JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



25 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : BANGSA BUKAN PENENTU KECEMERLANGAN AKADEMIK, MOHON DIFAHAMI!

Oleh Ruhaiza Rusmin

Sudah sekian lama, institusi pengajian tinggi awam negara dihadapkan pelbagai cabaran dan dugaan malah ada mempersoalkan kewibawaan institusi berkenaan melaksanakan tanggungjawabnya. Ada beranggapan institusi itu anak emas kerana sering mendapat sokongan penuh kerajaan, ada pula mendakwa institut pengajian tinggi awam (IPTA) berkenaan ketinggalan zaman kerana menawarkan program lapuk sehingga meningkat bilangan graduan menganggur. Malah, ada suka membandingkan dengan institusi pengajian tinggi swasta yang dilihat lebih dinamik merencanakan pelbagai perancangan untuk mahasiswa. Kritikan demi kritikan bukan saja mencalarkan reputasi IPTA malah ibarat tidak mengenang jasa terhadap budi dicurahkan dulu. Persoalannya, mengapakah kritikan ini masih kedengaran sedangkan institusi terbabit sudah melakar nama di puncak dunia. Apakah dengan ‘berdiam diri’ boleh menyelesaikan masalah atau mereka takut dikritik bimbang mencalarkan reputasi?

Naib canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata sebagai institusi yang mendokong aspirasi serta cita-cita pendidikan negara, IPTA perlu terus memperjuangkan agendanya tanpa perlu takut kepada kritikan. Beliau berkata, IPTA perlu tegas dan kalis pada pendiriannya serta menjadikan kritikan itu sebagai satu lonjakan penambahbaikan kualiti sedia ada ke tahap lebih baik. Seharusnya setiap institusi perlu mempunyai pendirian teguh dalam mempertahankan perjuangan mendidik anak bangsa tanpa perlu gentar terhadap apa jua kritikan. Dalam konsep memberi pendidikan, kritikan harus dilihat sebagai cabaran besar untuk mengubah pandangan atau kelemahan institusi. Ia bukanlah satu ‘perangkap’ untuk mendedahkan kepincangan sebaliknya satu teguran bagi memperbaikinya. Ia perlu diperhalusi supaya tidak timbul salah faham apatah lagi jika membabitkan reputasi mahasiswa dan institusi sendiri.  Isu kritikan membabitkan IPTA bukan baru apatah lagi institusi terbabit paling ramai mengeluarkan graduan saban tahun.

Dengan 20 IPTA, jumlah graduan dilahirkan menjangkau puluhan ribu menjadikan pasaran kerjaya cukup sempit bagi mereka memperoleh keputusan cukup makan atau bukan daripada program profesional. Kesukaran memperoleh pekerjaan ditambah tanggapan program ditawarkan tidak relevan atau menepati keperluan semasa menyebabkan graduan terpaksa menganggur. Akibatnya institusi ditempelak kerana tidak peka hingga menyebabkan mahasiswa menjadi mangsa. Beliau berkata, tanggapan itu tidak benar kerana setiap institusi pasti memikirkan kebajikan mahasiswanya dan tidak sewenang-wenangnya menawarkan program tanpa kualiti. Malah, katanya, setiap program ditawarkan adalah sejajar dengan keperluan semasa selain tidak boleh diperlekehkan kerana di antaranya mendapat pengiktirafan profesional dan antarabangsa. Mereka yang melontarkan pendapat itu tidak faham dan enggan membuka minda. Sekarang zaman alaf baru, jadi program ditawarkan mesti selari dengan permintaan semasa.

