JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 September 2011

ISU UMUM : PEMERGIAN NORAMFAIZUL JADI TITIK TOLAK

Oleh Manja Ismail
manja@bharian.com.my


Kematian wartawan dan pengamal media ketika bertugas, terutama di medan perang atau di negara yang menghadapi perang saudara bukan perkara baru. Ratusan wartawan, jurugambar dan jurukamera televisyen terkorban ketika membuat liputan perang saudara di Amerika Selatan dan beberapa negara di Afrika serta pergolakan di Asia Barat, peperangan di Bosnia, Iraq dan Afghanistan. Badan pemerhati media, Reporters Without Borders (RSF) melaporkan 38 wartawan terkorban ketika melaksanakan tugas mereka di seluruh dunia tahun ini. Di Somalia saja, negara yang dikategorikan oleh RSF sebagai paling berbahaya untuk pengamal media, 23 wartawan dilaporkan terbunuh ketika membuat liputan perang saudara di negara itu sejak 2007. Statistik itu tidak termasuk Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera BERNAMA TV yang terkorban terkena tembakan curi ketika menyertai Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Jumaat lalu.  Tahun lalu, 57 wartawan terkorban ketika bertugas termasuk tiga di Somalia, manakala setahun sebelum itu, 75 wartawan terbunuh dan sembilan daripadanya berlaku di Somalia.

Di Somalia jugalah lima tentera Malaysia terkorban ketika menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara 1993 hingga 1994.  Yang jelas, kerjaya wartawan sama seperti polis, tentera dan bomba, terdedah kepada risiko dan bahaya.  Dalam mengejar berita muka depan atau mendapatkan gambar dan visual yang menarik untuk dipilih sebagai tajuk utama, wartawan dan jurukamera terpaksa berdepan dengan bahaya, terutama di kawasan berisiko tinggi.  Malah di negara aman seperti Malaysia pun, wartawan berdepan dengan risiko lain seperti diancam, disaman dan dimusuhi oleh pihak yang berasakan sesuatu laporan itu tidak menyebelahi mereka.  Kejadian menimpa Allahyarham Noramfaizul dan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, yang cedera di lengan terkena tembakan itu, mengejutkan semua pihak kerana mereka ke sana bukan membuat liputan perang, tetapi mengenai usaha rakyat Malaysia menghulur bantuan kepada rakyat Somalia yang menderita kebuluran.  Berdasarkan cerita daripada rakan wartawan yang berada dalam kenderaan itu ketika kejadian, ia berlaku secara tiba-tiba ketika mereka sudah hampir ke pusat penginapan dengan diiringi sendiri oleh tentera kerajaan.

Mereka tidak diberikan jaket kalis peluru kerana pihak berkuasa di sana sudah memberi jaminan keadaan terkawal dan keselamatan peserta misi itu sentiasa diawasi oleh tentera.  Kepada masyarakat pengamal media tempatan, kejadian ini menyedihkan kerana ia pertama kali membabitkan kematian rakan seperjuangan ketika bertugas di luar negara. Wartawan Malaysia pernah diserang hendap ketika menyertai misi kemanusiaan seperti di Iraq pada 2003 dan apabila tentera Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan untuk Gaza tahun lalu, tetapi semuanya terselamat.  Sementara bersedih atas pemergian beliau, kita juga berbangga dengan ciri wartawan sejati yang ditunjukkan Allahyarham ketika melaksanakan tugas ketika hayatnya untuk menyajikan laporan terbaik kepada rakyat negara ini. Walaupun kejadian yang menimpa Noramfaizul ini diharap tidak akan mematahkan usaha Misi Kemanusiaan Kelab Pemuda 1Malaysia ke luar negara dan semangat wartawan untuk terus membuat liputan di negara berisiko tinggi, ia juga harus menjadikan kita lebih berhati-hati dan mengetatkan prosedur keselamatan pada masa depan.


Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, kejadian yang menimpa Allahyarham Noramfaizul itu sesuatu yang tidak diduga dan dikategorikan sebagai ‘collateral damage.’ Namun tidak salah untuk semua pihak – penganjur dan agensi media – mengkaji semula prosedur sedia ada bagi memastikan keselamatan peserta dan wartawan yang menyertai misi seumpamanya pada masa akan datang. Kepada keluarga Noramfaizul, kita berharap mereka reda dengan ketentuan Allah ini. Hanya mereka yang pernah kehilangan orang tersayang dapat memahami kesedihan atas pemergian Allahyarham. Bagaimanapun, satu hari nanti anak Allahyarham boleh berbangga kerana ayah mereka terkorban ketika menyertai misi untuk membantu insan yang memerlukan. 

Al-Fatihah.

SUMBER
BERITA HARIAN
5 SEPTEMBER 2011

ISU UMUM : INSTITUSI MEDIA TEMPATAN PATUT RANGKA LATIHAN BERDEPAN NEGARA KONFLIK


Kematian  jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, 40, ketika bertugas di Somalia, Jumaat lalu, secara pilu menggambarkan kepada kita bahawa bahayanya tugas wartawan di zon konflik. Noramfaizul – menjadi wartawan pertama Malaysia terbunuh dalam zon konflik pada era moden ini – ditembak mati oleh penembak curi ketika dalam perjalanan bersama kumpulan wartawan yang membuat liputan misi bantuan Malaysia ke negara Afrika utara bergolak itu yang dilanda kebuluran. Seorang lagi jurugambar, Aji Saregar Mazlan daripada TV3 yang berada dalam kenderaan sama dengan Allahyarham cedera di bahu. Kejadian malang berkenaan menambahkan lagi jumlah kematian wartawan ketika bertugas di seluruh dunia. April lalu, dua wartawan masing-masing dari Britain dan Amerika Syarikat mati ketika membuat liputan di Libya, manakala pada November 2009, dunia dikejutkan dengan pembunuhan 29 orang wartawan dalam satu serang hendap di selatan Filipina. Menurut perangkaan Committee to Protect Journalists (CPJ) atau Jawatankuasa Perlindungan Wartawan, 40 wartawan terbunuh ketika bertugas dalam zon konflik tahun lalu, menyusuli 72 yang terbunuh pada tahun sebelumnya. Statistik berkenaan kemungkinan akan terus dicatatkan pada masa akan datang. Bagaimanapun, ia tidak akan melunturkan semangat institusi media untuk terus menghantar wartawan masing-masing bagi memberi laporan langsung dari medan konflik.

Institusi media di negara kita tidak terkecuali. Sejak perang Iraq, bencana alam tsunami, keganasan Israel di Lubnan, Gaza dan perang di Bosnia, Afghanistan serta Somalia berpuluh-puluh wartawan Malaysia sudah menyabung nyawa membuat liputan di zon konflik terbabit. Walaupun serba kekurangan, wartawan Malaysia tidak hanya terperuk di hotel seperti dilakukan oleh sesetengah wartawan ternama dari agensi berita Barat. Walaupun tidak dibekalkan baju kalis peluru, topi besi mahupun perlindungan insurans perang seperti dinikmati rakan sejawatan mereka dari negara Barat, wartawan Malaysia ini tetap cekal membuat liputan dari tempat berbahaya. Institusi media Barat tidak mungkin akan menghantar wartawan mereka ke zon konflik tanpa kemudahan berkenaan, selain memastikan wartawan mereka menjalani latihan ‘suasana ganas’ terlebih dulu. Mungkin sudah tiba masa institusi media negara ini merangka latihan sedemikian serta membekalkan wartawan mereka dengan kemudahan keselamatan dan perlindungan insurans yang memadai bagi mengurangkan risiko terkorban di medan konflik. Bagi memperingati pengorbanan Noramfaizul, ada baiknya juga jika Institut Akhbar Malaysia pada masa depan memperkenalkan anugerah jurugambar zon konflik cemerlang atas nama Allahyarham.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
5 SEPTEMBER 2011

