JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 Ogos 2011

ISU KESIHATAN : SAIZ BADAN BUKAN JAMINAN KESIHATAN


Senario pertama: Seperti biasa di hujung minggu, seorang lelaki akan melakukan joging rutin beliau pada setiap Ahad. Baginya walaupun mempunyai susuk badan yang sedikit gempal, beliau tetap bersenam kerana badan yang tidak kurus membawa makna badan yang tidak sihat. Senario kedua: Seorang lelaki lain menikmati hari cutinya dengan berbaring di tempat tidur dan menonton siaran pagi televisyen. Bagi beliau 'senaman' tidak wujud dalam kamus dirinya dan selagi beliau mempunyai berat badanyang sesuai, kesihatannya adalah baik. Beliau menganggap senaman hanya untuk orang yang tidak sihat. Tetapi satu isu yang tidak disedari oleh kedua-dua lelaki ini, ialah saiz badan seseorang bukanlah penentu terhadap kesihatan individu. Seorang yang gemuk tidak semestinya tidak sihat jika dibandingkan dengan seorang yang kurus. Dr Adrian Hutber dari Kolej Sukan Perubatan Amerika (ACSM) berkata seorang yang gemuk tetapi sihat mempunyai peluang hidup lebih lama daripada seorang yang kurus tetapi kurang sihat. Beliau berkata sedemikian ketika membentangkan kertas kerja 'Senaman Adalah Ubat: Satu Inisiatif Global Untuk Kebaikan Semua’ di sini baru-baru ini.

KESIHATAN KARDIO RESPIRATORI (CRF)

Dr Hutber membentangkan kertas kerjanya pada Bengkel Untuk Negara Sihat yang dianjurkan Syarikat Coca-Cola dan Majlis Olimpik Malaysia (OCM). Dua lagi kertas kerja turut dibentangkan. Beliau memberi fokus terhadap pertalian kesihatan individu dengan kadar kematian. Kajian meliputi lebih daripada 53,000 responden yang menunjukkan seseorang yang mempunyai kesihatan CRF rendah mempunyai risiko mortaliti duakali ganda dibandingkan dengan perokok dan empat kali ganda seorang pesakit diabetis yang melakukan CRF. "Hanya 150 minit seminggu melakukan senaman intensiti sederhana atau 75 minit senaman intensiti lasak dalam jarak masa yang sama,”. ”Bagi manfaat yang lebih, seseorang itu boleh memanjangkan masa senaman itu kepada 300 minit (intensiti sederhana) atau 150 minit (intensiti lasak), kata Dr Hutber. Senaman intensiti sederhana ialah gerak senam yang cukup untuk menambahkan denyut jantung serta badan berpeluh tetapi masih boleh melakukan perkara seperti berjalan, berjoging dan berbasikal. “Untuk mencapai 150 minit seminggu, terpulang kepada individu itu menguruskan masanya.

Tiada peraturan tertentu yang menetapkan berapa minit sehari yang diperlukan asalkan anda mencapai keperluan sasaran jumlah minitseminggu,” katanya menjawab soalan hadirin. Katanya ada tiga tujuan melakukan senaman -- bagi menjaga kesihatan, menjauhkan penyakit dan juga untuk pertandingan atau pencapaian prestasi. Terpulang kepada individu itu menentukan tujuan senaman beliau tetapi beliau tidak perlu terbawa-bawa dengan aktiviti berkaitan CR. “BERAPA BANYAK SENAMAN YANG ANDA LAKUKAN MINGGU LEPAS?" Soalan di atas jarang sekali ditanya oleh doktor. Tidak diketahui paras sebenar intensiti senaman yang diperlukan tetapi dengan melakukannya boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik. "Kajian menunjukkan senaman boleh mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 40 peratus, kanser kolon sebanyak 60 peratus dan senaman juga dapat mengurangkan penyakit Alzheimer sebanyak satu pertiga selain daripadamerendahkan tahap kemurungan," kata Dr Hutber. 