Institusi awam tidak sesekali memperjudikan masa depan mahasiswa semata-mata untuk memuaskan hati pihak tertentu sebaliknya berusaha menyediakan mereka asas untuk pasaran kerjaya dan masa depan. Setiap program bukan picisan namun mempunyai fungsi tertentu menjana dan merangka kesinambungan negara untuk jangka masa panjang sekali gus mengisi permintaan kerjaya bukan saja bertaraf tempatan sebaliknya merentasi global.  Mengulas pandangan skeptikal mengatakan hanya graduan tertentu memperoleh peluang pekerjaan, beliau menafikannya kerana graduan Bumiputera banyak mengisi ruang kerja profesional yang dikhususkan bangsa asing. Menurutnya, pertikaian sama ada graduan boleh melakukannya atau tidak bukan terletak pada sesuatu bangsa namun kehendak, semangat berdaya saing serta keinginan untuk berubah. Malangnya ramai yang meletak dan melabelkan kemampuan mahasiswa mengikut bangsa. Tambah menyedihkan apabila bangsa sendiri mudah memperlekehkan mereka.

Bukankah ini tidak adil kerana seperti merendah-rendahkan kemampuan sedangkan yang perlu dilakukan adalah menyokong supaya mereka tidak patah semangat mahupun rebah. Jika asyik mempertikaikan, bagaimana mahu berjaya. Bukan semua mampu bertahan dengan kritikan dan mengambilnya sebagai positif.  Ia juga sekali gus bagai mempersoalkan kewibawaan sesebuah institusi bertaraf pengajian tinggi yang tenaga pengajarnya terdiri daripada kalangan ahli akademik, profesional serta berkepakaran.  Beliau kecewa kerana ramai menghentam kerana dikuasai perasaan tidak puas hati bukan berpihak di bumi nyata. UiTM mampu melahirkan graduan yang menepati pasaran malah setiap programnya mendapat pengiktirafan dunia. Apakah pengiktirafan ini kerana institusi hanya pandai mengangkat diri semata-mata atau orang luar sememangnya nampak kemampuan itu?

INFO

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi menumpukan kepada 10 misi utama yang disasarkan kepada institusi pengajian tinggi negara iaitu:

Memperkasakan institusi pengajian tinggi
Kualiti tenaga akademik
Memartabatkan akademik dan penubuhan Majlis Profesor Negara
Peningkatan kegiatan penyelidikan dan pembangunan
Program pengantarabangsaan
Pembangunan kualiti pelajar
Kebolehpasaran graduan
Pelan transformasi politeknik
Transformasi kolej komuniti dan pembelajaran sepanjang hayat
Program transformasi institut pengajian tinggi swasta

HARIAN METRO
25 JUN 2011

ISU NUKLEAR : MENGUBAH PERSEPSI RAKYAT TENTANG RADIOAKTIF

Apabila mendengar saja perkataan ‘radioaktif’, secara automatik akan terlintas di fikiran bahawa radioaktif adalah sesuatu bahan yang sangat berbahaya, tidak boleh didekati apatah lagi disentuh. Ada yang mengatakan, barangkali radioaktif itu boleh meletup, menyebabkan kematian atau boleh menyebabkan seseorang individu itu terkena penyakit seperti kanser dan sebagainya.  Itu adalah persepsi umum masyarakat terhadap radioaktif. Bukan itu saja, radioaktif turut dikaitkan dengan peristiwa hitam yang berlaku di seluruh dunia, antaranya seperti letupan bom atom di Hiroshima, Jepun pada 6 Ogos 1954, kemalangan loji kuasa nuklear di Chernobyl, Ukraine pada 26 April 1986 dan terkini ialah peristiwa kebocoran radiasi yang berlaku di loji kuasa nuklear di Fukushima akibat gempa bumi dan bencana tsunami pada 11 Mac 2011 lalu, di Jepun.

