JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



23 Julai 2012

ISU UMUM : CABARAN DALAM MENINGKATKAN INTEGRITI PEJAWAT AWAM


Rencana ini ditulis oleh :
DATUK AHMAD KHUSAIRI YAHAYA
Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM


Keseriusan kerajaan dalam meningkatkan integriti dan mengekang jenayah rasuah di kalangan pegawai awam jelas menerusi pelaksanaan pelbagai dasar dan program yang diperkenalkan sejak sedekad lalu. Antaranya menjadikan rasuah sebagai salah satu daripada bidang penting yang ditekankan dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP). Untuk itu, sebanyak 27 inisiatif telah dan sedang dilaksanakan dengan giatnya menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA Berkaitan Rasuah. Apa yang menjadi faktor paling kritikal dalam memastikan usaha meningkatkan tahap integriti perkhidmatan awam, sebenarnya bukanlah terletak pada hanya kesungguhan kerajaan. Kesungguhan itu juga perlu datang dari kepimpinan agensi kerajaan dan menuntut semua lapisan warganya untuk berubah. Sejak kebelakangan ini, terdapat perubahan yang boleh dibanggakan ditunjukkan oleh kalangan anggota perkhidmatan awam berbanding sedekad lalu. Hakikatnya, tahap kesedaran para pegawai awam terhadap integriti dan semangat anti-rasuah jelas meningkat. Namun demikian, masih banyak ruang boleh diperbaiki untuk menjadikannya unggul di kaca mata masyarakat.

Berdasarkan perangkaan SPRM sepanjang sembilan tahun iaitu 2003 hingga 2011, secara keseluruhannya, purata tangkapan ke atas penjawat awam adalah seramai 260 orang setahun. Berbanding jumlah keseluruhan penjawat awam di Malaysia iaitu 1.4 juta orang, peratusannya adalah terlalu kecil iaitu sekitar 0.018 peratus sahaja. Walaupun kelihatan kecil namun jika tidak dibendung ia mampu meruntuhkan negara. Pegawai awam dilihat mempunyai kuasa dan kuasa ini jika disalahgunakan boleh mengakibatkan kesan yang amat buruk. Trend perubahan ke arah pembudayaan integriti dan anti-rasuah di kalangan pegawai awam jelas ketara bermula 2009. Terdapat pengurangan yang jelas dari segi jumlah tangkapan ke atas penjawat awam berbanding tangkapan ke atas sektor swasta dan orang awam. Kempen Perangi Pemberi Rasuah benar-benar menghasilkan impak yang besar dalam sejarah pencegahan rasuah di negara ini. Sejak pelancarannya pada 2009, jumlah penjawat awam dan swasta yang ditangkap kerana cuba menyogok pegawai awam melonjak begitu tinggi. Dalam 2009 misalnya, jumlah tangkapan keseluruhan SPRM ialah seramai 500 orang kerana ditangkap cuba memberi rasuah seramai 98 orang. Melonjak melebihi empat kali ganda iaitu seramai 424 orang dalam 2010 dan 389 orang dalam 2011. Jumlah wang sogokan bermula dari RM50 ke angka RM1 juta.

Perubahan BPR kepada SPRM dalam 2009 sebenarnya membawa kepada perubahan dari segi pendekatan dan strategi pencegahan rasuah di negara ini. SPRM menetapkan tiga bidang utama iaitu penguatkuasaan, perolehan (sebut harga dan tender awam) dan projek mega kerajaan sebagai fokus utamanya. Beberapa kelemahan yang selama ini menghalang usaha pencegahan rasuah dikenal pasti, antaranya tanggapan bahawa tanggungjawab memerangi rasuah terletak di tangan SPRM semata-mata, kurangnya inisiatif agensi awam untuk mencegah rasuah; mekanisme kawalan dalaman yang longgar dan tidak sempurna dan kesalahan rasuah tidak dianggap sebagai kesalahan berat bagi kes tatatertib. Terdapat segelintir ketua yang menganggap tugas mencegah rasuah adalah tanggungjawab SPRM. Justeru, pembudayaan integriti dan pencegahan rasuah bukan merupakan agenda utama. Yang lebih penting menjaga suasana harmoni dan semangat esprit de corp di kalangan pegawai/staf. Jika tindakan keras diambil dan pembudayaan anti-rasuah menjadi berkesan maka ia kononnya akan mewujudkan suasana kurang selesa dan syak wasangka sesama anggota.

