu, Presiden Wilayah Udubland, Ibrahim Abdullah Addo menjangkakan bahawa negaranya itu memerlukan tempoh masa selama 45 hari untuk pulih semula jika mendapat bantuan makanan berterusan daripada pelbagai pihak. Di sebalik itu, katanya, apa yang membanggakan, Malaysia menjadi negara pertama yang menghantar pasukan khas untuk memberi bantuan kemanusiaan terhadap Somalia.  ‘‘Sekarang ini sahaja, seramai 3.7 juta rakyat terutamanya di lima kawasan di selatan dan tengah Somalia berada dalam kebuluran dan lebih 2.8 juta orang khususnya kanak-kanak berisiko mati dalam tempoh beberapa minggu lagi jika tidak mendapat bekalan makanan.

” Demikian luahan hati Ibrahim yang turut sama kembali ke tanah airnya bersama-sama pasukan sukarelawan Malaysia. Tambah beliau, apa yang diusahakan oleh Malaysia cukup membuatkan hatinya tersentuh kerana bumi kecil ini memiliki hati yang besar dalam melaksanakan misi kemanusiaan. ‘‘Terima kasih Malaysia. Jasa anda terhadap Somalia amat saya hargai. Kami cukup terharu dengan pengorbanan anda semua,” tambahnya yang mengukir senyuman penuh kesayuan. Sementara itu, dalam satu wawancara khas wartawan Luar Negara Utusan Malaysia bersama Penasihat Kanan kepada Presiden Somalia, Dr. Abdul Kareem Jama, beliau turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana prihatin dengan nasib yang melanda negaranya meskipun kedudukan geografi yang jauh dan berlainan bangsa. ‘‘Mengetahui ada orang yang mengambil berat terhadap nasib kami membuatkan kami lebih bersemangat untuk terus hidup.” Itulah semangat yang dizahirkan oleh Abdul Kareem yang mewakili jutaan rakyat negaranya. Semoga Somalia akan mengecap keamanan hakiki bagi membolehkan negara itu terus maju ke hadapan. Doa kami rakyat Malaysia, agar Somalia tidak lagi diselimuti mimpi hitam ekoran krisis yang melanda.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 OGOS 2011