Manfaat yang lain adalah mengurangkan penyakit sebanyak 50 peratus -- diabetis, tekanan darah tinggi serta kanser payudara berulang. Sejak tahun 2007, ACSM berusaha bersama AMA dalam mempromosi program 'Senaman Itu Ubat (EIM)' yang memberi perhatian terhadap menggabungkan senaman ke dalam amalan penjagaan perubatan sebagai satu kaedah merawat penyakit. Program itu mencadangkan pengamal penjagaan kesihatan (a) menilai tahap fizikal aktiviti pesakit dan (b) menawarkan preskripsi senaman bagi pengamal penjagaan kesihatan untuk tujuan kaunseling. Doktor yang mengikuti program ini boleh menilai kesihatan pesakit bukan dengan hanya melihat pada simptom yang ada tetapi juga dengan menilai senaman yang dilakukan pesakit dalam seminggu sebelum mendapatkan diagnosis. Pesakit boleh diberi preskripsi ubat serta senarai aktiviti senaman yang perlu dilakukan bagi rawatan. Doktor juga akan menasihati corak senaman yang diperlukan dan pemantauan boleh dijalankan secara sistematik.              

RAKAN STRATEGIK

Program ini sudah dipraktikkan secara meluas di Amerika Utara dan Selatan selain beberapa bahagian di Eropah, Afrika, Australasia dan Asia. Thailand, Filipina dan Singapura telah pun mengamalkan program ini. Datuk Sieh Kok Chi, Setiausaha Kehormat OCM yang juga turut hadir pada bengkel itu berkata Majlis itu bersedia memainkan peranan bagi mempromosi EIM di Malaysia tetapi ia perlu mencari rakan strategik bagi membentuk pasukanpetugas. Di seluruh dunia, Syarikat Coca-Cola dikenali sebagai rakan EIM dan syarikat itulah yang membawa program itu ke Malaysia dengan OCM sebagai rakan. “Sebab itu kami (OCM) mengalu-alukan mana-mana pihak seperti Kementerian Pelajaran dan Kementerian Belia dan Sukan selain persatuan pengamal perubatan atau doktor sukan di negara ini, untuk membantu menjayakan program ini di sini,” katanya. – BERNAMA

SUMBER
MSTAR ONLINE
3 OGOS 2011

ISU UMUM : KONFLIK PENDUDUK SARAWAK DENGAN BUAYA BERTERUSAN


Sementara buaya di Sungai Seblak mungkin terlepas daripada langkah penakaian yang dibatalkan pada saat-saat akhir, kira-kira 1,000 penduduk Kampung Empelam di Kabong, kira-kira 60 kilometer dari sini masih bimbang akan keselamatan mereka. Sejak 2007 penduduk kampung ini dilanda ketakutan ekoran serangan maut ke atas dua penduduk kampung dan bilangan buaya yang terus meningkat di sungai berkenaan. Malahan sejak itu penduduk kampung berasa rimas dan cuba mengelakkan sebarang aktiviti di sungai itu yang mengalir di belakang rumah mereka dan ini menjejaskan kehidupan harian serta pendapatan mereka. "Sungai ini dipenuhi buaya termasuk ada yang boleh sampai saiz 20-kaki," kata ketua kampung Johan Jok, 64 tahun. Apabila ditemui di kediamannya, Johan, bekas kakitangan awam, berkata Jun terutamanya adalah bulan berbahaya kerana buaya betina mula bertindak agresif kerana ia musim bertelur. "Oleh itu Jun setiap tahun, saya akan menasihatkan berulang kali kepada penduduk kampung supaya elakkan menangkap ikan di Sungai," kata beliau.