Perkara yang lebih disesalkan ialah sikap kasihan kepada pesalah rasuah masih menjadi asas pertimbangan dalam proses tindakan tatatertib. Bagi SPRM, siasatan sesuatu kes tidak hanya berakhir dengan tindakan menghadapkan suspek ke mahkamah semata-mata. Sebaliknya, banyak kes yang disiasat SPRM dikemukakan sebagai Laporan SPRM untuk tindakan tatatertib. Namun, atas dasar simpati, suspek-suspek ini terlepas daripada hukuman berat seperti ditamatkan perkhidmatan dan hanya diberikan surat teguran atau amaran sahaja. Perangkaan SPRM sepanjang 10 tahun lalu berhubung kes tatatertib jelas menunjukkan sebanyak 1,957 laporan dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Agensi. Daripada jumlah itu, hanya 60 kes dikenakan hukuman buang kerja. Sebaliknya, 979 atau 50% dikenakan surat amaran yang tidak mendatangkan apa-apa kesan deterrent. Ini jelas menunjukkan tiada istilah serius dalam kes-kes yang melibatkan perbuatan jenayah rasuah. Cabaran utama yang perlu diperbaiki dalam memastikan kelangsungan program pemantapan integriti dan pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam adalah melibatkan dua pendekatan strategik yang dikenal pasti SPRM iaitu memperkasakan entiti kawalan dalaman agensi awam dan memperkukuhkan SPRM.

Justeru, dalam konteks memperkasakan entiti kawalan dalaman agensi awam, SPRM telah mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan model pencegahan rasuah yang berbentuk kawalan dalaman menerusi penubuhan Unit Integriti di kementerian, jabatan Persekutuan dan negeri. Model unit ini sama seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan. Di AS ia lebih dikenali sebagai Inspector General Office (IGO). Unit ini diwujudkan di jabatan-jabatan berisiko tinggi dan bertanggungjawab sepenuhnya memantau dan menjalankan siasatan ke atas kes-kes berkaitan integriti, rasuah dan lain-lain jenayah yang melibatkan warga agensi terbabit. Mengambil contoh di AS, unit integriti New York Police Department (NYPD) ditubuhkan dengan keanggotaan seramai 700 orang bagi memantau 35,000 pegawai polis di NYPD iaitu nisbah 1:50 manakala Pihak Berkuasa Pelabuhan New York mempunyai keanggotaan 70 orang bagi memantau 7,000 pekerjanya iaitu nisbah 1:100. Idea berhubung penubuhan Unit Integriti di agensi-agensi kerajaan ini disambut baik. Buat masa ini, empat agensi telah mewujudkan unit ini iaitu Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pengangkutan Jalan dan SPRM sendiri. Pegawai-pegawai SPRM akan dilantik dan ditempatkan sebagai Ketua Unit Integriti di agensi-agensi terbabit.

Perubahan status daripada BPR ke SPRM dalam 2009 sebenarnya selari dengan perubahan besar kepada budaya kerja dan sistem operasi SPRM secara keseluruhannya. Bermula dengan Pelan Strategik SPRM 2011-2013, tiga bidang utama diperkukuhkan termasuk memperkenalkan sistem pengurusan siasatan berkesan, sistem pengurusan pencegahan dan pendidikan berkesan dan pembangunan serta pemantapan modal insan SPRM secara menyeluruh. Jawatankuasa Eksekutif Transformasi yang terdiri daripada ahli-ahli Lembaga Penasihat SPRM dibentuk bagi memacu proses transformasi. Kesan kepada proses transformasi ini jelas memantapkan SPRM dari segi memperbaiki struktur organisasi, memperkenalkan sistem pengurusan modal insan berdasarkan kompetensi, memperkenalkan sistem pengurusan bakat yang fleksibel dan membawa masuk tenaga pakar yang berkepakaran tinggi bagi meningkatkan operasi SPRM.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
22 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : TELEFON BIMBIT, KEWUJUDAN PELBAGAI KONFLIK


