JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Ogos 2012

ISU KESIHATAN : MENGURANG BEBAN SEKTOR KESIHATAN


Rencana ini ditulis oleh :
Nurul Anuar Kari


Kini satu dunia sudah tahu Malaysia adalah pemain utama penjagaan kesihatan global. Dua penyenaraian awam IHH Healthcare Bhd, yang muncul julung-julung kali di bursa saham Malaysia dan Singapura minggu lalu memberikan petunjuk kukuh bahawa Malaysia bersungguh-sungguh terhadap industri perkhidmatan ini. Menurut bekas Ketua Pengarah Kesihatan Prof. Tan Sri Dr. Ismail Merican, kita sepatutnya berbangga apabila Khazanah Nasional Bhd. telah menerokai satu cabaran yang besar dalam menyediakan khidmat penjagaan kesihatan, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia malah masyarakat di rantau ini. IHH adalah cabang penjagaan kesihatan Khazanah. Asetnya termasuk Hospital group Acibadem AS di Turki, Parkway Holdings di Singapura, Apollo Hospital Enterprise Ltd di India dan Pantai Hospital dan International Medical University (IMU) di Malaysia. IHH mengurus 83 hospital di negara-negara tersebut yang menjadikannya pengendali hospital kedua terbesar di dunia selepas Hospital Corporation of America (HCA) yang mengendalikan 163 hospital.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata beliau secara khususnya menyambut baik penyenaraian IHH kerana berharap usaha itu akan menyedarkan Kementerian Kesihatan untuk mempercepatkan proses memperkenalkan pembaharuan penjagaan kesihatan. Pembentukan IHH akan meningkatkan lagi prospek pelancongan perubatan dan ia baik untuk ekonomi negara. Ini kerana ramai pesakit asing datang ke Malaysia kerana mereka mengetahui negara ini menyediakan khidmat penjagaan kesihatan yang berkualiti, selamat dan pada harga mampu. Penjagaan kesihatan adalah satu industri yang besar namun hidangan perkhidmatan yang selesa dan terbaik dikatakan dapat dinikmati oleh kumpulan rakyat terpilih sahaja kerana ia disediakan oleh sektor swasta. Sebaliknya, ramai yang kaya dan berkemampuan turut mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Sudah tentu situasi ini menambah sedikit bebanan hospital awam.

Kini, mereka yang sebelum ini tidak begitu yakin perkhidmatan hospital swasta mempunyai pilihan. Dengan adanya pemain yang mempunyai kepakaran klinikal seperti IHH, rakyat berkemampuan mempunyai pilihan dan boleh mengunjungi hospital berkenaan. Usaha ini kemungkinan akan mengurangkan bebanan kerja hospital kerajaan. Dr. Ismail, yang kini Pro-Canselor dan Pengerusi MAHSA University College berpendapat satu opsyen yang besar akan diwujudkan sebagai pilihan pesakit untuk mendapatkan rawatan apabila pemain besar memasuki pasaran ini. Apabila rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk mendapat khidmat kesihatan, sudah tentu mereka akan memilih pemain yang sesuai dengan kemampuan dan keperluan masing-masing dari segi penjagaan yang baik, selamat dan berkualiti. IHH mempunyai rangkaian global, oleh itu ia boleh menjadi penanda aras kepada perkhidmatan di hospital kerajaan bagi menawarkan perkhidmatan yang bertaraf global juga.

Sesetengah doktor pakar kita bertaraf dunia. Sebab itu ada pesakit dari Indonesia atau India datang ke negara ini untuk mendapatkan khidmat kepakaran mereka. Mahu atau tidak akan wujud persaingan antara petugas dan doktor di hospital awam dengan swasta. Sudah tentu persaingan itu akan menaikkan tahap kemahiran dan pengetahuan mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan ini. Kelebihannya ialah ia akan menyediakan keterujaan yang sama bagi meningkatkan khidmat di sektor awam. Malaysia hanya membelanjakan 4.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penjagaan kesihatan. Itu tidak mencukupi. Itu adalah apa yang akan dibelanjakan oleh negara berpendapatan rendah. Bagi negara berpendapatan pertengahan seperti Malaysia, kita perlu berbelanja sekurang-kirangnya 6.4 peratus daripada KDNK.