Peristiwa seperti inilah yang menyebabkan masyarakat semakin berasa bimbang dan gusar kerana mereka beranggapan radioaktif adalah punca kepada segala-galanya iaitu kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, pencemaran terhadap alam sekitar dan menghidap penyakit berbahaya seperti kanser. Sememangnya stigma masyarakat terhadap radioaktif sukar untuk diubah. Namun, pada hakikatnya dan tanpa kita sedari, radioaktif sebenarnya wujud secara semula jadi di sekeliling kita yang mengeluarkan sinarannya secara semula jadi dan kita terdedah kepadanya dalam kehidupan seharian. Umpamanya pendedahan sinaran dari tanah dan batu-batan yang kita duduki, dari angkasa seperti kosmik, bahkan kita turut memakannya melalui makanan dan minuman kita seharian seperti dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.  Tubuh badan kita sendiri mempunyai bahan radioaktif semula jadi seperti potassium-40 (K-40).

Data yang diperoleh daripada UNSCEAR 2000 (United Nation Scientific Committee on the Effects of Atomic Radiation to the General Assembly) menyatakan purata dedahan dos setahun yang kita terdedah kepada sinaran semula jadi di sekeliling kita ialah 2.4 milliSievert (mSv) setahun.  Malah, di dalam semua tanah di dunia mengandungi bahan radioaktif semula jadi (Naturally Occurring Radioactive Materials – NORM) terutama kandungan uranium-238 iaitu dalam julat 16-110 Becquerrel/kg[Bq/kg] (bersamaan 0.016-0.1 Bq/gm) dan kandungan thorium-232 dalam julat 11-64 Bq/kg (bersamaan 0.011 - 0.064 Bq/kg). Di Malaysia, kandungan uranium dan thorium semula jadi ini adalah dalam julat 49-86 Bq/kg (bersamaan 0.049 - 0.086 Bq/gm) untuk uranium dan dalam julat 63-110 Bq/kg (bersamaan 0.063-0.1 Bq/g).

Apa itu radioaktif?

Radioaktif atau sinaran yang terhasil daripada bahan radioaktif ialah satu bentuk tenaga yang dipancarkan oleh atom atau molekul yang disebarkan melalui ruang atau jirim sebagai partikel/zarah ataupun gelombang elektromagnet. Sinaran mempunyai pelbagai istilah, antaranya seperti gelombang cahaya, gelombang radio, sinar infra-red (haba), gelombang mikro dan sinar X. Antara sinaran mengion yang wujud ialah zarah Alfa, zarah Beta, sinar Gamma, sinar X dan juga Neutron.  Bahan radioaktif ini terhasil melalui dua pendekatan iaitu ada bahan radioaktif semula jadi seperti uranium dan thorium dalam alam sekitar (tanah, pokok, air dan udara) dan bahan radioaktif ‘buatan’ manusia seperti Technitium-99m yang digunakan dalam perubatan dan Iridium-192 yang digunakan dalam industri termasuk penjanaan kuasa nuklear.

Isu Lynas

Isu terkini yang membabitkan bahan radioaktif di Malaysia dan heboh diperdebatkan ialah mengenai projek Lynas. Secara ringkasnya, Lynas Malaysia Sdn Bhd ialah syarikat subsidiari milik penuh Lynas Corporation Ltd, Australia. Perniagaannya berkaitan dengan pengeluaran serta penjualan nadir bumi.  Hasil daripada pemprosesan nadir bumi sebenarnya digunakan oleh ratusan aplikasi industri, contohnya bateri bagi komputer riba, telefon mudah alih serta kereta hibrid, tiub ‘cathode-rays’ bagi monitor televisyen dan komputer, wayar gentian optik, aplikasi aeroangkasa sehingga magnet bagi penghasilan tenaga daripada sumber angin.  Syarikat Lynas di Kuantan dijangka dapat menghasilkan hampir 30 peratus daripada bekalan dunia (di luar China) apabila mula beroperasi nanti.  Punca utama kebimbangan orang awam khususnya bagi masyarakat Pahang ialah Lynas bercadang untuk membawa masuk bijih Lathanid dari lombong Mount Weld di Australia Barat dan bijih itu akan diproses dan diekstrak di kawasan perindustrian Gebeng, Pahang.

