Rencana ini ditulis
oleh :
NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
Konflik berterusan
antara dunia Arab, khususnya warga Palestin dan bangsa Yahudi yang menubuhkan
negara haram Israel di atas tanah mereka nampaknya tidak akan berakhir dalam
hayat generasi yang hidup kini. Sejak penjajahan yang meragut jutaan nyawa demi
penubuhan Israel pada 1948 di tengah-tengah dunia Arab, orang Yahudi tidak
dapat diusir lagi mahupun disabitkan atas sebarang jenayah dan kekejaman
terhadap penduduk Palestin. Bukannya kerana tiada kerajaan Arab yang mahu
bertindak tetapi jajahan Zionis itu dilindungi oleh kuasa-kuasa besar dunia. Warga
Palestin sebenarnya terdiri daripada pelbagai puak yang beragama Islam,
Kristian, Yahudi dan agama-agama lain sementara pendokong fahaman Zionisme pula
rata-ratanya dilihat adalah bangsa Yahudi yang lari daripada penindasan di
Barat.
Sejak perang Arab-Israel
1948, banyak siri serangan balas antara kedua belah pihak berterusan sebelum
reda untuk seketika dan bermula semula. Antaranya krisis Suez 1956 yang
menyaksikan Israel menduduki Semenanjung Gaza dan menghalau kerajaan Palestin
ketika itu. Penubuhan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada 1964 oleh
Allahyarham Yasser Arafat menerima sokongan kuat negara-negara Arab tetapi
perang enam hari pada 1967 membantutkan usaha nasionalisme PLO. Israel sekali
lagi menawan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, sekali gus menyekat PLO
daripada membentuk sistem pentadbiran sendiri di bumi Palestin, sekali gus
memaksa anggota pertubuhan itu melarikan diri ke Jordan sebelum berpindah ke
selatan Lebanon. PLO meneruskan tentangan dari Lebanon menyebabkan serangan balas
dan penjajahan penuh negara itu oleh Israel pada 1978.
Selepas berundur,
Israel menyokong pihak lawan PLO di Lebanon menyebabkan bermulanya perang
saudara 1982 sehingga memaksa PLO berpindah ke Tunisia tetapi langkah itu turut
memulakan konflik antara rejim zionis itu dengan Syria. Walaupun Israel
berundur ke 10 kilometer sempadan Lebanon yang dijajah pada 1985, serangan
daripada kumpulan Syiah yang disokong Iran mula meningkat seterusnya membawa
kepada kebangkitan rakyat Palestin melalui Intifada pertama antara 1987 hingga
1993. Intifada pertama itu menyaksikan penentangan besar-besaran terhadap
penjajahan Israel serta 'pembersihan' perisik Yahudi dalam kalangan penduduk
Palestin. Selepas 1,100 warga Palestin dibunuh tentera Zionis, 1,000 rakyat Palestin
yang dilabel pengintip terbunuh dan 164 warga Israel terkorban, Perjanjian Oslo
ditandatangani kedua belah pihak pada 1993 yang akhirnya membolehkan PLO
membentuk kerajaan sendiri di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Namun, penentangan
usaha damai menyaksikan kumpulan seperti Hamas meneruskan serangan kecil ke
penempatan Yahudi sementara di Israel, Presiden Yitzhak Rabin dibunuh seorang
fanatik Yahudi menyebabkan kerajaan Zionis menarik diri daripada rundingan
damai pada 1996. Tanpa rundingan yang berjaya, Intifada kedua bermula pada
September 2000 dan berlanjutan sehingga 2005, menyaksikan lebih 7,000 nyawa
terkorban termasuk lebih 6,000 warga Palestin, kira-kira 1,000 Yahudi dan lebih
60 orang warga asing. Konflik terbuka antara pihak berkuasa Palestin dan
tentera Israel itu menyebabkan penduduk Yahudi di Gaza dipindahkan ke wilayah
lebih selamat pada 2005 tetapi Israel tetap enggan melepaskan Gaza daripada
genggamannya.
Setahun selepas itu, Hamas memenangi pilihan raya di Gaza dan
memulakan pergeseran baru dengan Israel yang memulakan sekatan laut ke wilayah
tersebut sementara sekatan darat dibuat dengan kerjasama Mesir di pintu masuk
ke Gaza. Konflik berterusan antara Israel dan Hamas yang menerima bantuan serta
sokongan Iran memuncak dalam Perang Gaza pada 2008 yang berlanjutan sehingga
Februari 2009, meragut 2,000 nyawa penduduk awam. Usaha pihak berkuasa Palestin
untuk menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2011 gagal
tetapi usaha tersebut diteruskan pada 2012 dan kini dipercayai menjadi punca
Israel melancarkan serangan besar-besaran terbaru ke Genting Gaza.
Sumber
Utusan Malaysia
1 Disember 2012