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin


Biarpun baru memasuki frasa cadangan, isu sama ada membenarkan atau tidak pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah tahun depan pantas mendapat reaksi berbeza. Pelbagai pendapat pro dan kontra dibentangkan selain melihatnya secara positif atau sebaliknya dengan pendapat masing-masing. Hakikatnya, isu berkenaan bukan baru malah sebelum ini sudah ada cadangan melaksanakannya namun tidak menjadi kenyataan. Yang menjadi teras persoalan ialah apakah kebaikan atau keburukan bakal dihadapi sekiranya ia direalisasikan mahupun jika tidak berjaya dilaksanakan. Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Zuroni Md Jusoh berkata, senario berkenaan wajar dilihat secara menyeluruh agar tidak menjadi penyesalan masa depan apatah lagi membabitkan perubahan drastik pola kehidupan pelajar, guru dan sekolah.

Menurutnya, institusi sekolah biarpun tertakluk pada dasar ditetapkan namun pendekatan bersesuaian harus diambil kira dan diteliti supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak. “Sekolah keseluruhannya adalah aspek terpenting jika ingin melaksanakan atau tidak cadangan ini kerana sebarang tindakan diambil pasti merombak atau merubah situasi sedia ada. Dengan kata lain pihak terbabit perlu melihat dan menilai kemampuan, keupayaan mahupun persediaan sekolah dalam menangani apa jua keadaan berbangkit jika kebenaran ini diberi atau sebaliknya. Ini membabitkan institusi sekolah yang menjadi antara kelompok terbesar dan terpenting di negara ini. Justeru, perbincangan, kajian, pandangan atau apa jua tindakan bakal diambil memerlukan penelitian mendalam supaya tidak menjadi isu lain kelak”, katanya. Tidak mahu bersikap skeptikal, beliau memberi contoh beberapa senario bakal timbul jika ia dilaksanakan.

Beliau berkata, jika direalisasikan, perkara asas bakal dihadapi ialah kewujudan pelbagai konflik yang dianggap kecil namun boleh merosakkan masa depan pihak sasaran. “Antaranya, konflik sekolah dan guru dengan ibu bapa yang mana pelaksanaan itu boleh dianggap landasan mewujudkan ‘ketegangan’ emosi kedua pihak. Bayangkan, apa reaksi ibu bapa jika anak pulang dari sekolah dan mengadu guru marah kerana bertelefon. Adakah mereka boleh berdiam diri biarpun kesalahan mungkin datang daripada pelajar. Melihat reaksi ibu bapa hari ini, saya yakin keadaan pasti menjadi panas. Nampak kecil tapi kesannya boleh berpanjangan dan menimbulkan konflik lain pula hingga meruncingkan keadaan yang sudah sedia runcing ini. Jadi tidakkah ia akan mengganggu kehidupan mahupun privasi pihak lain pula?” katanya.

CIKGU ZUL RASA ADA RASIONALNYA CADANGAN INI, CUMA PELAJAR HARUS MATANG DAN BIJAK MENGGUNAKAN TELEFON BIMBIT YANG DI BAWA SERTA MENJAGANYA DENGAN BAIK. JANGAN SAMPAI LEPAS INI MASALAH KECURIAN TELEFON BIMBIT MENGANGGU TUGAS GURU DALAM MENYAMPAIKAN ILMU


Pada masa sama katanya, konflik ekonomi dalam kalangan ibu bapa juga akan wujud kerana pertambahan bebanan kewangan menambah nilai kad telefon yang digunakan anak. “Kita maklum, semuanya bukan percuma. Diberi pula pada pelajar yang rata-ratanya memang gila melakukan pembaziran air liur.  Bukankah ini turut mengganggu perjalanan ekonomi ibu bapa yang kini semakin sesak bergelut dengan kos sara hidup yang menjulang. Ini bakal mengundang konflik dalam keluarga pula. Saya percaya bukan semua ibu bapa mampu mengadakan kemudahan itu (telefon bimbit atau gajet). Jika tidak dituruti, cuba bayangkan apakah tindakan yang mereka akan lakukan semata-mata ingin memenuhi keperluan itu,” katanya tidak menyangkal akan wujud masalah sosial lain semata-mata mahu memuaskan kehendak hati. Pelajar golongan remaja yang sedang mencari identiti diri. Mereka sukakan perhatian, persaingan, dikenali serta berfikiran singkat dan kurang matang.



