Rencana ini ditulis
oleh:
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains
Malaysia
Setiap tahun
beribu-ribu orang anak muda berlumba-lumba untuk memasuki universiti. Ada yang
datang menangis dan merayu dengan pelbagai cara untuk memastikan mendapat
tempat walaupun tidak memenuhi kelayakan dan sedar yang ia sukar untuk
dipenuhi. Ada juga yang datang berjumpa pihak pengurusan universiti dengan
surat daripada pihak-pihak tertentu. Kenapa orang berlumba-lumba untuk memasuki
universiti? Walaupun universiti dikritik dengan pelbagai perkara, dicari segala
kelemahan dan kekurangannya, namun ia tidak mematahkan semangat untuk mereka
yang percaya bahawa universiti berupaya mengubah nasib dan masa hadapannya
untuk terus mendapat tempat, mencari ilmu dan memastikan mendapat segulung
ijazah sebagai pengiktirafan terhadap proses penguasaan ilmunya.
Upacara konvokesyen
masih menjadi antara acara penting yang perasaan bangganya tidak pernah kurang
untuk dirakamkan foto dan diletakkan di atas meja atau menghiasi dinding
sebagai menunjukkan pengiktirafan terhadap ilmu yang dipelajari di universiti.
Malah, ada ibu bapa dan graduan yang marah jika tidak berpeluang naik ke pentas
mendapat ijazah masing-masing kerana ia amat istimewa dan bermakna. Bagi mereka
yang pernah melaluinya, sukar menafikan bahawa universiti adalah makmal hidup
yang bermakna bagi mereka yang bijak mengambil peluang dan kesempatan yang ada.
Walaupun filem dan
drama kita lebih banyak memaparkan kisah-kisah cinta kampus dari sisi
penerokaan ilmu yang sebenar, universiti menyediakan begitu banyak ruang untuk
seseorang itu menetapkan pandangan hidupnya terhadap alam kehidupan yang ada.
Kehidupan kampus kerap kali dikaitkan dengan idealisme unggul yang
kadang-kadang tidak berpijak di bumi nyata. Kehidupan yang dilihat dari sudut
ilmu dan idealisme yang dibangunkan sangat istimewa, ideal dan kerap kalinya
mempunyai perspektif dan sudut pandang yang berbeza daripada kehidupan sebenar.
Di sinilah seseorang mahasiswa akan diuji dari sudut kekuatan ilmu dengan
kehidupan sebenar yang dilaluinya. Kerap kali mahasiswa ini membuat
perbandingan yang sangat indah dari perspektif ilmunya yang jika tidak
diseimbangkan dengan pengetahuan terhadap dunia sebenar akan menjadikannya
cepat terpesong dan melihat orang lain sebagai punca dan salah.
Walau pun Akta
Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dipinda membolehkan para
mahasiswanya menyertai politik, kampus universiti sewajarnya tidak diperjudikan
untuk tujuan itu. Berpolitiklah di luar kampus kerana jika dibawa secara
besar-besaran dalam kampus, akan mudahlah diprovokasi dan dipergunakan oleh
sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjadikan idealisme
anak-anak muda ini mengikut kepentingan sendiri. Yang menerima padah tentunya
anak-anak muda yang sepatutnya bergelut untuk menguasai ilmu dan kebijaksanaan
serta hikmah yang ada untuk pembangunan masyarakat dan negara pada masa
hadapan.
Kerana itulah kita
dapati, sesetengah orang cepat berubah pandangan hidupnya berbanding dengan
tatkala berada di kampus universiti setelah melalui dunia sebenar yang
mempunyai pelbagai cabaran dan hakikat yang di luar dari jangkaannya. Namun,
jika seseorang itu bijak menggunakan kesempatan yang ada, universiti adalah
persediaan yang bermakna untuk menghadapi masa hadapan. Politik dalam kampus
sewajarnya sekadar menjadi asas untuk memahami secara lebih luas bukan untuk
mencari kuasa dan tujuan-tujuan lain, apatah lagi apabila pelbagai pihak saling
berusaha untuk menguasai pemikiran anak-anak muda ini. Kampus adalah makmal
hidup untuk mencari pengalaman baru, misalnya dari segi penguasaan bahasa dan
pergaulan, universiti mempunyai pelbagai kemudahan dan kesempatan. Memandangkan
hampir semua kampus universiti mempunyai pelajar dari pelbagai negara luar,
maka di sinilah peluang untuk anak-anak muda ini belajar memahami bahasa dan
budaya lain serta berusaha menyesuaikan diri dengan diri dengan dunia global
yang sebenar.