Harga penjagaan kesihatan pula sentiasa meningkat, terutama kesan pengenalan teknologi baharu. Kos penjagaan kesihatan akan ditentukan oleh kuasa pasaran dan akhirnya, bukan sahaja rakyat Malaysia tidak mampu mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan berkualiti, malah kerajaan juga tidak akan berupaya menyediakannya. Oleh itu IHH diharap memainkan peranan bagi membantu meringankan beban Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam menyediakan pendidikan perubatan melalui IMU yang berada di bawahnya. Perancangan rapi Khazanah meletakkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di mata dunia selaras dengan MBE untuk memacu swasta sebagai teraju ekonomi negara berpendapatan tinggi. Melalui pendekatan yang dipelopori Khazanah ini juga Pelan Transformasi Ekonomi dapat direalisasikan. Kerajaan tidak perlu lagi terlalu banyak campur tangan dalam perniagaan. Kerajaan sudah boleh berundur beransur-ansur daripada terbabit dalam perniagaan dan sektor swasta mengambil peranan sebenarnya dalam perniagaan dan pembangunan ekonomi.

Sebagaimana kata Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Datuk Seri Idris Jala, untuk membentuk sebuah negara membangun berpendapatan tinggi strateginya adalah mendorong kerajaan mengurangkan peranannya dalam banyak perkara dan menyerahkan peranan itu kepada sektor swasta. Kerajaan Pusat memang serius mahu mengurangkan pembabitannya dalam perniagaan. Namun begitu harus ditekankan ketiadaan langsung pembabitan kerajaan dalam perniagaan adalah tidak wajar. Kita perlukan kerajaan dalam beberapa keadaan. Misalnya apabila modal pertumbuhan besar, teknologi baru yang canggih dan pemangkinnya diperlukan, tidak mungkin ia dapat digerakkan tanpa pembabitan awal bersama dengan kerajaan. Namun apabila tiba masanya, kerajaan perlu menarik diri. Penyenaraian atau pelupusan syarikat milik kerajaan dan kementerian dapat mengurangkan bilangan syarikat kerajaan yang bersaing dengan sektor swasta untuk mendapatkan kontrak.

Ini bagi mengelak penyingkiran atau penyisihan sektor swasta. Sementara itu, kita tidak patut memberi keutamaan kepada syarikat milik kerajaan untuk penganugerahan kontrak. Manfaat utama daripada keseluruhan proses ini ialah kerajaan akan memperoleh hasil daripada projek pembangunannya dan sektor swasta pula dapat menerajui semua projek perniagaan ini dengan lebih baik daripada kerajaan sendiri. Dengan ini, kita boleh menjangka pendapatan yang lebih banyak daripada hasil cukai pada masa akan datang. Pengurangan peranan kerajaan dalam perniagaan adalah ciri penting dalam matlamat menjadikan negara kita sebuah negara berpendapatan tinggi. Teras kepada perubahan ini ialah matlamat menjadikan Malaysia sebuah ekonomi yang lebih berorientasikan pasaran kerana itulah satu-satunya cara memastikan kita berdaya saing relatif kepada seluruh dunia

Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr. Amir Baharuddin pula berpendapat langkah penyenaraian itu memang tepat dari sudut mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam sektor kesihatan. "Asas mengurangkan beban awam adalah mengalihkan kepada kumpulan yang lebih meluas. Bila lebih ramai yang menyokong, maka semakin berkuranglah beban itu. Dengan penyertaan ramai itu juga, akan meningkatkan keupayaan kewangan dan kepakaran yang mampu dibawa masuk ke dalam sektor terbabit," katanya. Tambahnya, agak sukar mengharapkan bajet daripada kerajaan sahaja untuk membangunkan sektor kesihatan kerana kewangan negara terikat dengan bermacam perkara lain. Namun, beliau berharap kerajaan akan memantau sudut pengurusan walaupun bahagian perniagaan telah diuruskan sektor swasta. "Kerajaan tetap perlu pantau kerana kita mahu sektor kesihatan negara semakin cekap, menurunkan kos kepada pesakit serta mengurangkan beban kewangan awam," ujarnya.