Sudah pasti tidak mustahil mereka rela mengikut kata hati. Jika ibu bapa tidak mampu memenuhi keinginan mereka, bayangkan pula tindakan bakal diambil pelajar berkenaan. Adakah mereka kisah mengenai soal maruah, alasan logik, kesusahan dan sebagainya? “Tidak kerana yang penting ialah tidak mahu ketinggalan mahupun diperlekehkan rakan lain Jalan paling mudah terbabit dengan gejala sosial bagi memperoleh apa diingini,” katanya. Ramai pihak juga ternyata kurang setuju dengan cadangan itu yang beranggapan seperti memanjangkan lagi langkah pelajar ke arah aspek negatif. Antaranya bakal menyebabkan kurang tumpuan di kelas, meluaskan pergaulan alam maya yang memungkinkan melonjakkan lagi tragedi sosial dan sebagainya. Beliau juga berpendapat, apa dilakukan sekolah hari ini sudah memadai dan alasan ibu bapa ia mudah untuk memantau pergerakan pelajar kurang praktikal. “Pelajar sekarang adalah anak generasi teknologi, mereka bijak memanipulasi keadaan mahupun mencipta alasan. Telefon bimbit bukan jaminan mereka tidak berbohong. Masih ada cara lain ibu bapa boleh memantau pergerakan anak seperti mengenal pasti siapa rakan mereka, melakukan pemeriksaan mengejut dan sebagainya.  Saya percaya kalau ibu bapa tidak bersikap lepas tangan, pergerakan anak boleh dipantau dengan baik. Tidak perlu telefon bimbit sebagai pengantara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan keperluan telefon bimbit untuk pelajar dalam usaha mendedahkan mereka dengan penggunaan teknologi global. “Kepentingan itu tetap ada dan kita juga tidak boleh menyekat daripada belajar atau tahu mengenainya. Sebab itu kebanyakan sekolah sudah menggunakan kaedah pembelajaran berbentuk moden sebagai alat bantuan mengajar mahupun menyediakan makmal komputer untuk mengakses maklumat dan sebagainya. Apakah kemudahan itu tidak cukup untuk memberi pendedahan teknologi hingga memerlukan gajet atau telefon bimbit bagi menjadikan suasana pembelajaran lebih seronok atau tidak ketinggalan. Justeru memberi kebenaran membawa telefon bimbit ke sekolah tidak sesuai kerana fungsinya nanti akan disalahgunakan hingga menjejaskan kepentingan proses pembelajaran lebih utama,” katanya.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
22 Julai 2012

ISU UMUM : TOM CRUISE AMAL AJARAN SESAT


Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim


Kes perceraian pelakon terkenal, Tom Cruise dengan Katie Holmes pada 29 Jun lalu, mungkin dianggap kelaziman selebriti Hollywood masa kini. Apatah lagi, dunia hiburan Malaysia juga tidak terkecuali. Setiap bulan ada sahaja pasangan yang berpisah. Jadi mengapa kita perlu peduli pun? Kelainan pada kes TomCat (nama jolokan media terhadap pasangan ini) perpisahan mereka bukan dikaitkan dengan orang ketiga atau kecurangan atau mengguna istilah peguam cerai ‘tiada persefahaman yang boleh diselamatkan lagi’. Sebaliknya, media-media Amerika Syarikat (AS) cenderung mengaitkannya dengan penolakan Katie terhadap kepercayaan Tom yang menjadi pengikut ajaran Church of Scientology atau Gereja Saintologi yang disifatkan oleh majoriti penduduk Kristian di AS sebagai ajaran sesat. Katie dikatakan amat bimbang masa depan anak mereka, Suri yang berusia enam tahun dipengaruhi oleh amalan dan pegangan Cruise yang begitu taksub dengan Scientology. Sekarang, Katie dilaporkan memasang pengawal peribadi, bimbang diganggu pengikut Scientology dan terutama, keselamatan Suri kerana ia juga bermulanya ‘peperangan’ dengan Cruise untuk mendapatkan hak penjagaan.

Menurut The Huffington Post, Cruise memang sudah mencapai status bintang filem semasa pertama kali diperkenalkan kepada Scientology. Dengan filem laris seperti ‘Risky Business’ dan ‘Top Gun’, status selebriti Cruise pantas terbina, menjadikannya sasaran utama untuk direkrut oleh Scientology. Cruise diperkenalkan kepada Scientology pada lewat 1980-an oleh isteri pertamanya, Mimi Rogers menerusi bapanya, Phil Spickler, yang merupakan antara anggota Scientology paling berpengaruh pada tahun-tahun awal penubuhannya. Cruise bercerai dengan Rogers pada Februari 1990 dan kemudian berkahwin dengan Nicole Kidman pada Disember tahun yang sama. Selama bertahun-tahun, kisah Cruise menyertai ajaran sesat Scientology tidak menjadi sensasi sehinggalah detik perceraiannya dengan Kidman pada 2011. Kidman dilaporkan tidak pernah menyokong Scientology dan banyak pihak mendakwa pegawai-pegawai gereja tersebut memanipulasikan Cruise supaya menamatkan perkahwinannya dengan pelakon tinggi lampai itu.

Hari ini, Cruise adalah pelakon Hollywood berpendapatan paling tinggi, sekali gus menjadi ikon kepada Scientology, serta dikatakan menduduki jawatan kedua tertinggi dibawah pemimpin gereja sekarang, David Miscavige. Menurut laporan RadarOnline, Cruise ‘memeluk agama’ Scientology selepas beberapa kaedah yang diguna oleh gereja tersebut membantunya mengatasi penyakit dyslexia yang dihadapinya. Seorang bekas anggota Scientologis selama 27 tahun dan kini berusaha mendedahkan kepincangan ajaran tersebut, Nancy Many berkata, Cruise telah diberi layanan istimewa bagi memastikan dia benar-benar terpengaruh. ‘‘Cruise menghadapi masalah untuk membaca. Maka semasa sesi membaca, anggota gereja tidak membiarkannya seorang diri tetapi dipasangkan dengan seseorang bagi membantunya memahami buku ajaran," kata Many. Agama baru Cruise ini menjadi tajuk berita utama pada Januari 2004, setelah dia mengakui secara terbuka mengenainya. Sejak itu, dia menjadi jurucakap dan daya tarikan kepada pencari tuhan baru, malah menjadi tanda tanya apakah Cruise telah menerima jawatan pemimpin dalam gereja tersebut. Perkara itu dinafikan oleh peguamnya.

Scientology diterima sebagai sebuah pergerakan agama di Amerika Syarikat. Dilabel sebagai agama paling kontroversi, tidak difahami dan paling kritikal, suatu ajaran sesat. Ia dikatakan berakar umbi daripada elemen yang dicedok dari Buddha, Hindu dan sebilangan besar ahli falsafah Barat, termasuk aspek-aspek tertentu Kristian. Menurut kajian majalah Rolling Stones, pengikut Scientology, sama seperti Mormons atau evangelicals Kristian, menganggap diri mereka sedang melakukan suatu misi ketuhanan. Mereka kerap menuturkan ‘mahu membantu manusia’ dan misi tersebut ditekankan dalam sebilangan besar prinsip gereja tersebut. ‘‘Pengikut Scientology melihat diri mereka sebagai pemegang doktrin dan kemahiran yang boleh menyelamatkan dunia, mungkin alam semesta juga," kata Stephen Kent, profesor sosiologi di Universiti Alberta, di Kanada, yang telah mengkaji secara mendalam ajaran tersebut. Scientology diasaskan oleh seorang penulis kisah fiksyen sains, L. Ron Hubbard pada 1953. Hari ini, pegawai gereja tersebut mendakwa pengikut Scientology telah tumbuh lebih pesat dalam tempoh lima tahun lalu berbanding 50 tahun lalu. Menurut majalah Rolling Stones, beberapa bukti, menunjukkan dakwaan itu tidak benar.

