JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



12 Februari 2012

ISU UMUM : KAPITALISME DAN HARI VALENTINE

Siti Jarum


Seperti biasa 14 Februari tarikh memperingati kematian paderi Kristian, Saint Valentine pada abad keempat akan disambut "gila-gila" oleh remaja Melayu. Untuk mewajarkan mereka menyambut kematian paderi Kristian, Hari Valentine diterjemah sebagai Hari Kekasih. Mana ada Hari Kekasih? Tolong habaq mai siapa pandai-pandai terjemah Hari Valentine jadi Hari Kekasih? Ada yang tanya, salahkah kita mempertingkatkan rasa kasih sayang sesama insan? Tak ada salahnya. Tapi Hari Valentine bukan hari kasih sayang. Hari Valentine adalah memperingati kematian paderi Kristian. Yang menjaja kononnya Hari Valentine itu lambang kasih sayang ialah kapitalis. Semua ini dirancang untuk menggerakkan keinginan khalayak turut terlibat. Bukanlah nak menongkah arus menentang sistem kapitalis. Hakikatnya kapitalisme adalah sistem hidup kita hari ini. Tapi yang mana kita boleh elak dari termasuk perangkap kapitalis, elakkanlah. Buat apa hulur kepala untuk disembelih?

Kenapa tarikh pulangnya pejuang Islam ke rahmatullah tidak dianggap sebagai "hari kasih sayang?" Adakah Islam tak ada kasih sayang? Tolonglah fikir sikit. Melayu sepatutnya tidak terlibat Hari Valentine. Mengikut satu kajian di Amerika Syarikat (AS), sehari sebelum menjelang 14 Februari tahun lalu, rakyat AS membeli lebih 180 juta jambangan bunga, 38 juta kotak gula-gula dan mereka membelanjakan tidak kurang AS$14 bilion untuk membeli cenderamata Hari Valentine. Biarlah mereka, buat apa kita nak ikut? Bayangkan berapa banyak wang dibelanjakan kepada yang tak perlu. Ini kerja siapa kalau bukan kapitalis yang menggerakkan konsumerisme bagi mengukuhkan kapitalisme? Hari Valentine tak ada kena mengena dengan kasih sayang. Kalau ada yang anggap 14 Februari hari berkasih sayang, cakap saja itu mengarut.

Apa itu konsumerisme? Kalau nak tahu inilah satu sistem yang ditaja kapitalis untuk meningkatkan keinginan memiliki. Seolah-olah kalau kita tak ikut rentak konsumerisme yang digembar gemburkan oleh kapitalis, kita mundur dan kolot. Maka yang akal pendek pun kata "biar papa asal bergaya". Ini termasuklah soal Hari Valentine yang tak perlu tapi dijaja seolah-olah itu satu keperluan hidup. Ada yang fikir asal saja orang putih buat, semuanya moden. Kalau tak ikut jadi kolot. Di negara kita pun ada stesen televisyen tolong mempromosi Hari Kekasih. Tak percaya tunggulah Selasa ini, tengok stesen mana yang lebih sudu dari kuah. Mereka tak guna istilah Hari Valentine kerana nak kelihatan "kemelayuan". Iklan pun banyak. Tapi nilai hidup apa yang masuk dalam kepala penonton? Sistem kapitalis bertanggungjawab menyebarkan nilai-nilai baru menjurus kepada konsumerisme. Tiba Hari Valentine, kapitalis masuk cengkerang kasih sayang, tiba Hari Krismas atau Hari Raya Aidilfitri, mereka pun tumpang sendu supaya orang banyak berbelanja waima berhutang sekalipun.