Tegasnya, sinergi antara pengurusan kerajaan dan perniagaan swasta itu yang dikehendaki daripada penyenaraian IHH tersebut agar kedua-dua belah pihak mendapat manfaatnya. Jelas beliau lagi, kerajaan juga bukan sahaja mengurangkan beban kos malahan dapat berkongsi pengalaman sektor swasta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat. "Perniagaan perubatan sentiasa berkembang tetapi jika kita tidak berkembang, maka kesihatan rakyat yang akan 'menguncup' apabila perkhidmatan menjadi tidak elok. "Modal hasil penyenaraian boleh digunakan untuk membangunkan sektor kesihatan sementara dana kerajaan yang dijimatkan dapat dialih kepada perkara lain seperti kajian untuk penyakit yang dihidapi ramai rakyat Malaysia," tegasnya. Amir juga percaya peningkatan kemampuan kewangan dan kepakaran di hospital swasta di bawah IHH, khususnya di negara ini, akan mengurangkan beban di hospital kerajaan. "Bila yang berkemampuan beralih ke hospital swasta yang kini boleh menawarkan harga lebih berpatutan untuk perkhidmatan mereka, rakyat yang kurang mampu pula lebih mudah mendapatkan perkhidmatan di hospital kerajaan. "Dengan adanya sinergi awam dan swasta ini, semua pihak akan mendapat manfaatnya terutama sekali rakyat yang dapat menikmati perkhidmatan kesihatan lebih baik," jelasnya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 03 Ogos 2012
Hari : Jumaat

ISU PENDIDIKAN : BETULKAN PERSPEKTIF TERHADAP PENGAJIAN TINGGI


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia


Seorang pemimpin politik yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris berkata, kerajaan pimpinannya menyokong penubuhan sebuah universiti di negeri yang dipimpinnya yang dikatakan akan jauh lebih baik dari Universiti Sains Malaysia (USM). Apatah lagi katanya, universiti tersebut akan diterajui dan ditubuhkan oleh tokoh hebat dari Amerika Syarikat yang tentunya akan menjadikan universiti itu lebih masyhur dan terkenal. Pandangan ini tentunya bukan asing bagi kita kerana dalam perspektif banyak pihak, termasuklah mereka yang selalu mengkritik pengajian tinggi negara sering berkiblatkan Barat dan melihat segala nilai yang ditentukan oleh orang lain itulah sebagai kayu ukur utama untuk meletakkan pengajian tinggi negara sebagai hebat dan dianggap terkemuka. Apa sahaja pujian dan penarafan yang dibuat, walaupun kayu ukurnya dan kaedahnya tidak diperhalusi, dianggap baik malah sempurna untuk diikuti.

Persoalan asas yang harus difikirkan adalah pengajian tinggi itu untuk apa dan untuk siapa. Apakah maknanya memiliki segulung ijazah sama ada di peringkat ijazah pertama mahu pun ijazah Ph.D malah gelar profesor sebagai mahaguru yang boleh dianggap hebat penguasaan ilmunya. Malah, kebelakangan ini timbul pula cerita pihak yang menghasilkan ijazah palsu yang boleh diperolehi dengan harga tertentu, hingga ke peringkat doktor falsafah. Ada pula orang yang ingin membelinya dengan harga yang tinggi walau pun tahu ia perbuatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang dan tidak pula memberikan gambaran sebenar nilai ilmu yang ada pada ijazah berkenaan. Cerita memiliki ijazah palsu ini pula bukanlah baru. Di luar negara, ada yang menggunakan ijazah palsu hingga penghujung hayat tanpa ada sesiapa yang mengetahuinya. Malah ada juga kisah-kisah orang yang mengaku berkelulusan sebegitu tinggi hingga menghasilkan buku sebagai pakar dalam sesuatu bidang tetapi akhirnya ternyata menipu.

Agak malang, kita semakin lupa tentang peranan ilmu dan kepentingannya dalam pembangunan negara bangsa. Kita mengejar wang ringgit, nama dan kemasyhuran sehingga tanpa sedar kita memperjudikan nasib bangsa dan agama, nilai-nilai dan kearifan yang kita ada serta budaya yang kita junjung sebagai asas dan teras untuk memajukan negara dalam acuan kita sendiri. Sebahagian besar sekadar melihatnya sebagai tiket untuk bekerja dan mendapat pulangan ekonomi yang besar apatah lagi jika datangnya dari nama-nama besar, maka semakin tinggilah nilai ekonominya. Yang dilihat bukan pemikiran dan kemampuan untuk menjadi manusia yang kreatif dan inovatif dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat, tetapi ijazah dan dari mana datangnya ijazah berkenaan.