Pada 2001, satu kaji selidik oleh City University of New York mendapati hanya 55,000 orang di Amerika Syarikat yang mengaku memeluk agama Scientology. Di peringkat global, terdapat pengkaji meletakkan anggaran wajar pengikut Scientology sekitar 100,000 dan 200,000 orang, kebanyakannya di Amerika Syarikat (AS), Eropah, Afrika Selatan dan Australia. Mengikut senarai orang yang menamatkan kursus induksi gereja (yang dicatat dalam penerbitan gereja itu sendiri dan juga di Internet) hanya 6,126 orang mendaftar di pusat agama pertubuhan itu di Clearwater, Florida pada 2004, jauh menurun berbanding 11,210 orang pada 1989. Angka tersebut, dianggap oleh pengkaji menunjukkan sambutan terhadap Scientology, kian menurun. Usaha Rolling Stones untuk menyiasat lebih mendalam tidak mendapat kerjasama langsung daripada gereja Scientology yang lebih suka menutup pintu kepada media. Gereja itu juga memiliki reputasi cenderung untuk memulas tangan pengkritik menerusi tindakan saman mahkamah, malah terdapat juga kes ancaman fizikal, kata Rolling Stones yang melakukan laporan penyiasatan selama sembilan bulan terhadap Scientology.

Selebriti-selebriti Hollywood sememangnya menjadi sasaran untuk direkrut oleh Scientology, disebabkan faktor yang sememangnya diketahui umum. Keterampilan dan aura selebriti memudahkan sesuatu produk dijual kepada orang ramai. Dalam konteks ini, produk yang dijual oleh Scientology adalah suatu ajaran kerohanian ciptaan penulis fiksyen sains. Antara selebriti Hollywood lain yang diakui oleh Scientology sebagai pengikut mereka ialah John Travolta dan isterinya, Kelly Preston, Giovanni Ribisi, Lisa Marie Presley, Juliette Lewis, Erika Christensen,Bijou Phillips, Elisabeth Moss Kirstie Alley. Kebanyakan mereka dididik dengan agama Kristian oleh ibu bapa masing-masing tetapi memilih ajaran baru ini setelah dewasa. Agaknya, setelah mengecap kemasyhuran dan kemewahan, ada kalangan selebriti ini hilang punca untuk mencari pegangan hidup, lalu mendakap apa sahaja yang disuakan kepada mereka. Cruise dan rakan selebriti seangkatannya tidak bercakap mengenai agama mereka secara kerap dan terbuka. Trend yang dipegang ialah ‘agamaku, hal peribadi ku’. Tidaklah dipastikan sejauh mana ada kebaikan daripada prinsip seumpamanya. Atau apakah ia lebih baik berbanding selebriti yang melaungkan diri mahu kembali kepada agama tetapi berbuat demikian dengan parti politik, walhal lebih afdal untuk mereka sertai badan agama.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Mingguan Malaysia
22 Julai 2012

ISU KESIHATAN : PENYAKIT MENTAL DALAM KALANGAN RAKYAT MALAYSIA



ADAKAH MENTAL ANDA SAKIT?

Kejadian gempar dua rakyat Malaysia mengamuk tanpa sebab di bangunan Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini benar-benar mengejutkan. Manakan tidak kerana mereka bukan merempuh banglo kecil. Ikut logik, adakah individu normal akan bertindak membawa pedang samurai dan pisau pemotong daging lalu mengamuk di tempat kawalan ketat. Kisah Khalil Afandi, 47, dan Muhdalena Ahmad , 28, tidak lain dikaitkan akibat sakit mental kerana dikatakan bermasalah kecelaruan personaliti. Khalil sukar dicam. Sekejap menjadi baik, sekejap bertukar garang. Dia mendakwa bertukar jasad, seperti filem The Highlander. Malah menganggap hero filem itu. Muhdalena digambarkan seorang peramah dan tidak pernah bermasalah kepada keluarga serta berkelulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Amukan mereka membawa psikologi pemikiran kita kepada penyakit mental yang semakin kronik dalam masyarakat moden kini. Bayangkan secara tiba-tiba abang, kakak, adik, jiran, suami atau isteri kita menjerit, ketawa, senyum, menangis tanpa sebab.