HIDUP TERLALU DEKAT DENGAN MANUSIA

Mangsa pertama reptilia di kampung ini ialah Khamis Achong yang diserang pada Ogos 2007 dan yang kedua ialah Mankay Goheh yang menjadi mangsa pada Mei lepas. Beliau berkata mayat Khamis ditemui di Sungai Nyiar, kira-kira 13 kilometer dari kampung ini sementara mayat Mankay belum ditemui sehingga kini. Walaupun jarang sekali manusia dibaham buaya, ketika air pasang pada sebelah petang reptilia ini seringkali menyambar ayam dan itik milik penduduk yang berada di bawah rumah, jelas Johan. "Saya takut untuk memikirkan apa yang akan berlaku jika seekor buaya besar turut terlanggar tiang kaki rumah dalam proses itu," katanya. Johan berkata, mata pencarian 28 orang penduduk kampung yang rezeki mereka bergantung dari sungai itu terjejas kerana ancaman buaya. "Sungai Seblak terkenal kerana udang galahnya mampu mencapai harga RM40 sekilogram.

Jika rezeki murah, mereka boleh menangkap sehingga 50 kg," katanya dan menambah bahawa kerana ancaman buaya ini kebanyakan mereka tidak berani turun ke sungai. Johan berkata beliau mendapat tahu tinjauan yang dijalankan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menganggarkan terdapat sekurang-kurangya 306 ekor buaya di sungai itu dari Roban hingga Sessang. "Kami tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan. Kami tidak boleh menembaknya kerana ia adalah spesies yang dilindungi. Lagipun, kami tidak berminat membunuhnya kerana ada antara kami yang percaya reptilia ini bersifat pendendam. "Saya meragui yang penduduk tempatan sedia membunuhnya. Lagipun untuk membunuh buaya yang besar, anda memerlukan senjata yang berkuasa selain daripada senapang patah biasa," katanya. Pilihan lain ialah mendapatkan khidmat pakar atau "bomoh" untuk mengusir reptilia ini tetapi sekarang ini pilihan ini sukar dipertimbangkan kerana bayaran yang mereka kenakan boleh mencapai sehingga RM5,000 atau lebih.

OPERASI PENAKAIAN TIDAK MENJADI

Operasi penakaian selama seminggu, yang pertama seumpamanya di kawasan itu, sebenarnya dicadangkan pada minggu ketiga Julai membabitkan tentera, polis, RELA, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pejabat daerah kecil Roban dan penduduk tempatan. Bagaimanapun operasi ini dibatalkan pada saat-saat akhir kerana kekurangan sumber dan kesukaran dalam mengenalpasti buaya-buaya ganas. Ketua Daerah Polis Saratok Deputi Supritendan (DSP) Lee Phai Lien berkata rancangan awal adalah untuk memburu sehingga 60 ekor buaya, yang panjangnya tidak kurang daripada 2.5 meter dan berpotensi mengancam manusia. Sementara itu, pengurus besar SFC Wilfred Landong berkata perbadanan itu sedang mempertimbangkan aktiviti pemburuan komersil untuk mendapatkan kulit dan daging buaya dalam usaha mengawal bilangannya. Beliau berkata Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 yang melindungi reptilia ini harus dipinda bagi membolehkan pemburuan komersil dari masa ke masa. Beliau berkata pada 1961, Sarawak mengeksport 7,245 kg kulit bernilai RM148,000, sementara pada 1970 ia mengeksport 692 kg bernilai RM13,000.

"Berdasarkan tinjauan kami yang dilakukan sejak 1995, populasi buaya tembaga (crocodylus porosus) di beberapa sungai telah meningkat dengan ketara. "Kejadian serangan ke atas manusia juga meningkat selaras dengan bilangannya," kata beliau. Wilfred menunjukkan bahawa reptilia ini lazim ditemui di 22 lembangan sungai di negeri ini dan SFC sedang memantau lima sungai utama khasnya Batang Sadong, Batang Lupar, Sungai Sarawak (Kiri dan Kanan), Batang Saribas dan Batang Samarahan. Beliau berkata sungai-sungai ini paling banyak menyaksikan konflik buaya-manusia dengan 42 kematian manusia dilaporkan dari 1980 hingga 2009. "Batang Lupar paling banyak menyaksikan insiden serangan buaya dengan 16 kematian disusuli Sungai Sarawak dengan lima kematian dan empat di Sungai Saribas," katanya. – BERNAMA