Sisa sampingan yang bakal dihasilkan daripada proses pengesktrakan nadir bumi itu telah menyebabkan orang awam mempertikaikan ketelusan kerajaan dan agensi yang terbabit dalam menjamin keselamatan rakyat. Malah, isu ini digembar-gemburkan oleh segelintir pihak yang sebenarnya bermotifkan politik semata-mata. Apa yang dikesalkan, orang awam menjadi mangsa keadaan kerana mereka dihidangkan dengan maklumat yang mengelirukan sehingga menyebabkan mereka berfikir bahawa pemprosesan rare earth atau nadir bumi oleh Lynas adalah sama dengan pemprosesan syarikat Asian Rare Earth (ARE) dan peristiwa yang berlaku di syarikat Asian Rare Earth pada awal tahun 80-an akan berulang kembali.

Tindakan kerajaan

Kerajaan Malaysia sudah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian ARE berulang. Pelbagai agensi kerajaan, antaranya Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin serta mutu alam sekitar sentiasa berada dalam keadaan baik dan terpulihara. Orang awam mempersoalkan kredibiliti agensi bertanggungjawab yang terbabit, antaranya tindakan AELB dalam mengeluarkan lesen serta sejauh mana ketelusan panel pakar bebas yang dijemput dalam memberi keputusan berhubung projek Lynas. Sebenarnya, dalam projek membabitkan pengilangan bahan radioaktif, kelulusan pembinaan akan diberi, tetapi pemberian lesen operasi hanya akan diberi selepas syarikat Lynas mematuhi semua langkah serta syarat keselamatan yang dinyatakan dalam syarat lesen dan juga dokumen Program Perlindungan Sinaran yang dibangunkan oleh syarikat berdasarkan keperluan yang termaktub dalam Akta 304 dan peraturan subsidiarinya.

BERITA HARIAN
24 JUN 2011

ISU PENDIDIKAN : PELAJAR CEMERLANG DI IPT CERMIN KEWIBAWAAN KERAJAAN

Isu pemberian biasiswa sering dibangkitkan setiap kali selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan. Ada pihak kurang berpuas hati kerana ada pelajar yang layak gagal mendapat biasiswa terutama dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Agihan biasiswa kepada pelajar cemerlang dikatakan tidak adil sehingga wujud dakwaan pilih kasih dan salah guna kuasa. Malah, lebih serius turut ada dakwaan wujud diskriminasi antara kaum yang dibangkitkan terutama oleh pemimpin politik kaum masing-masing. Kita percaya adalah mustahil agihan dibuat JPA dapat memuaskan hati semua pihak. Namun kita mahu pihak terbabit dan ibu bapa pelajar memahami bahawa peruntukan biasiswa disediakan adalah terhad dan sudah pasti ada pelajar tercicir daripada menerimanya. Kita percaya kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan membantu pelajar terbabit melanjutkan pelajaran pada peringkat tertinggi dengan sejumlah biasiswa yang disediakan kerajaan melalui JPA.

Justeru, penjelasan Datuk Seri Najib Razak kelmarin bahawa mulai tahun depan pelajar cemerlang SPM tidak lagi diberikan biasiswa JPA untuk melanjutkan pengajian peringkat prauniversiti, termasuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), program asasi dan matrikulasi serta A-Level harus diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak. Perdana Menteri ketika memberi maklum balas seorang pemanggil dalam program temu bual dalam radio berbahasa Cina itu, menjelaskan bahawa pelajar hanya akan ditawarkan bantuan kewangan atau dermasiswa daripada kerajaan, manakala biasiswa JPA dikhaskan kepada pelajar prauniversiti yang cemerlang dan sudah mendapat tempat di universiti terkemuka. Kita percaya pengumuman Najib itu dibuat selepas kerajaan melakukan penelitian, kajian dan rasional kenapa tawaran biasiswa JPA dibuat hanya kepada pelajar cemerlang yang sudah mendapat tempat di universiti terbaik. Pada masa sama kerajaan tidak mengabaikan pelajar cemerlang SPM ini kerana mereka masih disediakan bantuan kewangan dan dermasiswa.

