Oleh MD. AZRIN ROSLY
pengarang@utusan.com.my
Program Perkasa Remaja yang telah berjalan sejak 2009 sehingga kini telah menunjukkan kesan-kesan positif dalam mengilap potensi diri remaja negara. Pengarah Pusat Pemerkasaan Remaja (Perkasa), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Samsudin A. Rahim berkata, golongan remaja daripada keluarga berpendapatan rendah di bandar mempunyai potensi, cuma tidak berpeluang seperti mereka yang dilahirkan dalam keluarga yang berkemampuan. Perkasa sedang menjalankan dua program iaitu Kem Perkasa berkonsepkan pemulihan dan Komuniti Perkasa pula bersifat pencegahan yang mana membendung golongan remaja daripada melakukan perkara-perkara yang negatif. Buat masa ini, Kem Perkasa berjalan selama dua bulan telah diadakan sebanyak tiga kali dengan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Felda dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membangunkan nilai kendiri remaja berkaitan harga diri, tanggungjawab, membuat keputusan dan pendedahan kemahiran.
Perkasa dengan kerjasama Permata Negara, Jabatan Perdana Menteri, berperanan menjalankan penyelidikan dan intervensi untuk pemerkasaan demi membina generasi muda berkeyakinan, bersifat dinamik dan mempunyai jati diri yang mantap. Tambah Samsudin, kem itu bagi mengubah gaya hidup peserta agar mereka dapat memenuhi masa lapang dengan melakukan aktiviti yang lebih positif dan tidak lagi terlibat dengan aktiviti Mat Rempit. Selepas menghadiri kem ini, mereka akan disalurkan kepada program jangka panjang lain. Kem ini diharap dapat menimbulkan kesedaran dan hala tuju yang positif kepada peserta. Komuniti Perkasa pula terdiri daripada remaja berumur 15 hingga 25 tahun di bandar yang mengalami kekurangan dari segi kemudahan dan peluang di tempat tinggal mereka dalam mengisi masa lapang secara positif. Samsudin berkata, pada masa ini terdapat dua pusat iaitu Pusat Komuniti Permata Perkasa Remaja di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai dan PPR Pantai Ria, Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Penaung Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor baru-baru ini.
Pusat ini dibuka setiap hari yang telah bermula pada 29 Januari 2010 dengan kerjasama persatuan penduduk setempat. Pelbagai aktiviti yang dijalankan seperti kelas membuat dan menghias kek, vokal dan muzik, Fun English, Musabaqah Al-Quran dan fotografi yang menempatkan lebih kurang 20 orang setiap kelas. Selain mendapat kemahiran, mereka didik dengan modal sosial yang dapat membantu mencapai cita-cita hidup dan tidak mudah terbabit dalam pelbagai gejala sosial. Komuniti Perkasa menyasarkan untuk meningkatkan 25 modal sosial yang merupakan aset penting di kalangan remaja terlibat. Katanya, remaja itu juga menggunakan pusat ini bagi membuat kerja rumah dengan kehadiran pembimbing daripada UKM untuk membantu. Program ini merupakan projek rintis bagi kami mengkaji dalam dua hingga tiga tahun dan sekiranya hasilnya berjaya, ia akan diperluaskan di tempat-tempat lain. Kita harap pada 2013, dapat bukti dan keyakinan bahawa program ini berjaya membantu mengilap remaja negara dari segi jangka masa pendek dan panjang.
Pusat komuniti ini dapat menghalang mereka daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah dan terjebak dalam masalah sosial kerana kebanyakannya mereka adalah dalam kategori at risk youth. Jelasnya, kebanyakan mereka yang terlibat dalam salah laku tidak mempunyai modal sosial yang penting dalam hidup. Dalam kelas-kelas yang disediakan, kami akan memupuk modal sosial mereka dari segi disiplin, kerjasama, tanggungjawab, kepimpinan. Contohnya, dalam kelas membuat kek, mereka perlu datang pada waktu yang ditetapkan untuk belajar dan jika tidak mereka akan ketinggalan. Akhirnya, pusat komuniti ini akan diserahkan kepada masyarakat iaitu persatuan penduduk. Kita sedang membuat kajian dan melihat kesan dan pulangan daripada program ini serta kos efektifnya sama ada mampu diuruskan oleh komuniti atau tidak. Jika ia berhasil, kita akan serah modul ini, bagaimana mahu mengukur tahap kemahiran, modal sosial dan potensi diri remaja kepada kerajaan tempatan seperti DBKL.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA