JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Oktober 2011

ISU PENDIDIKAN : ADAKAH PPSMI AKAN DIKAJI SEMULA?

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad


REGISTAN DI SAMARKAND, 
UZBEKISTAN

Teka-teki sama ada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dikaji semula terjawab apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa dasar PPSMI tetap digantikan dengan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2012. Perubahan dasar tersebut mengambil masa beberapa tahun sehingga pelajar menamatkan persekolahan melalui kaedah soft landing. Ini bagi memastikan tidak ada pelajar yang menghadapi masalah atau terabai dalam pembelajaran mereka. Kenyataan tersebut dibuat dalam lawatan kerja beliau di dua buah universiti iaitu UKM (23.9.2011) dan UPM (30.9.2011). Dalam ucapan semasa pertemuan dengan warga UKM, beliau telah meminta pentadbiran universiti berkenaan meneruskan perjuangannya untuk mendaulatkan bahasa Malaysia dengan menggalakkan penyelidikan dan penulisan jurnal ditulis dalam bahasa tersebut. Ini disebabkan penubuhan UKM merupakan suatu wadah dan perjuangan panjang pejuang bahasa bagi menegakkan kedaulatan bahasa sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Pelaksanaan dasar MBMMBI adalah untuk meletakkan kembali kedaulatan bahasa ke landasan yang betul. Kekuatan sesuatu bahasa akan terjejas dan merosot sekiranya dihilangkan kandungan elemen keilmuan terutama yang merangkumi bidang sains, matematik dan teknologi.

Dibimbangi akhirnya bahasa itu akan berada di tahap rendah dan hanya layak dipertuturkan di kedai-kedai kopi atau di tepi-tepi jalan sahaja. Ia tidak akan dapat digunakan secara rasmi dalam majlis-majlis keilmuan berskala tinggi dalam seminar, konvensyen atau perbincangan-perbincangan. Malah lebih menyedihkan usaha yang telah dirintis oleh pelbagai pihak untuk mengangkat martabat bahasa tersebut hingga ke peringkat antara bangsa akan menjadi sia-sia. Amat malang bagi perkembangan bahasa Malaysia yang ditutur hanya kira-kira 27 juta orang yang tinggal dari Arau, Perlis hingga ke Tawau, Sabah jika rohnya tidak diangkat dan didaulatkan. Ramai daripada pejuang bahasa yang banyak berjasa bagi mengangkat martabat bahasa telah meninggal dunia. Jika ada yang masih hidup mereka pasti akan menggelengkan kepala melihat bagaimana generasi kini telah luntur semangat cintakan bahasa. Tidak seperti di negara lain di mana rakyatnya sangat sayangkan bahasa dan bangga menggunakan bahasa mereka. Jelas sekali tidak ada perasaan rendah diri atau rasa bersalah jika bahasa mereka digunakan walaupun dalam persidangan bertaraf antarabangsa atau majlis-majlis rasmi yang dihadiri oleh warga luar negara. Dasar MBMMBI Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah proaktif untuk mengembalikan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah dan dalam Bahasa Malaysia di peringkat menengah bermula tahun hadapan. Bagi memperkukuhkan bahasa Inggeris, kurikulum baru KSSR telah diperkenalkan di mana pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut ditambah nilai supaya menjadi lebih menarik dan menyeronokkan pelajar.

Elemen gerak karja seperti nyanyian, lakonan, kuiz, perbincangan, pembacaan dan lain-lain akan diperbanyakkan. Bagi memantapkan lagi pengajaran bahasa itu tambahan masa dalam jadual pengajaran telah ditingkatkan hampir sekali ganda lagi. Seperti yang dimaklumi bagi memantapkan lagi pengajaran bahasa tersebut lebih 300 orang guru berpengalaman yang terdiri dari penutur jati daripada United Kingdom telah didatangkan. Difahamkan tidak lama lagi guru-guru daripada Amerika Syarikat akan dibawa masuk di mana perbincangan-perbincangan peringkat akhir telah pun dilaksanakan. Amat wajar sekali dasar PPSMI ditukar kepada MBMMBI kerana menurut laporan UNESCO yang membuat kajian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran didapati ia lebih berkesan jika diajar melalui bahasa ibunda atau bahasa yang mereka fahami. Itulah sebabnya kita masih lagi mengekalkan sekolah aliran Cina dan India kerana pembelajaran menjadi lebih mudah jika dilaksanakan dalam bahasa yang mereka telah biasa gunakan. Demikian juga bakal guru dan guru-guru digalakkan mempelajari bahasa atau dialek yang digunakan oleh Orang Asli atau dialek penduduk kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Ini bertujuan untuk memudahkan guru menjelaskan maksud sesuatu perkataan atau istilah yang sukar difahami dengan lancar kepada pelajar-pelajarnya. Dalam pelaksanaan dasar PPSMI, faktor guru juga memainkan peranan penting. Kebanyakan guru adalah mereka yang terdidik melalui sistem pendidikan kebangsaan, oleh itu untuk menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran mungkin memerlukan sedikit masa lagi. Ini diikuti pula faktor keyakinan diri terutama mereka yang mengajar di kawasan bandar yang kebanyakan pelajarnya mempunyai latar belakang bahasa Inggeris.

Satu lagi isu yang dihadapi ialah berkaitan dengan kefahaman pelajar mengikuti pembelajaran mata pelajaran tersebut terutama dari segi konsep atau istilah-istilah baru. Dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada pelajar ada kalanya guru terpaksa menggunakan bahasa Malaysia bagi menerang atau menjelaskan sesuatu yang tidak difahami oleh pelajar. Keadaan tersebut boleh menyebabkan pembaziran masa di mana guru terpaksa mengulang beberapa kali dengan mengalih bahasa dalam pengajarannya. Sebagai guru yang berkesan, apa yang penting ialah kefahaman pelajar tentang perkara yang diajarnya. Walaupun guru menggunakan pelbagai kaedah pengajaran yang canggih tetapi akhirnya yang diukur dan diambil kira ialah sejauh mana kefahaman pelajar terhadap apa yang diajar oleh guru. Kesan dasar PPSMI yang telah dilaksanakan mulai 2003 terbukti melalui penilian yang dibuat oleh badan antara bangsa pada tahun 2009. Didapati pencapaian pelajar menurun jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Akibatnya ranking negara dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran turut terjejas jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Penukaran dasar PPSMI kepada MBMMBI bukanlah bermakna kita anti bahasa Inggeris. Namun demikian sejak akhir-akhir ini terdapat beberapa kumpulan NGO yang menyuarakan pendapat supaya PPSMI dikaji semula. Ada di antara mereka yang mencadangkan dikembalikan semula pengantar bahasa Inggeris atau setidak-tidaknya memberi pilihan kepada ibu bapa dan sekolah untuk meneruskan dasar PPSMI. Difahamkan ada di antara NGO tersebut telah menghantar memorandum kepada pihak tertentu supaya cadangan mereka diberi perhatian. Sesungguhnya perubahan dasar PPSMI kepada MBMMBI akan meningkatkan lagi kualiti pendidikan dan memberi manfaat yang besar kepada semua pelajar.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 OKTOBER 2011


RANGKA KARANGAN KEMALANGAN BAS EKSPRES


RAMALAN 2
ISU : KEMALANGAN BAS EKSPRESS

SOALAN YANG DIJANGKA

Sejak akhir-akhir ini, kita selalu dikejutkan dengan kemalangan maut yang melibatkan bas ekspress. Sikap pemandu bas ekspress yang tidak bertanggungjawab dikatakan sebagai punca kemalangan yang melibatkan bas ekspress semakin menjadi-jadi. Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini?

PENDAHULUAN

Fenomena yang berlaku di negara kita hampir setiap tahun
Melibatkan banyak nyata yang terkorban atau cedera parah
Sikap pemandu dikatakan sebagai punca utama tetapi faktor-faktor lain juga harus diambil kira dalam membincangkan isu ini.

SIKAP PEMANDU BAS EKSPRESS

Suka memandu melebihi had laju yang ditetapkan di lebuh raya – memotong kenderaan lain sesuka hati tanpa menghiraukan kenderaan lain yang datang dari sebelah kanan atau dari depan.

Sebilangan pemandu telah keletihan kerana memandu dalan jarak perjalanan yang jauh – mudah mengantuk – menyebabkan bas terbabas dan seterusnya mengakibatkan kemalangan berlaku.

Pemandu yang menggunakan dadah dan meminum minuman keras menyebabkan mereka mudah khayal atau mabuk – memandu bas ekspress  dengan tidak berhati-hati.

Pemandu yang menghadapi tekanan hidup seperti masalah rumah tangga, kewangan, dan sebagainya – melepaskan geram dan kemarahan dengan memandu secara berbahaya

FAKTOR-FAKTOR LAIN 

Keadaan bas ekspress yang kurang elok akibat tidak diselenggara – brek tidak berfungsi, tayar pancit, dan pelbagai lagi masalah – bas tidak dihantar untuk pemeriksaan kepada pihak PUSPAKOM.

Pihak polis traffik dan Jabatan Pengangkutan Jalan kurang mengadakan sekatan jalan raya menyebabkan pemandu bas ekspress yang tidak berdisiplin bermaharajalela semasa memandu.

Pihak pengurusan syarikat bas ekspress mengaji pemandu bas warga asing yang diragui kebolehan dan pengalaman mereka semasa memandu – nilai tanggungjawab mereka juga kurang dan boleh dipersoalkan – ada yang menggunakan lesen palsu.

PENUTUP

Pemandu bas ekspress bertanggungjawab ke atas keselamatan penumpang
Kecuaian mereka boleh menyebabkan kehilangan banyak nyawa
Kemalangan yang melibatkan bas ekspress harus dihentikan segera
Semua pihak harus prihatin dengan isu ini kerana melibatkan ramai nyawa manusia yang tidak berdosa

RANGKA KARANGAN KEPENTINGAN MATA PELAJARAN SEJARAH


RAMALAN 1
ISU : MATA PELAJARAN SEJARAH

SOALAN YANG DIJANGKA

Tindakan kerajaan mengumumkan mata pelajaran Sejarah dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 ada rasionalnya. Pada pendapat anda, apakah kepentingan mata pelajaran Sejarah dan nyatakan faktor-faktor yang menyebabkan pelajaran Sejarah tidak diminati oleh kebanyakan pelajar di sekolah?

PENDAHULUAN KARANGAN

Subjek Sejarah diwajibkan lulus pada tahun 2013 di peringkat SPM
Kerajaan sedar subjek Sejarah penting untuk mengekalkan rasa cinta dan taat setia kepada negara yang tercinta.
Generasi muda juga semakin banyak yang buta sejarah negara sendiri.
Kepentingan subjek sejarah dan faktor yang menyebabkan pelajar tidak meminati mata pelajaran sejarah akan dibincangkan.

Kepentingan Mata Pelajaran Sejarah

Melahirkan pelajar yang mempunyai semangat cintakan negara dan rela berkorban demi mempertahankan kemerdekaan negara pada bila-bila masa.

Melahirkan pelajar yang bersatu padu, bertolenransi, dab hormat-menghormati antara satu sama lain demi mengekalkan keamanan dan keharmonian hidup di Malaysia.

Melahirkan pelajar yang tahu menghargai jasa dan sumbangan orang terdahulu yang bersusah payah membebaskan negara daripada penjajah dan anasir-anasir jahat seperti komunis dan sebagainya.

Melahirkan pelajar yang tahu hak dan asal usul setiap kaum di Malaysia supaya mereka tidak mempersoalkan keistimewaan dan hal kaum lain sesuka hati sehingga menimbulkan ketidakamanan dan kekacauan.

Faktor yang menyebabkan pelajar tidak meminati mata pelajaran Sejarah

Terlalu banyak fakta untuk dihafal dan diingat pada setiap masa – pelajar mudah berputus asa belajar subjek sejarah.

Pengajaran guru Sejarah yang membosankan – membaca buku teks atau secara kuliah menyebabkan pelajar mengantuk

Sukatan pelajaran terlalu banyak dan lama – tidak pernah ditukar atau disesuaikan dengan perkembangan semasa.

Kebolehan pelajar berbahasa Melayu amat terhad menyebabkan mereka sukar untuk memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru.

Sokongan daripada ibu bapa dan para guru amat kurang – pelajar menganggap subjek sejarah ini tidak penting untuk dipelajari.

PENUTUP

Subjek Sejarah mengajar kita mengenali negara sendiri
Kedaulatan dan keharmonian negara harus dihargai
Jangan sampai kita menggadai kemerdekaan negara kerana kita buta sejarah
Semua pihak harus prihatin dengan isu ini.