ISU PENDIDIKAN : UNIVERSITI PENYELIDIKAN MAMPU MERAPATKAN JURANG BUDAYA AKADEMIA DAN PASARAN TEKNOLOGI

Oleh Dr Sharifah Hapsah
bhnews@bharian.com.my


Universiti penyelidikan diharap membantu kerancakan ekonomi dipacu inovasi menerusi pemindahan ilmu dan teknologi yang mampu mentransformasi pengeluaran dan perkhidmatan sedia ada atau melancar syarikat baru berteraskan teknologi. Pemindahan ini melonjak pertumbuhan perniagaan dan dalam proses mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi dan kehidupan yang lebih berkualiti. Untuk mencapai matlamat berkenaan, universiti penyelidikan semestinya melaksanakan sekurang-kurangnya empat perkara secara berkesan. Yang pertama, kita mesti menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan sumber manusia berkeusahawanan dan berinovasi tinggi, terutama pada peringkat sarjana dan kedoktoran yang arif dalam penyelidikan dan pembangunan (P&P), inovasi, pengurusan teknologi dan memiliki pengalaman dalam keusahawanan.  Yang kedua, kita mesti mencipta laluan yang berjaya membawa P&P kepada inovasi dan pengkomersialan. Pelancaran syarikat terbitan universiti (university start-ups) atau STU sudah dibuktikan memberi pulangan yang lebih lumayan berbanding kaedah pelesenan, melainkan bagi beberapa produk perubatan yang menakjubkan. Ini memerlukan pembangunan usahawan berteknologi (technostarters) daripada kalangan ahli akademik dan penyelidik.

Yang ketiga, kita mesti terbabit sama dengan pihak kerajaan, badan korporat dan industri, institusi akademik lain serta masyarakat pada peringkat lokal dan global kerana inovasi tidak berlangsung dalam keadaan terasing. Nilai kewangan dan manfaat sosial inovasi dinikmati oleh pelbagai pemegang taruh yang merangkai ikatan dalam suatu sistem inovasi yang berkesan. Melalui pembabitan dan kerjasama berkesan kita dapat mengenal pasti kekuatan rakan dan mengumpil segala sumber untuk menambah baik peluang ekonomi berasaskan inovasi.  Contohnya, pihak swasta dan yayasan memainkan peranan utama dalam kerjasama penyelidikan universiti-industri dari segi menaja kursi penyelidikan, membiayai P&P, malah terbabit secara langsung dalam aktiviti keusahawanan dan pembangunan inisiatif berasaskan teknologi.  Yang keempat, kita perlu menyediakan sistem pelaksanaan berkesan dari segi tadbir urus baik dan infrastruktur sokongan mencukupi, kepemimpinan berketrampilan dan pengurusan bakat yang adil dan telus.  Harapan terhadap kemampuan melancar STU dan menghasilkan siswazah berorientasi baru memerlukan perubahan minda dari segi penerimaan inovasi dan keusahawanan (I&E) sebagai nilai utama akademik atau budaya universiti.

Ini bermakna kita menyepadukan I&E dalam P&P dan kurikulum pada peringkat pra dan pascasiswazah.  Dalam budaya I&E, ahli akademik sudah mula memikirkan kebolehpasaran teknologi yang bakal dihasilkan daripada awal penyelidikan lagi. Penyelidik dan pelajar dibantu dalam pembangunan prototaip dan model perniagaan yang boleh menarik pelabur. Kurikulum menghasilkan bukan saja siswazah inovatif, terutama jurutera, saintis dan pakar pembangunan produk, tetapi juga pengurus keusahawanan atau kumpulan bakat ketua pegawai eksekutif (CEO) yang mahir menjana nilai STU.  Syarikat terbitan milik universiti dan pelabur dilancarkan oleh CEO yang memberi pulangan kepada institusi, fakulti dan pelajar. Bagaimanapun, kita sedar bahawa dunia akademia dan pasaran sangat berbeza dari segi sekitaran, nilai dan budaya.  Contohnya, ada isu berkaitan penggunaan masa fakulti untuk mengejar matlamat pengkomersialan daripada hasil penyelidikan universiti. Begitu juga berlaku konflik ketara antara keperluan akademik untuk bebas menerbit dengan kehendak perniagaan bagi kerahsiaan perniagaan.  