SUMBER
MSTAR ONLINE
3 OGOS 2011

ISU SOSIAL : MENGKEBANGSAANKAN BUDAYA BUKAN MUDAH


Ketika berusia lima tahun, saya berbaris bersama rakan persekolahan sepanjang jalan Muar ke Segamat menunggu pemimpin negara melalui pekan Jementah, tempat saya dilahirkan.  Ingatan peristiwa itu masih segar, tarikh keramat 31 Ogos 1957 itu seolah-olah satu pesta besar untuk rakyat Tanah Melayu. Maksud sebenar kemerdekaan masih kurang jelas bagi kami ketika itu yang berbaris dan mengibar bendera negara. Sejak itu, istilah kemerdekaan dan kebangsaan adalah konsep yang sering dilaungkan pelbagai pihak, khususnya pemimpin politik pemerintah untuk menyeru rakyat supaya memupuk semangat kebangsaan dan menanam rasa cintakan negara. Kerajaan mula memperkenalkan konsep kebangsaan melalui bahasa kebangsaan. Selayaknya, bahasa Melayu, bahasa majoriti dan bahasa penduduk pribumi diangkat menjadi bahasa kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diwujudkan, minggu dan bulan bahasa kebangsaan diperkenalkan untuk meningkatkan kesedaran peri pentingnya rakyat negara ini mengamalkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan bangsa.

Cogan kata berbunyi Bahasa Jiwa Bangsa dilaungkan untuk meyakinkan rakyat pelbagai bangsa, jika kita berhasrat membentuk negara bangsa yang bersatu dan membina semangat kebangsaan, bahasa yang satu inilah menjadi tali pengikatnya. Strategi penting untuk membina negara bangsa yang bersatu ialah dengan memperkenalkan sistem pendidikan sekolah berasaskan bahasa kebangsaan. Hasilnya, sekolah rendah dan menengah kebangsaan diperkenalkan. Sekolah kebangsaan sudah berkembang pesat dan kini boleh dibanggakan pencapaiannya. Ramai rakyat berbangsa Cina dan India turut belajar di sekolah kebangsaan. Sebahagian besar daripada pemimpin dan pentadbir negara serta cerdik pandai yang ada di kebanyakan universiti awam, adalah mereka yang terdidik daripada sekolah kebangsaan.  Agenda kebangsaan turut diperkenalkan melalui budaya kebangsaan. Budaya Melayu dijadikan asas pembentukan budaya kebangsaan dan amalan bangsa lain yang bersesuaian boleh diserapkan untuk memperkayakan budaya kebangsaan yang diinginkan. Mengkebangsaankan budaya nampaknya kurang berjaya kerana Perlembagaan Persekutuan masih mengizinkan bangsa lain mengamalkan budaya dan agama masing-masing.

Sehingga hari ini, budaya Melayu, Cina dan India serta pelbagai budaya pribumi di Sabah dan Sarawak masih berkembang segar. Konsep kesatuan dalam kepelbagaian budaya dilihat sebagai keunikan dan keistimewaan rakyat Malaysia.  Kemuncak kepada kejayaan memperkenalkan konsep kebangsaan ialah pewujudan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai lambang keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu pada peringkat pengajian tinggi. Sejak kebelakangan ini, rakyat pelbagai bangsa sangat berminat belajar di UKM, dan lebih penting lagi, universiti ini mampu meningkatkan kecemerlangan akademiknya sehingga diangkat menjadi universiti unggul bertaraf universiti penyelidikan. Kini UKM tidak saja menjadi lambang kebanggaan rakyat, tetapi turut menjadi sumber rujukan negara untuk pelbagai bidang ilmu. Tidak semua negara mempunyai universiti kebangsaan. Amerika Syarikat, negara di Eropah dan Jepun umpamanya, tiada universiti kebangsaan. Universiti di sana muncul kerana tuntutan pengajian tinggi dan keperluan meneroka ilmu dalam bidang sektoral.  

