Bersama Mior Kamarul Shahid
Antara inisiatif transformasi politik yang diumum Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan Hari Malaysia 2011 ialah mengenai kajian semula komprehensif membabitkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Perdana Menteri menyatakan dengan jelas bahawa prinsip pembaharuan tahunan lesen akan dihapuskan dan diganti dengan pengeluaran lesen, sehinggalah ia dibatalkan. Bagi pengamal dan pemerhati media, termasuk parti politik, syarat pemberian lesen ini adalah satu bentuk kawalan yang dikenakan ke atas media. Mereka beranggapan selagi akta itu wujud, selagi itu kerajaan dianggap mengawal kebebasan media. Bagi media, walau pun akta itu adalah satu alat kawalan kerajaan, tetapi setakat ini kerajaan tidak menggantung permit akhbar sewenang-wenangnya, melainkan jika ia jelas mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara. Akta itu dihebahkan begitu berkesan dan ditakuti pengamal media khasnya apabila tempoh membaharui lesen setiap tahun kian hampir. Paling takut ialah pemilik syarikat yang menyiarkan banyak berita yang mengelirukan pemikiran rakyat dan mereka yang melanggar syarat pemberian lesen.
Sekali pun Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bertindak melulu, di sebalik pemikiran pengamal media, lesen akhbar mereka boleh ditarik balik pada bila-bila masa saja sekiranya terleka. Dalam sesuatu berita, faktor siapa dirujuk kepada setiap mereka yang terbabit dalam sesuatu berita sama ada orang yang menjadi bahan berita atau sumber berita. Ada lagi siapa yang ditakuti, iaitu pihak yang mempunyai kuasa memberi dan menarik lesen akhbar KDN. Antara kesan buruknya, khasnya berita politik ialah akta itu menjadi faktor pengamal media dan wartawan menjadi terlalu judgemental. Apa juga kenyataan politik dianggap mempunyai motif taktikal. Begitu juga, kian banyak berita berbentuk interpretatif dan analisis ditulis dan paling buruk apabila berlaku tulis oleh spin doctor atas tujuan tertentu. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 adalah suatu akta Malaysia mengenai penggunaan percetakan, penerbitan dan agihan penerbitan menggantikan Akta Mesin Cetak 1948 dan Akta Kawalan Penerbitan Diimport 1958. Kesan psikologi ke atas pengamal media amat nyata. Masyarakat khalayak juga dipengaruhi supaya mempercayai bahawa peruntukan dalam akta itu menyekat kebebasan media.
Pengamal media pula disifatkan sentiasa beringat bahawa dalam keghairahan menulis dan menyiarkan berita, ada had dan batasannya. Tulisan mereka tertakluk kepada peruntukan akta itu selain beberapa akta lain termasuk Akta Hasutan, Akta Fitnah, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan sebagainya yang boleh menyebabkan mereka diheret ke muka pengadilan. Sekiranya kajian memperakukan supaya kerajaan menghapuskan akta itu, ia adalah satu transformasi radikal dalam pengurusan media di negara ini. Najib melakukan ini kerana ia adalah tuntutan zaman selari dengan kemajuan negara. Untuk menjadi sebuah negara maju, pemikiran dan tindak tanduk juga mestilah mencerminkan pemikiran dan tindak tanduk negara maju. Bagi orang luar, isu kebebasan media adalah isu sejagat yang selalu diberi perhatian khusus. Penghapusan akta itu bermakna kerajaan memberi kebebasan kepada media untuk menyiarkan berita tanpa perlu lagi takut lesen akhbar mereka akan digantung atau ditarik balik. Di kebanyakan negara di dunia hari ini, khasnya di negara maju kegiatan media diawasi oleh badan bebas yang sering disebut sebagai majlis media, ditubuhkan menerusi akta Parlimen. Majlis ini, selepas mengambil kira pandangan daripada pengamal media, khasnya media cetak dan individu berwibawa termasuk hakim, akan mengawasi perjalanan media. Mereka sendiri yang akan menentukan hukuman setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.
Cadangan penubuhan majlis media yang dinamakan Akta Majlis Media pernah dibentangkan di Parlimen pada 2001, tetapi disebabkan masih terlalu banyak kelonggarannya dan tidak lengkap, ia tidak diteruskan. Baru-baru ini pula ada usaha mewujudkan Majlis Perundingan Media diterajui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan KDN tetapi perbincangan dengan wakil-wakil media menemui jalan buntu. Bagi media majlis perundingan itu tidak akan berfungsi selagi wujud bayang-bayang kerajaan di dalamnya. Seperti media, tentunya kerajaan juga tidak mahu dianggap sebagai melebarkan cengkamannya ke atas media. Media juga tidak mahu persepsi bahawa media dikawal kerajaan terus menebal. Penubuhan majlis media adalah jalan penyelesaian yang dianggap praktikal dengan melihat kepada model majlis media yang sudah pun dilaksanakan di beberapa negara termasuk di United Kingdom. Namun, ada yang berjaya dan ada juga kecundang. Wartawan atau mereka yang terbabit dalam tugasan editorial, mempunyai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat khalayaknya. Banyak kajian menunjukkan bahawa petugas dan pengamal media meletakkan pembaca bagi akhbar, pendengar bagi radio dan penonton bagi televisyen sebagai tanggungjawab utama sosial mereka.
Malah, bagi mereka memberikan sesuatu berita yang dikehendaki oleh khalayak mereka adalah kunci kepada prinsip kewartawanan. Seboleh mungkin mereka tidak mahu menyiarkan berita yang berunsur menyogok. Adakalanya mereka terpaksa mengetepikan kepentingan syarikat demi memenuhi tanggungjawab sebagai wartawan. Sebagai contoh, walaupun sesebuah syarikat mempunyai hubungan perniagaan yang besar dengan syarikat media, khasnya di segi iklan disebabkan berlaku sesuatu yang tidak baik ke atas syarikat itu, wartawan perlu menjalankan tanggungjawabnya melaporkan peristiwa itu walaupun laporannya itu menjejaskan hubungan perniagaan kedua-dua syarikat itu. Begitulah juga konteksnya dengan kerajaan. Disebabkan wujud Akta Mesin Cetak dan Penerbitan ini, media tidak berani melaporkan sesuatu yang boleh menimbulkan ketidaksenangan KDN kerana bimbang permit tidak akan diperbaharui nanti. Sekiranya akta ini dimansuhkan, jelas ia menjurus kepada kebebasan kewartawanan. Selama ini media mungkin dianggap sebagai mengikut apa saja yang diarahkan kerana tidak mahu menghadapi masalah.
Dengan penghapusan akta ini, ia akan memberi satu perspektif baru terhadap dunia kewartawanan. Wartawan tidak lagi bimbang menulis apa saja, walaupun mengenai perkara yang tidak disenangi pihak tertentu. Mereka berasakan kewujudan blog yang bebas, mempertikai kemampuan mereka menyiarkan berita yang menarik. Ketiadaan akta ini juga nanti menandakan berlaku 'pemisahan' hubungan kerajaan-media berasaskan pemahaman sebelum ini. Dengan pemansuhan akta ini nanti wujud satu senario yang jelas bahawa media sebenarnya adalah bekerja untuk rakyat. Tetapi disebabkan selama ini wujud akta itu, andaian media mengikut telunjuk kerajaan begitu menebal, walau pun ia adalah tanggapan yang tidak tepat. Apa pun, dunia kewartawanan perlu balik kepada pemikiran asasnya iaitu idea kewartawanan ialah untuk memenuhi kehendak khalayak. Pengamal media perlu taat kepada pembaca mereka, lebih daripada majikan mereka. Langkah kerajaan ini sebagai asas yang lebih besar terhadap kebebasan editorial khasnya dalam konteks ideologi politik. Ia membolehkan media menyiarkan berita secara adil dan tidak memihak. Langkah ini juga membolehkan wartawan mewujudkan daya profesional yang tinggi kerana mencari bahan berita dan menulisnya dengan cara profesional, bukan didorong oleh rasa takut lesen mereka akan digantung. Pengamal media menghubungkan diri mereka dengan khalayak berasaskan nilai, keputusan, autoriti, keberanian, profesionalisme dan komitmen terhadap masyarakat. Sebenarnya, ini jugalah yang dilakukan kerajaan hari ini menerusi transformasi politiknya.
SUMBER
BERITA MINGGU