Untuk membina budaya I&E kita perlu merapatkan jurang budaya antara akademia dengan pasaran di samping mengukuhkan kekuatan masing-masing. Tapak pertemuan yang dibina subur untuk pelancaran STU demi perkembangan perniagaan dan industri – sama ada perniagaan kecil, sederhana atau besar-besaran. Kita boleh mewujudkan lebih banyak pekerjaan, kumpulan bakat baru dan menarik pelabur.  Setiap universiti mestilah mempunyai inisiatif membina keupayaan dalam inovasi teknologi dan keusahawanan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) contohnya, bekerjasama dengan rakan yang mempunyai pengalaman luas dalam I&E. Salah satu rakan ialah Stevens Institute of Technology, di New Jersey, institusi ketiga terbaik dalam kalangan universiti di Amerika Syarikat yang menjana pendapatan daripada penyelidikan.  Bengkel intensif diadakan bagi membimbing penyelidik UKM bagaimana menilai teknologi mereka dan mendapat bantuan berniaga menerusi khidmat nasihat, kejurulatihan, kajian pasaran dan pengenalan kepada pelabur berpotensi atau rakan industri. Peserta membangunkan pelan perniagaan yang berkemungkinan berjaya di samping membangunkan produk ke arah menubuhkan STU.  

Dalam proses berkenaan, mereka mempelajari banyak kemahiran, seperti rundingan strategik dengan pelanggan, pembiaya, pelabur, rakan kongsi dan pesaing. Mereka juga mempelajari bagaimana merangka strategi melepaskan STU dari segi merancang peluang pelaburan yang dapat mengoptimumkan pendapatan daripada perniagaan menerusi kefahaman perspektif pelabur yang lebih baik. Lebih penting lagi, mereka belajar bagaimana membuat keputusan yang lebih berkesan dalam menghadapi pelbagai cabaran sebagai usahawan. Dengan memanfaatkan kekuatan yang dimiliki Stevens, UKM kini menggubal kurikulum yang memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar melalui paduan perniagaan dengan pengurusan teknologi. Bermula dari tahun pertama, sehingga projek STU pada tahun akhir, pelajar akan menempuh pengalaman membawa konsep penyelidikan kepada tahap produk dan penjanaan hasil. Mereka juga berpeluang menyelesaikan masalah sebenar syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan mengenal pasti kehendak pasaran. Pada peringkat pascasiswazah pula, pelajar MBA bekerjasama dengan penyelidik dan teknologi mereka bagi menghasilkan idea perniagaan.

Pada akhirnya pelajar akan keluar dengan keupayaan membangun dan melancarkan syarikat. Jika mereka diambil sebagai pekerja, mereka memiliki keterampilan inovasi untuk meningkatkan produktiviti firma mereka. Inisiatif membina keupayaan harus juga disasarkan kepada kepemimpinan universiti, seperti dekan dan pengarah yang menjadi elemen genting dalam transformasi menjadi universiti penyelidikan yang dipacu inovasi. Mereka perlu memahami kenapa dan bagaimana membina iklim I&E, contohnya melalui kejelasan mengenai kekuatan dan fokus asas penyelidikan, memberi kepemimpinan mantap, dan menyediakan insentif dan ganjaran yang bersesuaian. Mereka mesti memahami perkara berkaitan pembiayaan tahap permulaan dan modal benih, kemudahan makmal dan inkubator, bantuan perundangan, pengurusan sumber pembinaan keupayaan dan peluang jaringan. Universiti harus juga mengukuhkan keperluan prasarana dan dasar harta intelek serta insentif hak milik yang menyokong usaha pemindahan teknologi universiti. Di UKM contohnya, Pusat Inovasi Kolaboratif menerusi Pejabat Pemindahan Teknologi dan UKM Technology Bhd menyediakan bantuan yang sangat diperlukan untuk meniti ‘Lembah Maut’ yang berada di antara hasil penyelidikan universiti dengan pasaran.

Pusat Keusahawanan dan Pembangunan PKS bersama-sama Graduate School of Business ialah tempat menyokong keusahawanan pelajar. Hingga kini, UKM sudah menguruskan 15 lesen dan melancarkan 33 STU, 20 diuruskan UKM Technology Bhd dan 10 di bawah perkongsian pintar UKM-MTDC Symbiosis Graduate Entrepreneurship Programme. Bakinya diusahakan bersama Multimedia Development Corporation dan BiotechCorp. Kerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) mengenal pasti 15 teknologi yang berpotensi dikomersialkan bersama syarikat berkaitan kerajaan atau GLC dan PKS. Pemindahan teknologi universiti ialah proses yang kompleks. Namun kita sudah memulakan perjalanan membentuk bakat muda menjadi saintis dan teknousahawan serta menubuh STU yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin kedudukan Malaysia dalam ekonomi berteraskan inovasi. Pastinya kita akan menemui kegagalan tetapi kita beriltizam mempelajari darinya sebagai prinsip asas demi terus membawa inovasi dan keusahawanan melangkah ke hadapan.