Kapitalis di Barat juga adalah taikun media. Media adalah kuasa dan jentera penjana konsumerisme. Kenal Rupert Murdock? Kalau nak tahu itulah taikun media. Dia juga kapitalis menggunakan media perkukuhkan konsumerisme. Yang kita nak ikut kepala otak orang macam Murdock ini buat apa? Siapa yang membiarkan dirinya dipergunakan oleh Hari Valentine adalah golongan OKC (golongan kurang cerdik). Tak payahlah nak nampak moden tumpang sambut Hari Valentine. Sebenarnya mereka kolot kerana dijadikan mangsa hidup-hidup. Di luar sana kita ada cerdik pandai agama yang bernaung bawah Jakim, Jawi, Jais dan banyak lagi. Mereka pakar bab agama dan boleh cakap Hari Valentine dari sudut agama. Sebabnya kalau banyak remaja Melayu meraikan Hari Valentine menjejaskan KPI mereka juga. Badan-badan tadi mesti membuatkan orang Melayu rasa malu untuk terlibat dengan Hari Valentine. Kalau ada stesen televisyen promosi Hari Valentine, tegurlah. Sebabnya ahli agama bukan dipilih melalui pilihan raya dan mereka tak perlu takut hilang undi.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
12 FEBRUARI 2012

ISU ICT : SEBANYAK 37 JUTA TELEFON BIMBIT DI MALAYSIA


DI Malaysia kini, kesan ledakan teknologi telekomunikasi semakin ketara. Di mana-mana boleh kelihatan orang menggunakan telefon bimbit sama ada untuk menelefon, menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau melayari Internet. Permintaan terhadap pemilikan telefon bimbit semakin ketara. Malah perangkaan terbaru mendapati secara purata setiap seorang daripada 28 juta rakyat Malaysia memiliki satu unit telefon bimbit. Perkembangan teknologi telekomunikasi global turut meledakkan kesannya di Malaysia dengan fakta semasa mendapati penggunaan telefon bimbit di negara ini melebihi 37 juta unit. Ini bermakna secara purata setiap rakyat Malaysia yang berjumlah 28 juta orang, mempunyai sekurang-kurangnya satu telefon bimbit manakala sebahagiannya lagi memiliki lebih satu malah mencecah enam unit pada satu-satu masa. Data itu diperoleh berdasarkan Kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mendapati pada 2010, sebanyak 33,250,177 telefon bimbit digunakan oleh rakyat di negara ini. Kajian SKMM itu mendapati peningkatan sekali ganda berbanding 2005 iaitu hanya 16,243,337 telefon bimbit atau meningkat 3.4 juta telefon bimbit pada setiap tahun. Paling mengejutkan, kajian itu mendapati 198,286 orang menggunakan lima unit telefon bimbit pada satu-satu masa manakala 254,938 orang memiliki empat unit, 849,795 orang tiga unit manakala 6.77 juta orang mempunyai dua telefon bimbit dan selebihnya 20.25 juta, satu unit.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
12 FEBRUARI 2012

ISU ICT : SEBANYAK 60% RAKYAT MALAYSIA TIDAK BOLEH HIDUP TANPA TELEFON PINTAR


Satu tinjauan dalam talian yang dijalankan oleh The Star mendapati bahawa 60 peratus daripada responden tidak boleh hidup tanpa telefon pintar. Seramai 1,336 orang telah menyertai pengundian tidak rasmi yang bertajuk “Hooked on Smarphones” yang telah diposkan dalam The Star Online pada tengah malam Jumaat dan ditutup pada 4.30 petang Sabtu. Daripada jumlah itu, 70 peratus responden adalah lelaki dan 75 peratus adalah mereka yang berumur antara 21 dan 40 tahun. Hampir 86 peratus responden menggunakan telefon pintar mereka untuk memeriksa emel, “tweets” atau mengemaskinikan laman sosial Facebook. Kira-kira 71 peratus memerlukannya untuk mengikuti berita terkini manakala 56 peratus untuk permainan dalam telefon itu.

Separuh daripada mereka yang melakukan tinjauan itu menggunakan telefon pintar sebanyak enam hingga 20 kali sehari untuk sebab-sebab di atas manakala 24 peratus lagi menggunakannya lebih 20 kali sehari. Sebanyak 55 peratus responden berkata, mereka menggunakan telefon pintar itu kurang daripada 15 minit setiap kali manakala 15 peratus lagi berkata, mereka menghabiskan masa lebih 30 minit. 60 peratus responden pula mengakui telefon pintar itu digunakan semasa mesyuarat dan semasa makan bersama orang lain. Kira-kira 59 peratus pula mengaku menggunakan telefon sambil memandu.