Apatah lagi, peluang
untuk mengikuti pengajian selama satu atau dua semester di negara luar sentiasa
terbuka luas jika mereka tahu mengambil kesempatan daripadanya. Ini bermakna
bukan sahaja mereka boleh belajar bahasa asing secara formal tetapi juga proses
sosialisasi yang tidak formal yang terbuka luas. Malah, mereka yang berada di
universiti juga boleh mengambil kesempatan mempraktikkan idea keusahawanan sama
ada berniaga secara formal, belajar untuk menguasai keusahawanan malah
menceburinya secara terus seawal mungkin. Hampir semua universiti tempatan
sekarang ini mempunyai kelab keusahawanan atau jabatan-jabatan tertentu yang
menguruskan penglibatan mahasiswa dalam bidang ini.
Banyak peruntukan
diberikan selama ini untuk mendorong mahasiswa terlibat dalam keusahawanan
sebagai sebahagian usaha untuk memastikan mereka dapat meneruskannya apabila
tamat pengajian kelak. Dalam konteks ini keusahawanan harus dilihat sebagai
cara kreatif dan inovatif untuk meneroka peluang baru dalam meneruskan
kehidupan pada masa hadapan. Begitu juga dengan usaha mewujudkan semangat
kesukarelaan dalam kalangan anak-anak muda. Universiti adalah tempat terbaik
untuk melatih mereka secara formal atau tidak formal dalam menanamkan semangat
untuk menolong orang lain dan menjulang nilai-nilai kemanusiaan bukan sahaja
dalam kalangan rakyat tempatan malah juga masyarakat dunia di mana sahaja.
Program-program
latihan yang tersusun boleh diterokai dalam memastikan anak-anak muda kita
bersedia untuk membantu orang lain, belajar berkomunikasi dan menjalin hubungan
tanpa ada batas sempadan dari segi bahasa, budaya, agama atau apa sahaja yang
membezakan manusia. Apatah lagi bagi komuniti universiti yang pelbagai, dengan
kumpulan mahasiswa dari ceruk rantau negara dan bangsa, kaum dan agama serta
warna kulit yang tidak pernah menghalang untuk saling berkomunikasi, memahami
dan hidup rukun damai. Sekali gus belajar untuk menghargai kepelbagaian yang
ada dan memanfaatkannya untuk mengkayakan dengan pengalaman dan kekuatan
bersama. Soalnya, dengan pelbagai kemudahan infrastruktur, infostruktur untuk
komunikasi dan teknologi maklumat serta ruang dan peluang ada, mampukah
seseorang yang memasuki kampus universiti untuk berubah dan menjadi berbeza
daripada sebelum memasukinya.
Tentunya mereka yang
memilih untuk berdiam diri, tidak bercampur dengan orang lain dan hidup dalam
dunia angan-angan, fantasi yang di awang-awangan atau enggan menerima pendapat
dan pandangan orang lain, jumud pemikirannya dan enggan untuk berubah, maka
universiti tidak jauh berbeza daripada sebuah sekolah atau tempat untuk belajar
di bilik darjah dan kuliah dan kemudian luahkan semula di atas kertas
peperiksaan. Universiti adalah makmal kehidupan yang sangat menarik dan
menyeronokkan bagi mereka yang percaya kepada diri, mempunyai fokus dalam
hidup, ingin memanfaatkan ilmu dan menerokainya sejauh mungkin serta bersedia
untuk menggunakan setiap peluang dan ruang yang ada untuk menjadi seseorang
yang mampu berfikir dan menggunakannya sebaik mungkin untuk diri, masyarakat, agama
dan negara. Walaupun dunia kampus sebahagian besarnya dipenuhi oleh idealisme,
tetapi hakikatnya itulah makmal terbaik untuk menyediakan kita dengan dunia
sebenar yang jika diadunkan dengan ilmu, akan menyelesaikan banyak masalah yang
ada dengan penuh kebijaksanaan dan hikmahnya.
Sumber :
Utusan Malaysia
4 September 2012