Penulis ialah Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia

SUMBER
BERITA HARIAN
5 SEPTEMBER 2011

ISU KENEGARAAN : MENCARI 100 NAMA PEJUANG MERDEKA

Ku Seman Ku Hussain


Mencari  seratus nama yang memperjuang kemerdekaan perlu dimulai sekarang. Selepas 54 tahun usia kemerdekaan, sekurang-kurang seratus nama mereka yang berjuang untuk merdeka perlu ditampilkan kepada rakyat. Sebelum ini Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dilihat sebagai pejuang kemerdekaan. Tetapi sama ada Dato’ Onn atau Tunku, mereka tidak boleh berjuang sendiri tanpa gerakan daripada segenap sudut. Kerana itu sebelum sampai era Dato’ Onn dan Tunku, gerakan memperjuangkan kemerdekaan telah bermula. Golongan ulama, sasterawan dan wartawan sudah berkerja untuk merdeka sejak lebih awal lagi. Kalau kita mempunyai senarai seratus nama tokoh pejuang kemerdekaan, kita tentu boleh melihat akar dan sejarah kemerdekaan secara lebih menyeluruh dan adil. Dalam perjuangan kemerdekaan, sumbangan golongan berhaluan kiri misalnya tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Ini kerana makna kiri ketika itu adalah gerakan penentang kepada penjajahan termasuk penjajah British. Tokoh seperti Pak Sako, A. Samad Ismail, Said Zahari, Ahmad Boestamam, Syed Sheikh Al Hadi, Burhanuddin Helmi serta banyak tokoh ulama barangkali boleh disenaraikan dalam seratus nama pejuang merdeka.

Kecenderungan mengangkat tokoh tertentu seolah-olah kita tidak sedar telah memadam sejarah. Sejarah tetap sejarah. Ini membuatkan orang bertanya, apa halnya dengan pejuang yang lain? Adakah mereka tidak menyumbang sesuatu dalam perjuangan kemerdekaan sama ada secara langsung atau tidak langsung? Kita lebih melihat acara pengisytiharan kemerdekaan daripada orang yang menggerakkan kemerdekaan di peringkat rakyat. Tiga tokoh wartawan, Pak Sako, A. Samad Ismail dan Said Zahari hampir tidak pernah disebut pada acara mengenang kemerdekaan. Adakah mereka ini langsung tidak berjasa? Sebenarnya usaha menyenaraikan seratus nama ini adalah langkah supaya tidak wujud kecenderungan memadam sejarah. Ini kerana kita seolah-olah diasuh melupakan perjuangan golongan kiri kerana fahaman politik di luar arus zaman penjajah. Generasi selepas ini perlu tahu sumbangan pejuang kemerdekaan selain Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman. Sekurang-kurangnya kalau kita mempunyai seratus nama, kita akan melihat secara menyeluruh proses perubahan dari aspek sosial dan politik menuju kemerdekaan.

Tetapi kita hanya perlu mencari seratus nama, tidak kira siapa mereka termasuklah Tunku Abdul Rahman. Dalam kata lain, setiap penglibatan mereka menyumbang kepada satu gerakan perjuangan kemerdekaan. Senarai ini bukanlah bertujuan menafikan sumbangan pihak atau tokoh tertentu tetapi mengingatkan nama-nama yang barang kali asing kerana kealpaan kita. Sejarah kemerdekaan jangan jadi seperti sejarah perfileman Melayu yang banyak nama terpadam kerana memberi laluan kepada P. Ramlee. Dunia perfileman Melayu telah memadamkan banyak tokoh besar dan ini tidak boleh turut berlaku dalam perjuangan kemerdekaan kerana generasi baru mempunyai banyak laluan untuk mengkaji sejarah. Biarlah dunia filem sahaja yang memadamkan nama Hussein Haniff dan Jamil Sulong untuk mengangkat P. Ramlee.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 SEPTEMBER 2011