Di negara kita, Australia, Korea Selatan dan Taiwan – tuntutan masyarakat untuk membina negara bangsa yang bersatu dan berwawasan mendorong kepada penubuhan universiti kebangsaan. UKM umpamanya ditubuhkan atas desakan rakyat, khususnya untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sambil memberi peluang lebih ramai anak masyarakat luar bandar menjejak kaki ke menara gading.  Apa erti kebangsaan? Ia adalah lambang kesatuan masyarakat dalam sebuah negara bangsa. Bahasa, budaya dan institusi ilmu kebangsaan seharusnya menjadi jiwa dan raga yang menyuburkan inspirasi dan iltizam seluruh rakyatnya.  Sementara kita menghargai kepelbagaian, semua rakyat perlu yakin, sebuah negara bangsa perlu mempunyai hanya satu bahasa kebangsaan, satu budaya kebangsaan dan satu universiti kebangsaan.  Institusi ilmu seperti UKM mempunyai tanggungjawab besar untuk membina negara dan masyarakatnya berasaskan semangat kebangsaan. Di samping memperkukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, ia perlu memimpin masyarakat ke arah pembangunan, menatang imej kecemerlangan ilmu dan mewakili bangsanya ke arena global.

Pada prinsipnya, komuniti akademik di UKM perlu berfikiran global, tetapi bertindak lokal! UKM juga perlu menjadi pelopor hala tuju pembangunan rakyat Malaysia berbilang bangsa. Di samping memajukan ilmu dalam bidang sains dan teknologi, persoalan masyarakat, membina tamadun bangsa dan isu kemiskinan komuniti terpinggir perlu diperjuangkan bersama.  Kebangsaan ialah semangat cintakan keamanan dan perpaduan untuk sebuah negara bangsa merdeka. Ia tidak mengabaikan pegangan kepelbagaian agama, kepercayaan dan budaya warganya. Ia hanya menuntut iltizam untuk bersatu, menghargai keupayaan bangsa dan negara. Jadilah rakyat Malaysia yang sentiasa menyintai bangsanya dan memupuk semangat kebangsaannya.

Penulis ialah Felo Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM

SUMBER
BERITA HARIAN
6 OGOS 2011

ISU SOSIAL : MEMAKNAI NKRA KE-7

Oleh
KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN
pemerhati sosio-politik.


Peningkatan kos kehidupan bukan lagi perkara yang boleh dipandang mudah. Impaknya cukup jelas dan ketara. Kuasa beli kita tidak lagi seperti dahulu. Ramai teman penulis yang mengemukakan pandangan yang sama. Pembelian keperluan mingguan di Pasar Tani, yang selalu diangkat sebagai model 'ideal', pengeluar terus kepada pengguna pun belum tentu mampu menzahirkan harga yang rendah dan berpatutan. Apabila Ditanyakan kepada peniaga, alasan mereka mudah, "kami ambil barang pun dah mahal bang." Maka, yang terus ditekan adalah pengguna dan rakyat biasa. Usaha mewujudkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ke-7 khusus untuk 'memerangi' kos kehidupan ini memang wajar dan tepat. Namun, ia mestilah diisi dengan inisiatif dan usaha tuntas dalam mengurangkan beban rakyat biasa. Apa yang diungkap sebagai 'National Key Result Areas' (NKRA) ini juga perlu diberikan interpretasi yang lebih mudah dan senang. Elok juga kalau NKRA ini ditaktrif sebagai 'Nikmat Kepada Rakyat Awam' dalam pada kita bersungguh 'memerangi' apa yang menjadi beban kepada mereka selama ini. Kepada rakyat yang mahu mengkaji dan berfikir, memang perlu mengakui bahawa kerajaan sudah pun melakukan banyak perkara dalam mengisi tanggungjawab berat ini.