Bagaimana sekiranya rakan sepejabat kita mengamuk hanya kerana mesin fotostat rosak? Bayangkan tunang kita ketawa tidak berhenti selepas digigit semut. Bayangkan, ini semua berkaitan mental. Dalam keadaan seperti ini, sihatkah mental mereka? Nah, di sinilah kita perlu tahu penyakit mental adalah penyakit melibatkan gangguan fungsi otak yang menyebabkan perubahan proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang. Dipercayai sekurang-kurangnya seorang daripada sembilan penduduk di Malaysia sakit mental bermula daripada kemurungan hingga skizofrenia. Tidakkah ini dilihat sebagai ancaman kepada kita yang moden ini. Mengapakah rakyat kita semakin ‘gila’. Jenayah ada merata. Apakah sebabnya. Bagaimana keadaannya? Jika ditakdirkan, mental kita tidak elok lagi, ke mana harus membawa diri. Bertitik tolak dari kisah amukkan di Putrajaya,

BEZA ANTARA SIHIR DAN SAKIT MENTAL

Masyarakat kita hari ini perlu membezakan di antara penyakit mental dan sihir lantaran kebiasaan sesetengah orang yang gemar dan cenderung mengaitkan penyakit mental dengan perbuatan sihir. Pakar yang juga Pengarah, Hospital Permai Johor Bahru, Dr Abdul Kadir Abu Bakar berkata, kita tidak boleh menafikan kewujudan sihir yang mana perbuatan (atau kejadian) luar biasa dilakukan oleh manusia secara tersembunyi (ghaib) dengan membabitkan makhluk halus. Menurutnya, sehingga kini masyarakat gemar mengaitkan gangguan sihir dengan masalah mental kerana ia menjadi amalan kepercayaan sejak  turun temurun. Tetapi, sihir dan penyakit mental adalah sesuatu yang berbeza. Akibat perbuatan sihir,  pesakit akan mengalami delirium atau meracau berikutan jangkitan kuman pada otak. Apabila otak gagal berfungsi, pesakit turut berhadapan dengan masalah phrenitis atau otak membengkak. Seterusnya tidak mampu mengurus diri, sehingga menyebabkan perubahan secara drastik. Sihir membabitkan penggunaan mantera, pemujaan dan penyeruan menggunakan makhluk halus yang kemudian mempengaruhi otak  dan akhirnya mengganggu fungsi akal fikiran rasional pesakit.

Apatah lagi kekerapan dalam filem atau rancangan televisyen mengenai sihir membawa andaian psikologi yang seterusnya mengukuhkan lagi persepsi sedemikian. Beliau tidak menolak punca perbuatan sihir disebabkan dorongan perasaan iri hati, hasad dengki dan dendam seperti dalam perebutan jawatan atau hasrat memenangi hati majikan. Bagaimanapun setakat ini beliau belum menerima pesakit yang mengalami gangguan sihir dirujuk kepada pihak hospital ini. Berhubung sakit mental katanya, 12 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini  alami masalah kesihatan mental dan masih ramai yang tidak dirawat. Beliau menafikan budaya kerja di negara ini menjadi faktor penyumbang penyakit mental sebaliknya setuju bahawa bebanan tanggungjawab dalam kehidupan sosial moden hari ini seperti keruntuhan institusi keluarga  boleh menyebabkan penyakit mental. Tetapi katanya, apa yang menjadi masalah sekarang ialah masih ramai pesakit mental yang tidak mendapatkan rawatan sedangkan rawatan boleh diperoleh secara percuma.

PENYAKIT MENTAL PENYAKIT WARISAN

Rakyat Malaysia paling ramai menghidap skizofrenia iaitu sejenis penyakit mental warisan yang berlaku akibat gangguan kimia dalam otak. Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK),  Dr N Umadevi  berkata, jenis yang kedua ialah bipolar. Katanya, ini berdasarkan jumlah kehadiran pesakit yang datang untuk rawatan  di HBUK atau lebih dikenali Hospital Tanjung Rambutan, Perak. Memperincikan ciri penyakit mental paling kronik menyerang rakyat Malaysia itu, Dr Umadevi berkata, otak seseorang  yang terganggu oleh bahan kimia iaitu dophamine berlebihan, boleh  menyebabkan penyakit skizofrenia. Menurutnya, dari segi tingkah laku, pesakit skizofrenia misalnya akan mengadu bahawa orang lain tidak suka kepada dirinya, sentiasa syak wasangka, suka memencil diri dan enggan bergaul dalam masyarakat. “Mereka tidak terurus dan selalu mengalami halusinasi atau delusi seperti mendengar suara ghaib dan bisikan-bisikan, seolah-olah ada seseorang sedang bercakap mengenainya. Apabila pesakit mengalami tekanan dan tidak tahan dengan bisikan-bisikan itu, mereka akan bertindak agresif seperti menyerang orang lain kerana beranggapan mangsa mengata diri pesakit,” kata pakar berkenaan.

Sementara bipolar penYakit keturunan yang mana pesakit akan mengalami dwipolar (dua perasaan) iaitu  terlalu gembira atau terlalu sedih. “Apabila pesakit terlalu gembira, mereka akan banyak bercakap dan sukar berhenti sehingga dia menjadi terlalu letih. Rentetan keletihan itu, pesakit tidak boleh tidur tetapi muncul semangat dan tenaga sangat tinggi. Berdasarkan pengalaman saya misalnya, pernah ada pesakit berjalan kaki dari Tapah ke hospital ini sehingga kakinya bengkak. Tetapi pesakit langsung tidak berasa letih. Keadaan seperti ini, kita panggil ‘mania’ kerana pesakit terlalu gembira dan seronok. Sementara jika pesakit terlalu sedih, ia dipanggil sebagai ‘depression’ yang mana mereka yang mengalaminya sentiasa menangis, memencilkan diri, rasa bersalah dengan apa yang pernah dilakukan sebelum ini walaupun perkara itu terlalu remeh-temeh. “Ada kalanya, mereka ini mahu membunuh diri, tidak mahu bekerja atau tidak mahu makan dan sebagainya,” jelas beliau mengenai ciri-ciri skizofrenia dan bipolar yang sedang menular dalam masyarakat moden kita hari ini. 

Dr Umadevi berkata, selain bimbang kepada dua jenis penyakit mental itu, berdasarkan jumlah kehadiran pesakit secara sukarela di HBUK, turut menunjukkan pesakit mental semakin kronik dan  sekali gus bermakna rakyat di negara ini ramai sedang bermasalah kesihatan mental. Malah beliau tidak menafikan bahawa sakit mental menjadi penyakit global pada masa depan kerana masyarakat semakin banyak terdedah dengan stres melampau. “Pada masa depan, saya percaya lebih ramai pesakit akan berjumpa pakar psikiatri akibat stres dan kemurungan. Kemudian, penyakit kerisauan atau ‘anxiety disorder’ iaitu seseorang yang sentiasa gelisah, panik dan gugup. Begitu juga ‘sustance induced disorder’ iaitu penyakit yang disebabkan oleh pengambilan dadah, gam dan alkohol. “Seperti kita maklum, sakit mental boleh disebabkan keturunan, gangguan bahan kimia dan kemalangan akibat hentakan kuat. Katanya, perlu diingat bahawa penyebab paling tinggi penyakit mental di Malaysia adalah akibat gangguan bahan kimia dalam otak terutama individu yang mengalami stres atau tekanan melampau.

“Saya beri contoh, seorang ayah terpaksa bekerja untuk isteri dan anak-anaknya. Ketika di tempat kerja, si ayah perlu beri perhatian  100 peratus dan begitu juga  di rumah. Kemudian keadaan di mana anak-anak sakit yang akhirnya mendatangkan stres. Lelaki pula biasanya malu untuk meminta pertolongan dan mereka cuba mencari penyelesaian sendiri seperti menghisap rokok, minum alkohol dan mengambil dadah. Selain stres, pengambilan dadah terutama dadah sintetik seperti syabu secara kerap dan berterusan juga antara faktor penyebab seseorang itu sakit mental khususnya golongan muda. Begitu juga penghisap gam kerana kandungan phencycledine iaitu sejenis perangsang yang boleh merosakkan otak," katanya. Begitu malang apabila negara kita diserang oleh pesakit skizofrenia dan bipola kerana penyakit mental seperti itu atau juga penyakit lain sesungguhnya tidak boleh sembuh sebetulnya tetapi hanya boleh dirawat dan dikawal menggunakan ubatan serta kaunseling. Bayangkan keadaan Malaysia hari ini dan dibimbangi keadaan akan menjadi buruk sekiranya ramai yang terlibat dadah berikutan dadah memberikan implikasi lebih teruk dan menyebabkan ia lebih sukar untuk dirawat.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Sinar Harian
23 Julai 2012