Apapun, kita tentunya tidak mahu pelajar yang menerima biasiswa JPA pada peringkat prauniversiti gagal menunjukkan kecemerlangan ketika berada di universiti. Kita mahu pemberian biasiswa ini menjadi pemangkin kepada pelajar cemerlang pada peringkat SPM dan prauniversiti ini berlumba-lumba mencapai kecemerlangan dalam pengajian di peringkat universiti dan seterusnya. Jumlah pelajar cemerlang pada peringkat SPM begitu ramai dan hanya terbaik akan mendapat tempat dan dianugerahkan biasiswa. Bagaimanapun, kita mahu kerajaan tetap mengambil kira seperti latar belakang keluarga, sosioekonomi, aktif dalam kegiatan kokurikulum dan ketrampilan. Selain itu, biasiswa juga hanya ditawarkan kepada pelajar yang mendapat mengikuti kursus bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, sains dan teknologi. Kita berharap isu biasiswa ini tidak terus dipolitikkan. Kita percaya kerajaan sentiasa cuba berlaku adil dan sedaya upaya mahu membantu pelajar yang memerlukan. Kecemerlangan pelajar kita sama ada di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan atau luar negara turut mencerminkan kewibawaan kerajaan.

BERITA HARIAN
25 JUN 2011

ISU ANTARABANGSA : IMF PERANGKAP GREECE

Greece sekali lagi mencuri tumpuan dunia apabila masih gagal menyelesaikan masalah hutangnya yang berjumlah 340 bilion Euro (RM1.48 trilion) walaupun selepas menerima bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kesatuan Eropah (EU) berjumlah 110 bilion Euro (RM478.7 bilion) tahun lalu. Kini, satu pakej bantuan kedua berjumlah 120 bilion Euro (RM521.94 bilion) sedang dibincangkan untuk mengelak Greece gagal membayar hutang-piutang dan muflis. Dengan jumlah hutang bersamaan 150 peratus keluaran tahunannya, Greece kini memegang dua rekod dunia yang tidak dikehendaki iaitu kadar kredit paling rendah untuk sebuah negara berdaulat dan hutang paling mahal diinsuranskan. Dengan populasi semasa berjumlah 11.3 juta orang, ekonomi Greece sebelum ini membangun pesat sejak menyertai zon Eropah lebih satu dekad lalu. Bagaimanapun, negara itu dibelenggu masalah rasuah, birokrasi dan penipuan cukai, sehinggalah Greece dilanda kemelesetan ekonomi pada 2009 dan defisit bajetnya mencecah 15.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Di Athens, Perdana Menteri Greece, George Papandreou yang dihimpit protes rakyat dan bantahan dalam partinya sendiri meneruskan rayuan agar rakyat menyokong pembaharuan untuk berjimat bagi mengelakkan negara itu muflis. Beliau yang mempertaruhkan masa depan kerjaya politiknya dalam mengambil tindakan tidak popular sebenarnya tiada pilihan lain jika mahu mendapatkan bantuan daripada IMF dan EU. Selepas Papandreou berucap di Parlimen awal minggu ini, lebih 10,000 orang mengadakan protes di depan bangunan Parlimen kerana marah kerajaan memotong gaji dan pencen pekerja dahulu sebelum memotong gaji para pemimpin Greece. Sehubungan itu, beliau mengusulkan undi tidak percaya bagi berdepan dengan tentangan dalaman parti dan protes yang menjejaskan popularitinya. Bagaimanapun, beliau terselamat daripada undi tidak percaya Parlimen dengan memperoleh 155 undi daripada 143 undi, tidak termasuk dua ahli Parlimen tidak hadir. Kabinet baru Greece yang dikenali sebagai 'Kabinet kecemasan' juga telah menyatakan komitmen terhadap pembaharuan (potongan) lebih ketat mengikut tuntutan IMF itu.