Tidak ada kerajaan di dunia yang boleh terus-terusan menggunakan 'model subsidi' buat selama-lamanya. Malahan, sebuah adikuasa seperti Amerika Syarikat juga sudah mula berkira-kira untuk memotong banyak bantuan yang selama ini diberikan kepada rakyat - baik dalam bidang kesihatan, pendidikan dan sebagainya. Ini membayangkan, bahawa persoalan peningkatan 'kos' ini bukan sahaja soal rakyat; malahan juga menjadi masalah 'kerajaan'. Namun, beban lebih berat mestilah kepada kerajaan yang menanam niat untuk kekal berkuasa. Rakyat punya 'kelebihan' dalam bab ini. Namun, sama ada rakyat mahu menggunakan hak mereka berlandaskan rasional atau emosi adalah satu perkara yang lain. Dalam situasi 'perang' kenaikan kos dan harga barang - kerajaan dan rakyat mestilah menjadi rakan strategik. Kita mestilah sama-sama berusaha dalam memastikan tidak ada yang mengambil kesempatan daripada situasi kenaikan kos harga barang dan inflasi ini. Yang jelas, inflasi dan kenaikan kos dan harga barang ini tidak sahaja berlaku di halaman kita. Ianya menjadi fenomena dunia. Ramai ahli ekonomi mengatakan, inflasi yang dituruti oleh pembangunan ekonomi adalah satu simtom biasa.

Namun, pada masa yang sama, inflasi juga boleh menjadi 'penghalang' kepada pembangunan ekonomi yang lebih meyakinkan. Soalnya, di mana garis yang mengatakan inflasi itu 'biasa' atau 'luar biasa'? Kita perlu mengetepikan pandangan lama bahawa inflasi dan kenaikan harga barang akan hanya memberikan kesan kepada kelompok miskin. Kita jangan mengambil mudah dengan golongan 'berpendapatan rendah dan sederhana di bandar' yang boleh sahaja menjengah kumpulan 'miskin' jika dikira pendapatan bersih setelah ditolak segala tanggungan yang ada! Dalam satu kajian yang dilakukan, mereka yang berpendapatan rendah terpaksa memperuntukkan hampir 94 peratus pendapatan kepada perkara-perkara yang sangat asas. Apakah dengan baki enam peratus pendapatan itu mereka mampu untuk menjalani hidup di bandar? Perlu diingatkan bahawa senario sama tidak sahaja berlaku di Kuala Lumpur; malahan boleh sahaja berlaku di Johor Bahru, Pulau Pinang dan bandar-bandar besar yang lain. Memerangi kos kehidupan tinggi dengan mengeluarkan 'setem makanan' boleh menjadi beban jangka panjang.

Menarik balik 'subsidi' dalam apa sahaja bentuk; setem makanan ataupun apa sekalipun akan menjadi suatu tindakan paling tidak popular dan mempunyai kesan politik. Apakah tidak ada pendekatan jangka panjang yang lebih baik dalam mengendali kumpulan gelandangan yang semakin ramai pada ketika ini? Ramai rakan penulis yang bekerja di bandar berasa lebih tertekan dengan suasana ekonomi yang ada. Gaji mendapat kenaikan minimal. Harga barang makin meningkat. Kenaikan bil elektrik bukan perkara mainan. Lantas, mereka inilah yang berasa kecewa sekiranya matlamat ekonomi masih lagi terlalu fokus kepada kelompok miskin; sedang mereka juga memerlukan pembelaan oleh kerajaan. Bukankah ada matlamat NKRA lain yang lebih tertumpu kepada kelompok miskin? Matlamat NKRA ke-7 mestilah mempunyai spektrum yang lebih luas. Malahan, tidak ada salahnya jika penyelidikan impak kenaikan kos kepada 'kemiskinan bandar' (urban poverty) menjadi salah satu elemen utama kepada NKRA ke-7. Apa yang diharapkan oleh rakyat adalah suatu 'pelan ekonomi' yang lebih mampu memberikan mereka sedikit keselesaan.