Alangkah baiknya, jika dapat kembali melihat makna pengajian tinggi dan peranan mereka yang memiliki sekeping ijazah dalam pembangunan sebuah negara seperti Malaysia yang bukan sahaja perlu melihat dalam konteks ekonomi tetapi keseluruhan struktur masyarakat, sejarah dan pembangunan jati diri sebagai teras pembangunan masa hadapan dalam menghadapi persaingan. Ijazah dan ilmu pengetahuan membolehkan kita berfikir dengan kreatif dan inovatif dalam kerangka pembangunan holistik yang sesuai dengan masyarakat seperti Malaysia. Jika kita berterusan menjadikan ekonomi dan teknologi semata-mata sebagai tujuan akhirnya, maka kita akan mula melupakan bagaimana isu-isu asas seperti perpaduan masyarakat, kesaksamaan sosial, nilai dan moral, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat dan nasib golongan marhaen yang ada di sekeliling kita perlu terus menjadi agenda utama.

Dalam konteks dan perspektif sesetengah pihak pengajian tinggi seolah-olah tidak lagi menjadi asas dalam pemikiran untuk kelangsungan masa hadapan negara, kelestarian alam yang dapat dikembalikan kepada generasi akan datang dan isu-isu "KIP" (Key Intangible Performance) yang tidak boleh diukur dengan angka. Pengajian tinggi hanya untuk bersaing dan menjadi terkenal. Kerana itu kita masih lagi berhadapan dengan sikap-sikap yang mempersoalkan pelbagai perkara yang telah dipersetujui bersama, persamaan yang sebenarnya secara realiti tidak pernah wujud dan keberanian menimbulkan isu-isu yang boleh mencemar kedamaian dan keharmonian yang sedia ada. Malah, hari ini sesetengah pihak sudah tidak malu lagi untuk membangkitkan isu-isu yang menggugat nilai-nilai yang telah diterima bersama sekian lama untuk dipertahankan termasuklah kebebasan seks dan isu-isu moral lain yang mengancam kesejahteraan kita. Akibatnya juga kita melihatnya adanya mereka yang berpendidikan tinggi dan ijazah berjela, tetapi sanggup gadaikan maruah bangsa, agama malah negaranya untuk mencapai matlamat peribadinya mahu pun mereka yang bersekongkol dengannya.

Pengajian tinggi dalam perspektif ini gagal mengungkapkan tangisan jiwa mereka yang sayangkan bangsa, agama dan tanah airnya pada masa hadapan apatah lagi apabila nilai yang diketengahkan bukan lagi berteraskan jiwa kebangsaan. Ia bukan lagi bernadikan erti pembangunan sebuah negara, tetapi lebih kepada kebebasan yang hakiki dan nilai yang berkiblatkan mereka yang menaja dan membangunkannya. Roh pengajian tinggi dalam konteks pembangunan insani harus dipertahankan. Pengajian tinggi bukan sekadar sekeping ijazah, tetapi nilai akal budi yang terkandung di dalamnya, nilai ilmu dan pemikiran besar serta natijah yang diharapkan untuk pembangunan manusia harus diberikan keutamaan. Pengajian tinggi perlu berupaya melahirkan mereka yang mampu berfikir dan mempunyai wisdom dan kebijaksanaan dalam melakukan tindakan, berasaskan pertimbangan-pertimbangan rasional untuk faedah rakyat, masyarakat dan negara serta dapat pula menyeimbang antara keperluan dan penggunaan teknologi dan pembangunan insani dan manusiawi.

Kita boleh membina dan tentunya tidak salah memiliki gedung ilmu yang hebat, dengan modal besar dari mereka yang sedia melakukan pelaburan atas nama apa pun jua, malah untuk pembangunan ilmu sekali pun, tetapi niat dan natijahnya mestilah betul. Kita tidak perlu membandingkan dengan apa yang kita ada, jauh sekali memperlekehkan kerana apa yang kita miliki inilah sebenarnya melahirkan kita sehingga kita berada pada landasan sekarang ini. Malangnya, pengajian tinggi dalam perspektif sesetengah kita termasuk pemimpin politik tertentu hanya berlandaskan keinginan yang dangkal sifatnya, tidak menyokong usaha melahirkan mereka yang kritikal tetapi rasional, berilmu dan bijaksana dengan wisdom yang tinggi dan menjadikan ilmu sebagai alat untuk memastikan kelangsungan masa depan masyarakat dan negara dan penyelesaian segala kemelut yang ada.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 03 Ogos 2012
Hari : Jumaat