JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 April 2015

PhD PALSU CUMA BERHARGA RM10,500 SAHAJA.

Akhbar Satar
Presiden Transparensi International Malaysia
Berita Harian Online, 23 April 2015

Beberapa hari lalu, Majlis Profesor Negara (MPN) melancarkan buku Garis Panduan Penggunaan Gelaran Profesor bagi mengangkat kredibiliti profesion dan imej ahli akademik di Malaysia bertujuan menjelaskan penyalahgunaan gelaran profesor pada pangkal nama atau kad nama. Bahkan sudah ramai menyalahgunakan ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD) sama ada dibeli menerusi online, diplagiat atau mengupah orang menyediakan tesis bagi tujuan penipuan dan komersial. Banyak kes seperti ini sama ada di Malaysia ataupun luar negara termasuk negara maju yang menjadi hab pengajian tinggi.


Beberapa tahun lalu, bekas Pengarah Kanan dan Ketua Pegawai Maklumat, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS), Laura Callahan meletak jawatan selepas didapati membeli Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD secara dalam talian. Kes ini menggegarkan keselamatan Rumah Putih kerana dilihat seolah-olah tidak menyemak latar belakang sebelum mengambil beliau bertugas. AS mengeluarkan 50,000 ijazah PhD seluruh dunia, bernilai RM3.6 bilion (AS$1 bilion) setahun. Di Pakistan pula ada banyak universiti melantik profesor kelulusan PhD palsu dan ia menjejaskan kredibiliti universitinya. Pembabitan 'profesor segera' ini merosakkan imej dan mutu pengajian terutama bidang perubatan. Di Russia, ijazah palsu dapat dibeli dengan harga RM3,000.

Ada juga sindiket mengeluarkan ijazah palsu atas nama Universiti Harvard - pusat pengajian tinggi terbaik di dunia, dengan harga RM120,000. Sedia khidmat ijazah palsu Malah, sebuah laman sesawang menyediakan perkhidmatan mengeluarkan ijazah palsu, termasuk PhD dari pusat pengajian tinggi dengan bayaran RM240. Tawaran ini jadi lebih menarik apabila mereka bebas memilih apa sahaja bidang dikehendaki atau mana-mana universiti untuk diisi dalam ijazah palsu itu. Ijazah palsu membabitkan universiti Malaysia mula dikesan susulan kes penipuan untuk mendapat kelulusan Universiti Sains Malaysia (USM) beberapa tahun lalu.

Selain kes sijil palsu USM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara. Pembelinya terdiri daripada kalangan ahli politik dan individu bergelar Tan Sri. Syarikat mengenakan harga RM6,500 bagi ijazah Sarjana Muda, RM8,500 (Sarjana) dan RM10,500 (PhD) dalam pelbagai jurusan kononnya diiktiraf lima universiti luar negara, antaranya Universiti Rockhampton, Universiti Harvey International, Universiti Cannington Brook dan Universiti Charles Molnar. Ramai orang 'sakit jiwa', pemalas dan suka menipu mencari jalan pintas, cepat, tidak perlu belajar untuk mendapatkan ijazah secara mudah, dalam tujuh hari sedangkan pelajar universiti menghabiskan tiga hingga enam tahun untuk mendapatkan diploma dan ijazah. Bukan mudah untuk mendapat PhD kerana memakan masa lama. Perlu berkorban wang ringgit, keluarga dan masa.

Perbuatan segelintir mereka ini adalah tidak adil kepada pemilik ijazah sebenar. Mereka yang terbabit dalam kes pemalsuan ijazah, biasanya bijak bercakap tetapi isinya kosong dan hanya boleh dikesan sesetengah pakar apabila dibandingkan dengan kelulusan diperoleh. Selalunya orang yang gagal dalam pelajaran dahagakan pengiktirafan, lebih-lebih lagi orang yang baru dikenali. Mereka mahu dipandang tinggi, berilmu, berkebolehan dan boleh dijadikan pakar rujuk. Perdaya orang Mereka bangga memperkenalkan diri sebagai 'Dr' dan profesor memperdayakan orang sedangkan hanya tamat Tingkatan Tiga ataupun Tingkatan Lima. Kadangkala dengan gelaran 'Dr' dan profesor yang dijaja sebagai pakar motivasi, MLM, penjual produk kosmetik dan ahli perniagaan, mereka dapat lebih peluang dan keutamaan menjawat jawatan penting seperti pengarah dan perunding dalam organisasi serta senang mendapat kontrak projek. Ditambah pula dengan sikap orang ramai mudah percaya dengan kepetahan bercakap tanpa meneliti latar belakang pengajiannya, selain kelemahan majikan di Malaysia yang hanya melihat rekod jenayah pemohon pekerjaan tanpa menitikberatkan status pendidikan menyebabkan kegiatan membeli ijazah sarjana dan PhD palsu semakin berleluasa.


Satu pusat menyimpan data graduan mesti ditubuhkan untuk mengelak kes pemalsuan ijazah dan semua sijil dicetak Percetakan Nasional yang mempunyai tahap sekuriti tinggi. Seseorang bergelar Tan Sri, Datuk, ahli perniagaan dan pakar motivasi tidak berintegriti dan patut merasa jijik memiliki ijazah palsu serta sanggup menggunakan gelaran doktor atau profesor. Mereka patut malu kepada masyarakat bahkan kepada ahli keluarga yang mengetahui taraf pendidikan dimiliki. Adalah wajar sesiapa yang menggunakan sijil palsu dihukum mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya. Penipuan sijil palsu perlu dibendung agar tidak merebak dan kelak disalah guna warga asing ketika Malaysia mengambil pelbagai usaha menjadikan negara sebagai hab pengajian tinggi.