JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



19 Mei 2010

KOMEN CIKGU ZUL : NASIB GURU SISWAZAH DI SEKOLAH RENDAH


Berbicara mengenai konflik antara guru siswazah dan bukan siswazah ini memang mudah jika hanya disebut di mulut tapi amat sukar diperingkat pelaksanaannya. Bibir memang mengucapkan kerjasama merupakan jalan yang terbaik namun jalan untuk menuju ke arah usaha untuk bekerjasama itu terlalu banyak dan berliku-liku. Jika tidak kena caranya, maka berlakulah situasi seperti yang digambarkan di atas. Pada persepsi saya, orang baru hendaklah menakluki hati orang lama sebelum mengemukakan cadangan yang boleh mengeruhkan hubungan. Kadang-kadang, penyapu baru ni bukan sahaja gah dengan kelulusan yang tinggi tetapi juga gah dengan cadangan yang berwawasan tinggi sehingga menafikan usaha-usaha yang telah sedia ada dan sudah sebati dengan jiwa orang lama.

Saya memang tiada pengalaman mengajar di sekolah rendah. Namun, di sekolah menengah fenomena ini turut berlaku. Berdasarkan kepada pemerhatian mata hati saya, guru bukan siswazah pula yang banyak makan hati kalau disekolah menengah. Konklusinya, ketidakadilan akan berlaku dimana-mana jua di dunia ini, terpulang kepada diri kita sendiri untuk menanganinya. Kalau kita cekal kita akan berjaya namun andai sesekali gelombang besar menghempas pantai hingga membasahi muka kita dan kita terus membenci ombak, nescaya akan punahlah usaha kita. Apa salahnya kalau lepas ombak menghempas kita terjun ke laut supaya ombak menghempas kita berkali-kali sehingga jemu dan mengalah.

KOMEN CIKGU ZUL : PROFESION PERGURUAN DIANAKTIRIKAN?


Profesion guru sebenarnya bukan dianaktirikan. Memandangkan guru merupakan insan yang paling dekat dengan masyarakat memang tidak dinafikan timbul pelbagai konflik antara guru dan masyarakat disebabkan beberapa perkara yang tidak diketahui punca dan penyebabnya. Namun, percayalah kerajaan sekarang ini tidak pernah menganaktirikan profesion perguruan. Malahan, masyarakat di luar sana mula cemburu dan iri dengan kerjaya guru ini apabila segala dasar kerajaan mula difokuskan untuk memartabatkan profesion perguruan.

Kita mesti bersatu untuk memberi pemahaman kepada masyarakat luar mengenai kerjaya kita. Guru merupakan pembentuk modal insan, dan pengeluar modal insan itu pula ialah ibu bapa. Berpegang kepada prinsip bumi mana tidak ditimpa hujan, guru juga manusia yang tidak telepas daripada melakukan kesilapan dalam tugas mendidik. Tidak salah bagi ibu bapa mempersoalkan namun kita yang memegang profesion ini mesti bijak menanganinya
.

KOMEN CIKGU ZUL : PROFESION PERGURUAN PILIHAN TERAKHIR?


Apa yang kurangnya kerjaya kita jika dibandingkan dengan kerjaya lain? Saya tidak nampak kita guru ini terlalu kerdil kerana kita juga menyumbang kepada negara. Kalau gaji yang menjadi masalah, saya rasa itu suatu perbandingan yang salah. Majoriti guru sekarang menerima gaji yang melebihi mereka yang berada di jabatan yang lain. Sewajarnya kita megah dan mendabik dada kerana kita merupakan insan yang bertuah kerana menjadi guru. Minat dan cinta boleh dipupuk andai kita sentiasa berpandangan positif. Jangan asyik mengungkit dan membangkit sesuatu perkara yang boleh menimbulkan pransangka orang luar terhadap kerjaya kita. Mula-mula memanglah kerjaya ini pilihan terakhir bagi sesetengah individu, tapi kalau dah inilah kerjaya yang dijadikan periuk nasi kita, maka usaha yang ikhlas mesti disemarakkan juga kerana kita membentuk manusia bukannya menghasilkan barangan yang ada tarikh luputnya.

Kerajaan sekarang semakin peka dengan kerjaya guru dan berusaha memartabatkannya. Peluang yang terbentang di hadapan kita amat luas sehingga guru sendiri tidak sanggup untuk mendapatkannya. Permohonan guru cemerlang dicanang-canangkan berulang kali bilangan yang memohon masih kurang. Peluang untuk guru melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat PHD diberikan secara percuma. Percayalah, banyak yang diberikan pada kita tidak diberikan kepada rakan-rakan kita di bidang kerjaya yang lain.