Dalam pada kita berbicara tentang 'ekonomi bernilai tinggi' (high income economy), kita mesti selalu juga menilai sama ada kita mampu melaksanakan proses 'penghijrahan' kemampuan ekonomi miskin kepada sederhana; dan kelompok sederhana kepada suatu kedudukan yang lebih selesa. Kita jangan terlalu gemar menggunakan bahasa 'ekonomi bernilai tinggi' jika kita tidak benar-benar memastikan perubahan berlaku di peringkat yang paling akar. Rakyat pada umumnya, tidak berminat untuk tahu siapa yang menjadi peneraju kepada NKRA ke-7. Apa yang lebih utama adalah 'kesan dan impak' yang nyata kepada rakyat. Jangan kita terlalu mendahulukan ekonomi bersifat 'atas kertas' dan tidak benar-benar menyelesaikan masalah rakyat. Jangan kita nampak hebat dengan pelbagai kenyataan, namun rakyat tidak 'merasai' apa yang sedang kita usahakan. Jurang inilah yang sebenarnya perlu diberikan perhatian. Sebenarnya, apa yang lebih diperlukan pada ketika ini adalah usaha 'sinergi' antara kementerian yang lebih cekap dan efektif. Dua kementerian mesti diangkat sebagai pelaksana utama kepada kempen memerangi kos kehidupan ini - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dua kementerian ini mesti membentuk sinergi dan kerjasama dalam memastikan usaha memerangi peningkatan kos di peringkat yang paling asas. Pemantauan tidak boleh lagi dibiarkan menjadi tugas rutin yang tidak menjanjikan solusi yang lebih besar. Kementerian-kementerian lain juga mesti sama-sama membantu dalam usaha memerangi 'kos kehidupan' ini. Memang benar, dalam banyak segi kita masih lagi bernasib baik kerana kerajaan memperuntukkan amaun yang sangat besar dalam memastikan kesejahteraan rakyat berada di tahapnya yang baik. Komitmen kerajaan dalam memastikan bantuan diteruskan kepada rakyat terbanyak; baik dalam bentuk subsidi ataupun pembangunan infrastruktur awam mestilah dihargai. Semua ini tidak datang secara begitu sahaja, tanpa ada intervensi dan kesungguhan pelaksanaan pihak kerajaan. Komitmen kerajaan untuk memberikan tumpuan kepada NKRA ke-7, memerangi kos kehidupan ini adalah tepat pada masa dan keadaan ekonomi yang ada. 


Dengan perancangan yang baik dan tersusun, komunikasi yang jelas - ia akan mampu menterjemah sokongan politik yang lebih merata. Hakikatnya, isu kenaikan harga ini rentas sempadan bangsa, geografi dan fahaman politik. Kemampuan kerajaan menzahirkan program dan inisiatif baik akan pastinya dihargai rakyat. Pada pandangan penulis, kerajaan tidak perlu menunggu sehingga pembentangan bajet dalam memastikan beban kenaikan kos kepada rakyat dapat diatasi. Malahan, bajet nanti wajar menjadi peneguh kepada pelan jangka panjang ekonomi yang lebih tersusun kemas. Penyenaraian program memerangi kenaikan kos kehidupan pastinya mampu menolak ayat politik kononnya strategi bajet nanti khusus untuk pilihan raya. Kerajaan yang wibawa tidak hanya bergantung kepada pembentangan bajet dalam menarik kepercayaan rakyat.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 OGOS 2011