Reaksi saya sebagai seorang guru apabila membaca laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyatakan seramai 222 orang daripada 3,227 guru "One-off" yang diberikan penempatan ke Sarawak tidak melapor diri. Ini bermakna mereka telah menutup peluang 222 orang calon lain yang memohon dan rela ditempatkan di mana-mana tetapi permohonan mereka gagal. Pada pandangan saya, sebagai anak pedalaman yang diajar oleh ramai guru dari Semenanjung semasa di sekolah menengah suatu ketika dahulu, saya masih percaya bukan semua anak muda dari Semenanjung tidak mahu ditempatkan di Sarawak. Saya sendiri merupakan anak Sarawak yang diajar dan diberikan ilmu oleh guru-guru dari Semenanjung yang majoritinya dari Kelantan dan Terengganu. Mereka mengajar sehingga lebih 10 tahun di Kapit, tempat yang jauh tersisih dari pembangunan era 1980-an dan 1990-an.
Guru-guru kami sangat komited walaupun terpaksa meninggalkan kampung halaman. Pada masa itu, bandar Kapit hanya dapat dihubungi dengan jalan air. Mereka mampu hidup dan berkhidmat dengan cemerlang di kawasan yang hampir 90% pelajar-pelajarnya miskin seperti saya. Saya amat terhutang budi dengan guru dari Semenanjung (Kelantan) yang melatih saya menjadi Pemidato yang selalu menang Pertandingan Pidato Kenegaraan ketika dahulu. Saya amat bangga dengan guru-guru yang pernah mengajar saya sehingga saya menjadi seperti saya pada hari ini. Ini bermakna adalah tidak semua anak-anak muda dari Semenanjung yang tidak mahu ditempatkan di Sarawak. Ramai yang berminat tetapi mungkin nama mereka tidak terpilih, yang terpilih dan menolak itu pula telah menutup peluang mereka!
Apabila membaca komen warga Sarawak terhadap berita ini saya melihat isu ini dari sudut yang lebih rasional. Seorang menteri dari Sarawak pula mengeluarkan kenyataan bahawa anak Sarawak yang berkelayakan menjadi guru belum mencukupi. Reaksi orang awam (natizen) yang marah saya amat memahami. Menteri itu mengeluarkan pendapat sedemikian mesti setelah beliau melihat data. Ya, memang betul ramai anak tempatan sudah berkelulusan Sarjana Muda tetapi bidang pengkhususan mereka mungkin tidak sesuai untuk dilantik menjadi guru yang mengajar Matematik, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia, Fizik, Sains Komputer, Perniagaan, English, dan Sains. Semua subjek ini susah untuk diajar kalau kita tidak menguasai. Guru yang seperti saya pun menolak kalau diminta mengajar subjek Matematik Tambahan. Saya tidak mampu, saya hanya boleh mengajar subjek bidang kebitaraan saya iaitu Bahasa Melayu. Inilah perkara yang dimaksudkan oleh Menteri itu. Salibus KSSR dan KSSM sekarang pun bukannya mudah untuk dikuasai oleh guru-guru.
Saya sedikit rakat dengan isu ini kerana ketidakcukupan guru mengajar di Sarawak sering dibicarakan. Saya selalu berdoa agar isu ini selesai kerana masalah ini akan mendatangkan kerugian besar kepada anak-anak Sarawak. Saya mahu menasihati mereka yang memohon jawatan guru, andai hati tidak kuat untuk menempuh cabaran dunia perguruan jangan memohon, biarlah mereka yang betul-betul berminat sahaja memohon supaya peluang mereka cerah untuk ditempatkan di Sarawak. Andai hati berbelah bahagi, takut ditempatkan di kawasan pedalaman. Takut meninggalkan Pavillon atau Suria KLCC. Takut untuk jauh dari Genting dan Cameron Hinglands atau makan ikan siakap kayangan di Pulau Langkawi, hentikanlah niat untuk menjadi guru. Guru ini tidak dijanjikan bulan dan bintang. Jika ditempatkan di bandar pun, cabaran tetap ada iaitu pelajar yang kita ajar!
Anak-anak di Semenanjung pula belajarlah mengenali Sarawak di era ke-21, jangan mendengar pendapat mereka yang hidup di Sarawak zaman 60-an dahulu. Sarawak kini bukan Sarawak yang dahulu. Jangan terlalu beranggapan negatif apabila ditempatkan di Sarawak. Saya teringat peristiwa kawan saya dari Kelantan bertanyakan sebuah sekolah tempat anak beliau ditempatkan bulan Januari lepas. Dia tidak risau anak dia mengajar di Sarawak walaupun sekolah itu jauh di Dalat. Dia tanya buaya, saya jawab buaya memang ada di dalam air, biarlah dia hidup di situ. Anak awak mengajar di darat bukan di laut. Alhamdulillah, bulan ini masuk bulan ke-4 anak dia di Sarawak!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan