Oleh Khairuddin Mohd.
Zain
Penulis harus
mengakui bahawa ada ciri baik Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang wajar
dikagumi. Antaranya adalah kesediaan ibu bapa, masyarakat dan pemain ekonomi
masyarakat mereka yang sanggup menyumbang wang dan tenaga, dalam jumlah yang
besar, demi untuk memastikan tahap pendidikan generasi mereka berada di tahap
yang terbaik. Sewaktu penulis menetap di Wangsa Maju, adalah menjadi
pemandangan biasa untuk melihat rakan-rakan berbangsa Cina bangun jauh lebih
awal daripada kanak-kanak berbangsa Melayu. Mereka sanggup menghantar anak ke
sekolah paling jauh, asalkan ia menjanjikan kualiti pendidikan yang baik.
Sekolah kebangsaan di hadapan rumah pangsa bukan pilihan utama mereka.
Acara-acara untuk
mengumpul dana di sekolah Cina jarang sekali gagal. Malahan, adalah menjadi
kebiasaan, ratusan ribu mampu dijana oleh pihak pentadbiran sekolah apabila
melaksanakan aktiviti menambah tabungan. Itu belum lagi ambil kira jumlah yuran
tinggi yang ditanggung oleh ibu bapa. Mungkin semua ini berlaku kerana deria
survival mereka berada di tahap yang tinggi. Apa sahaja yang mungkin menyentuh
kepentingan survival mereka akan disuarakan secara cukup lantang. Namun,
dalam pada NGO berteraskan pendidikan bersuara lantang, adakalanya mereka gagal
melihat sesuatu melalui perspektif yang lebih besar. Tindakan pertubuhan
seperti Dong Zong mengepalai rali menentang Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025 boleh disifatkan sebagai contoh di mana mimpi
songsang pertubuhan tersebut membuat kita mempersoalkan sama ada inikah
satu-satunya jalan hadapan kepada sistem pendidikan di Malaysia?
Perlukah kita
sentiasa berkonfrontasi? Perlukah ada penentangan terhadap semua perkara -
walaupun niatnya baik dan untuk kebaikan semua? Sampai bila kita nak bermain
dengan kad perkauman, sedang realiti dan keadaan menuntut kita membawa fikrah
kebangsaan? Mimpi songsang Dong Zong sangat mengakar bilamana PPPM disifatkan
sebagai agenda kerajaan untuk menutup sekolah jenis kebangsaan? Mimpi dan
inspirasi Dong Zong ini terlalu jauh tersasar. Hakikatnya, tidak terdapat dalam
satu baris ayat PPPM pun yang membawa niat itu. Tak ada! Sejumlah 248 mukasurat
(versi digital) perincian PPPM membicarakan isu pendidikan dalam adunan yang
cukup murni dan berpandangan jauh. Ia tidak sempurna, namun sebagai asas masa
hadapan, ia bukanlah sesuatu yang layak ditolak secara membuta tuli.
Persekutuan
Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong),
Persekutuan Persatuan-persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan
mana-mana pertubuhan lain perlu menilai PPPM secara adil. Tidak perlu membawa
mimpi songsang dan teori konspirasi jenis apa sekalipun. Cukup sayang,
sekiranya PPPM masih lagi mahu dinilai melalui tingkap pandangan yang berbentuk
perkauman. Apakah dengan niat memperkasa sekolah kebangsaan, maka dengan
sendirinya SJKC dan SJKT akan terkubur? Apakah dengan penambahan minit untuk
belajar Bahasa Melayu akan mematikan Bahasa Mandarin dan Tamil?
Niat sistem
pendidikan sudah tentulah perlu disesuaikan dengan keperluan masa dan keadaan.
Sistem nilaian kita mengenai sistem pendidikan juga perlu ditanda araskan
dengan negara lain yang lebih hebat. Dong Zong perlu sedar, pendekatan kalah-kalah
seperti ini tidak akan menguntungkan sesiapa. Menganjurkan rali, hanya di atas
landasan mimpi songsang seperti yang dinyatakan adalah suatu perkara yang
tidak bertanggungjawab. Penulis sebenarnya mengimpikan, suasana di mana
guru-guru SJKC, yang mempunyai kemahiran hebat dalam matematik, dapat duduk
berkongsi metod dan kaedah pendidikan terbaik mereka dengan pendidik di sekolah
kebangsaan. Perlu ada interaksi yang lebih positif antara kita. Malangnya,
suasana itu cukup kurang berlaku. Sehinggakan, apa yang dikatakan oleh Dong
Zong, pelaksanaan program kebudayaan yang bersifat nasional juga adalah suatu
usaha menidakkan kepentingan bahasa dan budaya bangsa Cina. Apakah pembinaan identiti
nasional juga satu ancaman kepada Dong Zong?
Dalam isu bahasa,
PPPM membawa niat seperti berikut (mukasurat 38) - '...Oleh itu, dalam jangka
masa tertentu, semua murid dari semua kumpulan etnik dan komuniti digalakkan
untuk belajar sekurang-kurangnya tiga bahasa (bahasa Malaysia, bahasa Inggeris,
bahasa lain seperti bahasa Mandarin, bahasa Tamil, dan bahasa Arab, serta
bahasa ibunda lain seperti bahasa Iban dan bahasa Kadazan Dusun)'. Di mana
komitmen PPPM untuk mematikan bahasa Mandarin? Malah, jika PPPM dilaksanakan
secara bersungguh, ada sekolah di Taman Melawati (Selangor), Gua Musang
(Kelantan), Jorak (Johor) dan Bukit Ibam (Pahang) yang menawarkan bahasa
Mandarin, bahasa Iban dan bahasa Kadazan Dusun sebagai subjek elektif.
Niat yang sedemikian
murni, tidak wajar ditentang dengan rali berasaskan teori konspirasi dan mimpi
songsang. Pimpinan pertubuhan seperti Dong Zong, sudah perlu bersedia berfikir
dan bertindak dalam jajaran politik baru. Kecualilah, mereka mahu terus-terusan
didodoi dengan lagu bangkang dan tentang yang digurindam oleh pihak
berkepentingan lain. Menyusur niat melaksanakan rali menentang PPPM ini,
membuatkan penulis terimbau dengan kenangan Tuntutan Suqiu pada tahun 1999.
Daripada tuntutan 83 perkara, 14 berkaitan pendidikan. Dong Zong juga adalah
pemain utama kepada tuntutan tersebut. Selepas hampir 13 tahun, kita masih lagi
bermain dengan permainan sama.
Penulis mengharapkan
pimpinan pertubuhan seperti Dong Zong mempunyai sedikit niat dan identiti
nasional di dalam gerakan mereka. Jangan bersikap haloba dengan tuntutan dan
kehendak. Kerana suka tak suka, setiap kita perlu bertolak ansur. Seorang rakan
penulis pernah menggunakan pepatah Cina berbunyi De Cun Jin Che (dapat
seinci, tetapi mahukan sekaki), mengingatkan kita agar tidak berlebihan dalam
meminta sesuatu. Satu lagi pepatah Cina yang penulis dapat ingat - lebih kurang
berbunyi menyimpang seinci, rugi seribu batu. PPPM bukan dirangka untuk
generasi pemimpin yang ada di dalam Dong Zong, Jiao Zong dan mana-mana NGO
sekalipun. PPPM untuk generasi selepas daripada kita. Generasi anak dan cucu
kita. Mereka tidak seharusnya membawa beban mimpi songsang yang negatif
seperti ini.
Mungkin tiba masanya
pertubuhan pendidikan Cina mempunyai sikap yang lebih akomodatif kepada cita
perubahan dan transformasi. Pilihan raya sudahpun berlalu. Ini tempoh dan
ketika bertenang. Jiwa konfrontasi dan niat menentang sedap dikipas oleh mereka
yang punya niat politik. Masyarakat menantikan Dong Zong yang mampu bermimpi
sesuatu yang lebih positif dan bersangka baik. Bayangkan jika kekuatan Dong
Zong dan sekutunya sebanyak 1'100 NGO pendidikan Cina mampu melihat PPPM
melalui kerangka minda yang betul - Malaysia pastinya mempunyai suasana
pendidikan yang lebih padu.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 OGOS 2013