Dalam pada itu, pemimpin pembangkang, Antonis Samaras menuntut Papandreou meletakkan jawatan untuk pilihan raya baru diadakan, seterusnya membolehkan perbincangan diadakan semula untuk syarat-syarat bantuan tersebut. Papandreou bagaimanapun menyeru pembangkang supaya tidak berbalah dengan kerajaan dalam waktu kritikal ini dan berhenti memberi mesej seolah-olah negara itu kucar-kacir. Kabinetnya berharap mereka berjaya meneruskan pembaharuan itu menjelang hujung bulan ini tetapi mungkin terpaksa berhadapan ketidakpastian politik selepas beberapa minggu perarakan protes termasuk yang bertukar ganas berlaku pada Rabu lalu. Situasi ini juga mungkin akan menyebabkan pelabur lari kerana bimbang kemarahan orang ramai akan menggoncang keazaman kerajaan dalam membuat pembaharuan yang perlu dilaksanakan untuk menyelamatkan Greece.

Walaupun menteri-menteri kewangan zon Eropah dijangka bersetuju meneruskan bayaran berikutnya untuk membantu Greece, namun Menteri Kewangan Jerman menegaskan semuanya akan bergantung kepada komitmen yang ditunjukkan kerajaan di Athens dalam memenuhi tuntutan EU dan IMF. Lebih utama, krisis kewangan Greece juga menunjukkan kelemahan struktur mata wang Euro yang kini digunakan di 17 negara anggota EU. Kemampuan Greece menyelesaikan masalah hutang mungkin menentukan sama ada mata wang Euro akan terus digunakan atau memalukan EU, sehingga ke tahap kesatuan itu sendiri mungkin runtuh sama ada dengan Greece ditendang keluar atau Jerman (ekonomi paling kaya dalam EU) menarik diri. Canselor Jerman, Angela Merkel kini menghadapi tekanan besar daripada rakyat negaranya yang geram kerana mereka yang terpaksa membayar akibat pembaziran yang dilakukan Greece.

Perdana Menteri United Kingdom (UK), David Cameron pula menegaskan negaranya tiada tanggungjawab membantu menyelamatkan Greece kerana negaranya tidak menggunakan mata wang Euro. UK dijangka hanya akan menyalurkan bantuan melalui pinjaman melalui IMF sementara IMF pula menegaskan Greece perlu mengetatkan lagi langkah berjimat-cermat sebelum bantuan tambahan diluluskan. Selain itu, kegagalan Greece membayar hutang juga mungkin membuka pintu kepada malapetaka kewangan global seperti yang berlaku selepas kejatuhan bank pelaburan Lehman Brothers di Amerika Syarikat pada 2008. Rakyatnya kini telah hilang sabar dengan gerakan berjimat-cermat yang semakin teruk sehinggakan gaji sektor awam dipotong sebanyak 20 peratus dan pencen dipotong sebanyak 10 peratus. Gerakan jimat-cermat juga semakin meluas melalui peningkatan cukai, potongan manfaat dan gaji serta sekatan persaraan awal yang telah menyebabkan semakin banyak mogok dan protes.

Kadar pengangguran pula dilaporkan semakin meningkat dan tinjauan terbaharu menunjukkan 80 peratus rakyat enggan mengorbankan apa-apa lagi walaupun demi mendapatkan bantuan tambahan daripada EU dan IMF. Rata-rata pekerja sektor swasta menyalahkan situasi semasa kemewahan sektor awam, manakala kakitangan awam pula menyalahkan penipuan cukai, selain kebanyakan rakyat menyalahkan ahli politik yang korup sebagai punca masalah kewangan Greece. Tinjauan terbaharu menunjukkan 47.5 peratus rakyat mahu Parlimen menolak pakej pembaharuan yang dicadangkan itu, di samping mahu pilihan raya awal diadakan sebelum penghujung mandat Papandreou pada 2013. - AGENSI

UTUSAN MALAYSIA
25 JUN 2011